Monday, September 02, 2013

Perkembangan Perdagangan Di Melaka Pada Abad ke-15 | Bhg. 3

Posted by Tengku Ibrahim on 1:16:00 PM

Tajuk : 
Bincangkan perkembangan perdagangan di Melaka pada abad ke-15 dengan merujuk kepada sistem, jalinan jalan perdagangan dan barang dagangannya. [Bahagian 3]

Disediakan oleh :
(1) Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad (Sistem & Pentadbiran)
(2) Mohd Dzulazizi b Amilin (Jalinan Jalan Perdagangan & Barang dagangan)
__________________________________________________


  3. Kemudahan Prasarana di Pelabuhan Melaka.

Pemerintah Melaka juga menyediakan gudang untuk pedagang menyimpan barang dagangan mereka. Gudang-gudang ini dikelilingi oleh pagar dan pintu serta dikawal oleh penjaga. Sebahagian gudang berada di bawah tanah.[1] Selain daripada itu, Melaka juga menyediakan kemudahan penginapan kepada para pedagang yang ingin menetap dan terdapat jumlah kadar yang perlu dibayar sebagaimana yang telah saya terangkan sebelum ini.

Melaka juga menyediakan kemudahan-kemudahan lain seperti kapal-kapal yang rosak boleh dibaiki di pelabuhan. Selain itu, kapal, perahu, jong, lancar, gajah dan pekerja disediakan oleh Syahbandar untuk mengangkut barang ke gudang. Kerajaan Melaka juga turut menyediakan bekalan makanan dan minuman kepada para saudagar.[2] Tome Pires pernah mengatakan bahawa pada setiap tahun terdapat sekurang-kurangnya 100 buah kapal besar dan kira-kira 30 hingga 40 buah kapal-kapal kecil datang ke pelabuhan Melaka. Tambahan beliau lagi, pelabuhan Melaka begitu besar sehingga boleh menampung hampir dua ribu buah kapal yang berbagai-bagai saiz untuk sesuatu masa[3]. Kenyataan Tome Pires itu jelas menunjukkan bahawa mustahil dengan bilangan kapal yang sebegitu banyak datang berlabuh di Melaka menyebabkan kerajaan tidak terfikir untuk menyediakan apa-apa infrastruktur atau kemudahan-kemudahan bagi para pedagang.

Selain daripada itu, gedung-gedung serta gudang-gudang yang disediakan terjamin daripada api, kerosakkan dan kecurian.[4] Dan gudang tersebut mestilah mampu untuk menyimpan bahan-bahan makanan dalam masa atau tempoh yang tertentu. Infrastruktur dan kemudahan yang disediakan ini perlu banyak dan berkualiti kerana saudagar-saudagar dari India, China dan Kepulauan di sebelah Timur tidak sampai pada waktu yang sama oleh sebab semua perjalanan laut sangat bergantung pada tiupan angin monsun.

4. Melaka terkenal kerana mementingkan keselamatan.

Antara faktor yang menyebabkan Melaka terkenal dan menjadi pilihan pedagang kerana jaminan keselamatan yang diberikan. Unsur-unsur dan jaminan keselamatan gudang-gudang, gedung-gedung, kediaman pedagang dan lain-lain kemudahan yang disediakan terjamin daripada api, kerosakan dan kecurian adalah perlu. Jaminan keselamatan kerajaan Melaka terhadap gedung yang disediakan pada awal abad ke-15 dapat dilihat daripada keterangan Ma Huan dan Fei Hsin. Ma Huan dan Fei Hsin menyebut bahawa para saudagar China telah mendapati bahawa Melaka telah membina gedung yang dikelilingi oleh pagar kayu dan mempunyai pintu-pintu yang berkunci. Gedung ini dikawal oleh penjaga yang bersedia untuk menyembunyikan loceng sekiranya terjadi sesuatu kekecohan dan kecemasan.[5]

Unsur keselamatan bagi perlindungan para pedagang penting juga. Angkatan laut Melaka di bawah panglima laut Laksamana Hang Tuah serta Orang laut atau Orang Selatnya sentiasa meronda di laut dan memberikan perlindungan kepada kapal-kapal pedagang yang datang ke Melaka.[6]Selain itu, Orang Laut juga dapat membantu menentang lanun di Selat Melaka kerana lanun boleh menjejaskan keselamatan di perairan. Selain daripada itu juga, antara tujuan diadakan 25 fasal dalam Undang-undang Laut Melaka ialah untuk menjamin keselamatan sebagaimana telah disebut oleh Muhammad Yusoff Hashim di dalam bukunya iaitu,[7]
“...supaya sentosa kepada pekerjaan di dalam pelayaran, supaya jangan bersalahan dan jangan membinasakan adat dalam pelayaran, supaya selamat pekerjaan di laut....supaya jangan (ber)soal (ber)bantah di laut.... jangan bersalahan pada kata dan perbuatan dengan segala handai taulannya, dengan segala sahabatnya yang ada bersama-sama dengan dia dan supaya jangan menitiskan darah rakannyayang sama-sama (belayar) dengan dia.”

Tambahan pula, ketokohan laksamana itu sendiri turut diiktiraf oleh masyarakat dalam menjamin keselamatan Melaka khususnya di laut. Laksamana itu sendiri ialah sebagai raja di laut. Taraf dan fungsi Laksamana didapati semakin tinggi dan penting selari dengan perkembangan kedudukan kerajaan Melaka yang semakin memuncak dan gemilang. Hal ini kerana peranan Laksamana itu sendiri khususnya dalam menjaga keselamatan di Melaka sama ada di laut dan di darat. Tugas dan fungsi laksamana ini jelas digambarkan oleh sumber Portugis iaitu Tome Pires menyebut,[8]
“The Lasemana is a kind of admiral. He is the chief of all the fleet at sea. Everybody at sea, and junks and lancharas are under this man’s jurisdiction. He is the King’s guard. Every khight (and) mandarin is under his orders. He is almost as important as the Bemdara – in war matters he is much more important and more feared.”

Kata-kata Tome Pires di atas  jelas menunjukkan bahawa betapa besarnya peranan dan ketokohan Laksamana itu dalam memelihara keselamatan, seterusnya memberi kepercayaan kepada para pedagang untuk terus berdagang di Melaka.








[1] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2. Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Hal.115
[2] KEGEMILANGAN MELAKA SEBAGAI PUSAT PERDAGANGAN ANTARABANGSA. (http://cgrohaida.blogspot.com/2011/04/kegemilangan-melaka-sebagai-pusat.html). 23 Ogos 2013.
[3] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Op.Cit. Hal.239.
[4] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2. Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Hal.115
[5] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Op.Cit. Hal.243.
[6] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Op.Cit.
[7] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Op.Cit. Hal.270.
[8] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid. Hal.177

0 comments:

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site