Monday, September 02, 2013

Perkembangan Perdagangan Di Melaka Pada Abad ke-15 | Bhg. 5

Posted by Tengku Ibrahim on 2:38:00 PM

Tajuk : 
Bincangkan perkembangan perdagangan di Melaka pada abad ke-15 dengan merujuk kepada sistem, jalinan jalan perdagangan dan barang dagangannya. [Bahagian 5]

Disediakan oleh :
(1) Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad (Sistem & Pentadbiran)
(2) Mohd Dzulazizi b Amilin (Jalinan Jalan Perdagangan & Barang dagangan)
_____________________________________________


8. Undang-undang (kanun) di Melaka.

Secara ringkasnya, terdapat dua kanun yang terdapat di Melaka iaitu yang pertama ialah Hukum Kanun Melaka dan yang kedua ialah Undang-undang Laut Melaka. Hukum Kanun Melaka mengandungi  44 fasal yang merangkumi segala aspek dan bidang kuasa yang melibatkan pusat negeri Melaka termasuklah hal-hal yang melibatkan tanggungjawab pemerintah dan pembesar-pembesar, undang-undang keluarga, dan hukuman-hukuman bagi kesalahan jenayah dan awam. Manakala Undang-undang Laut Melaka mengandungi 25 fasal yang mana kesemuanya melibatkan peraturan mengenai laut seperti tanggungjawab pegawai kapal, aturcara pelayaran, perniagaan atau jual beli di pelabuhan, bidang kuasa nakhoda kapal,hukuman kesalahan jenayah dan hanya satu fasal sahaja yang berlandaskan Islam.[1]

Sebenarnya saya tidak berhasrat untuk membahaskan kedua-dua kanun ini. Dalam penulisan ini, cukuplah sekadar saya hanya menerangkan Undang-undang Laut Melaka sahaja, bertepatan dengan tajuk yang hendak dibincangkan iaitu sistem pelabuhan Melaka pada abad ke-15. Undang-undang Laut Melaka adalah merupakan salah satu undang-undang bertulis yang penting dalam memastikan perjalanan perdagangan di Melaka dapat berjalan lancar tanpa sebarang masalah yang timbul. Oleh sebab itu, dalam undang-undang ini telah menggariskan tentang tanggungjawab atau jobskop pegawai-pegawai atau orang-orang yang terlibat dengan aktiviti di pelabuhan seperti Syahbandar, nakhoda, kiwi, jurumudi, sida-sida di dalam kapal dan lain-lain. Perkara ini telah dijelaskan di dalam fasal 1yang mana telah menggariskan gelaran pegawai dan tugas-tugas serta bidang kuasa masing-masing, mengikut tingkat tertinggi ke tingkat yang paling rendah.[2] Sebagaimana yang dapat dilihat pada gambar rajah 1 di bawah.


                        Di dalam Undang-undang Laut Melaka juga turut mengandungi hukuman ke atas mereka yang ingkar atau menyalahi undang-undang. Sebagai contoh, sekiranya seorang awak-awak yang enggan mengikut perintah tukang agung boleh disebat dengan tujuh kali sebatan oleh jurubatu. Contoh yang lain, jika seseorang penumpang ditangkap kerana berzina dan sabit kesalahan maka hukumannya ialah bunuh bagi pasangan yang telah berkahwin dan bagi pasangan yang masih bujang akan disebat sebanyak seratus kali atau didenda dengan nilai emas sebanyak setahil sepaha.[3]          Begitulah juga dengan fasal-fasal yang lain, semuanya melibatkan hal-hal perdagangan dan urusannya yang berkaitan. Kesimpulannya, Undang-undang Laut Melaka sangat berperanan dalam mengatur, mengawal, memberi dan melindungi hak saudagar-saudagar serta pihak-pihak yang terlibat dalam perdagangan sebagaimana fungsi dan objektif undang-undang itu sendiri.[4]

9. Peranan nakhoda
            Apabila munculnya Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot dan pusat perdagangan antarabangsa serta wujudnya masyarakat pedagang tempatan dan asing di Melaka, fungsi nakhoda dalam organisasi perdagangan dan perkapalan di Melaka menjadi amat penting. Malah ianya menjadi satu sistem dan ketentuan kepada kegiatan perdagangan dan perniagaan dalam sebuah kerajaan yang amat bergantung pada kegiatan ini. Kedudukan nakhoda sangat penting dalam kedua-dua sektor tersebut sehingga taraf, bidang kuasa dan tugas nakhoda dirakamkan sebagai undang-undang dalam Undang-undang Laut Melaka.[5]

            Selain daripada itu, tugas nakhoda seolah-olah seperti raja di dalam kapal. Dan nakhoda jualah sahaja yang dibenarkan berjumpa dengan Syahbandar apabila kapal mereka berlabuh, untuk membayar cukai dan memberi hadiah kepada pembesar sebelum dibenarkan untuk berdagang di Melaka.  Antara keistimewaan nakhoda juga ialah kuasa membunuh jika sabit kesalahan hanya terletak di tangan nakhoda sahaja sebagaimana termaktub di dalam Undang-undang Laut Melaka.[6] Penetapan dan penaiktaraf nakhoda ini sebenarnya memudahkan dan melicinkan lagi sistem pentadbiran pelabuhan di Melaka.

10. Peranan empat orang Syahbandar di Melaka.

            Sejarah Melaka telah menunjukkan bahawa walaupun Syahbandar tidak termasuk dalam pembesar empat lipatan, namun peranan Syahbandar sangat penting terutamanya dalam urusan pelabuhan. Tome Pires mengatakan bahawa institusi  Syahbandar berkait dengan organisasi Perbandaran Melaka. Syahbandar boleh digelar sebagai ‘raja pelabuhan’ kerana mengendalikan organisasi dan sistem perkapalan, pengendalian cukai, pengawal bagi urusniaga dan urusan dagang, pentadbir anak-anak yatim, menjadi ketua para nakhoda dan sebagai pegawai kebajikan di bandar Melaka.[7]

            Meilink-Roelofsz yang merujuk kepada sumber Portugis yang bukan daripada Tome Pires menambah bahawa tugas awam Syahbandar  termasuklah mengawas perjalanan dan organisasi pasar dan gudang-gudang simpanan barangan dagang serta keselamatannya. Selain daripada itu, antara tugas Syahbandar juga ialah mengawal sistem timbangtara dalam berat dan ukuran bagi semua transaksi perniagaan, serta juga menjaga nilai mata wang. Oleh yang demikian, Syahbandar bertanggungjawab dalam mengawal turun naik nilai mata wang dan mengawal daripada berlakunya inflaksi.[8]

Susunan tadbiran pelabuhan Melaka juga semakin berubah dengan adanya empat orang syahbandar bagi setiap kumpulan negeri [9]:

a)      Seorang untuk Gujerat kerana saudagarnya yang paling ramai.
b)      Seorang untuk orang India dari India Selatan serta Benggala bersama-sama dengan saudagar-saudagar Pegu (Burma) dan Pasai.
c)      Seorang khas untuk Jawa, Maluku, Bandar, Palembang, Kalimantan  dan Filipina.
d)     Seorang bagi saudagar-saudagar dari negeri China, Campa, Siam dan Pulau-pulau Ryukyu (mungkin termasuk Jepun).

Setiap Syahbandar ini akan mengurus perihal kumpulan di bawah seliaannya. Dialah juga yang akan menjadi orang tengah apabila ada pertelingkahan di antara nakhoda dan saudagar. Walau bagaimanapun, Sultan Melaka bertindak sebagai penyelesai mutlak di antara golongan pedagang di Melaka.[10]


[1] Noor Aziah Mohd Awal. 2004. Pengenalan Kepada Sistem Perundangan Di Malaysia. Cet.2. Selangor:International Law book Services (ILBS). Hal.18-19.
[2] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Op.Cit.Hal.267
[3] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid. Hal.267-268.
[4] Zaini Yusnita Mat Jusoh. et al. 2012. Pengantar Kepada Sistem Perundangan Di Malaysia. Selangor : KUIS. Hal.4-5
[5] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Op.Cit. Hal.181.
[6] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid. Hal.268.
[7] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid. Hal.179.
[8] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid. Hal.179-180.
[9] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2. Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Hal.115.
[10] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Ibid.

0 comments:

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site