• PIMPINAN 10-11

    Bersama Menerajui Perubahan

  • Bergambar Bersama Penceramah

    Semasa menjadi fasilitator Mukhayyam Syakhsiah Muslim Anjuran Badan Dakwah dan Ibadah SMA al-ittifaQiah Guai,Pahang

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI

    Saat terakhir bergambar bersama-sama

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI

    Saat terakhir bergambar bersama-sama

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI 2007

    Bergambar bersama ahli-ahli kumpulan semasa berkayak di laut...Hidup Gacrux!!!

Wednesday, October 21, 2015

Beberapa kaedah untuk membaca dan mengulang al-Quran.

Posted by Tengku Ibrahim on 1:21:00 PM

Beberapa kaedah untuk membaca dan mengulang al-Quran.

اقرَؤوا القرآنَ ؛ فإنَّهُ يأتي يومَ القيامةِ شَفيعًا لأصحابِهِ

"Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan sebagai syafaat kepada ashabnya (pembaca) pada hari kiamat"

Saya terpanggil untuk berkongsi beberapa kaedah atau cara; sama ada mengulang al-Quran atau membacanya. Saya teringat suatu ketika dahulu, di Darul Quran, sejujurnya saya bukanlah orang yang baik dalam murajaah al-Quran. Sering kali saya didenda oleh guru tasmi', hanya kerana tidak cukup murajaah sebagaimana yang diminta (setengah juzu' sehari atau lebih). Kadang-kadang tidak cukup 1 muka sahaja, tapi denda tetap denda; maka berdirilah saya diluar sehinggalah saya cukupkan sebagaimana yang diminta atau  berdirilah saya sehingga tamat kelas. Biasanya seusai kelas, ustaz kami akan menasihati kami (golongan yang malang) secara personal, dengan memberi perumpamaan, apa tugas seorang penghafaz al-Quran, cara murajaah dan lain-lain. Ustaz menyebut, bagi penghafaz al-Quran murajaah (mengulang al-Quran) lebih penting daripada menghafaz. Kata ustaz, "Apalah gunanya menghafal al-Quran sekiranya tidak ingat?". Saya bertanya kepadanya, "Ustaz, saya sudah murajaah, baca berulang-ulang kali, tapi masih tidak ingat. Bila saya baca yang ini, saya lupa yang itu." Dengan mudah, ustaz menjawab, "Itu tandanya masih belum ingat. Kadang-kadang kita baca, kita rasa dah ingat tapi sebenarnya kita tidak ingat pun lagi. Kalau baca 10 kali tidak ingat, baca 20 kali, kalau baca 20 kali tidak ingat, baca 30 kali, kalau baca 30 kali pun tidak ingat, baca 100 kali. Ulang secara berperingkat-ringkat, jangan gopoh". Seorang sahabatku yang lain, pernah bertanya, "Ustaz mengulang sehari berapa juzuk?". Jawabnya, "Ana mengulang 10 juzuk sehari". Kami semua tercengang. "Bagaimana ustaz membahagikan masa sehingga dapat membaca sampai 10 juzuk sehari", salah seorang daripada kami bertanya. "Bacalah, dimana-mana pun. Semasa berjalan, di dalam kereta, ketika sedang duduk berehat,sambil-sambil membaca", jawabnya. Beliau menambah, "Ana dulu pun macam entum semua juga, mula sikit-sikit".

Saya tidak berhajat mahu panjangkan kenangan kami, bersama guru tasmi' kami; kerana Demi Allah, dahulu kami tidak rasa (semasa di DQ) ianya penting, tapi selepas takharruj barulah kami bersyukur dan faham kenapa ustaz buat begitu.

Dalam mengulang al-Quran atau membacanya ada beberapa cara yang boleh kita amalkan; cuma yang penting mesti konsisten walaupun sedikit.

(1) Mengulang 10 juzuk sehari. Jadi dalam masa 3 hari kita sudah khatam al-Quran. Saya tidak tahu bagaimana, mahu membahagikannya, cumanya saya rasa tahap ini memerlukan kelancaran anda, ibaratnya al-Quran itu sudah seperti al-Fatihah.

(2) Mengulang 5 juzuk sehari. Bagi memudahkan pembahagiannya. Saya teringat seorang sahabat pernah menceritakan bahawa Imam Besar Masjid Muar (maaf saya lupa namanya) akan mengulang setiap kali lepas solat 1 juzuk. 5 waktu solat fardhu = 5 juzuk; menjadikan 6 hari khatam al-Quran.

(3) Mengulang 3 juzuk sehari. Dalam masa 10 hari khatam al-Quran. Inilah yang paling lemah bagi seorang penghafaz al-Quran (sepatutnya). Mungkin boleh  membaca 2 juzuk pada waktu pagi, sebelum atau selepas subuh dan 1 juzuk pada waktu petang selepas asar atau malam.

(4) Membaca 1 juzuk satu hari. Satu juzuk lebih kurang 20 m/s. Sekiranya susah atau rasa banyak baca sekaligus, boleh bahagikan kepada 5 kali (baca) selepas setiap solat fardhu. Menjadikan setiap kali selepas solat, hanya 4 m/s = 1 juzuk. Dalam masa sebulan akan khatam sekali.

(5) Membaca sekurang-kurangnya 1 m/s sehari. Inilah (pada saya) paling lemah (sekurang-kurangnya) buat mereka yang bukan penghafaz al-Quran, lebih-lebih lagi golongan agamawan. Rancanglah masa sebaiknya, paling kurang kita dapat baca semuka daripada al-Quran, yang mana hanya mengambil masa (paling lama) 10 minit sahaja.

(6) Jika tidak dapat juga membaca sekurang-kurangnya 1 m/s sehari, bacalah al-Quran walaupun hanya setengah muka surat. Kerana apa? Sangat rugi bagi seorang Muslim, apabila berlalunya hari tersebut tidak sedikit pun membaca ayat-ayat Allah. Al-Quran adalah mukjizat terbesar nabi kita; Muhammad saw. Ambil lah sedikit masa kita, untuk tidur, makan, bermain, main hanset dan lain-lain; bukannya lama pun hanya lebih kurang dalam 5-10 minit untuk kita baca dan tadabburi ayat-ayat Allah.

#Moga bermanfaat

Wallahua'lam.

23:14PM
Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad,
Madinah al-Munawwarah.

Tuesday, October 20, 2015

Kuatnya Ingatan Imam al-Bukhari.

Posted by Tengku Ibrahim on 1:17:00 PM

Kuatnya ingatan Imam al-Bukhari.

Satu hari Syeikh Ahmad at-Tuwaijiri (أحمد بن حمود محمد التويجري), merupakan syeikh tauhid kami, bercerita tentang Imam Bukhari. Menurut beliau, telah tersebar kehebatan Imam al-Bukhari dalam hadis sehinggalah ke Baghdad. Justeru, Imam al-Bukhari hendak dipanggil supaya mengajar di Baghdad. Menjadi kebiasaan disana, orang alim tersebut (akan diuji) untuk memastikan keilmuannya (adakah benar-benar layak untuk mengajar).

Imam al-Bukhari pun datang ke Baghdad. Telah datang kepadanya 10 orang yang hendak bertanya soalan (namun sebenarnya mereka hendak menguji).  Salah seorang daripada mereka memulakan, bertanya kepada Imam al-Bukhari tentang hadis; menyebut 10 riwayat hadis yang telah bercampur-campur sanadnya. Imam al-Bukhari diam, kemudian berkata, "Baiklah, lepas ini saya akan jawab". Kemudian, bertanya pula kepada orang kedua, apa soalannya. Orang kedua pun, memberikan soalan tentang hadis, dengan menyebut 10 riwayat yang telah bercampur-campur sanadnya. Imam al-Bukhari memberikan jawapan yang sama iaitu beliau akan menjawab selepas ini (maka selepas mendengar soalan daripada orang ke-2, tahulah bahawa beliau sedang diuji) dan terus bertanya kepada orang ketiga apakah soalannya. Begitulah seterusnya, sehinggalah kepada orang yang kesepuluh. Mereka kesemuanya mengajukan soalan yang sama iaitu tentang hadis dengan menyatakan 10 riwayat (hadis) dengan sanad yang telah bercampur (salah) antara satu sama lain; menjadikan kesemua soalan yang terkumpul 100 riwayat hadis yang telah bercampur-campur sanadnya (salah).

Selesai mendengar soalan daripada orang yang ke-10. Imam al-Bukhari kembali kepada orang yang pertama (untuk menjawab). Imam al-Bukhari berkata (menjawab) dengan menyebut semula kesemua 10 riwayat yang bercampur-campur itu, " Sesungguhnya engkau telah mengatakan bahawa hadis ini daripada si fulan, kepada si fulan, kepada si fulan.... tidaklah aku tahu tentangnya, yang aku tahu hadis ini daripada si fulan, si fulan...." dan kemudian menyebut 10 riwayat (hadis) melalui sanad yang betul. Begitulah juga kepada orang yang kedua, ketiga sehinggalah kesepuluh.

Maknanya, Imam al-Bukhari menyebut 100 riwayat yang salah (sebagaimana yang telah disoal) kemudian membetulkannya semula dengan menyebut kesemua 100 riwayat tersebut dengan sanad yang betul (tidak bercampur). Subhanallah, ingatan Imam al-Bukhari sangat kuat, beliau mampu menghafaz secara kamil (sempurna) walaupun pertama kali mendengarnya (riwayat yang salah tadi). Itulah kelebihan Imam al-Bukhari.

Dan sehingga kini, Imam al-Bukhari sangat dikenali dalam kalangan kita, lebih-lebih lagi kitab sahihnya; yang menjadi antara rujukkan selepas al-Quran. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan menerima segala amalnya.

Teringat saya akan satu hadis nabi SAW :

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

Maksudnya : "Barangsiapa yang Allah taala mengkehendaki dengannya kebaikkan, maka Allah taala akan faqihkannya di dalam agama"

P/s : Kisah ini telah diolah mengikut gaya bahasa saya sendiri, supaya para pembaca lebih faham akan maksud yang ingin disampaikan.

Wallahua'lam.

3:07PM
Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad
Madinah al-Munawwarah

Monday, October 19, 2015

Di Manakah Rojih ?

Posted by Tengku Ibrahim on 1:39:00 PM

Di manakah rojih?

Baru-baru ini, ketika dalam pembelajaran fiqh, seorang pelajar bertanya kepada Syeikh Abdullah Abal Khayl mengenai, dalam banyak-banyak pandangan dan pendapat ini, yang mana satu rojih (paling kuat). Syeikh diam seketika.

Kemudian, syeikh menyebut, "di sisi aku tiada yang rojih, aku hanya menyampaikan aqwal" . Pelajar itu bertanya, "Kenapa?". Syeikh menjawab, "Apakah sebenarnya ta'rif rojih tersebut?". Maka, ada dalam kalangan kami yang menjawab, yang rojih ialah bila mana bertepatan dengan al-quran dan as-sunnah; tidak kurang juga yang memberikan jawapan yang berbeza.. begitu dan begini....

Syeikh tersenyum dan berkata, "Lihat di antara kamu pun, ada yang berbeza tentang makna rojih tersebut, maka bagaimankah aku mahu memberitahu kamu yang mana rojih." Kemudian, beliau meneruskan lagi dengan berkata bahawa, "Perhatikan. Kalaulah aku misalnya merojihkan qaul (pendapat) ini; pendapat pertama. Kemudian, datang syeikh al-quran menyebut yang rojih pendapat kedua. Kemudian, datang pula syeikh hadis menyebut, bahawa yang rojih adalah pendapat ketiga. Jadi, apakah itu rojih?". Kami semua terdiam.

Syeikh menyambung lagi. "Kita pada hari ini sangat disibukkan dengan rojih ini; sama ada kita mubtadiin (beginner), pelajar maahad, orang yang baru belajar agama. Semuanya sibuk duduk mencari dan merojihkan qaul. Apabila kita sibuk, mencari dan merojihkan qaul; kesannya pada orang yang baru masuk Islam dan dakwah (syeikh membuat perumpamaan). Contohnya, orang tersebut baru masuk islam semalam, hari ini dia mahu solat. Jadi dia solat. Kemudian, datang seseorang berkata kepadanya, "Yang kamu buat ini salah, yang betulnya begini." Kemudian, datang sorang lagi berkata, "Tidak. Sepatutnya yang betulnya begini". Kemudian, datang sorang lagi pula, "Bukan, bukan. Sepatutnya sunnahnya begini. Yang kamu buat ini salah." Begitulah keadaannya. Dan inilah yang sebenarnya berlaku".

Kemudian, syeikh berkata, "Aku tidak marah kepada yang bertanya, kerana aku tahu sebenarnya inilah yang berlaku kepada kamu semua. Sebenarnya, bertanya yang rojih itu tidak salah. Tetapi rojih siapakah yang kamu mahu tahu. Soalan yang berbeza, sekiranya kamu bertanya, apakah yang rojih disisi imam mazhab, atau ibn rusy dan lain-lain. Berbeza pula kalau sekiranya kamu bertanya, syeikh qaul manakah yang rojih? Kerana makna soalan ini, seolah-olah kamu mengkehendaki qaul yang rojih disisi aku sendri. Siapalah aku kalau hendak dibandingkan dengan Imam-imam yang besar. Aku, Abdullah Khayl hanyalah orang yang kecil (terlalu jauh hendak dibandingkan dengan mereka). Kalaulah, sekiranya aku merojihkan mana-mana pendapat. Kemudian, kamu berpegang dengan pandangan aku itu (secara bersungguh-sungguh), kamu balik dan mengajar di negara kamu sebagaimana yang kamu pegang tersebut tanpa mengambil kira mazhab jumhur di negara kamu; siapalah aku hendak dibandingkan dengan Imam tersebut. "

Syeikh meneruskan lagi, "Kitab ini (Bidayatul Mujtahid wa nihayatul muqtasid), kalau kamu mahu tahu qaul rojih untuk mazhab, lihatlah aqwal setiap imam tersebut. Itulah yang rojih disisi mereka. Walaupun, sebenarnya  masih boleh dibahaskan lagi".

Beliau menyebut :

"Sekiranya, kamu semua mahu menjadi faqeh, maka belajarlah melalui toriqoh yang betul. Belajarlah, dan tekunilah melalui mazhab".

8:38PM
Tengku Ibrahim Helmi bin Tengku Mohammad,
Madinah al-Munawwarah

Tuesday, October 06, 2015

Amanah Penghafaz al-Quran

Posted by Tengku Ibrahim on 12:55:00 PM

Amanah Penghafaz al-Quran

Beberapa minggu yang lepas, sahabat saya (Umar Abdullah) seorang pelajar saudi menasihati dan mencadangkan cara-cara untuk murajaah al-Quran (kaedah yang dia amalkan).

Kelas kami pada hari tersebut habis awal. Justeru, ramai pelajar telah keluar ; ada yang menuju ke masjid dan tidak kurang juga yang terus menuju ke mat'am (dewan makan). Tetapi saya melihat, sahabat saya ini terus berada di tempatnya dan membaca al-Quran. Melihat keadaan itu, saya menuju kepadanya, memuji dan bertanya beberapa soalan (dalam nada bergurau).

Niat asal saya hanyalah untuk bergurau, tetapi terus dia ajukan pula soalan kepada saya. "Adakah kamu seorang hafiz al-Quran?". Saya menjawab, "Ya, saya hafiz al-Quran. Tetapi itu dahulu. Sekarang sudah banyak ayat-ayat yang saya lupa". Niat asal saya berkata begitu, konon-kononnya nak tawaduk (merendah diri) dan tidak mahu lagi dipanjangkan perbualan. Namun, lain pula yang terjadi. Dia terus menyebut, bahawa ini musibah. Dia bertanya lagi, kenapa hal ini boleh berlaku? Dan berapakah jumlah juzuk yang engkau baca sehari? Dan lain-lain.

Saya terus menjawab, "Aku sangat kurang murajaah dan hanya baca sekurang-kurangnya sejuzuk sehari". "Masa yang ada pada aku sangat sempit, sedangkan perkara yang hendak dibuat sangat banyak", sambungku lagi. Dengan tersenyum, dia berkata, " Adakah engkau tidur? Dan berapa jam dalam sehari?" "Sudah tentu", jawabku. Saya terus menambah selepas itu, dalam 4-6 jam. Beliau bertanya, " Adakah engkau tidur sebelum asar?" Jawabku lagi, "Ya".

Dia kata ini musibah. Banyak tidur melemahkan. Syeikh ibn Uthaimin hanya tidur selepas zohor sekejap dan tidak tidur pada waktu malam. Tetapi kita pada hari ini terlalu banyak tidur. Dia menyambung lagi, mahukah aku susunkan atau buatkan jadual untuk engkau murajaah al-Quran?

Terus dia mencadangkan. Pastikan kita khatamkan al-Quran seminggu sekali. Namun, jangan baca terlalu banyak pada tiap-tiap hari. Tetapi pilih beberapa hari dalam seminggu dan kita fokus hanya untuk baca al-Quran (atau lebihkan untuk baca al-Quran). Misalnya, ambil 3 hari daripada seminggu dan baca 10 juzuk sehari. Atau pilih satu hari ; contohnya Jumaat, dan baca 10 juzuk. Kamu boleh pilih hendak ke Masjid Nabawi ataupun tidak. Mula daripada lepas subuh sehingga solat Jumaat (menurut dia boleh dapat 10 juzuk) dan baca 4 juzuk sehari (2 juzuk selepas subuh dan dua juzuk selepas asar) pada baki hari-hari yang lain. Jadi, akan menjadi dalam 6 hari kita akan dapat khatamkan sekali. Ataupun bahagikan dua 10 juzuk (5:5) untuk Jumaat dan Sabtu dan 4 juzuk pada tiap-tiap hari lain. Dan pada waktu malam (maghrib hingga isyak) kita boleh mengikuti dars (pengajian) di Masjid Nabawi seperti biasa atau murajaah pelajaran.

*Nampak macam banyak. Namun sebenarnya, itulah tanggungjawab kita selaku orang yang memikul amanah ini.

Pepatah Arab ada menyebut :

من جد وجد ومن زرع حصد

"Barangsiapa yang berusaha, maka dia akan dapat dan barangsiapa yang menanam, maka dialah yang akan menuai hasilnya".

Wallahua'lam.

10:49 pm
Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad
Madinah al-Munawwarah

Sunday, October 04, 2015

Rukun-rukun Menuntut Ilmu

Posted by Tengku Ibrahim on 3:25:00 PM

Sebelum melelapkan mata, saya terpanggil untuk berkongsi sedikit pengisian yang saya dapat daripada syeikh kami (Syeikh Abal Khayl) di kelas pagi tadi, berkenaan ( أركان طلب العلم) rukun-rukun menuntut ilmu. Saya merasakan bahawa sangat penting untuk kita mengetahui tentang cara-cara dan bagaimana untuk kita menjadi penuntut ilmu yang baik.

Pertamanya, Syeikh telah membahagikan rukun-rukun menuntut ilmu kepada 5 rukun, iaitu

(1) Kehadiran pengajian (حضور الدروس) iaitu ada pengajian sama ada formal atau tidak formal.
(2) Hafazan  (الحفظ)
(3) Pembacaan (القراءة)
(4) Bahas (البحث)
(5) Perbincangan (المدارسة)

Pada perkongsian ini, saya akan lebihkan pada hanya beberapa rukun sahaja, dan tidak bermaksud rukun yang lain tidak penting tetapi sebab ruang dan masa yang terhad. Bagi rukun yang pertama (حضور الدروس), terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu

(1) Pengajian kelas yang khusus (berhajat)

Bagi bahagian ini terdapat dua perkara penting yang patut di titik beratkan iaitu mesti ada kitab yang disyarahkan yang mana pelajar berhajat kepadanya dalam pembinaan ilmu dan guru yang mensyarahkan kitab (ilmu) berkenaan, mesti pada waktu atau tempoh yang munasabah. Pengajian di Madinah sangat banyak merangkumi segala bidang ilmu. Dalam bahagian ini juga, para pelajar mesti tahu bahawa mereka berada pada level mana (permulaan, pertengahan atau tinggi) dan apakah kitab atau ilmu yang perlu diberi keutamaan terlebih dahulu atau yang berhajat. Contohnya, dalam ilmu nahu. Kebiasaannya, dimulakan dengan al-ajurrumiyah , kemudian qotrun nada, kemudian matan alfiah ibn Malik. Sekiranya kita masih permulaan (beginner) maka mesti mulakan dengan matan al-ajurrumiyah. Tetapi kalau kita telah melalui al-ajurrumiyah, maka level seterusnya yang patut kita utamakan adalah qotrun nada, dan begitulah seterusnya. Selain, mengetahui level kita, mencari guru yang mensyarahkan pada tempoh yang munasabah juga sangat penting. Contohnya, al-ajurrumiyah (2 bulan), qotrun nada (setahun) dan matan alfiah ibn Malik (2 tahun setengah). Hal ini kerana kita terlalu banyak lagi perkara yang hendak kita buat (sebagai pelajar), jadi belajar pada bukan tempoh yang sepatutnya sangat merugikan masa dan lain-lain. Misalnya, mempelajari  matan al-ajurrumiyah selama setahun, atau 5 tahun atau 10 tahun.

Selepas mengetahui apa yang kita hajatkan, maka penting untuk kita mencari dars atau pengajian bagi mempelajari ilmu berkenaan. Carilah daurah atau kelas-kelas di Masjid Nabawi atau mana-mana masjid. Sekiranya tidak ada, cari dan mintalah guru-guru atau syeikh yang boleh mengajar kita ilmu berkenaan; tidak terhad hanya kepada syeikh, boleh juga minta senior-senior di dirosah ulya (master atau phd) dan kalaulah sekiranya tidak ada juga maka bolehlah belajar melalui rakaman suara atau video. Dengan syarat, benar-benar menjadikannya seperti dars yang sebenar, bukannya dengar sebelum tidur atau sambil tidur atau sambil makan dan minum ataupun sambil main telefon. Tetapkan masa khusus.

(2) Menghadiri kelas dengan sebab untuk mendapatkan faedah yang mana tidak ada di masa lain.

Contohnya, menghadiri daurah yang hanya diadakan seminggu sekali atau sebulan sekali. Ataupun, menghadiri pengajian Syeikh yang sudah terlalu tua atau lama seperti Syeikh Muhsin Abad di Masjid Nabawi. Sepertimana, yang kita maklum syeikh mengajar Sahih Muslim. Sahih Muslim bukanlah kitab yang kita hajatkan lagi pada masa sekarang (untuk beginner) tapi kita hadirkan juga kerana atas sebab mahu dapatkan faedah daripanya, yang mana mungkin kita tidak lagi berpeluang pada masa yang lain.

(3) Kelas yang bukan kedua-dua di atas.

Contohnya, menghadiri kelas al-ajurrumiyah yang tidak masuk akal tempoh pengajiannya (setahun). Tetapi kita hadir, atas sebab mungkin untuk murajaah. Namun, keutamaan mesti lebih diberikan pada yang pertama dan kedua.

Sebelum berpindah kepada rukun yang seterusnya, iaitu hafazan. Ada beberapa perkara yang mesti seorang pelajar ambil perhatian.

(1) Seorang pelajar atau penuntut ilmu bukanlah dengan banyaknya pembacaan (buku yang pelbagai), bukanlah juga dengan banyaknya (memiliki) buku/kitab, bukanlah dengan banyaknya menghafaz tetapi tarkiz (fokus). Fokus pada satu-satu bidang atau apakah cabang ilmu yang kita mahu kuasai.

(2) Kita mestilah mengusai setiap asal (asas) dalam setiap cabang ilmu dengan sebaiknya.

(3) Pilih satu kitab (daripada setiap cabang) dan bacalah sebanyak sekurang-kurangnya 30 kali dan bukannya membaca sebanyak 30 kitab. (khusus untuk mubtadiin)

(4) Bacalah kitab yang sesuai dengan level kita. Dan tidak salah kalau kita mahu membeli dahulu kitab-kitab yang besar seperti majmu’, Fathul Bari dan lain-lain tetapi untuk dibaca mungkin 5 atau 10 tahun akan datang (misalnya). Kerana wajib untuk kita selesaikan terlebih dahulu yang sepatutnya atau yang lebih kita hajatkan.

(5) Hafal matan atau ilmu yang ada kaitan dengan pengajian yang kita hajatkan atau sedang lalui. Dan bukannya sedang menekuni matan al-ajurrumiyah tetapi hafal matan alfiah misalnya.

(6) Sebaik-baik hafalan yang patut diberi keutamaan adalah al-Quran. Satu aib dan kerugian yang besar bagi seseorang  yang takharruj Jamiah tetapi tidak menghafaz al-Quran kamilan (penuh). Bagi sesiapa yang belum menghafaz al-Quran, rancang dan planlah daripada sekarang. Juga bagi yang telah menghafaz, jadikan setiap surah dalam al-Quran seperti al-fatihah.

Sebagai seorang tolibul ilm juga perlu banyakkan bacaan. Pilih satu kitab (daripada setiap cabang ilmu atau takhasus kita) yang akan sentiasa kita tekuni. Bawa dimana-mana sahaja. Semasa makan, minum dan tidur. Sehingga mana kitab tersebut sebati dengan kita. Sangat penting juga untuk kita menguasai satu mazhab (yang kita pilih). Pilihlah satu kita mazhab, yang akan kita rujuk sentiasa dan focus lebih daripada yang lain.

Kita juga kena banyakkan membaca kitab yang lain. Contohnya dalam dua bulan sekali, buat kajian atau bahas. Pilih satu tajuk yang mahu kita bincangkan, misalnya, sujud sahwi sebelum salam atau selepas salam. Bincangkan dalam bahas tersebut. Bawakan pandangan yang pelbagai daripada mazhab-mazhab yang pelbagai. Dengan itu, barulah kita mengetahui bagaimanakan penulisan-penulisan kitab-kitab mazhab seperti Syafie, Hanbali dan  lain-lain.

Dan yang terakhir, adakan perbincangan atau study group sesama kita, pelajar. Ini sangat penting, kerana dalam study group inilah kita akan sama-sama munaqasyah dan lihat sejauh mana kefahaman kita. Serta masa inilah, kita akan saling bantu membantu. Boleh jadi kita rasa kita sudah faham, tetapi sebenarnya apa yang kita faham tidak sama dengan  yang dikehendaki atau salah. Justeru, sahabat (dalam study group) boleh betulkan.

P/s : Sekadar yang sempat dicatat dan berlaku penambahan dan pengurangan supaya lebih menyampaikan makna serta ayat diolah menurut kefahaman penulis.

Wallahua’lam.. Moga bermanfaat.

12:59 am
Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad,
Madinah al-Munawwarah

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site