• PIMPINAN 10-11

    Bersama Menerajui Perubahan

  • Bergambar Bersama Penceramah

    Semasa menjadi fasilitator Mukhayyam Syakhsiah Muslim Anjuran Badan Dakwah dan Ibadah SMA al-ittifaQiah Guai,Pahang

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI

    Saat terakhir bergambar bersama-sama

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI

    Saat terakhir bergambar bersama-sama

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI 2007

    Bergambar bersama ahli-ahli kumpulan semasa berkayak di laut...Hidup Gacrux!!!

Wednesday, October 30, 2013

Doa Makan | Betulkah apa yang kita amalkan..?

Posted by Tengku Ibrahim on 10:13:00 AM

Pendahuluan

Sebagai manusia biasa pasti setiap dari kita memerlukan makan dan minum bagi memenuhi fitrah kejadian manusia dan untuk penerusan hidup di dunia yang fana ini. Setiap yang hidup memerlukan makanan. Cuma jenis makanan dan cara makanan sahaja yang berbeza. Seorang muslim diajar mencari makanan yang baik-baik dan dipastikan halal dari segi kandungan dan cara mendapatkan makanan tersebut. Selain itu, sebagai seorang Muslim juga kita dituntut dan diajar oleh agama kita untuk berdoa kepada Allah sebelum makan atau sebelum memulakan apa-apa perkara yang baik.

Dalam penulisan saya yang ringkas pada kali ini, saya sekadar ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian mengenai doa makan yang sahih daripada nabi. Dan ini hanya sekadar pengetahuan dan langkah berjaga-jaga kerana saya bimbang  kita mengaitkan sesuatu pada nabi sedangkan ianya sebenarnya bukan daripada nabi. Walaupun pada dasarnya, doa tersebut tiada masalah dan ada makna yang baik. Namun kita harus berjaga-jaga kerana nabi pernah bersabda :

إن كذبا علي ليس ككذب أحدكم ، فمن كذب علي فليتبوأ مقعده من النار[1]

Maksudnya : “Sesungguhnya berdusta ke atasku tidak sama seperti berdusta ke atas orang lain, maka barangsiapa yang berdusta ke atasku maka sedialah tempat duduknya di dalam neraka.”

(Sekadar gambar hiasan)

Doa yang biasa kita dengar.

اللهم بارك لنا فيما رزقتنا ، وقنا عذاب النار ، بسم الله.[2]

Maksudnya : “ Ya Allah, engkau berkatilah apa yang telah berikan kepada kami rezeki kami dan jauhilah kami daripada api neraka, bismillah (Dengan nama Allah).”

Doa ini sangat masyhur terutamanya dalam kalangan masyarakat kita di Malaysia, dan seingat saya doa ini juga turut diajar kepada pelajar tadika, sekolah-sekolah sama ada rendah atau menengah. Dan sesungguhnya doa yang masyhur sebelum makan ini tidak sah daripada nabi saw, bahkan dhoif jiddan (sangat dhoif) walaupun terdapat sebahagian ulamak mengatakan makna doa ini baik. Abu Hatim mengatakan hadis ini munkar jiddan begitu juga dengan Bukhari.[3]

Doa makan yang sahih

1. Membaca Basmalah

Dari Hudzaifah r.a. katanya : “ Apabila kami makan bersama-sama Rasulullah saw kami belum mengulurkan tangan (mengambil makanan yang dihidangkan) sebelum Rasulullah memulakannya. Pada suatu hari, kami makan bersama-sama beliau tiba-tiba datang seorang gadis kecil. Seperti didorong dia menjangkaukan tangannyahendak mengambil makanan, tetapi segera ditangkap Rasulullah saw. Kemudia datang pula seorang Arab dusun, dia seperti didorong mengulurkan tangannya. Lalu ditangkap pula oleh Rasulullahsaw. Maka bersabda Rasulullah saw, “Hanya syaitan yang menghalalkan makanan tanpa menyebut nama Allah memakannya. Dia datang bersama gadis dan orang dusun ini, hendak turut makan bersama-sama mereka. Demi Allah yang jiwaku dalam kekuasaanNya. Sesungguhnya tangan syaitan itu ada di kedua tangan orang dusun  dan gadis itu.”(Sahih Muslim)[4]

2. Jika dia terlupa membaca ‘Bismillah’ sewaktu mula makan, hendaklah dia membaca :

بسم الله في أوله وآخره.
Maksudnya : “Dengan nama Allah pada permulaannya dan akhirnya”.[5]

3. Sesiapa yang diberi rezeki makanan oleh Allah, hendaklah dia membaca :

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ [6]
Maksudnya : “ Ya Allah, berilah kami berkat dengan makanan itu dan berilah makanan yang lebih baik daripadanya”.[7]

4. Sesiapa yang diberi rezeki minuman susu (laban) hendaklah dia membaca :

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ[8]
Maksudnya : “Ya Allah, berilah kami berkat dengan minuman itu dan berilah tambahan daripadanya”.[9]

(Sekadar gambar hiasan)

Kesimpulannya.

1. Dengan ini saya dapat simpulkan bahawa doa yang biasa kita amalkan bukan daripada nabi, dan jangan sekali-kali kita mengatakan doa berkenaan daripada nabi kerana bimbang kita tergolong dalam golongan yang berdusta atas nama nabi.

2. Doa yang sah daripada nabi saw ialah :

ü      بسم الله
ü      اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ
ü      اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ
3. Walaubagaimanapun, tidak salah kalau sekiranya kita mahu membaca doa yang biasa kita amalkan iaitu :

اللهم بارك لنا فيما رزقتنا ، وقنا عذاب النار ، بسم الله

Kerana makna doa tersebut baik namun jangan sekali-kali kita kaitkannya dengan Nabi Muhammad saw.

4. Alangkah lebih baik kalau sekiranya kita amalkan dahulu doa yang memang sah daripada nabi, kerana kita mengikuti sunnah baginda, dan sudah pasti ada hikmah disebalik doa terbabit yang tidak kita ketahui. Kemudian barulah kita susuli dengan doa yang biasa kita baca dan amalkan.

Wallahualam..sekadar perkongsian..

Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Undang-undang (Kepujian),
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).


(Gambar di atas : Penulis sedang menjamu selera dan bergambar bersama-sama sahabat di Mat'am Baiti al 'Arabi)





[1] Abdullah bin Muhammad bin Abi Syaibah. Musnaf. Kitab al adab. Fi ta’ammud al kazab ‘ala an Nabi. (http://library.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?flag=1&bk_no=10&ID=3617). 30 Oktober 2013.
حدثنا أبو بكر قال حدثنا الفضل بن دكين قال حدثنا سعيد بن عبيد عن علي بن ربيعة عن المغيرة بن شعبة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إن كذبا علي ليس ككذب أحدكم ، فمن كذب علي فليتبوأ مقعده من النار
[2] Multaqa ahli al hadis. (http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?t=115795). 30 Oktober 2013.
من طريق محمد بن أبي الزعيزعة عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه كان يقول في الطعام إذا قرب إليه :  اللهم بارك لنا فيما رزقتنا ، وقنا عذاب النار ، بسم الله.
[3] Ibid
[4] Terjemahan Hadith Shahih Muslim (2003). Ma‟mur Daud (terj.) J. 4. Singapore : Darel Fajr Publishing House. no : 1939. Hal. 87-88.
[5] Abu Daud 3/347. At Tirmizi 4/288. Lihat Sahih At Tirmizi 2/167. Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al Qahthani (2009). Abdul Basit bin Abdul Rahman (terj.). C.6. Kelantan : Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan. Hal. 219-220.
[6] Multaqa ahli al hadis. (http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?t=115795). 30 Oktober 2013.
من طريق إسماعيل بن إبراهيم ثنا علي بن زيد عن عمر بن حرملة عن ابن عباس قَالَ دَخَلْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا وَخَالِدُ بْنُ الْوَلِيدِ عَلَى مَيْمُونَةَ فَجَاءَتْنَا بِإِنَاءٍ فِيهِ لَبَنٌ فَشَرِبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا عَلَى يَمِينِهِ وَخَالِدٌ عَلَى شِمَالِهِ فَقَالَ لِي الشَّرْبَةُ لَكَ فَإِنْ شِئْتَ آثَرْتَ بِهَا خَالِدًا فَقُلْتُ مَا كُنْتُ أُوثِرُ عَلَى سُؤْرِكَ أَحَدًا ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَطْعَمَهُ اللَّهُ الطَّعَامَ فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ وَمَنْ سَقَاهُ اللَّهُ لَبَنًا فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ وَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ شَيْءٌ يُجْزِئُ مَكَانَ الطَّعَامِ وَالشَّرَابِ غَيْرُ اللَّبَنِ.
Berkata Abu Isa, hadis ini hasan.

[7] Op.Cit.
[8] Op.Cit.
[9] Op.Cit.

Thursday, October 17, 2013

Membaca tanpa guru ibarat belajar dengan syaitan..?

Posted by Tengku Ibrahim on 9:57:00 AM

Membaca tanpa guru ibarat belajar dengan syaitan..?

PENDAHULUAN

Bismillah.. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan.[1] Dewasa ini, Alhamdulillah, saya melihat budaya ilmu semakin terserlah dalam kalangan pemuda pemudi sekalian dengan penganjuran budaya membaca, wacana, diskusi, ceramah dan lain-lain bak kata pepatah ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Hasil ledakan teknologi maklumat (iT), yang mana apa sahaja maklumat boleh dicari dengan hanya satu jari, merancakkan lagi budaya intelektual ini. Namun begitu, ada yang bersetuju dan suka dengan perkembangan ini serta tidak kurang pula yang memandang remeh, tidak suka, malah memperlekehkan lagi. Sehinggamana terungkaplah satu kata-kata yang sangat popular, saya kira iaitu, “membaca tanpa guru ibarat belajar dengan syaitan”. Saya pun tidak pasti bilakah ianya muncul serta saya pun tidak berniat untuk membahaskan asal usulnya sama ada sohih atau tidak. Tetapi yang saya ingin fokuskan pada penulisan saya pada kali ini ialah lebih kepada perlunya kita mengaplikasikan budaya membaca dalm kehidupan agar intelektualism itu hadir. Maka, saya berharap penulisan saya yang tidak seberapa ini dapat memberikan sedikit manfaat buat para pembaca di luar sana, sekaligus membuang persepsi buruk tentang perkembangan budaya membaca ini.

PERLUNYA KITA UNTUK MENUNTUT ILMU

Firman Allah taala yang bermaksud :

“Hai orang-orang beriman apabila kamu dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", Maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", Maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”[2]

Allah swt akan meninggikan darjat bagi orang-orang yang beriman serta orang-orang yang berilmu. Maka sudah tentu bahawa orang yang berilmu dan beriman akan lebih tinggi darjatnya.

Lebih tegas lagi, Islam mewajibkan bagi setiap orang muslim dan muslimat untuk menuntut ilmu, daripada Anas bin Malik r.a, sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Menuntut ilmu adalah fardhu atas setiap orang Islam, dan penuntut ilmu akan didoa keampunan oleh semua termasuk ikan-ikan di lautan.”[3]

Dengan kata lain, Islam mengajar bahawa Allah swt tidak akan mengubah nasib suatu kaum sampai kaum itu mengubahnya sendiri[4], dan antara cara untuk mengubahnya adalah dengan ilmu. Maka dalam kita hendak mendapatkan ilmu, terdapat pelbagai kaedah yang boleh diaplikasikan seperti berdampingan dengan guru, bertalaqqi bersama guru, membaca, berdiskusi, berbincang, muraja’ah, dan lain-lain. Dengan kata lain, pentingnya kita untuk menjadi ulamak iaitu orang yang berilmu (alim).

ULAMAK  TIDAK SEMESTINYA HANYA GOLONGAN AGAMAWAN

Ramai orang menganggap bahawa hanya golongan ulamak dalam erti kata agamawan sahaja yang takutkan Allah. Ianya betul tetapi kurang tepat. Apabila mereka membaca ayat 28 dalam surah Fatir, tidak terlintas dalam benak pemikiran mereka bahawa boleh jadi ulamak di sini, iaitu pada ayat yang bermaksud “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama” ialah saintis, ahli geografi yang mengkaji tentang bentuk bumi, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Hal ini kerana sekiranya kita merujuk kepada beberapa ayat sebelumnya ianya menceritakan tentang hujun yang turun daripada langit, daripadnya terhasilah buah-buahan yang beraneka jenis, gunung-ganang, binatang-binatang sebagaimana firmanNya :[5]

Maksudnya : “ Tidakkah kamu melihat bahwasanya Allah menurunkan hujan dari langit lalu kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat [27]. Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun [28].

Oleh itu, sekiranya kita melihat kepada konteks ayat maka ulamak yang dimaksudkan adalah lebih hampir kepada para saintis dan ahli-ahli yang mengkaji tentang bumi, tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang dan alam kerana kebanyakkan golongan agamawan tidak mengetahui perihal tentang warna-warna bumi, jenis-jenis buah, proses hujan dan sebagainya yang dikaji oleh mereka, ahli sains. Saintis yang mengkaji tentang hal-hal ini, kemudian dia beriman dengan Allah dengan sebab dia mengkaji Alam maka sudah tentu dia akan lebih takutkan kepada Allah. Dan ini juga turut tidak dinafikan kepada golongan agamawan yang mengkaji tentang sains dan Alam. Maka sudah tentu mereka lebih baik secara logiknya.

MEMBACA IBU SEGALA PENGETAHUAN

Reading is the mother of knowledge. Dengan membaca maka kita akan mengetahui. Manusia jahil terhadap apa yang dia tidak tahu. Budaya membaca sebenarnya adalah warisan turun temurun ulamak silam. Hal ini kerana disamping mereka bertalaqqi bersama guru, mereka juga tidak mengabaikan aspek budaya membaca. Malah, jika wujud kesamaran atau ketidak pastian semasa membaca, maka rujuklah pada mereka yang mengetahui. Persoalannya ialah sama ada kita mahu, atau tidak. Itu sahaja. Guru tidak bersama dengan kita 24 jam. Jadi, kalaulah perlukan guru untuk membaca, maka banyaklah buku-buku yang  kita tidak dapat baca dan hadam kerana perlukan guru semasa membaca. Ibaratnya, guru tidak ada kerja lain selain daripada menunggu kita dan mengajar kita selama 24 jam. Jadi solusinya, membaca adalah jalannya dalam mendapatkan ilmu. Apabila timbul kekeliruan bertanyalah kepada yang mengetahui.

SYAITAN LEBIH SUKA KALAU KITA TIDAK MEMBACA

Malah saya merasakan bahawa syaitan sebenarnya lebih suka kalau kita tidak membaca, bukannya membaca tanpa guru kerana dengan membaca kita akan mendapat pengetahuan (knowledge) dan ilmu baru berkaitan apa sahaja sama ada dalam agama dan lain-lain. Dan sedikit sebanyak akan menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah.
Kalaulah dengan membaca tanpa guru boleh menyebabkan orang tersesat, maka berapa ramai manusia telah sesat hanya kerana belajar dengan guru.? So, ini hanyalah persepsi mereka yang tidak suka membaca dan dengki terhadap rakannya or orang yang membaca sebab sebagaimana yang saya katakan “manusia jahil atau bodoh terhadap yang yang dia tidak tahu”.


KESIMPULAN

Sebenarnya tidak timbul persoalan membaca tanpa guru ibarat belajar dengan syaitan. Bagi saya itu hanyalah persepsi dan alasan bagi mereka yang malas membaca. Kalau diteliti dengan lebih mendalam sebenarnya terlalu banyak faedah yang dapat diperoleh hasil daripada pembacaan kita yang banyak seperti membentuk gaya berfikir, critical thinking, lebih berlapang dada, luas pemandangan, lebih bersikap matang, tingkatkan kemahiran problem solving dan lain-lain. Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sudah tentu tidak akan sama.

-Hamba yang dhoif @ Tengku Ibrahim-



[1] Surah al-‘Alaq ayat 1
[2] Surah al-Mujadalah ayat 11
[3] Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn „Abd al-Bar dalam Jami‟ Bayan al-Ilm wa Fadhluh 1/7. Hadith ini hukumnya hasan dengan jumlah jalan dan syawahidnya. Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (2007), Himpunan Hadith Modal Insan, Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn. Bhd., hal. 55.
[4] Lihat al Quran, al-Ra'du : 11. Ayat ini ditafsirkan dalam dua keadaan. Tafsiran terhadap ayat ini bahawa manusia perlu terlebih dahulu melakukan sesuatu yang baik agar Allah s.w.t. turut memberikan nasib yang baik kepadanya. Ibn Kathir (2007), Tafsir al-„Azim, al-Qaherah al- Manșûrah : Dar al-Ghad al-Gadīd, hal. 664. Namun ada juga tafsiran yang menyatakan bahawa Allah s.w.t. telahpun memberikan nasib dan keadaan yang baik kepada sesuatu kaum. Selagi kaum itu tidak melakukan sesuatu yang merugikan, maka keadaan/nasib yang baik itu akan kekal dalam keadaan baik. Wahbah Zuhaily, Tafsir al-Munir, Juz 13, Beirut Lebanon : Dar al-Fikr hal. 124 dan 127.
[5] Surah al-Fatir ayat 27-28.

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site