Tuesday, October 20, 2015

Kuatnya Ingatan Imam al-Bukhari.

Posted by Tengku Ibrahim on 1:17:00 PM

Kuatnya ingatan Imam al-Bukhari.

Satu hari Syeikh Ahmad at-Tuwaijiri (أحمد بن حمود محمد التويجري), merupakan syeikh tauhid kami, bercerita tentang Imam Bukhari. Menurut beliau, telah tersebar kehebatan Imam al-Bukhari dalam hadis sehinggalah ke Baghdad. Justeru, Imam al-Bukhari hendak dipanggil supaya mengajar di Baghdad. Menjadi kebiasaan disana, orang alim tersebut (akan diuji) untuk memastikan keilmuannya (adakah benar-benar layak untuk mengajar).

Imam al-Bukhari pun datang ke Baghdad. Telah datang kepadanya 10 orang yang hendak bertanya soalan (namun sebenarnya mereka hendak menguji).  Salah seorang daripada mereka memulakan, bertanya kepada Imam al-Bukhari tentang hadis; menyebut 10 riwayat hadis yang telah bercampur-campur sanadnya. Imam al-Bukhari diam, kemudian berkata, "Baiklah, lepas ini saya akan jawab". Kemudian, bertanya pula kepada orang kedua, apa soalannya. Orang kedua pun, memberikan soalan tentang hadis, dengan menyebut 10 riwayat yang telah bercampur-campur sanadnya. Imam al-Bukhari memberikan jawapan yang sama iaitu beliau akan menjawab selepas ini (maka selepas mendengar soalan daripada orang ke-2, tahulah bahawa beliau sedang diuji) dan terus bertanya kepada orang ketiga apakah soalannya. Begitulah seterusnya, sehinggalah kepada orang yang kesepuluh. Mereka kesemuanya mengajukan soalan yang sama iaitu tentang hadis dengan menyatakan 10 riwayat (hadis) dengan sanad yang telah bercampur (salah) antara satu sama lain; menjadikan kesemua soalan yang terkumpul 100 riwayat hadis yang telah bercampur-campur sanadnya (salah).

Selesai mendengar soalan daripada orang yang ke-10. Imam al-Bukhari kembali kepada orang yang pertama (untuk menjawab). Imam al-Bukhari berkata (menjawab) dengan menyebut semula kesemua 10 riwayat yang bercampur-campur itu, " Sesungguhnya engkau telah mengatakan bahawa hadis ini daripada si fulan, kepada si fulan, kepada si fulan.... tidaklah aku tahu tentangnya, yang aku tahu hadis ini daripada si fulan, si fulan...." dan kemudian menyebut 10 riwayat (hadis) melalui sanad yang betul. Begitulah juga kepada orang yang kedua, ketiga sehinggalah kesepuluh.

Maknanya, Imam al-Bukhari menyebut 100 riwayat yang salah (sebagaimana yang telah disoal) kemudian membetulkannya semula dengan menyebut kesemua 100 riwayat tersebut dengan sanad yang betul (tidak bercampur). Subhanallah, ingatan Imam al-Bukhari sangat kuat, beliau mampu menghafaz secara kamil (sempurna) walaupun pertama kali mendengarnya (riwayat yang salah tadi). Itulah kelebihan Imam al-Bukhari.

Dan sehingga kini, Imam al-Bukhari sangat dikenali dalam kalangan kita, lebih-lebih lagi kitab sahihnya; yang menjadi antara rujukkan selepas al-Quran. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan menerima segala amalnya.

Teringat saya akan satu hadis nabi SAW :

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

Maksudnya : "Barangsiapa yang Allah taala mengkehendaki dengannya kebaikkan, maka Allah taala akan faqihkannya di dalam agama"

P/s : Kisah ini telah diolah mengikut gaya bahasa saya sendiri, supaya para pembaca lebih faham akan maksud yang ingin disampaikan.

Wallahua'lam.

3:07PM
Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad
Madinah al-Munawwarah

0 comments:

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site