• PIMPINAN 10-11

    Bersama Menerajui Perubahan

  • Bergambar Bersama Penceramah

    Semasa menjadi fasilitator Mukhayyam Syakhsiah Muslim Anjuran Badan Dakwah dan Ibadah SMA al-ittifaQiah Guai,Pahang

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI

    Saat terakhir bergambar bersama-sama

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI

    Saat terakhir bergambar bersama-sama

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI 2007

    Bergambar bersama ahli-ahli kumpulan semasa berkayak di laut...Hidup Gacrux!!!

Wednesday, October 21, 2015

Beberapa kaedah untuk membaca dan mengulang al-Quran.

Posted by Tengku Ibrahim on 1:21:00 PM

Beberapa kaedah untuk membaca dan mengulang al-Quran.

اقرَؤوا القرآنَ ؛ فإنَّهُ يأتي يومَ القيامةِ شَفيعًا لأصحابِهِ

"Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan sebagai syafaat kepada ashabnya (pembaca) pada hari kiamat"

Saya terpanggil untuk berkongsi beberapa kaedah atau cara; sama ada mengulang al-Quran atau membacanya. Saya teringat suatu ketika dahulu, di Darul Quran, sejujurnya saya bukanlah orang yang baik dalam murajaah al-Quran. Sering kali saya didenda oleh guru tasmi', hanya kerana tidak cukup murajaah sebagaimana yang diminta (setengah juzu' sehari atau lebih). Kadang-kadang tidak cukup 1 muka sahaja, tapi denda tetap denda; maka berdirilah saya diluar sehinggalah saya cukupkan sebagaimana yang diminta atau  berdirilah saya sehingga tamat kelas. Biasanya seusai kelas, ustaz kami akan menasihati kami (golongan yang malang) secara personal, dengan memberi perumpamaan, apa tugas seorang penghafaz al-Quran, cara murajaah dan lain-lain. Ustaz menyebut, bagi penghafaz al-Quran murajaah (mengulang al-Quran) lebih penting daripada menghafaz. Kata ustaz, "Apalah gunanya menghafal al-Quran sekiranya tidak ingat?". Saya bertanya kepadanya, "Ustaz, saya sudah murajaah, baca berulang-ulang kali, tapi masih tidak ingat. Bila saya baca yang ini, saya lupa yang itu." Dengan mudah, ustaz menjawab, "Itu tandanya masih belum ingat. Kadang-kadang kita baca, kita rasa dah ingat tapi sebenarnya kita tidak ingat pun lagi. Kalau baca 10 kali tidak ingat, baca 20 kali, kalau baca 20 kali tidak ingat, baca 30 kali, kalau baca 30 kali pun tidak ingat, baca 100 kali. Ulang secara berperingkat-ringkat, jangan gopoh". Seorang sahabatku yang lain, pernah bertanya, "Ustaz mengulang sehari berapa juzuk?". Jawabnya, "Ana mengulang 10 juzuk sehari". Kami semua tercengang. "Bagaimana ustaz membahagikan masa sehingga dapat membaca sampai 10 juzuk sehari", salah seorang daripada kami bertanya. "Bacalah, dimana-mana pun. Semasa berjalan, di dalam kereta, ketika sedang duduk berehat,sambil-sambil membaca", jawabnya. Beliau menambah, "Ana dulu pun macam entum semua juga, mula sikit-sikit".

Saya tidak berhajat mahu panjangkan kenangan kami, bersama guru tasmi' kami; kerana Demi Allah, dahulu kami tidak rasa (semasa di DQ) ianya penting, tapi selepas takharruj barulah kami bersyukur dan faham kenapa ustaz buat begitu.

Dalam mengulang al-Quran atau membacanya ada beberapa cara yang boleh kita amalkan; cuma yang penting mesti konsisten walaupun sedikit.

(1) Mengulang 10 juzuk sehari. Jadi dalam masa 3 hari kita sudah khatam al-Quran. Saya tidak tahu bagaimana, mahu membahagikannya, cumanya saya rasa tahap ini memerlukan kelancaran anda, ibaratnya al-Quran itu sudah seperti al-Fatihah.

(2) Mengulang 5 juzuk sehari. Bagi memudahkan pembahagiannya. Saya teringat seorang sahabat pernah menceritakan bahawa Imam Besar Masjid Muar (maaf saya lupa namanya) akan mengulang setiap kali lepas solat 1 juzuk. 5 waktu solat fardhu = 5 juzuk; menjadikan 6 hari khatam al-Quran.

(3) Mengulang 3 juzuk sehari. Dalam masa 10 hari khatam al-Quran. Inilah yang paling lemah bagi seorang penghafaz al-Quran (sepatutnya). Mungkin boleh  membaca 2 juzuk pada waktu pagi, sebelum atau selepas subuh dan 1 juzuk pada waktu petang selepas asar atau malam.

(4) Membaca 1 juzuk satu hari. Satu juzuk lebih kurang 20 m/s. Sekiranya susah atau rasa banyak baca sekaligus, boleh bahagikan kepada 5 kali (baca) selepas setiap solat fardhu. Menjadikan setiap kali selepas solat, hanya 4 m/s = 1 juzuk. Dalam masa sebulan akan khatam sekali.

(5) Membaca sekurang-kurangnya 1 m/s sehari. Inilah (pada saya) paling lemah (sekurang-kurangnya) buat mereka yang bukan penghafaz al-Quran, lebih-lebih lagi golongan agamawan. Rancanglah masa sebaiknya, paling kurang kita dapat baca semuka daripada al-Quran, yang mana hanya mengambil masa (paling lama) 10 minit sahaja.

(6) Jika tidak dapat juga membaca sekurang-kurangnya 1 m/s sehari, bacalah al-Quran walaupun hanya setengah muka surat. Kerana apa? Sangat rugi bagi seorang Muslim, apabila berlalunya hari tersebut tidak sedikit pun membaca ayat-ayat Allah. Al-Quran adalah mukjizat terbesar nabi kita; Muhammad saw. Ambil lah sedikit masa kita, untuk tidur, makan, bermain, main hanset dan lain-lain; bukannya lama pun hanya lebih kurang dalam 5-10 minit untuk kita baca dan tadabburi ayat-ayat Allah.

#Moga bermanfaat

Wallahua'lam.

23:14PM
Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad,
Madinah al-Munawwarah.

Tuesday, October 20, 2015

Kuatnya Ingatan Imam al-Bukhari.

Posted by Tengku Ibrahim on 1:17:00 PM

Kuatnya ingatan Imam al-Bukhari.

Satu hari Syeikh Ahmad at-Tuwaijiri (أحمد بن حمود محمد التويجري), merupakan syeikh tauhid kami, bercerita tentang Imam Bukhari. Menurut beliau, telah tersebar kehebatan Imam al-Bukhari dalam hadis sehinggalah ke Baghdad. Justeru, Imam al-Bukhari hendak dipanggil supaya mengajar di Baghdad. Menjadi kebiasaan disana, orang alim tersebut (akan diuji) untuk memastikan keilmuannya (adakah benar-benar layak untuk mengajar).

Imam al-Bukhari pun datang ke Baghdad. Telah datang kepadanya 10 orang yang hendak bertanya soalan (namun sebenarnya mereka hendak menguji).  Salah seorang daripada mereka memulakan, bertanya kepada Imam al-Bukhari tentang hadis; menyebut 10 riwayat hadis yang telah bercampur-campur sanadnya. Imam al-Bukhari diam, kemudian berkata, "Baiklah, lepas ini saya akan jawab". Kemudian, bertanya pula kepada orang kedua, apa soalannya. Orang kedua pun, memberikan soalan tentang hadis, dengan menyebut 10 riwayat yang telah bercampur-campur sanadnya. Imam al-Bukhari memberikan jawapan yang sama iaitu beliau akan menjawab selepas ini (maka selepas mendengar soalan daripada orang ke-2, tahulah bahawa beliau sedang diuji) dan terus bertanya kepada orang ketiga apakah soalannya. Begitulah seterusnya, sehinggalah kepada orang yang kesepuluh. Mereka kesemuanya mengajukan soalan yang sama iaitu tentang hadis dengan menyatakan 10 riwayat (hadis) dengan sanad yang telah bercampur (salah) antara satu sama lain; menjadikan kesemua soalan yang terkumpul 100 riwayat hadis yang telah bercampur-campur sanadnya (salah).

Selesai mendengar soalan daripada orang yang ke-10. Imam al-Bukhari kembali kepada orang yang pertama (untuk menjawab). Imam al-Bukhari berkata (menjawab) dengan menyebut semula kesemua 10 riwayat yang bercampur-campur itu, " Sesungguhnya engkau telah mengatakan bahawa hadis ini daripada si fulan, kepada si fulan, kepada si fulan.... tidaklah aku tahu tentangnya, yang aku tahu hadis ini daripada si fulan, si fulan...." dan kemudian menyebut 10 riwayat (hadis) melalui sanad yang betul. Begitulah juga kepada orang yang kedua, ketiga sehinggalah kesepuluh.

Maknanya, Imam al-Bukhari menyebut 100 riwayat yang salah (sebagaimana yang telah disoal) kemudian membetulkannya semula dengan menyebut kesemua 100 riwayat tersebut dengan sanad yang betul (tidak bercampur). Subhanallah, ingatan Imam al-Bukhari sangat kuat, beliau mampu menghafaz secara kamil (sempurna) walaupun pertama kali mendengarnya (riwayat yang salah tadi). Itulah kelebihan Imam al-Bukhari.

Dan sehingga kini, Imam al-Bukhari sangat dikenali dalam kalangan kita, lebih-lebih lagi kitab sahihnya; yang menjadi antara rujukkan selepas al-Quran. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan menerima segala amalnya.

Teringat saya akan satu hadis nabi SAW :

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

Maksudnya : "Barangsiapa yang Allah taala mengkehendaki dengannya kebaikkan, maka Allah taala akan faqihkannya di dalam agama"

P/s : Kisah ini telah diolah mengikut gaya bahasa saya sendiri, supaya para pembaca lebih faham akan maksud yang ingin disampaikan.

Wallahua'lam.

3:07PM
Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad
Madinah al-Munawwarah

Monday, October 19, 2015

Di Manakah Rojih ?

Posted by Tengku Ibrahim on 1:39:00 PM

Di manakah rojih?

Baru-baru ini, ketika dalam pembelajaran fiqh, seorang pelajar bertanya kepada Syeikh Abdullah Abal Khayl mengenai, dalam banyak-banyak pandangan dan pendapat ini, yang mana satu rojih (paling kuat). Syeikh diam seketika.

Kemudian, syeikh menyebut, "di sisi aku tiada yang rojih, aku hanya menyampaikan aqwal" . Pelajar itu bertanya, "Kenapa?". Syeikh menjawab, "Apakah sebenarnya ta'rif rojih tersebut?". Maka, ada dalam kalangan kami yang menjawab, yang rojih ialah bila mana bertepatan dengan al-quran dan as-sunnah; tidak kurang juga yang memberikan jawapan yang berbeza.. begitu dan begini....

Syeikh tersenyum dan berkata, "Lihat di antara kamu pun, ada yang berbeza tentang makna rojih tersebut, maka bagaimankah aku mahu memberitahu kamu yang mana rojih." Kemudian, beliau meneruskan lagi dengan berkata bahawa, "Perhatikan. Kalaulah aku misalnya merojihkan qaul (pendapat) ini; pendapat pertama. Kemudian, datang syeikh al-quran menyebut yang rojih pendapat kedua. Kemudian, datang pula syeikh hadis menyebut, bahawa yang rojih adalah pendapat ketiga. Jadi, apakah itu rojih?". Kami semua terdiam.

Syeikh menyambung lagi. "Kita pada hari ini sangat disibukkan dengan rojih ini; sama ada kita mubtadiin (beginner), pelajar maahad, orang yang baru belajar agama. Semuanya sibuk duduk mencari dan merojihkan qaul. Apabila kita sibuk, mencari dan merojihkan qaul; kesannya pada orang yang baru masuk Islam dan dakwah (syeikh membuat perumpamaan). Contohnya, orang tersebut baru masuk islam semalam, hari ini dia mahu solat. Jadi dia solat. Kemudian, datang seseorang berkata kepadanya, "Yang kamu buat ini salah, yang betulnya begini." Kemudian, datang sorang lagi berkata, "Tidak. Sepatutnya yang betulnya begini". Kemudian, datang sorang lagi pula, "Bukan, bukan. Sepatutnya sunnahnya begini. Yang kamu buat ini salah." Begitulah keadaannya. Dan inilah yang sebenarnya berlaku".

Kemudian, syeikh berkata, "Aku tidak marah kepada yang bertanya, kerana aku tahu sebenarnya inilah yang berlaku kepada kamu semua. Sebenarnya, bertanya yang rojih itu tidak salah. Tetapi rojih siapakah yang kamu mahu tahu. Soalan yang berbeza, sekiranya kamu bertanya, apakah yang rojih disisi imam mazhab, atau ibn rusy dan lain-lain. Berbeza pula kalau sekiranya kamu bertanya, syeikh qaul manakah yang rojih? Kerana makna soalan ini, seolah-olah kamu mengkehendaki qaul yang rojih disisi aku sendri. Siapalah aku kalau hendak dibandingkan dengan Imam-imam yang besar. Aku, Abdullah Khayl hanyalah orang yang kecil (terlalu jauh hendak dibandingkan dengan mereka). Kalaulah, sekiranya aku merojihkan mana-mana pendapat. Kemudian, kamu berpegang dengan pandangan aku itu (secara bersungguh-sungguh), kamu balik dan mengajar di negara kamu sebagaimana yang kamu pegang tersebut tanpa mengambil kira mazhab jumhur di negara kamu; siapalah aku hendak dibandingkan dengan Imam tersebut. "

Syeikh meneruskan lagi, "Kitab ini (Bidayatul Mujtahid wa nihayatul muqtasid), kalau kamu mahu tahu qaul rojih untuk mazhab, lihatlah aqwal setiap imam tersebut. Itulah yang rojih disisi mereka. Walaupun, sebenarnya  masih boleh dibahaskan lagi".

Beliau menyebut :

"Sekiranya, kamu semua mahu menjadi faqeh, maka belajarlah melalui toriqoh yang betul. Belajarlah, dan tekunilah melalui mazhab".

8:38PM
Tengku Ibrahim Helmi bin Tengku Mohammad,
Madinah al-Munawwarah

Tuesday, October 06, 2015

Amanah Penghafaz al-Quran

Posted by Tengku Ibrahim on 12:55:00 PM

Amanah Penghafaz al-Quran

Beberapa minggu yang lepas, sahabat saya (Umar Abdullah) seorang pelajar saudi menasihati dan mencadangkan cara-cara untuk murajaah al-Quran (kaedah yang dia amalkan).

Kelas kami pada hari tersebut habis awal. Justeru, ramai pelajar telah keluar ; ada yang menuju ke masjid dan tidak kurang juga yang terus menuju ke mat'am (dewan makan). Tetapi saya melihat, sahabat saya ini terus berada di tempatnya dan membaca al-Quran. Melihat keadaan itu, saya menuju kepadanya, memuji dan bertanya beberapa soalan (dalam nada bergurau).

Niat asal saya hanyalah untuk bergurau, tetapi terus dia ajukan pula soalan kepada saya. "Adakah kamu seorang hafiz al-Quran?". Saya menjawab, "Ya, saya hafiz al-Quran. Tetapi itu dahulu. Sekarang sudah banyak ayat-ayat yang saya lupa". Niat asal saya berkata begitu, konon-kononnya nak tawaduk (merendah diri) dan tidak mahu lagi dipanjangkan perbualan. Namun, lain pula yang terjadi. Dia terus menyebut, bahawa ini musibah. Dia bertanya lagi, kenapa hal ini boleh berlaku? Dan berapakah jumlah juzuk yang engkau baca sehari? Dan lain-lain.

Saya terus menjawab, "Aku sangat kurang murajaah dan hanya baca sekurang-kurangnya sejuzuk sehari". "Masa yang ada pada aku sangat sempit, sedangkan perkara yang hendak dibuat sangat banyak", sambungku lagi. Dengan tersenyum, dia berkata, " Adakah engkau tidur? Dan berapa jam dalam sehari?" "Sudah tentu", jawabku. Saya terus menambah selepas itu, dalam 4-6 jam. Beliau bertanya, " Adakah engkau tidur sebelum asar?" Jawabku lagi, "Ya".

Dia kata ini musibah. Banyak tidur melemahkan. Syeikh ibn Uthaimin hanya tidur selepas zohor sekejap dan tidak tidur pada waktu malam. Tetapi kita pada hari ini terlalu banyak tidur. Dia menyambung lagi, mahukah aku susunkan atau buatkan jadual untuk engkau murajaah al-Quran?

Terus dia mencadangkan. Pastikan kita khatamkan al-Quran seminggu sekali. Namun, jangan baca terlalu banyak pada tiap-tiap hari. Tetapi pilih beberapa hari dalam seminggu dan kita fokus hanya untuk baca al-Quran (atau lebihkan untuk baca al-Quran). Misalnya, ambil 3 hari daripada seminggu dan baca 10 juzuk sehari. Atau pilih satu hari ; contohnya Jumaat, dan baca 10 juzuk. Kamu boleh pilih hendak ke Masjid Nabawi ataupun tidak. Mula daripada lepas subuh sehingga solat Jumaat (menurut dia boleh dapat 10 juzuk) dan baca 4 juzuk sehari (2 juzuk selepas subuh dan dua juzuk selepas asar) pada baki hari-hari yang lain. Jadi, akan menjadi dalam 6 hari kita akan dapat khatamkan sekali. Ataupun bahagikan dua 10 juzuk (5:5) untuk Jumaat dan Sabtu dan 4 juzuk pada tiap-tiap hari lain. Dan pada waktu malam (maghrib hingga isyak) kita boleh mengikuti dars (pengajian) di Masjid Nabawi seperti biasa atau murajaah pelajaran.

*Nampak macam banyak. Namun sebenarnya, itulah tanggungjawab kita selaku orang yang memikul amanah ini.

Pepatah Arab ada menyebut :

من جد وجد ومن زرع حصد

"Barangsiapa yang berusaha, maka dia akan dapat dan barangsiapa yang menanam, maka dialah yang akan menuai hasilnya".

Wallahua'lam.

10:49 pm
Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad
Madinah al-Munawwarah

Sunday, October 04, 2015

Rukun-rukun Menuntut Ilmu

Posted by Tengku Ibrahim on 3:25:00 PM

Sebelum melelapkan mata, saya terpanggil untuk berkongsi sedikit pengisian yang saya dapat daripada syeikh kami (Syeikh Abal Khayl) di kelas pagi tadi, berkenaan ( أركان طلب العلم) rukun-rukun menuntut ilmu. Saya merasakan bahawa sangat penting untuk kita mengetahui tentang cara-cara dan bagaimana untuk kita menjadi penuntut ilmu yang baik.

Pertamanya, Syeikh telah membahagikan rukun-rukun menuntut ilmu kepada 5 rukun, iaitu

(1) Kehadiran pengajian (حضور الدروس) iaitu ada pengajian sama ada formal atau tidak formal.
(2) Hafazan  (الحفظ)
(3) Pembacaan (القراءة)
(4) Bahas (البحث)
(5) Perbincangan (المدارسة)

Pada perkongsian ini, saya akan lebihkan pada hanya beberapa rukun sahaja, dan tidak bermaksud rukun yang lain tidak penting tetapi sebab ruang dan masa yang terhad. Bagi rukun yang pertama (حضور الدروس), terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu

(1) Pengajian kelas yang khusus (berhajat)

Bagi bahagian ini terdapat dua perkara penting yang patut di titik beratkan iaitu mesti ada kitab yang disyarahkan yang mana pelajar berhajat kepadanya dalam pembinaan ilmu dan guru yang mensyarahkan kitab (ilmu) berkenaan, mesti pada waktu atau tempoh yang munasabah. Pengajian di Madinah sangat banyak merangkumi segala bidang ilmu. Dalam bahagian ini juga, para pelajar mesti tahu bahawa mereka berada pada level mana (permulaan, pertengahan atau tinggi) dan apakah kitab atau ilmu yang perlu diberi keutamaan terlebih dahulu atau yang berhajat. Contohnya, dalam ilmu nahu. Kebiasaannya, dimulakan dengan al-ajurrumiyah , kemudian qotrun nada, kemudian matan alfiah ibn Malik. Sekiranya kita masih permulaan (beginner) maka mesti mulakan dengan matan al-ajurrumiyah. Tetapi kalau kita telah melalui al-ajurrumiyah, maka level seterusnya yang patut kita utamakan adalah qotrun nada, dan begitulah seterusnya. Selain, mengetahui level kita, mencari guru yang mensyarahkan pada tempoh yang munasabah juga sangat penting. Contohnya, al-ajurrumiyah (2 bulan), qotrun nada (setahun) dan matan alfiah ibn Malik (2 tahun setengah). Hal ini kerana kita terlalu banyak lagi perkara yang hendak kita buat (sebagai pelajar), jadi belajar pada bukan tempoh yang sepatutnya sangat merugikan masa dan lain-lain. Misalnya, mempelajari  matan al-ajurrumiyah selama setahun, atau 5 tahun atau 10 tahun.

Selepas mengetahui apa yang kita hajatkan, maka penting untuk kita mencari dars atau pengajian bagi mempelajari ilmu berkenaan. Carilah daurah atau kelas-kelas di Masjid Nabawi atau mana-mana masjid. Sekiranya tidak ada, cari dan mintalah guru-guru atau syeikh yang boleh mengajar kita ilmu berkenaan; tidak terhad hanya kepada syeikh, boleh juga minta senior-senior di dirosah ulya (master atau phd) dan kalaulah sekiranya tidak ada juga maka bolehlah belajar melalui rakaman suara atau video. Dengan syarat, benar-benar menjadikannya seperti dars yang sebenar, bukannya dengar sebelum tidur atau sambil tidur atau sambil makan dan minum ataupun sambil main telefon. Tetapkan masa khusus.

(2) Menghadiri kelas dengan sebab untuk mendapatkan faedah yang mana tidak ada di masa lain.

Contohnya, menghadiri daurah yang hanya diadakan seminggu sekali atau sebulan sekali. Ataupun, menghadiri pengajian Syeikh yang sudah terlalu tua atau lama seperti Syeikh Muhsin Abad di Masjid Nabawi. Sepertimana, yang kita maklum syeikh mengajar Sahih Muslim. Sahih Muslim bukanlah kitab yang kita hajatkan lagi pada masa sekarang (untuk beginner) tapi kita hadirkan juga kerana atas sebab mahu dapatkan faedah daripanya, yang mana mungkin kita tidak lagi berpeluang pada masa yang lain.

(3) Kelas yang bukan kedua-dua di atas.

Contohnya, menghadiri kelas al-ajurrumiyah yang tidak masuk akal tempoh pengajiannya (setahun). Tetapi kita hadir, atas sebab mungkin untuk murajaah. Namun, keutamaan mesti lebih diberikan pada yang pertama dan kedua.

Sebelum berpindah kepada rukun yang seterusnya, iaitu hafazan. Ada beberapa perkara yang mesti seorang pelajar ambil perhatian.

(1) Seorang pelajar atau penuntut ilmu bukanlah dengan banyaknya pembacaan (buku yang pelbagai), bukanlah juga dengan banyaknya (memiliki) buku/kitab, bukanlah dengan banyaknya menghafaz tetapi tarkiz (fokus). Fokus pada satu-satu bidang atau apakah cabang ilmu yang kita mahu kuasai.

(2) Kita mestilah mengusai setiap asal (asas) dalam setiap cabang ilmu dengan sebaiknya.

(3) Pilih satu kitab (daripada setiap cabang) dan bacalah sebanyak sekurang-kurangnya 30 kali dan bukannya membaca sebanyak 30 kitab. (khusus untuk mubtadiin)

(4) Bacalah kitab yang sesuai dengan level kita. Dan tidak salah kalau kita mahu membeli dahulu kitab-kitab yang besar seperti majmu’, Fathul Bari dan lain-lain tetapi untuk dibaca mungkin 5 atau 10 tahun akan datang (misalnya). Kerana wajib untuk kita selesaikan terlebih dahulu yang sepatutnya atau yang lebih kita hajatkan.

(5) Hafal matan atau ilmu yang ada kaitan dengan pengajian yang kita hajatkan atau sedang lalui. Dan bukannya sedang menekuni matan al-ajurrumiyah tetapi hafal matan alfiah misalnya.

(6) Sebaik-baik hafalan yang patut diberi keutamaan adalah al-Quran. Satu aib dan kerugian yang besar bagi seseorang  yang takharruj Jamiah tetapi tidak menghafaz al-Quran kamilan (penuh). Bagi sesiapa yang belum menghafaz al-Quran, rancang dan planlah daripada sekarang. Juga bagi yang telah menghafaz, jadikan setiap surah dalam al-Quran seperti al-fatihah.

Sebagai seorang tolibul ilm juga perlu banyakkan bacaan. Pilih satu kitab (daripada setiap cabang ilmu atau takhasus kita) yang akan sentiasa kita tekuni. Bawa dimana-mana sahaja. Semasa makan, minum dan tidur. Sehingga mana kitab tersebut sebati dengan kita. Sangat penting juga untuk kita menguasai satu mazhab (yang kita pilih). Pilihlah satu kita mazhab, yang akan kita rujuk sentiasa dan focus lebih daripada yang lain.

Kita juga kena banyakkan membaca kitab yang lain. Contohnya dalam dua bulan sekali, buat kajian atau bahas. Pilih satu tajuk yang mahu kita bincangkan, misalnya, sujud sahwi sebelum salam atau selepas salam. Bincangkan dalam bahas tersebut. Bawakan pandangan yang pelbagai daripada mazhab-mazhab yang pelbagai. Dengan itu, barulah kita mengetahui bagaimanakan penulisan-penulisan kitab-kitab mazhab seperti Syafie, Hanbali dan  lain-lain.

Dan yang terakhir, adakan perbincangan atau study group sesama kita, pelajar. Ini sangat penting, kerana dalam study group inilah kita akan sama-sama munaqasyah dan lihat sejauh mana kefahaman kita. Serta masa inilah, kita akan saling bantu membantu. Boleh jadi kita rasa kita sudah faham, tetapi sebenarnya apa yang kita faham tidak sama dengan  yang dikehendaki atau salah. Justeru, sahabat (dalam study group) boleh betulkan.

P/s : Sekadar yang sempat dicatat dan berlaku penambahan dan pengurangan supaya lebih menyampaikan makna serta ayat diolah menurut kefahaman penulis.

Wallahua’lam.. Moga bermanfaat.

12:59 am
Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad,
Madinah al-Munawwarah

Wednesday, February 04, 2015

Kisah Thabit bin Qois r.a.

Posted by Tengku Ibrahim on 2:17:00 PM

Syeikh Muhammad bin Soleh al uthaimin membawakan satu kisah yang menarik ketika mana mensyarahkan (شهادة أن محمدا رسول الله). Satu kisah berkenaan Thabit bin Qois r.a. Sebelum turunnya ayat 2 daripada surah al Hujurat, dikatakan Thabit telah meninggikan suaranya di hadapan nabi saw.

(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ وَلَا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ أَنْ تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تَشْعُرُونَ)

Apabila turunnya ayat ini, dia terus berada di rumahnya menangis siang dan malam. Dipendekkan cerita. Berita itu sampai kepada Rasulullah saw. Maka Rasulullah saw berkata kepada sahabat yang lain untuk memanggilnya. Bertanyalah Rasulullah saw kepadanya : Apakah yg menyebabkan engkau menangis wahai Thabit? Jawab Thabit r.a. : Aku telah kuatkan suaraku (di hadapan nabi) dan aku takut ayat ini turun kepadaku kerana Allah swt berfirman :

(أَنْ تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تَشْعُرُونَ)

Maksudnya : Supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya

Maka nabi saw berkata kepadanya : Apakah tidak engkau redha hidup (dalam keadaan) terpuji, mati syahid dan masuk syurga?

Allahu Akbar. Setiap yang takut kepada Allah swt akan aman sebagaimana Thabit bin Qois r.a. telah berada di rumahnya kerana takutkan Allah azza wajal, maka Allah swt telah amankannya. Dan wajib ke atas kita untuk bersaksi bahawa Thabit bin Qois r.a. adalah daripada kalangan ahli syurga kerana nabi saw yang khabarkan akan hal itu. Disebutkan bahawa dia telah hidup sebagai seorang yang terpuji pada hayatnya dan telah mati syahid ketika peperangan memerangi Musailamah al kazzab, serta masuk syurga.

Dikisahkan juga satu kisah yang ganjil tentang Thabit bin Qois r.a. bahawa seorang tentera telah mengambil baju besi miliknya ketika itu dia telah mati (mayat) lalu menyembunyikannya kerana baju besinya sangat baik. Pada malamnya, seorang sahabat telah bermimpi akannya dan dia memberitahu bahawa ada orang telah mengambil baju besi miliknya, menyembunyikan dan meletakkan burmah di atasnya. Lalu sahabat tersebut telah memberitahu kepada Khalid bin al Walid r.a. dan Khalid telah menghantarnya ke tempat tersebut (sebagaimana yg telah diberitahu oleh Thabit di dalam mimpinya). Subhanallah. Baju besi tersebut memang berada di situ sebagaimana yang telah disebut oleh Thabit r.a. Bagaimanakah Thabit bin Qois r.a. boleh mengetahui sedangkan dia telah mati? Akan tetapi mimpi yang baik adalah satu juzuk dpd 46 juzuk kenabian.

Dan disebut juga bahawa tidak ada seorang pun yang berwasiat dgn wasiatnya setelah mati kecuali Thabit bin Qois r.a. Disampaikan wasiat tersebut kpd Abu Bakar r.a. dan Abu Bakar r.a. menunaikan wasiat tersebut.

Membaca kisah ini membuatkan aku berfikir sejenak, bagaimanakah kesudahan aku nanti? Sudah tentu dosaku lebih banyak, namun... Moga Allah taala ampunkan dosa-dosaku.
( اللهمّ أغفر لي ذنوبي و افتح لي أبواب رحمتك واجعلني من أهل الجنة )

22:27PM
Madinah al Munawwarah

P/s : Boleh juga rujuk Tafsir ibn Kathir tahzib wa tartib oleh Syeikh Solah al Khalidi (Jil 6 m/s  3053 -3055) dan juga Syarah al arba'in an nawawiyah oleh Syeikh Muhammad bin Soleh al uthaimin (m/s 45-46)

Friday, January 09, 2015

Tanda Cinta !

Posted by Tengku Ibrahim on 10:59:00 PM

Selepas pembukaan kota Makkah. Subhanallah.. Allah telah melapangkan hati-hati manusia dengan Islam dan mereka beramai-ramai telah memeluk agama Allah ini.

Hampir kesemua manusia telah memilih agama Allah kecuali sebahagian kabilah seperti kabilah Hawazin. Ketuanya Malik bin Auf telah melancarkan perang kepada Rasulullah saw. Dan pada 10 Syawal tahun 8H telah meletus peperangan antara 12 ribu tentera Muslimin dengan kabilah tersebut. Berakhir dengan kemenangan Islam. Seramai 4 orang telah syahid dan ketuanya memeluk Islam.

Pada tahun 9H difardhukan ke atas kaum Muslimin kewajipan haji. Dan pada 25 Zulkaedah tahun 10H Rasulullah saw telah berangkat meninggalkan bumi Madinah menuju ke Makkah al Mukarramah bagi menunaikan haji bersama para sahabat. Baginda saw dan para sahabat telah sampai di Makkah pada hari ke-4 bulan Zulhijjah tahun 10H.

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu."(5:3)

Pada akhir bulan Safar tahun 11H, telah kelihatan tanda-tanda sakit dan penat pada Rasulullah saw. Baginda mula sakit ketika di rumah Ummul Mukminin Maimunah binti al Haris r.a. Ketika sakit baginda mula tenat, berada di rumah Ummul Mukminin Aisyah r.a. dan telah wafat di sana pada 12 Rabiul Awal 11H. Jasad baginda telah disemadikan di rumah Ummul Mukminin Aisyah r.a.

Itulah detik paling mendukacitakan buat para sahabat. Sebahagian mereka tidak dapat menerimanya. Itulah tanda kecintaan mereka kepada kekasih mereka. Umar al Khattab bangun mengatakan "barangsiapa yang mengatakan bahawa Muhammad saw telah mati, akan aku pancung kepalanya. Rasulullah saw tidak mati, dan dia akan kembali" Umar tidak dapat menerima bahawa kekasih dan sahabatnya akan pergi meninggalkan dirinya buat selamanya.
Tetapi Abu Bakar as Siddiq masih tenang. Lantas beliau bangun membacakan firman Allah taala :

"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)."(3:144)

Kemudian beliau berkata : "Barangsiapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah mati dan barangsiapa yang menyembah Allah, maka Allah itu Maha Hidup dan tidak akan mati"

Berkata Abu Hurairah r.a. : Saat itu aku melihat lutut Umar r.a. rebah kerana beratnya, tidak mampu menahan hakikat bahawa sesungguhnya kekasihnya telah pergi buat selama-lamanya. Katanya : Tidak terlintas di fikiranku akan ayat tersebut melainkan selepas Abu Bakar membacanya.

Moga kisah ini memberi kekuatan yang baru buat kami untuk terus menjadi lebih baik ketika saat kami meninggalkan bumi Makkah pada hari ini untuk kembali ke Madinah al Munawwarah.
Sejauh mana cinta kita kepada baginda saw diterjemahkan dalam kehidupan kita.

Tanda cinta !

08.01.15 | 10:01am
Makkah al Mukarramah

Islam Agama Penyelamat

Posted by Tengku Ibrahim on 10:24:00 PM

"Barangsiapa yang masuk ke dalam rumah Abi Sufian maka dia akan aman, barangsiapa yang masuk ke dalam masjidil haram maka dia akan aman dan barangsiapa yang menutup pintu-pintu rumahnya maka dia akan aman"

Pada bulan Ramadhan tahun 8H, Rasulullah saw bersama dengan 10 ribu tentera Muslimin telah membuka semula kota Makkah. Tidak tergambar perasaan baginda dan para sahabat ketika itu. Kota Makkah dimasuki serta dibuka oleh tentera Muslimin tanpa sebarang pertumpahan darah.

Rasulullah saw memasuki kota Makkah dengan penuh tawadhuk.
Kaabah dahulunya dipenuhi oleh berhala-hala 360 buah kesemuanya disucikan. Siapa sangka perjanjian hudaibiah yg termenterai antara kaum Quraisy dan Muslimin pada bulan Zulkaedah tahun 6H, yang dilihat sangat tidak adil kepada Islam akhirnya membawa kepada kemenangan Islam yang besar. Subhanallah.. Itulah antara hikmah yang tersembunyi yang tidak kita nampak melainkan dengan keyakinan yang hakiki kepada janji Tuhan dan rasulNya.
Kini, dihadapanku Kaabah.

Seolah-olah terbayang di mataku, bagaimana saatnya Saidina Bilal r.a. diarahkan oleh baginda Rasulullah saw untuk memanjat di atas Kaabah dan kemudian melaungkan azan.

Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Mendengarlah seluruh kaum Quraisy dan mereka yang berada disitu satu seruan yang agung di atas tempat yang mulia oleh seorang lelaki berkulit hitam yang dahulunya mereka hinakan tetapi kini menjadi mulia kerana Islam. Salah seorang sahabat yang terbilang.

Islam ialah agama ummah, agama rahmat. Datang sebagai penyelamat kepada sekalian manusia, bukan sahaja di akhirat tetapi juga sejak di dunia lagi. Islam datang memusnahkan segala perkauman, meruntuhkan segala asobiyyah. Tidak ada yang di beza-bezakan sama ada warna kulit, bangsa, negara mahupun apa-apa. Tiada kemuliaan warna putih dengan hitam. Yang membezakan mereka hanyalah ketakwaan. Itulah semulia-mulia manusia, yang paling bertakwa.

Maka bersyukurlah wahai teman-teman dipilih oleh Tuhan untuk berada dalam agamaNya.

Maka bersyukurlah wahai teman-teman dipilih oleh Allah untuk berada di bumi utusanNya.

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

Masih mencari jawapan.
Di celah-celah kesibukan manusia.

Makkah al Mukarramah
07.01.15|10:12 am

Kembara ke Makkah | Satu Jawapan

Posted by Tengku Ibrahim on 9:31:00 PM

Jam telah menunjukkan 8.29 am. Bermakna hanya tinggal seminit sahaja lagi sebelum aku dibenarkan keluar daripada dewan peperiksaan, sekaligus menamatkan semester pada kali ini. Kali ini, fikiranku bukan exam yang diutamaan. Namun, aku mahu mencari satu jawapan. Jawapan yang tiba-tiba datang tanpa diundang. Aku merasa semakin jauh dengan Tuhan. Hah! Kenapa ? Sudah hampir setahun aku di sini, Madinatun Nabi. Tetapi mengapa sedemikian yang dirasa. Akhirnya, aku memilih Makkah destinasiku. Mencuba mencari jawapan dan ketenangan di celah-celah kesibukkan manusia.

Seusai solat Isyak, pengembaraan bermula. Bas Saptco pilihanku. Rupanya-rupanya sudah terlalu lama aku tidak ke Makkah bagi menunaikan umrah. Kali terakhir, ialah selepas musim haji. Aku memandang ke jendela. Merenung nasibku, saat-saat indah sewaktu awal-awal menjejaki kaki ke sini, bumi nabi. Takut, gembira, excited, tidak dapat digambarkan. Saat itu, " Aku mahu pergi ke Makkah tiap-tiap bulan ", kataku kepada seorang sahabat. "Aku tak mau tinggalkan dars di Haram". "Aku nak solat di Masjid Nabawi setiap hari".

Tapi sekarang ianya semakin hilang. Kalaupun tidak seluruhnya. Pudar. Daripada hitam kepada kelabu persis bulan yang semakin menghilang kerana terangnya mentari.

" Barangsiapa yg bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar. Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya "

Betapa banyak dugaan dan ujian yang telah kita lalui sehingga kadang-kadang sedikit demi sedikit kesusahan tersebut semakin kita lupakan. Kesusahan yang mana dahulunya kita menadah tangan memohon kepada Tuhan Ya Rabb, bantulah hambaMu ini.., Ya Rabb kasihanilah hambaMu ini..di saat tiada sesiapa pun disisi kita yang boleh membantu kita..

Namun sekarang...kesusahan tersebut semakin beransur pergi bersama Tuhan yang dahulunya kita merintih kepadaNya, memohon agar diberi belas kasihan..

Sungguh aku seorang manusia.
Moga aku bertemu dengan jawapan yang dicari.
Ya, dicelah-celah timbunan manusia.
Bumi barakah..


08:15 am
Universiti Islam Madinah

Sunday, August 24, 2014

BELAJAR DARIPADA FILEM

Posted by Tengku Ibrahim on 10:33:00 AM

“Terima kasih”
“Jangan ucapkan terima kasih, tetapi sebaliknya cari tiga orang kemudian bantu mereka, dan minta tiga orang tersebut bantu pula tiga orang yang lain”

Inilah di antara diolog di dalam sebuah filem Hindustan lakonan salman Khan, Jai Ho yang sangat menarik minat saya, selain filem ‘3 Idiots’ dan ‘Taare Zameen Par’ lakonan Amir khan. Membawa saya untuk berfikir, wujudkah filem sebegini di Malaysia, yang dikatakan negara Islam, pemimpinanya Islam. Dahulu mungkin kita pernah mendengar usaha-usaha untuk mengetengahkan sebuah filem berunsur Islamik sehingga lahirnya karya seperti ‘Syurga Cinta (2009)’‘Ustaz Mu Tunggu Aku Datang (2013)’ dan lain-lain. Banyak kritikannya namun ada manfaatnya, khususnya ke arah pembikinan filem yang lebih berfalsafah bukannya sampah. Tetapi kemudiannya sudah tidak kedengaran lagi. Sebaliknya lebih kepada lambakan filem-filem berunsur CINTA Islamik, seram, atau hantu, seolah-olah Islam ini hanyalah untuk cinta cintun dan menghalau hantu jembalang.

Kita juga jauh ketinggalan daripada jiran kita, Indonesia. Melalui pemerhatian saya yang terbatas ini, filem-filem Indonesia jauh lebih bermutu daripada Malaysia, bukan daripada segi lakonan, tetapi daripada segi isi atau mesej yang ingin di sampaikan. Contohnya, filem seperti, ‘Sang Murabbi KH Rahmat Abdullah (2008)’, ‘Perempuan Berkalung Sorban (2009)’ dan ‘Sang Pencerah Kiyai Ahmad Dahlan (2010)’. Tidak dinafikan terlalu banyak juga filem-filem yang berunsur khurafat, mengarut tetapi mereka ada juga filem yang membawa mesej yang baik, jika hendak dibandingkan dengan kita. Kalaulah ada pun, filem-filem arahan Allahyarham P.Ramlee, hitam putih tetapi beerti.

          Mungkin ada yang pelik dan bertanya, kenapa saya mahu berceloteh tentang filem. Jawapannya mudah sahaja, kerana filem menggambarkan identiti pemikiran sesebuah masyarakat. Filem-filem berunsur islamik, biografi tokoh kurang mendapat sambutan menyebabkan mereka takut mengambil risiko. Ini juga menandakan bahawa tahap intelek dan pendidikan Islam masyarakat  di negara kita berada dalam tahap yang sangat membimbangkan.  Saya rasa tidak perlulah saya huraikan lebih lanjut, mungkin pada penulisan akan datang.  

        Sudah lama tidak menulis, terlalu kekok rasanya. Ketika pendidikan bidang professional diberi penekanan, jangan kita lupa kepada pendidikan Islam. Sepatutnya, pendidikan Islam adalah pilihan bagi mereka yang benar-benar ikhlas mahu membantu ummat mengenali Islam bukannya sebagai pilihan kedua bagi mereka yang kecundang dalam persaingan pendidikan.  Buruk padahnya!

Kalaulah bukan kita yang berfikir mahu mengubah kepincangan yang ada, maka mahu dimulakan dengan siapa?

“Wahai saudara-saudaraku para guru sekalian, sesungguhnya kamu hari ini adalah jaminan keselamatan agama di bumi ini dengan jumlah kita yang melebihi 500 orang. Seandainya setiap seorang dari kalangan kamu mengajar tiga orang di rumah masing-masing, kita sudah boleh melahirkan 1500 orang yang memperoleh tarbiah Islam. Dengan jumlah itu, Allah swt akan memanjangkan umur Islam sekurang-kurangnya 50 tahun akan datang dan ia adalah usaha untuk satu atau dua generasi” 
(Suleyman Hilmi Tunahan)

Wednesday, October 30, 2013

Doa Makan | Betulkah apa yang kita amalkan..?

Posted by Tengku Ibrahim on 10:13:00 AM

Pendahuluan

Sebagai manusia biasa pasti setiap dari kita memerlukan makan dan minum bagi memenuhi fitrah kejadian manusia dan untuk penerusan hidup di dunia yang fana ini. Setiap yang hidup memerlukan makanan. Cuma jenis makanan dan cara makanan sahaja yang berbeza. Seorang muslim diajar mencari makanan yang baik-baik dan dipastikan halal dari segi kandungan dan cara mendapatkan makanan tersebut. Selain itu, sebagai seorang Muslim juga kita dituntut dan diajar oleh agama kita untuk berdoa kepada Allah sebelum makan atau sebelum memulakan apa-apa perkara yang baik.

Dalam penulisan saya yang ringkas pada kali ini, saya sekadar ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian mengenai doa makan yang sahih daripada nabi. Dan ini hanya sekadar pengetahuan dan langkah berjaga-jaga kerana saya bimbang  kita mengaitkan sesuatu pada nabi sedangkan ianya sebenarnya bukan daripada nabi. Walaupun pada dasarnya, doa tersebut tiada masalah dan ada makna yang baik. Namun kita harus berjaga-jaga kerana nabi pernah bersabda :

إن كذبا علي ليس ككذب أحدكم ، فمن كذب علي فليتبوأ مقعده من النار[1]

Maksudnya : “Sesungguhnya berdusta ke atasku tidak sama seperti berdusta ke atas orang lain, maka barangsiapa yang berdusta ke atasku maka sedialah tempat duduknya di dalam neraka.”

(Sekadar gambar hiasan)

Doa yang biasa kita dengar.

اللهم بارك لنا فيما رزقتنا ، وقنا عذاب النار ، بسم الله.[2]

Maksudnya : “ Ya Allah, engkau berkatilah apa yang telah berikan kepada kami rezeki kami dan jauhilah kami daripada api neraka, bismillah (Dengan nama Allah).”

Doa ini sangat masyhur terutamanya dalam kalangan masyarakat kita di Malaysia, dan seingat saya doa ini juga turut diajar kepada pelajar tadika, sekolah-sekolah sama ada rendah atau menengah. Dan sesungguhnya doa yang masyhur sebelum makan ini tidak sah daripada nabi saw, bahkan dhoif jiddan (sangat dhoif) walaupun terdapat sebahagian ulamak mengatakan makna doa ini baik. Abu Hatim mengatakan hadis ini munkar jiddan begitu juga dengan Bukhari.[3]

Doa makan yang sahih

1. Membaca Basmalah

Dari Hudzaifah r.a. katanya : “ Apabila kami makan bersama-sama Rasulullah saw kami belum mengulurkan tangan (mengambil makanan yang dihidangkan) sebelum Rasulullah memulakannya. Pada suatu hari, kami makan bersama-sama beliau tiba-tiba datang seorang gadis kecil. Seperti didorong dia menjangkaukan tangannyahendak mengambil makanan, tetapi segera ditangkap Rasulullah saw. Kemudia datang pula seorang Arab dusun, dia seperti didorong mengulurkan tangannya. Lalu ditangkap pula oleh Rasulullahsaw. Maka bersabda Rasulullah saw, “Hanya syaitan yang menghalalkan makanan tanpa menyebut nama Allah memakannya. Dia datang bersama gadis dan orang dusun ini, hendak turut makan bersama-sama mereka. Demi Allah yang jiwaku dalam kekuasaanNya. Sesungguhnya tangan syaitan itu ada di kedua tangan orang dusun  dan gadis itu.”(Sahih Muslim)[4]

2. Jika dia terlupa membaca ‘Bismillah’ sewaktu mula makan, hendaklah dia membaca :

بسم الله في أوله وآخره.
Maksudnya : “Dengan nama Allah pada permulaannya dan akhirnya”.[5]

3. Sesiapa yang diberi rezeki makanan oleh Allah, hendaklah dia membaca :

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ [6]
Maksudnya : “ Ya Allah, berilah kami berkat dengan makanan itu dan berilah makanan yang lebih baik daripadanya”.[7]

4. Sesiapa yang diberi rezeki minuman susu (laban) hendaklah dia membaca :

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ[8]
Maksudnya : “Ya Allah, berilah kami berkat dengan minuman itu dan berilah tambahan daripadanya”.[9]

(Sekadar gambar hiasan)

Kesimpulannya.

1. Dengan ini saya dapat simpulkan bahawa doa yang biasa kita amalkan bukan daripada nabi, dan jangan sekali-kali kita mengatakan doa berkenaan daripada nabi kerana bimbang kita tergolong dalam golongan yang berdusta atas nama nabi.

2. Doa yang sah daripada nabi saw ialah :

ü      بسم الله
ü      اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ
ü      اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ
3. Walaubagaimanapun, tidak salah kalau sekiranya kita mahu membaca doa yang biasa kita amalkan iaitu :

اللهم بارك لنا فيما رزقتنا ، وقنا عذاب النار ، بسم الله

Kerana makna doa tersebut baik namun jangan sekali-kali kita kaitkannya dengan Nabi Muhammad saw.

4. Alangkah lebih baik kalau sekiranya kita amalkan dahulu doa yang memang sah daripada nabi, kerana kita mengikuti sunnah baginda, dan sudah pasti ada hikmah disebalik doa terbabit yang tidak kita ketahui. Kemudian barulah kita susuli dengan doa yang biasa kita baca dan amalkan.

Wallahualam..sekadar perkongsian..

Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Undang-undang (Kepujian),
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).


(Gambar di atas : Penulis sedang menjamu selera dan bergambar bersama-sama sahabat di Mat'am Baiti al 'Arabi)





[1] Abdullah bin Muhammad bin Abi Syaibah. Musnaf. Kitab al adab. Fi ta’ammud al kazab ‘ala an Nabi. (http://library.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?flag=1&bk_no=10&ID=3617). 30 Oktober 2013.
حدثنا أبو بكر قال حدثنا الفضل بن دكين قال حدثنا سعيد بن عبيد عن علي بن ربيعة عن المغيرة بن شعبة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إن كذبا علي ليس ككذب أحدكم ، فمن كذب علي فليتبوأ مقعده من النار
[2] Multaqa ahli al hadis. (http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?t=115795). 30 Oktober 2013.
من طريق محمد بن أبي الزعيزعة عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه كان يقول في الطعام إذا قرب إليه :  اللهم بارك لنا فيما رزقتنا ، وقنا عذاب النار ، بسم الله.
[3] Ibid
[4] Terjemahan Hadith Shahih Muslim (2003). Ma‟mur Daud (terj.) J. 4. Singapore : Darel Fajr Publishing House. no : 1939. Hal. 87-88.
[5] Abu Daud 3/347. At Tirmizi 4/288. Lihat Sahih At Tirmizi 2/167. Sheikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al Qahthani (2009). Abdul Basit bin Abdul Rahman (terj.). C.6. Kelantan : Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan. Hal. 219-220.
[6] Multaqa ahli al hadis. (http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?t=115795). 30 Oktober 2013.
من طريق إسماعيل بن إبراهيم ثنا علي بن زيد عن عمر بن حرملة عن ابن عباس قَالَ دَخَلْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا وَخَالِدُ بْنُ الْوَلِيدِ عَلَى مَيْمُونَةَ فَجَاءَتْنَا بِإِنَاءٍ فِيهِ لَبَنٌ فَشَرِبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا عَلَى يَمِينِهِ وَخَالِدٌ عَلَى شِمَالِهِ فَقَالَ لِي الشَّرْبَةُ لَكَ فَإِنْ شِئْتَ آثَرْتَ بِهَا خَالِدًا فَقُلْتُ مَا كُنْتُ أُوثِرُ عَلَى سُؤْرِكَ أَحَدًا ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَطْعَمَهُ اللَّهُ الطَّعَامَ فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ وَمَنْ سَقَاهُ اللَّهُ لَبَنًا فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ وَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ شَيْءٌ يُجْزِئُ مَكَانَ الطَّعَامِ وَالشَّرَابِ غَيْرُ اللَّبَنِ.
Berkata Abu Isa, hadis ini hasan.

[7] Op.Cit.
[8] Op.Cit.
[9] Op.Cit.

Thursday, October 17, 2013

Membaca tanpa guru ibarat belajar dengan syaitan..?

Posted by Tengku Ibrahim on 9:57:00 AM

Membaca tanpa guru ibarat belajar dengan syaitan..?

PENDAHULUAN

Bismillah.. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan.[1] Dewasa ini, Alhamdulillah, saya melihat budaya ilmu semakin terserlah dalam kalangan pemuda pemudi sekalian dengan penganjuran budaya membaca, wacana, diskusi, ceramah dan lain-lain bak kata pepatah ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Hasil ledakan teknologi maklumat (iT), yang mana apa sahaja maklumat boleh dicari dengan hanya satu jari, merancakkan lagi budaya intelektual ini. Namun begitu, ada yang bersetuju dan suka dengan perkembangan ini serta tidak kurang pula yang memandang remeh, tidak suka, malah memperlekehkan lagi. Sehinggamana terungkaplah satu kata-kata yang sangat popular, saya kira iaitu, “membaca tanpa guru ibarat belajar dengan syaitan”. Saya pun tidak pasti bilakah ianya muncul serta saya pun tidak berniat untuk membahaskan asal usulnya sama ada sohih atau tidak. Tetapi yang saya ingin fokuskan pada penulisan saya pada kali ini ialah lebih kepada perlunya kita mengaplikasikan budaya membaca dalm kehidupan agar intelektualism itu hadir. Maka, saya berharap penulisan saya yang tidak seberapa ini dapat memberikan sedikit manfaat buat para pembaca di luar sana, sekaligus membuang persepsi buruk tentang perkembangan budaya membaca ini.

PERLUNYA KITA UNTUK MENUNTUT ILMU

Firman Allah taala yang bermaksud :

“Hai orang-orang beriman apabila kamu dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", Maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", Maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”[2]

Allah swt akan meninggikan darjat bagi orang-orang yang beriman serta orang-orang yang berilmu. Maka sudah tentu bahawa orang yang berilmu dan beriman akan lebih tinggi darjatnya.

Lebih tegas lagi, Islam mewajibkan bagi setiap orang muslim dan muslimat untuk menuntut ilmu, daripada Anas bin Malik r.a, sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Menuntut ilmu adalah fardhu atas setiap orang Islam, dan penuntut ilmu akan didoa keampunan oleh semua termasuk ikan-ikan di lautan.”[3]

Dengan kata lain, Islam mengajar bahawa Allah swt tidak akan mengubah nasib suatu kaum sampai kaum itu mengubahnya sendiri[4], dan antara cara untuk mengubahnya adalah dengan ilmu. Maka dalam kita hendak mendapatkan ilmu, terdapat pelbagai kaedah yang boleh diaplikasikan seperti berdampingan dengan guru, bertalaqqi bersama guru, membaca, berdiskusi, berbincang, muraja’ah, dan lain-lain. Dengan kata lain, pentingnya kita untuk menjadi ulamak iaitu orang yang berilmu (alim).

ULAMAK  TIDAK SEMESTINYA HANYA GOLONGAN AGAMAWAN

Ramai orang menganggap bahawa hanya golongan ulamak dalam erti kata agamawan sahaja yang takutkan Allah. Ianya betul tetapi kurang tepat. Apabila mereka membaca ayat 28 dalam surah Fatir, tidak terlintas dalam benak pemikiran mereka bahawa boleh jadi ulamak di sini, iaitu pada ayat yang bermaksud “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama” ialah saintis, ahli geografi yang mengkaji tentang bentuk bumi, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Hal ini kerana sekiranya kita merujuk kepada beberapa ayat sebelumnya ianya menceritakan tentang hujun yang turun daripada langit, daripadnya terhasilah buah-buahan yang beraneka jenis, gunung-ganang, binatang-binatang sebagaimana firmanNya :[5]

Maksudnya : “ Tidakkah kamu melihat bahwasanya Allah menurunkan hujan dari langit lalu kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat [27]. Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun [28].

Oleh itu, sekiranya kita melihat kepada konteks ayat maka ulamak yang dimaksudkan adalah lebih hampir kepada para saintis dan ahli-ahli yang mengkaji tentang bumi, tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang dan alam kerana kebanyakkan golongan agamawan tidak mengetahui perihal tentang warna-warna bumi, jenis-jenis buah, proses hujan dan sebagainya yang dikaji oleh mereka, ahli sains. Saintis yang mengkaji tentang hal-hal ini, kemudian dia beriman dengan Allah dengan sebab dia mengkaji Alam maka sudah tentu dia akan lebih takutkan kepada Allah. Dan ini juga turut tidak dinafikan kepada golongan agamawan yang mengkaji tentang sains dan Alam. Maka sudah tentu mereka lebih baik secara logiknya.

MEMBACA IBU SEGALA PENGETAHUAN

Reading is the mother of knowledge. Dengan membaca maka kita akan mengetahui. Manusia jahil terhadap apa yang dia tidak tahu. Budaya membaca sebenarnya adalah warisan turun temurun ulamak silam. Hal ini kerana disamping mereka bertalaqqi bersama guru, mereka juga tidak mengabaikan aspek budaya membaca. Malah, jika wujud kesamaran atau ketidak pastian semasa membaca, maka rujuklah pada mereka yang mengetahui. Persoalannya ialah sama ada kita mahu, atau tidak. Itu sahaja. Guru tidak bersama dengan kita 24 jam. Jadi, kalaulah perlukan guru untuk membaca, maka banyaklah buku-buku yang  kita tidak dapat baca dan hadam kerana perlukan guru semasa membaca. Ibaratnya, guru tidak ada kerja lain selain daripada menunggu kita dan mengajar kita selama 24 jam. Jadi solusinya, membaca adalah jalannya dalam mendapatkan ilmu. Apabila timbul kekeliruan bertanyalah kepada yang mengetahui.

SYAITAN LEBIH SUKA KALAU KITA TIDAK MEMBACA

Malah saya merasakan bahawa syaitan sebenarnya lebih suka kalau kita tidak membaca, bukannya membaca tanpa guru kerana dengan membaca kita akan mendapat pengetahuan (knowledge) dan ilmu baru berkaitan apa sahaja sama ada dalam agama dan lain-lain. Dan sedikit sebanyak akan menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah.
Kalaulah dengan membaca tanpa guru boleh menyebabkan orang tersesat, maka berapa ramai manusia telah sesat hanya kerana belajar dengan guru.? So, ini hanyalah persepsi mereka yang tidak suka membaca dan dengki terhadap rakannya or orang yang membaca sebab sebagaimana yang saya katakan “manusia jahil atau bodoh terhadap yang yang dia tidak tahu”.


KESIMPULAN

Sebenarnya tidak timbul persoalan membaca tanpa guru ibarat belajar dengan syaitan. Bagi saya itu hanyalah persepsi dan alasan bagi mereka yang malas membaca. Kalau diteliti dengan lebih mendalam sebenarnya terlalu banyak faedah yang dapat diperoleh hasil daripada pembacaan kita yang banyak seperti membentuk gaya berfikir, critical thinking, lebih berlapang dada, luas pemandangan, lebih bersikap matang, tingkatkan kemahiran problem solving dan lain-lain. Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sudah tentu tidak akan sama.

-Hamba yang dhoif @ Tengku Ibrahim-



[1] Surah al-‘Alaq ayat 1
[2] Surah al-Mujadalah ayat 11
[3] Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn „Abd al-Bar dalam Jami‟ Bayan al-Ilm wa Fadhluh 1/7. Hadith ini hukumnya hasan dengan jumlah jalan dan syawahidnya. Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (2007), Himpunan Hadith Modal Insan, Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn. Bhd., hal. 55.
[4] Lihat al Quran, al-Ra'du : 11. Ayat ini ditafsirkan dalam dua keadaan. Tafsiran terhadap ayat ini bahawa manusia perlu terlebih dahulu melakukan sesuatu yang baik agar Allah s.w.t. turut memberikan nasib yang baik kepadanya. Ibn Kathir (2007), Tafsir al-„Azim, al-Qaherah al- Manșûrah : Dar al-Ghad al-Gadīd, hal. 664. Namun ada juga tafsiran yang menyatakan bahawa Allah s.w.t. telahpun memberikan nasib dan keadaan yang baik kepada sesuatu kaum. Selagi kaum itu tidak melakukan sesuatu yang merugikan, maka keadaan/nasib yang baik itu akan kekal dalam keadaan baik. Wahbah Zuhaily, Tafsir al-Munir, Juz 13, Beirut Lebanon : Dar al-Fikr hal. 124 dan 127.
[5] Surah al-Fatir ayat 27-28.

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site