Wednesday, August 28, 2013

Perkembangan Perdagangan Di Melaka Pada Abad ke-15 | Bhg. 2

Posted by Tengku Ibrahim on 2:39:00 PM

Tajuk : 
Bincangkan perkembangan perdagangan di Melaka pada abad ke-15 dengan merujuk kepada sistem, jalinan jalan perdagangan dan barang dagangannya. [Bahagian 2]

Disediakan oleh :
(1) Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad (Sistem & Pentadbiran)
(2) Mohd Dzulazizi b Amilin (Jalinan Jalan Perdagangan & Barang dagangan)
_________________________________________________


Sistem dan Pentadbiran Pelabuhan

Kerajaan Melaka sebagai sebuah pusat dagangan yang besar dan antarabangsa, sudah semestinya mempunyai sistem dan pengurusan  tersendiri yang tersusun dalam mengendalikan pelabuhannya.  Hal ini kerana sudah tidak dapat dinafikan  bahawa kedudukan pelabuhan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang tersibuk dan terbesar di rantau ini pada masa itu. Ditambah lagi dengan  bilangan saudagar serta pedagang dari pelbagai negara yang tidak putus-putus mengunjungi Melaka sebagai antara pilihan utama mereka. Kata Duarto Barbosa, seorang penulis Portugis dalam abad ke-16 :
“....bandar raya Melaka ini adalah pelabuhan yang terkaya dengan jumlah pedagang borong yang terbesar dan perkapalan serta perdagangan yang sungguh banyak yang dapat diperolehi di seluruh dunia.”[1]
Kesibukan di pelabuhan Melaka dapat dilihat melalui catatan Tome Pires bahawa di pelabuhan Melaka biasanya terdapat lapan puluh empat bahasa yang dituturkan dan setiap pertuturan tersebut adalah berbeza.[2] Selain itu, Tome Pires juga pernah mengatakan bahawa pada setiap tahun terdapat sekurang-kurangnya 100 buah kapal besar dan kira-kira 30 hingga 40 buah kapal-kapal kecil datang ke pelabuhan Melaka. Tambahan beliau lagi, pelabuhan Melaka begitu besar sehingga boleh menampung hampir dua ribu buah kapal yang berbagai-bagai saiz untuk sesuatu masa.[3]
Untuk penulisan ini, saya telah membahagikan sistem-sistem serta pentadbiran pelabuhan Melaka kepada beberapa kategori :

(1)Sistem Pelabuhan Perkapalan[4]

Apabila kapal dagangan masuk ke pelabuhan Melaka, nakhodanya perlu melaporkan diri kepada Syahbandar  yang bertanggungjawabbagi negeri tertentu. Kemudian, setelah mengadap orang besar tertentu atau raja Melaka sendiri  dengan membawa hadiah, barulah sebuah gudang khas dikhususkan untuknya. Kebiasaannya, sebelum berdagang, para pedagang dikenakan cukai kastam ke atas barang dagangannya. Dan cukai tersebut, berbeza mengikut dari mana pedagang datang. Hal ini sebenarnya, jika kita lihat,sistem kapal berlabuh ini sama seperti sistem imegresen yang digunakan oleh kebanyakkan negara sekarang. Para pedagang atau bukan warganegara perlu mengikut garis panduan tertentu bagi memasuki negara lain.

             (2) Cukai

Para pedagang dikenakan cukai yang adil. Sistem cukai di Melaka berdasarkan pada ‘preferential tariff system’. Ini bererti bahawa cukai dikenakan mengikut dari mana dagangan itu datang.[5] Pada umumnya, terdapat dua jenis bayaran atau cukai bagi urusan import atau membawa masuk barang dagangan. Bayaran pertama ialah bersifat rasmi yang tertakluk kepada penetapan kadar yang telah dibuat, yang turut juga dinamakan sebagai custom duties manakala bayaran yang kedua ialah berbentuk bayaran tidak rasmi atau hadiah yang harus diberikan kepada Raja, Bendahara, Temenggung dan Syahbandar yang mewakili bangsa nakhoda berkenaan.[6] 

Negeri-negeri seperti India, Selon, Pegu, Parsi dan dunia Arab dikenakan cukai enam peratus manakala pedagang tempatan dikenakan cukai sebanyak tiga peratus. Pedagang-pedagang dari China, Jepun, Jawa dan Maluku tidak dikenakan cukai tetapi dikehendaki memberikan hadiah kepada raja Melaka dan pembesar-pembesarnya.[7] Namun demikian, Muhammad Yusoff Hashim menyebut di dalam bukunya, bahawa pedagang dari China dan Jepun dikenakan cukai import sebanyak lima peratus.[8]

Selain daripada itu, di Melaka import bagi bahan-bahan makanan mendapat keistimewaan iaitu bebas daripada cukai. Bayaran bagi bahan-bahan makanan ini kebiasaannya termasuk ke dalam lingkungan hadiah sahaja.[9] Saudagar- saudagar yang dimestikan untuk mematuhi peraturan ini ialah kapal-kapal yang membawa bahan-bahan makanan tidak kira sama ada dari bahagian timur dan selatan Melaka, Gugusan Kepulauan Melayu,pantai barat Tanah Melayu dan sebagainya. Dasar cukai terhadap bahan import seperti ini berkait rapat dengan keadaan Melaka yang kurang sesuai untuk pertanian. Justeru, sudah semestinya kerajaan Melaka meletakkan dasar yang mudah  dan istimewa bagi bahan-bahan makanan dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan untuk penduduk tempatan.

Terdapat juga satu jenis cukai bagi mereka yang tinggal atau menetap di Melaka. Tome Pires mengatakan bahawa saudagar yang datang dari Gugusan Kepulauan Melayu dan saudagar asing yang datang dari Barat yang ingin menetap bersama keluarga mereka di Melaka akan dikenakan cukai sebanyak 3 peratus . Selain daripada itu, suku-suku Melayu Nusantara pula akan dikenakan royal tax sebanyak 3 peratus dan sebanyak 6 peratus bagi saudagar dari Barat Asia.[10]

Setelah semua cukai dijelaskan atau dibayar, barulah urusan jualan barangan pun bermula di sepanjang jambatan Melaka, pasar-pasar dan sebagainya. Kerajaan Melaka akan mengeluarkan sejenis lesen kebenaran berniaga kepada para peniaga dan penjual. Pengeluaran lesen ini juga adalah sebahagian daripada sumber pendapatan kerajaan.[11]






[1] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Op.cit. Hal.134.
[2] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Ibid.
[3] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Hal.239.
[4] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Op.Cit. Hal.114. Lihat juga Malaysia Negara Kita. 2009. MDC Publishers Sdn.Bhd. Hal.37
[5] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Ibid. Hal.135
[6] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Hal.254. Tome Pires menganggap bayaran kedua ini sebagai perbuatan memeras oleh pihak atasan dan mengatakan bahawa para pedagang menganggap bayaran yang kedua ini sebagai suatu penindasan.
[7] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Op.Cit.
[8] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Hal.254
[9] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid.
[10] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid. Hal.255
[11] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid. 

0 comments:

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site