Monday, March 04, 2013

Sekularisme | Assignment Untuk Subjek P.Islam (Bhg 2)

Posted by Tengku Ibrahim on 1:45:00 AM

Definisi Sekularisme

      Istilah ‘sekularisme’ mula diperkenalkan oleh seorang penulis bernama George Holyoake pada tahun 1846 di United Kingdom.[1] Dalam mencari definisi yang tepat tentang makna sebenar sekularisme, saya telah memilih untuk melihat pengertian yang diberikan oleh Barat sendiri tentang makna sekularisme. Untuk itu, saya telah merujuk kepada kamus  ‘World English Dictionary’.  Kamus tersebut telah mendefinisikan sekularisme kepada beberapa pengertian, iaitu[2]

  1. Satu falsafah yang menolak semua agama dalam masyarakat.
  2. Satu pemikiran (sikap) yang berpegang bahawa agama tiada tempat dalam kehidupan bermasyarakat.
  3. Satu keadaan untuk menjadi sekular.
  4. Sistem politik atau falsafah sosial yang menolak semua bentuk kepercayaan dan agama.
  5. Berpendapat bahawa pendidikan awam dan perkara dasar lain mesti dijalankan tanpa pengenalan kepada elemen atau unsur keagamaan.

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada pengertian di atas maka dapat disimpulkan bahawa  Barat mendefinisikan sekularisme adalah satu pemisahan antara unsur-unsur agama dengan kehidupan, sama ada daripada segi masyarakat, politik, pendidikan dan lain-lain.

Menurut Syed Muhammad Naquid al attas[3], perkataan sekular berasal daripada bahasa Latin, ‘saeculum’ yang memberi makna (merujuk) kepada masa dan tempat. Masa merujuk kepada masa (kehidupan) sekarang, manakala tempat merujuk kepada dunia atau duniawi (kehidupan nyata).[4]

Yang Berhormat Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang[5]  menyebut  tentang sekularisme, bahawa terjemahannya dalam bahasa Arab ialah ‘al ilmaniyyah’. Orang Arab yang beragama Kristian cuba mengelirukan umat Islam dengan mendakwa kononnya ia daripada perkataan ilmu. Terjemahan yang sebenar  ‘al ilmaniyyah’ ialah duniawi. Alasannya, ajaran ini didakwa bersumberkan ilmu dunia yang memberi kemajuan kepada manusia.[6]

Syeikh Dr. Safar bin Abdurrahman al Hawali[7] pula mengatakan bahawa lafaz ‘ilmaniyyah’ merupakan terjemahan daripada kalimah ‘secularism’ di dalam bahasa Inggeris atau ‘secularite’ di dalam bahasa Parsi. Dan kalimah ini tiada hubungannya dengan lafaz dan pecahan perkataan ‘ilm’ secara mutlak.  Lafaz ‘ilm’ di dalam bahasa Inggeris dan Parsi pula bermakna ‘science’ dan mazhab al-ilmi menamakannya (menggelarkan) ‘scientism’ sebagai nisbah kepada ‘ilm’ iaitu ‘scientific’ atau ‘scientifique’ dalam bahasa Parsi. Dan terjemahannya yang sahih di dalam perkataan ialah ‘ al ladiniyyah ‘ atau  ‘adduniawiyah’.[8]

(Gambar di atas ialah Syeikh Dr. Safar bin Abdurrahman al Hawali ) 

Dr. Ugi Suharto[9] mengatakan di dalam penulisan beliau bahawa  apabila istilah sekularisme  di terjemahkan ke dalam bahasa Arab, telah mendapat perhatian yang khusus daripada dua orang tokoh di dalam Islam iaitu  Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al Attas  dan Prof. Dr. Yusuf al Qaradawi. Di kalangan orang Arab sendiri  ada yang menterjemahkan sekularisme sebagai 'ilmaniyyah, iaitu dari akar kata al-'ilm (ilmu) yang mendapat akhiran 'alif' dan 'nun' serta ‘ ya’ yang menunjukkan sifat kepada ilmu, seperti pada perkataan ruh yang menjadi ruhaniyyah atau rabb yang menjadi rabbaniyyah, maka 'ilm menjadi 'ilmaniyyah. Sebagian yang lain menterjemahkannya sebagai  'almaniyyah yang berasal dari kata al-'alam (dunia), meskipun  daripada  akar kata ini lebih tepat menjadi  kata 'alamaniyyah, namun yang umum digunakan ialah istilah 'almaniyyah.  Al Qaradawi lebih cenderung kepada 'ilmaniyyah, sedangkan al Attas lebih kepada 'almaniyyah. Perbezaan ini menunjukkan bahawa istilah sekularisme yang cuba diterjemahkan ke dalam bahasa Arab memang tiada pegangannya di dalam Islam.[10]

(Gambar di atas merupakan Prof. Dr. Yusuf al Qaradawi - seorang ulamak kontemporari)

Prof. Dr. Yusuf al Qaradawi di dalam kitabnya “ al islam wa al ‘ilmaniah wajhan li wajhin (1987)” telah  menterjemahkan sekularisme sebagai  ‘ilmaniyyah adalah bukan saja satu terjemahan yang tidak teliti (ghayru daqiqah), tetapi juga satu terjemahan yang tidak betul  (ghayru sahihah), kerana perkataan  sekularisme itu tiada kaitan langsung dengan lafaz al-’ilm (ilmu). Mereka yang menterjemahkannya tidak memahami perkataan al-din dan al-’ilm melainkan hanya dengan  ide Barat Kristian, yang memang bagi orang Barat (al-insan al-gharbi) agama dan ilmu mereka itu adalah saling bertentangan. Beliau menyimpulkan bahawa menterjemahkan sekularisme dengan  ‘ilmaniyyah dan mengaitkannya dengan ilmu adalah suatu usaha untuk menjadikannya satu makna dengan istilah ‘ilmiyyah kerana, menurut beliau, penipuan tersebut patut dinyatakan (dijelaskan).[11] Beliau menambah lagi bahawa pengertian sekularisme itu sinonim dengan konsep alladiniyyah (tidak ada agama) atau al duniawiyah (dunia tiada hubungan dengan agama).[12]

( Gambar di atas merupakan terjemahan buku : Islam and Secularisme)

Bersambung.......



[1] Awg Abu Zar Abdullah & Mohd Hilmy Baihaqy Yussof. Sekularisme Mendasari Tamadun Barat;Penilaian Pendidikan Islam. (http://www.slideshare.net/dr2200s/sekularisme). 26 Disember 2012.

[2] World English Dictionary. (http://dictionary.reference.com/browse/secularism). 26 Disember 2012.

[3] Syed Muhammad al-Naquib bin Ali bin Abdullah bin Muhsin al-Attas (Bogor, 5 September 1931) adalah seorang Cendekiawan Muslim , ahli falsafah Muslim dan Tokoh Melayu Terbilang 2011.Kini beliau menetap di Malaysia. Beliau menguasai ilmu teologi, falsafah, metafizik, sejarah, dan kesusasteraan. Beliau juga menulis berbagai buku dalam bidang pemikiran dan peradaban Islam, khususnya tentang sufisme, kosmologi, falsafah, dan Kesusasteraan Melayu Malaysia. (http://ms.wikipedia.org/wiki/Syed_Muhammad_Naquib_al-Attas). 2 Mac 2013.

[4] Syed Muhammad Naquib al-Attas. 1993. Islam and Secularism. Cet.2. INTERNATIONAL INSTITUTE OF ISLAMIC THOUGHT CIVILIZATION (ISTAC). Hal.16.

[5] Yang Berhormat Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah lahir pada 20 Oktober 1947 dan merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia. Melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah dengan biasiswa dari Kerajaan Arab Saudi dari tahun 1969 - 1973, tamat dengan B.A. (Syariah). Melanjutkan pelajaran ke Universiti al Azhar ke peringkat M.A. (Siasah Syariyyah) dan berjaya menamatkannya hanya dalam masa 2 tahun (1974 - 1975). (http://ms.wikipedia.org/wiki/Abdul_Hadi_bin_Awang). 2 Mac 2013.

[6] Abdul Hadi Awang. Sejarah Kemunculan Sekularisme. (http://mazhab.sementoji.net/v1/?p=57).  16 Disember 2012.

[7] Syeikh Dr. Safar al Hawali atau nama penuhnya Safar bin Abdul Rahman al Hawali lahir pada tahun 1950. Beliau menerima PhD daripada Universiti Ummul Qura’ dalam bidang Usuluddin pada tahun 1986. (http://en.wikipedia.org/wiki/Safar_Al-Hawali). 2 Mac 2013.

[8] Syeikh Dr. Safar bin Abdurrahman al Hawali.  al-’ilmaniah wa asaruha fi hayati al islamiyyah. Dar al Hijrah. Hal.21.

[9] Dr. Ugi Suharto, salah seorang peneliti INSISTS, mendapat tugas baru sebagai staf pengajar Islamic Economics di The Markfield Institute of Higher Education (MIHE), Leicester shire. Sebelum pindah ke MIHE,  Dr. Ugi mengajar di University College of Bahrain dan IIUM Malaysia. (http://inpasonline.com/new/drugi-suharto-mengajar-di-inggris/). 2 Mac 2013.

[10] Dr. Ugi Suharto,Istilah Sekularisme menurut al Attas dan al Qaradawi. Institut Pemikiran & Peradaban Islam (InPas online). (http://www.inpasonline.com/index.php?option=com_content&task=view&id=38&Itemid=99). 18 Disember 2012.

[11] Ibid

[12] Dr. Ugi Suharto. al Attas dan al Qardhawy : Tentang Islam dan Sekularisme. (http://www.khairaummah.com/v3/?p=1465). 18 Disember 2012.

0 comments:

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site