Tuesday, October 06, 2015

Amanah Penghafaz al-Quran

Posted by Tengku Ibrahim on 12:55:00 PM

Amanah Penghafaz al-Quran

Beberapa minggu yang lepas, sahabat saya (Umar Abdullah) seorang pelajar saudi menasihati dan mencadangkan cara-cara untuk murajaah al-Quran (kaedah yang dia amalkan).

Kelas kami pada hari tersebut habis awal. Justeru, ramai pelajar telah keluar ; ada yang menuju ke masjid dan tidak kurang juga yang terus menuju ke mat'am (dewan makan). Tetapi saya melihat, sahabat saya ini terus berada di tempatnya dan membaca al-Quran. Melihat keadaan itu, saya menuju kepadanya, memuji dan bertanya beberapa soalan (dalam nada bergurau).

Niat asal saya hanyalah untuk bergurau, tetapi terus dia ajukan pula soalan kepada saya. "Adakah kamu seorang hafiz al-Quran?". Saya menjawab, "Ya, saya hafiz al-Quran. Tetapi itu dahulu. Sekarang sudah banyak ayat-ayat yang saya lupa". Niat asal saya berkata begitu, konon-kononnya nak tawaduk (merendah diri) dan tidak mahu lagi dipanjangkan perbualan. Namun, lain pula yang terjadi. Dia terus menyebut, bahawa ini musibah. Dia bertanya lagi, kenapa hal ini boleh berlaku? Dan berapakah jumlah juzuk yang engkau baca sehari? Dan lain-lain.

Saya terus menjawab, "Aku sangat kurang murajaah dan hanya baca sekurang-kurangnya sejuzuk sehari". "Masa yang ada pada aku sangat sempit, sedangkan perkara yang hendak dibuat sangat banyak", sambungku lagi. Dengan tersenyum, dia berkata, " Adakah engkau tidur? Dan berapa jam dalam sehari?" "Sudah tentu", jawabku. Saya terus menambah selepas itu, dalam 4-6 jam. Beliau bertanya, " Adakah engkau tidur sebelum asar?" Jawabku lagi, "Ya".

Dia kata ini musibah. Banyak tidur melemahkan. Syeikh ibn Uthaimin hanya tidur selepas zohor sekejap dan tidak tidur pada waktu malam. Tetapi kita pada hari ini terlalu banyak tidur. Dia menyambung lagi, mahukah aku susunkan atau buatkan jadual untuk engkau murajaah al-Quran?

Terus dia mencadangkan. Pastikan kita khatamkan al-Quran seminggu sekali. Namun, jangan baca terlalu banyak pada tiap-tiap hari. Tetapi pilih beberapa hari dalam seminggu dan kita fokus hanya untuk baca al-Quran (atau lebihkan untuk baca al-Quran). Misalnya, ambil 3 hari daripada seminggu dan baca 10 juzuk sehari. Atau pilih satu hari ; contohnya Jumaat, dan baca 10 juzuk. Kamu boleh pilih hendak ke Masjid Nabawi ataupun tidak. Mula daripada lepas subuh sehingga solat Jumaat (menurut dia boleh dapat 10 juzuk) dan baca 4 juzuk sehari (2 juzuk selepas subuh dan dua juzuk selepas asar) pada baki hari-hari yang lain. Jadi, akan menjadi dalam 6 hari kita akan dapat khatamkan sekali. Ataupun bahagikan dua 10 juzuk (5:5) untuk Jumaat dan Sabtu dan 4 juzuk pada tiap-tiap hari lain. Dan pada waktu malam (maghrib hingga isyak) kita boleh mengikuti dars (pengajian) di Masjid Nabawi seperti biasa atau murajaah pelajaran.

*Nampak macam banyak. Namun sebenarnya, itulah tanggungjawab kita selaku orang yang memikul amanah ini.

Pepatah Arab ada menyebut :

من جد وجد ومن زرع حصد

"Barangsiapa yang berusaha, maka dia akan dapat dan barangsiapa yang menanam, maka dialah yang akan menuai hasilnya".

Wallahua'lam.

10:49 pm
Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad
Madinah al-Munawwarah

0 comments:

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site