• PIMPINAN 10-11

    Bersama Menerajui Perubahan

  • Bergambar Bersama Penceramah

    Semasa menjadi fasilitator Mukhayyam Syakhsiah Muslim Anjuran Badan Dakwah dan Ibadah SMA al-ittifaQiah Guai,Pahang

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI

    Saat terakhir bergambar bersama-sama

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI

    Saat terakhir bergambar bersama-sama

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI 2007

    Bergambar bersama ahli-ahli kumpulan semasa berkayak di laut...Hidup Gacrux!!!

Showing posts with label Feminisme. Show all posts
Showing posts with label Feminisme. Show all posts

Thursday, October 17, 2013

Membaca tanpa guru ibarat belajar dengan syaitan..?

Posted by Tengku Ibrahim on 9:57:00 AM

Membaca tanpa guru ibarat belajar dengan syaitan..?

PENDAHULUAN

Bismillah.. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan.[1] Dewasa ini, Alhamdulillah, saya melihat budaya ilmu semakin terserlah dalam kalangan pemuda pemudi sekalian dengan penganjuran budaya membaca, wacana, diskusi, ceramah dan lain-lain bak kata pepatah ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Hasil ledakan teknologi maklumat (iT), yang mana apa sahaja maklumat boleh dicari dengan hanya satu jari, merancakkan lagi budaya intelektual ini. Namun begitu, ada yang bersetuju dan suka dengan perkembangan ini serta tidak kurang pula yang memandang remeh, tidak suka, malah memperlekehkan lagi. Sehinggamana terungkaplah satu kata-kata yang sangat popular, saya kira iaitu, “membaca tanpa guru ibarat belajar dengan syaitan”. Saya pun tidak pasti bilakah ianya muncul serta saya pun tidak berniat untuk membahaskan asal usulnya sama ada sohih atau tidak. Tetapi yang saya ingin fokuskan pada penulisan saya pada kali ini ialah lebih kepada perlunya kita mengaplikasikan budaya membaca dalm kehidupan agar intelektualism itu hadir. Maka, saya berharap penulisan saya yang tidak seberapa ini dapat memberikan sedikit manfaat buat para pembaca di luar sana, sekaligus membuang persepsi buruk tentang perkembangan budaya membaca ini.

PERLUNYA KITA UNTUK MENUNTUT ILMU

Firman Allah taala yang bermaksud :

“Hai orang-orang beriman apabila kamu dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", Maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", Maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”[2]

Allah swt akan meninggikan darjat bagi orang-orang yang beriman serta orang-orang yang berilmu. Maka sudah tentu bahawa orang yang berilmu dan beriman akan lebih tinggi darjatnya.

Lebih tegas lagi, Islam mewajibkan bagi setiap orang muslim dan muslimat untuk menuntut ilmu, daripada Anas bin Malik r.a, sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Menuntut ilmu adalah fardhu atas setiap orang Islam, dan penuntut ilmu akan didoa keampunan oleh semua termasuk ikan-ikan di lautan.”[3]

Dengan kata lain, Islam mengajar bahawa Allah swt tidak akan mengubah nasib suatu kaum sampai kaum itu mengubahnya sendiri[4], dan antara cara untuk mengubahnya adalah dengan ilmu. Maka dalam kita hendak mendapatkan ilmu, terdapat pelbagai kaedah yang boleh diaplikasikan seperti berdampingan dengan guru, bertalaqqi bersama guru, membaca, berdiskusi, berbincang, muraja’ah, dan lain-lain. Dengan kata lain, pentingnya kita untuk menjadi ulamak iaitu orang yang berilmu (alim).

ULAMAK  TIDAK SEMESTINYA HANYA GOLONGAN AGAMAWAN

Ramai orang menganggap bahawa hanya golongan ulamak dalam erti kata agamawan sahaja yang takutkan Allah. Ianya betul tetapi kurang tepat. Apabila mereka membaca ayat 28 dalam surah Fatir, tidak terlintas dalam benak pemikiran mereka bahawa boleh jadi ulamak di sini, iaitu pada ayat yang bermaksud “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama” ialah saintis, ahli geografi yang mengkaji tentang bentuk bumi, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Hal ini kerana sekiranya kita merujuk kepada beberapa ayat sebelumnya ianya menceritakan tentang hujun yang turun daripada langit, daripadnya terhasilah buah-buahan yang beraneka jenis, gunung-ganang, binatang-binatang sebagaimana firmanNya :[5]

Maksudnya : “ Tidakkah kamu melihat bahwasanya Allah menurunkan hujan dari langit lalu kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat [27]. Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun [28].

Oleh itu, sekiranya kita melihat kepada konteks ayat maka ulamak yang dimaksudkan adalah lebih hampir kepada para saintis dan ahli-ahli yang mengkaji tentang bumi, tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang dan alam kerana kebanyakkan golongan agamawan tidak mengetahui perihal tentang warna-warna bumi, jenis-jenis buah, proses hujan dan sebagainya yang dikaji oleh mereka, ahli sains. Saintis yang mengkaji tentang hal-hal ini, kemudian dia beriman dengan Allah dengan sebab dia mengkaji Alam maka sudah tentu dia akan lebih takutkan kepada Allah. Dan ini juga turut tidak dinafikan kepada golongan agamawan yang mengkaji tentang sains dan Alam. Maka sudah tentu mereka lebih baik secara logiknya.

MEMBACA IBU SEGALA PENGETAHUAN

Reading is the mother of knowledge. Dengan membaca maka kita akan mengetahui. Manusia jahil terhadap apa yang dia tidak tahu. Budaya membaca sebenarnya adalah warisan turun temurun ulamak silam. Hal ini kerana disamping mereka bertalaqqi bersama guru, mereka juga tidak mengabaikan aspek budaya membaca. Malah, jika wujud kesamaran atau ketidak pastian semasa membaca, maka rujuklah pada mereka yang mengetahui. Persoalannya ialah sama ada kita mahu, atau tidak. Itu sahaja. Guru tidak bersama dengan kita 24 jam. Jadi, kalaulah perlukan guru untuk membaca, maka banyaklah buku-buku yang  kita tidak dapat baca dan hadam kerana perlukan guru semasa membaca. Ibaratnya, guru tidak ada kerja lain selain daripada menunggu kita dan mengajar kita selama 24 jam. Jadi solusinya, membaca adalah jalannya dalam mendapatkan ilmu. Apabila timbul kekeliruan bertanyalah kepada yang mengetahui.

SYAITAN LEBIH SUKA KALAU KITA TIDAK MEMBACA

Malah saya merasakan bahawa syaitan sebenarnya lebih suka kalau kita tidak membaca, bukannya membaca tanpa guru kerana dengan membaca kita akan mendapat pengetahuan (knowledge) dan ilmu baru berkaitan apa sahaja sama ada dalam agama dan lain-lain. Dan sedikit sebanyak akan menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah.
Kalaulah dengan membaca tanpa guru boleh menyebabkan orang tersesat, maka berapa ramai manusia telah sesat hanya kerana belajar dengan guru.? So, ini hanyalah persepsi mereka yang tidak suka membaca dan dengki terhadap rakannya or orang yang membaca sebab sebagaimana yang saya katakan “manusia jahil atau bodoh terhadap yang yang dia tidak tahu”.


KESIMPULAN

Sebenarnya tidak timbul persoalan membaca tanpa guru ibarat belajar dengan syaitan. Bagi saya itu hanyalah persepsi dan alasan bagi mereka yang malas membaca. Kalau diteliti dengan lebih mendalam sebenarnya terlalu banyak faedah yang dapat diperoleh hasil daripada pembacaan kita yang banyak seperti membentuk gaya berfikir, critical thinking, lebih berlapang dada, luas pemandangan, lebih bersikap matang, tingkatkan kemahiran problem solving dan lain-lain. Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sudah tentu tidak akan sama.

-Hamba yang dhoif @ Tengku Ibrahim-



[1] Surah al-‘Alaq ayat 1
[2] Surah al-Mujadalah ayat 11
[3] Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn „Abd al-Bar dalam Jami‟ Bayan al-Ilm wa Fadhluh 1/7. Hadith ini hukumnya hasan dengan jumlah jalan dan syawahidnya. Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (2007), Himpunan Hadith Modal Insan, Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn. Bhd., hal. 55.
[4] Lihat al Quran, al-Ra'du : 11. Ayat ini ditafsirkan dalam dua keadaan. Tafsiran terhadap ayat ini bahawa manusia perlu terlebih dahulu melakukan sesuatu yang baik agar Allah s.w.t. turut memberikan nasib yang baik kepadanya. Ibn Kathir (2007), Tafsir al-„Azim, al-Qaherah al- Manșûrah : Dar al-Ghad al-Gadīd, hal. 664. Namun ada juga tafsiran yang menyatakan bahawa Allah s.w.t. telahpun memberikan nasib dan keadaan yang baik kepada sesuatu kaum. Selagi kaum itu tidak melakukan sesuatu yang merugikan, maka keadaan/nasib yang baik itu akan kekal dalam keadaan baik. Wahbah Zuhaily, Tafsir al-Munir, Juz 13, Beirut Lebanon : Dar al-Fikr hal. 124 dan 127.
[5] Surah al-Fatir ayat 27-28.

Sunday, March 31, 2013

Gerakan Feminisme

Posted by Tengku Ibrahim on 8:26:00 AM

Penulis : Muhammad Hasyir b Yaacob, Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Undang-undang (Kepujian)
Disunting oleh : Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad


FEMINISME

 Gerakan feminisme iaitu suatu gerakan yang meminta persamaan hak wanita dan lelaki atau juga yang disebut dengan gerakan kesetaraan gender berasal dari pandangan hidup masyarakat Barat. Menurut The New Encyclopedia of Britanica disebutkan bahawa : “Feminism is the belief, largely originating in the West, in the social, economic, and political equality of the sexes, represented worldwide by various institutions committed to activity on behalf of women’s rights and interests”. Feminisme adalah keyakinan yang berasal dari Barat berkaitan dengan kesetaraan sosial, ekonomi dan politik antara lelaki dan perempuan yang tersebar ke seluruh dunia melalui organisasi yang bergerak atas nama hak-hak dan kepentingan perempuan[1].


 Munculnya gerakan feminisme pada masyarakat Barat tidak terlepas dari sejarah masyarakat Barat yang memandang rendah terhadap kedudukan perempuan, dan kekecewaan masyarakat Barat terhadap pernyataan kitab suci mereka terhadap perempuan. Pakar sejarah Barat, Philip J.Adler dalam buku “World Civilization” menggambarkan bagaimana kekejaman masyarakat Barat dalam memandang dan memperlakukan perempuan. Sampai abad ke 17, masyarakat Eropah masih memandang perempuan sebagai jelmaan syaitan atau alat bagi syaitan untuk menggoda manusia, dan meyakini bahawa sejak awal penciptaannya, perempuan merupakan ciptaan yang tidak sempurna. Oleh sebab itu perempuan disebut dengan “female” yang berasal dari bahasa Greek. Ayat “femina” berasal dari kata “fe” dan “minus”. “Fe” bermakna “fides”, atau “faith” yang bererti kepercayaan atau iman. Sedang “mina” berasal dari kata “minus” yang bererti “kurang”. Maka “femina” adalah “seseorang yang mempunyai iman yang kurang”[2]. Dalam kitab Bible terdapat banyak ayat yang memberikan pandangan rendah terhadap kedudukan perempuan,seperti :

“Kejahatan lelaki lebih baik daripada kebajikan perempuan dan perempuanlah yang mendatangkan malu dan nista( Sirakh 42 : 14 )

“Setiap keburukan hanya kecil dibandingkan dengan keburukan perempuan, mudah-mudahan ia ditimpa nasib orang yang berdosa( Sirakh 25 :19)

“Darjatnya (perempuan) di bawah lelaki dan harus tunduk seperti tunduknya manusia kepada Tuhan(Efesus 5 : 22 )

Latar belakang kedudukan perempuan di Barat tersebut akhirnya memunculkan gerakan perempuan yang menuntut persamaan hak dengan kaum lelaki. Lucretia Mott dan Elizabeth Cady Stanton pada tahun 1848 mengadakan siding akhbar Konvensyen Hak-hak Perempuan di Seneca Falls yang dihadiri oleh 300 peserta dan menghasilkan deklarasi yang menuntut reformasi hukum perkahwinan, perceraian, pewarisan harta dan anak. Konvensyen Perempuan di Seneca Falls itu merupakan protes terhadap Konvensyen Penghapusan Perhambaan pada tahun 1840 di mana kaum perempuan tidak diberi hak untuk mengemukakan pendapatnya.10 Tahun 1895, Elizabeth Candy Stanton, menerbitkan buku “The Women Bible” di mana dia mengkaji seluruh teks Bible yang berkaitan dengan perempuan, dan mengambil kesimpulan bahawa kitab suci Bible mengandungi ajaran yang menghina perempuan, dan dari ajaran inilah terbentuk dasar-dasar pandangan Kristian terhadap perempuan. Berikutnya, Stanton berusaha meyakinkan bahawa Bible bukanlah kata-kata Tuhan, tetapi sekadar himpunan tentang sejarah dan cerita yang ditulis oleh kaum lelaki, dan oleh sebab itu perempuan tidak memiliki kewajipan moral untuk mengikuti ajaran Bible.

Kaum Feminisme kemudian mengembangkan konsep persaman gender, di mana gender berbeza dengan kelamin, sebab kelamin (sex) merujuk kepada anatomi-biologi, sedangkan gender dipengaruhi oleh keadaan sosial, budaya, agama dan hukum. Oleh sebab itu menurut Lips dalam A New Psychology of Women, gender tidak hanya terbatas pada jenis kelamin feminin dan maskulin, tetapi juga pada jenis yang ketiga yang tidak dapat digolongkan dalam feminin dan maskulin seperti kaum homoseksual, heteroseksual[3].

Gerakan feminisme atau persamaan gender ini berasal dari ajaran persamaan (equality) dalam segala hal dalam masyarakat Barat. Salah satu teori feminisme radikal adalah menuntut persamaan hak antara lelaki dan perempuan dalam soal hak sosial dan juga hak-hak seksual. Jika kepuasan seksual dapat diperoleh antara hubungan lelaki dan perempuan, maka dalam teori persamaan gender, kepuasan seksual dapat diperoleh dari kepuasan hubungan sesama jenis kelamin, baik sesama lelaki (homoseksual) atau sesama perempuan (lesbian). Oleh sebab itu kaum homoseksual atau kelompok lesbian harus diberi hak sama sebagaimana yang diberikan kepada kaum lelaki dan wanita yang lain. Bagi gerakan feminisme, seorang wanita tidak boleh mempunyai kebergantungan hidup kepada lelaki baik dalam soal keperluan hidup, ekonomi, politik, sampai kepada keperluan seksual. Sikap memberikan hak yang sama kepada kaum homoseksual juga merupakan tindak balas terhadap kekejaman masyarakat Barat terdahulu kepada kaum Homo. Robert Held, dalam bukunya “Inquisition” menerangkan bagaimana sikap masyarakat Barat dahulu yang sangat kejam terhadap kaum homo, dengan memuat gambar-gambar dan lukisan model alat yang dipakai untuk penyeksaan seperti pencungkil mata, gergaji pembelah manusia, pemotong lidah, alat penghancur kepala, terhadap perempuan dan kaum Homo[4].

Jika dalam masyarakat Barat terdapat sikap merendahkan darjat perempuan sehingga menimbulkan gerakan feminisme dan persamaan gender, maka berlainan dengan agama Islam yang sangat memuliakan perempuan. Kitab suci al-Quran memberikan hak-hak perempuan dan menempatkan perempuan pada kedudukan terhormat yang sama dengan hak dan kedudukan lelaki.

“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah) dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar( Surah al Ahzab 33 : 35 ).

Menurut Yusuf Al-Qaradhawi, dalam pengantar kepada buku “Kebebasan Wanita’’[5], memberikan contoh-contoh kehidupan perempuan dalam masyarakat Islam seperti :

1.      Kaum perempuan masyarakat Islam mempunyai kesempatan yang luas untuk mendapat pendidikan, pelajaran dan menghadiri majlis ilmu.
2.      Kaum perempuan dibolehkan menghadiri pertemuan umum di masjid untuk turut memutuskan perkara yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat dan negara.
3.      Kaum perempuan mempunyai hak dalam ekonomi, sebagaimana Zainab binti Jahsy mempunyai pekerjaan dan kegiatan ekonomi yang dilakukan dengan tangannya sendiri sehingga dapat bersedekah dari hasil pendapatannya sendiri. Zainab binti Mas’ud bekerja dengan tangannya sendiri dan memberikan belanja untuk suami dan anak yatim yang dipeliharanya.
4.      Ummu Athiyah ikut berperang bersama suaminya sebanyak enam kali, sedangkan Ummu Haram menginginkan kematian syahid bersama tentera pasukan laut.
5.      Dalam politik, Ummu Hani ikut dalam melindungi pelarian perang, dan menyelesaikan perkara saudara lelakinya.
6.      Ummu Kalsum binti Uqbah, seorang remaja ikut berhijrah ke Madinah, dan berpisah dengan keluarganya.
7.      Perempuan berhak mempertahankan pilihannya dalam memilih suami , berpisah dengan suami dan terlepas dari pengaruh keluarganya.
8.      Zainab binti Muhajir berdialog dengan khalifah Abu Bakar Al-Siddiq, Ummu Darba pernah menyangkal pendapat khalifah Abdul Malik bin Marwan, dan Ummu Ya’kub berdialog dengan Abdullah bin Mas’ud yang dianggap sebagai penghulu fuqaha sahabat.
9.      Atikah binti Zaid, isteri Khalifah Umar bin Al-Khattab mempertahankan haknya dalam kesaksian jamaah.
10.  Seorang remaja perempuan Bani Khatsamiyah bersusah payah untuk menghajikan bapanya sendiri.

Al-Quran telah menetapkan tugas yang seimbang bagi lelaki dan perempuan.Tugas ini diberikan sesuai dengan fitrah dan kemampuan masing-masing berdasarkan fitrah alami perempuan yang berbeza dengan kaum lelaki. Dari segi fizik, emosi dan psikologi, hanya perempuan yang dapat menjalankan tugas keibuan dengan baik. Ini kerana berbanding dengan lelaki, kaum perempuan lebih penyayang, lebih ramah, cepat bertindak dan memberikan respons sesuai dengan naluri keibuan. Sifat-sifat ini menjadi ciri utama perempuan dalam menjalankan tugas dan kewajipan. Islam memberikan persamaan di antara lelaki dan perempuan, namun hanya ada sedikit keterbatasan dan perbezaan yang digariskan oleh Islam untuk kaum perempuan seperti dalam hak harta warisan, dan ijab-kabul pernikahan, dalam kepemimpinan keluarga, dan sebagainya. Perbezaan dalam peranan dan hak yang telah ditentukan oleh Allah tidak bermakna adanya superioriti ataupun inferioriti bagi pihak manapun, akan tetapi hanyalah untuk menjaga kecenderungan fitrah masing-masing[6].

Gerakan Feminisme dan Persamaan Gender pada mulanya adalah gerakan sekelompok aktivis perempuan Barat yang kemudian menjadi kajian akademik di lembaga kajian, dan pengajian tinggi dengan kajian “women studies”, yang menyebar baik di negara Barat mahupun di negara Muslim. Gerakan ini akhirnya telah mendapat perakuan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan dikeluarkannya Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women ( CEDAW). Bahkan sebahagian Negara Barat memberikan bantuan dana untuk mengembangkan kajian dan fahaman tersebut dalam masyarakat sebagaimana yang dilakukan oleh Amerika kepada Negara Indonesia : “Amerika Syarikat juga memberikan dana kepada berbagai-bagai organisasi muslim dan pondok untuk mengangkat persamaan gender dan anak perempuan dengan memperkukuhkan pengertian tentang nilai-nilai tersebut di antara para pemimpin perempuan masyarakat dan membantu demokratisasi serta kesetaraan gender di pondok pesantren melalui latihan kepimpinan pesantren lelaki dan perempuan[7].

Pada tahun 1990-an, gerakan feminisme Barat mulai mempengaruhi beberapa sarjana dan pemikir muslim, sehingga muncullah gerakan feminisme muslim. Azza M.Karam mendefinisikan feminisme muslim adalah : 

“a one who adopts a worldview in which Islam can be contextualized and reinterpreted in order to promote concepts of equity and equality between men and women and for whom freedom of choice plays an important part in expression of faith”[8].

Gerakan feminisme dalam masyarakat muslim yang pertama muncul di Mesir, dengan terbentuknya The Egyptian Feminist Union pada tahun 1923 yang didirikan oleh Huda Shaarawi ( 1879-1947).

Dalam The Oxford Encyclopedia of Modern Islamic World dinyatakan bahawa : “feminisme moden dikenali dalam masyarakat Islam sejak awal abad 20 meskipun mereka tidak menggunakan istilah tersebut. Pemikiran feminisme di dunia Islam dapat ditelusuri melalui pemikiran-pemikiran Aisha Taymuriyah (penulis Mesir), Zainab Fawwaz (penulis Lebanon), Rokeya Sakhawat Hossein, Nazar Haidar, Emilie Ruete (Zanzibar), Ta’jal Sulthaniyah (Iran), Huda Shaarawi, Malak Hifni Naser, Nabawiyah Musa (Mesir), dan Fame Aliye (Turki). Mereka dikenal sebagai tokoh perintis dalam menumbuhkan kesedaran mengenai persoalan gender, termasuk melawan kebudayaan dan ideologi masyarakat yang hendak menghalangi kebebasan perempuan[9].

Gerakan feminisme muslimah dilanjutkan oleh Aminah Wadud, Rifaat Hasan dan Fatimah Naseef yang memberikan perhatian pada kajian semula teks al-Quran yang berkaitan dengan perempuan, sedangkan Fatima Mernissi, Hidayaet Tuskal memberikan perhatian kepada kajian semula teks hadis yang berkaitan dengan perempuan, dan Aziza al-Hibri dan Shaheen Sardar Ali memberikan perhatian kepada kajian semula terhadap hukum syariah yang berkaitan dengan perempuan. Malahan, akhir-akhir ini muncul muslimah yang mengkaji semula masalah homoseksual dan lesbian seperti Irsyad Manji dan Musdah Mulia.

 Fahaman persamaan hak antara lelaki dan perempuan ini akan mempengaruhi struktur hukum dalam keluarga, sehingga dengan alasan ’persamaan hak’ mereka menuntut larangan berpoligami, kerana poligami merupakan ketidakadilan terhadap wanita. Demikian juga dengan alasan ’persamaan gender’ gerakan ini menuntut agar diubah hukum perkahwinan berbeza agama, kerana perkahwinan berdasarkan agama menurut gerakan ini bertentangan dengan asas persamaan hak. Demikian juga menurut gerakan feminisme, ijab dan qabul pernikahan bukan dilakukan oleh pihak lelaki sahaja, tetapi juga boleh dilakukan oleh pihak perempuan. Dalam masyarakat muslim liberal India, pernah terjadi perkahwinan yang dilakukan oleh seorang wanita, dengan tuan qadhi wanita, dan saksi wanita. Dalam bab hak cerai pula, berdasarkan hukum persamaan hak, jika suami berhak menceraikan isterinya dengan suatu lafaz cerai, maka mengapa wanita tidak boleh menceraikan suaminya secara langsung tanpa perlu membuat tuntutan cerai melalui mahkamah syariah, sedangkan selama ini suami berhak menceraikan isteri tanpa melalui proses tersebut? Oleh sebab itu, dengan dalil persamaan hak, isteri juga mempunyai hak untuk menceraikan suami tanpa melalui proses tuntutan ke mahkamah.

 Demikian juga dalam persoalan iddah (masa menunggu perkawinan selanjutnya) bagi perempuan yang diceraikan. Jika selama ini setelah bercerai atau kematian pasangan, seorang suami boleh terus berkahwin tanpa menunggu tempoh iddah, sedangkan isteri harus menunggu tempoh iddah selama 3 quru’ (3 kali suci daripada haid) sebelum berkahwin semula, maka menurut gerakan feminisme ini tidak adil. Menurut mereka jika wanita mempunyai tempoh iddah, maka lelaki juga harus mempunyai tempoh iddah, malahan mereka menuntut tempoh iddah lelaki selama 130 hari. Atau sebaliknya, jika lelaki dapat berkahwin tanpa melalui tempoh iddah, maka demikian juga perempuan yang diceraikan dapat berkahwin semula tanpa harus menunggu tempoh iddah tersebut. Demikian juga gerakan ini menuntut persamaan memusakai harta antara lelaki dan perempuan. Jika selama ini harta pusaka lelaki adalah dua bahagian berbanding satu bahagian sahaja harta pusaka perempuan, maka menurut gerakan feminisme, ini merupakan suatu ketidakadilan, maka mereka menuntut persamaan hak di antara lelaki dan perempuan dalam pembahagian pusaka dengan masing-masing memperolehi satu bahagian.

Lebih hebat lagi gerakan ini meminta perkahwinan antara lelaki dengan lelaki, atau antara wanita dengan wanita juga harus dianggap sah, kerana perkahwinan yang dibenarkan antara lelaki dan perempuan merupakan ketidakadilan gender. Musdah Mulia dalam buku ”Islam Agama Rahmat Bagi Alam” menyatakan, :

“menurut hemat saya, yang dilarang dalam teks-teks suci tersebut lebih tertuju pada perilaku seksualnya, bukan pada orientasi seksualnya. Mengapa? Sebab menjadi heteroseksual, homoseksual (gay atau lesbi) dan biseksual adalah kodrati, sesuatu yang “given” atau dalam bahasa fikih dapat disebut sunatullah..sementara perilaku seksual bersifat konstruksi manusia..jika hubungan sejenis atau homo, baik gay atau lesbi sungguh-sungguh menjamin kepada pencapaian tujuan dasar tadi, maka hubungan demikian dapat diterima “[10].

Demikian juga dalam hukum perkahwinan muslim, sepatutnya akad nikah dilakukan oleh wali pengantin perempuan kepada pengantin lelaki, bukan kepada pengantin perempuan. Saksi perkahwinan juga yang disyaratkan lelaki dari dua keluarga, dirubah menjadi saksi perempuan. Tanpa disedari gerakan persamaan gender telah merubah hukum-hukum fekah yang telah ditetapkan oleh nas agama. Dengan kata lain, jika hukum persamaan gender ini berlaku secara menyeluruh, maka semua hukum fekah akan dirubah kerana dalam ajaran Islam, banyak syarat yang hanya dapat dilakukan oleh lelaki sahaja, seperti syarat perwalian, syarat menjadi imam solat Jumaat, dan sebagainya.

Pada hari Jumaat 18 Mac 2005, umat Islam menerima berita yang mengejutkan di mana seorang pensyarah Pengajian Islam di Virginia Commonwealth University, menjadi imam dan khatib solat Jumaat bersama sekitar seratus orang jemaah lelaki dan perempuan yang bercampur dalam saf. Solat Jumaat tersebut diawali dengan azan yang diserukan oleh seorang perempuan tanpa memakai tudung kepala. Solat Jumaat tersebut dilaksanakan di sebuah Gejeja Kathedral, Sundram Tagore Gallery 137 Greene Street, New York. Sikap Amina Wadud tersebut merupakan contoh praktikal pemahaman kesamaan gender yang masuk ke dalam pemikiran intelektual dan sarjana muslim hari ini; pemahaman kesamaan gender yang akan merubah pemahaman Islam khususnya masalah hukum hakam yang berkaitan dengan perempuan.

Fahaman persaman gender (gender equality) yang dipaktikkan oleh Amina Wadud tersebut sebenarnya berasal dari pandangan hidup Barat sekular-liberal yang bercanggah dengan pandangan hidup muslim yang berpandukan ajaran Islam. Jika lelaki boleh menjadi imam solat Jumaat dan khatib, maka menurut fahaman kesamaan gender Barat, perempuan juga dapat menjadi imam solat Jumaat dan khatib Jumaat. Jika lelaki boleh mengumandangkan azan dalam solat Jumaat, demikian juga perempuan boleh mengumandangkan azan Jumaat. Fahaman kesamaan gender liberal juga membolehkan saf solat bercampur antara lelaki dan perempuan, kerana jika saf lelaki di depan dan saf berempuan di belakang, hal tersebut telah merendahkan darjat perempuan. Fahaman kesamaan gender dalam pemikiran Barat-Liberal inilah yang mendasari praktik imam solat Jumaat dan khatib yang dilakukan oleh Amina Wadud, walaupun bercanggah dengan ajaran Islam.

Amina Wadud menyatakan bahawa perbuatan menjadi imam solat Jumat dan khatib adalah berdasarkan pada hadis Rasulullah SAW memberikan izin kepada sahabat wanita Ummu Waraqah untuk menjadi imam solat dengan jemaah lelaki, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud : “ Dari Abdul Rahman bin Khallad Al-Anshari dari Ummu Waraqah binti Abdillah binti Haris berkata bahwa Rasulullah datang ke rumahnya dan memberikan kepadanya seorang muazzin dan memerintahkannya untuk menjadi imam bagi ahli keluarganya. “Abdul Rahman menambah : “ Saya melihat bahawa muazzin (bilal penyeru azan) tersebut adalah seorang yang sangat tua “[11].

Dalam hadis yang lain disebutkan bahawa di dalam rumah Ummu Waraqah tersebut hanya ada seorang anak kecil, dan seorang hamba sahaya perempuan, sehingga Ummu Waraqah meminta kepada nabi seorang penyeru azan[12].

Dari kedua hadis tersebut dapat diambil kesimpulan bahawa pada waktu itu orang yang berada di rumah Ummu Waraqah hanyalah Ummu Waraqah, seorang lelaki yang sangat tua, seorang hamba sahaya perempuan, dan seorang budak lelaki. Oleh kerana itu Ummu Waraqah meminta kebenaran kepada nabi untuk menjadi imam solat, dan nabi membenarkan hal tersebut. Keizinan nabi ini khas kepada Umu Waraqah sahaja. Ia tidak dapat menjadi dalil yang membolehkan perempuan menjadi imam solat bersama lelaki, kerana pada waktu itu tidak ada seorangpun yang layak menjadi imam kecuali Ummu Waraqah. Bererti hadis ini adalah khas hanya untuk Ummu Waraqah pada masa tertentu, di mana pada waktu itu di rumahnya tidak ada seorang pun yang layak menjadi imam, sehingga nabi membenarkannya untuk menjadi imam solat di rumahnya sahaja. Menurut riwayat Daru Qutni, hadis ini ditambah dengan ayat “bagi perempuan” sehingga hadis tersebut berubah menjadi : 

“Rasulullah membenarkannya (Ummu Waraqah) untuk menjadi imam solat “bagi perempuan” di rumahnya”[13]. 

Bererti hadis di atas sebagai dalil bagi perempuan untuk menjadi imam solat bagi makmum perempuan, bukan menjadi dalil bagi perempuan untuk menjadi imam solat bagi makmum lelaki sebagaimana yang didakwa oleh Amina Wadud.

Demikianlah gerakan feminisme dan persamaan gender Barat yang berasaskan kepada pemikiran liberal dan sekular yang merosakkan ajaran Islam, dan akan melakukan perubahan-perubahan hukum syariat yang berkaitan dengan perkahwinan, keluarga, dan pewarisan pusaka sebagaimana yang pernah diajukan dalam Draft Kompilasi Hukum Islam yang disusun oleh kumpulan penyusun di bawah pimpinan Musdah Mulia yang mengajukan perubahan hukum Islam seperti[14] : mengharamkan poligami, menghalalkan perkahwinan berbeza agama antara muslimah dengan lelaki kafir, melakukan pernikahan tanpa wali, atau menjadikan perempuan sebagai wali, masa iddah bukan hanya bagi perempuan tetapi juga bagi lelaki, talak dapat jatuh dengan lafaz bukan hanya daripada suami tetapi juga daripada seorang isteri, dan bahagian pusaka anak lelaki sama dengan bahagian pusaka anak perempuan, dan sebagainya. Dengan demikian, gerakan feminisme Barat, dan persamaan gender merupakan ancaman terhadap ajaran agama khususnya hukum Fekah, dan dapat menghancurkan sistem kehidupan beragama sebagaimana dinyatakan oleh Ellen Willis bahawa : 

“feminism is the cutting edge of a revolution in cultural and moral values..the objective of every feminist reform, from legal abortion to child-care program, is to undermine traditional family values”[15]






[1] The New Encyclopedia Britanica, Chicago, 15th edition, hal.723
[2] Philip J.Adler, World Civilization, Belmont, Warworth, 2000, ha. 289 
[3] Lips, Hillary, A New Psychology of Women, Gender, Culture, and Rthnicity, McGrewHill, New York, 2003, hal.7
[4] Robert Held, Inquisition, Florence : Bilingual Publisher, 1985. 
[5] Abdul Halim Abu Syuqqah, Kebebasan Wanita, Gema Insani Press, Jakarta, 2001 
[6] Dinar Dewi Kania, Isu Gender : Sejarah dan Perkembangannya, Majalah Islamia, Vol.3, No.5, 2010, hal.55. 
[7] Laman web www.usembassyjakarta.org/bbs/laporan/indonesia_laporan_deplu-AS.html 
[8] Azza M.Karam, Women, Islamism, and the State : Contemporary Feminism in Egypt, MacMillan, London, 1998, hal.5 
[9] Arif mansyuri, Kontruksi tafsir Feminis : Studi Pemikiran Aminah Wadud atas Kesetaraan Gender dalam al-Quran, Program Pasca Sarjana IAIN Sunan Ampel, Surabaya, 2006, hal. 26-27.  
[10] Hamid Fahmi, Liberalisasi Pemikiran Islam, CIOS-ISID, Gontor, 2007, hal.110 
[11] Sunan Abu daud 592 
[12] Sunan Abu Daud, 591 
[13] DaruQutni I, 403 
[14] Hamid Fahmi Zarkasyi, Liberalisasi Pemikiran Islam, CIOS-ISID-Gontor, 2007, hal . 101
[15] Henry Makow, Cruel Hoax : Feminism and The New World Order, Silas Green, Canada, 2007, hal.25

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site