Monday, September 02, 2013

Perkembangan Perdagangan Di Melaka Pada Abad ke-15 | Bhg. 4

Posted by Tengku Ibrahim on 1:24:00 PM

Tajuk : 
Bincangkan perkembangan perdagangan di Melaka pada abad ke-15 dengan merujuk kepada sistem, jalinan jalan perdagangan dan barang dagangannya. [Bahagian 4]

Disediakan oleh :
(1) Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad (Sistem & Pentadbiran)
(2) Mohd Dzulazizi b Amilin (Jalinan Jalan Perdagangan & Barang dagangan)
_______________________________________________

5. Kaedah-kaedah perniagaan dan mata wang yang digunakan.


Urusan perniagaan dijalankan melalui dua cara, iaitu pertama melalui sistem tukar barang (barter) dan yang kedua melalui proses penjualan dan pembelian.[1]Perniagaan kebiasaannya juga berlangsung di pasar-pasar, warung-warung di jambatan atau di tepi jalan di depan rumah masing-masing[2] selain daripada di pelabuhan Melaka. Dalam proses jual beli, wang yang digunakan ialah wang logam yang diperbuat daripada kaleng (calains) dalam bentuk timah. Pada kepingan timah ini terpahat nama Sultan Melaka yang memerintah[3]. Selain daripada itu, Emas dan perak turut juga digunakan dalam urusan perniagaan. Duit emas, perak dan timah dari Pasai dan Pedir serta kepingan wang daripada Hormuz, Kembayat, dan Gujerat turut terdapat di Melaka.  Hal ini membuktikan bahawa penggunaan wang asing telah lama bertapak  dan digunakan di Melaka.

Diceritakan bahawa Parameswara, sekembalinya dari negeri China pada tahun 1412 telah membawa balik hadiah wang daripada Maharaja Yung Lo sebanyak 2600 untaian duit tembaga dan wang kertas.[4] Walaupun demikian, duit Melaka tidak menggunakan model negeri China, tetapi berdasarkan pitis daripada Pasai. Tome Pires juga mendakwa bahawa pengenalan dan penggunakan wang di Melaka dipengaruhi secara langsung daripada tradisi perniagaan Pasai.[5]Disebutkan juga bahawa besar kemungkinan, pedagang Muslim dari Pasai yang mempengaruhi penerbitan duit jenis dinar emas dan duit timah yang dikilang di Melaka. Duit timah telah dikilang sejak daripada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1445-1459) dan seterusnya duit-duit kerajaan Melaka yang berikutnya ialah semasa pemerintahan Sultan Mansur Syah (1459-1477), Sultan Mahmud Syah (1488-1528) dan Sultan Ahmad syah (1510).[6]

Pertukaran mata wang juga berlaku di pelabuhan Melaka, di antara mata wang asing dengan mata wang tempatan. Seratus calains dikatakan bersamaan dengan tiga cruzados. Ukuran harga atau nilai mata wang tersebut dikawal oleh Syahbandar. Syahbandar berperanan besar dalam memastikan transaksi perniagaan berjalan dengan adil dan saksama. Peranan Syahbandar yang seterusnya akan saya perincikan lagi selepas ini di dalam satu tajuk khusus. Maka dapat kita membuat kesimpulan bahawa, kerajaan Melaka pada masa ini telah mempunyai  satu sistem yang khusus tentang bagaimana perniagaan berjalan  dan mata wang yang digunakan.


6. Sistem timbangan dan nilai mata wang.

Melaka selain daripada mempunyai sistem perniagaan dan mata wangnya yang tersendiri,  ia juga mempunyai jadual khusus tentang nilai pertukaran mata wang dan timbangan.  Timbangan diukur dengan unit tahil dan kati. Sekati pada masa itu bersamaan dengan 20 tahil atau disebut tundaya. Setahil bersamaan dengan 16 mas. Satu mas bersamaan dengan 20 cumduryns atau 4 cupoes. Empat mas dikira bersamaan dengan satu pau. Satu pau bersamaan dengan empat cumduryns. Satu tahil bersamaan dengan sebelas setengah drams. Sekati dalam nilai emas bersamaan dengan dua puluh lapan setengah aunces. Emas, perak, bahan wangian, kapur, kelembak dan permata ditimbang dengan menggunakan ukuran kati. [7]Saya melihat sebenarnya sedikit sebanyak mata wang atau nilai pertukaran di Melaka ada dipengaruhi oleh China dan Barat, apabila melihat kepada nama-nama dan nilai-nilainya.

Transaksi ini telah diselia dan dipantau oleh Syahbandar bagi memastikan keadilan dan hak sama rata dapat diberikan kepada semua pedagang.  Selain itu, sistem ini juga adalah untuk mengawal inflasi dan mencegah harga barangan daripada melambung tinggi. Sistem ini telah didakwa oleh Tome Pires bahawa penyelewengan dan pemalsuan sering terjadi walaupun sebenarnya tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa pedagang asing sering mengalami kerugian dalam sistem timbangan ini.[8] Walau bagaimanapun, saya melihat bahawa sistem timbangan yang telah disusun oleh kerajaan Melaka sangat sistematik kerana bukan satu kerja yang senang untuk menentukan nilai-nilai mata wang tempatan dan juga mata wang asing, lebih-lebih lagi pada kurun yang ke-15. Ditambah lagi dengan ramainya saudagar daripada seluruh pelusuk dunia yang datang berdagang di Melaka sebagaimana Tome Pires pernah menyebut bahawa lebih daripada 80 buah bahasa dipertuturkan  di pelabuhan Melaka. Maka, tidak hairanlah sekiranya ada kesilapan atau pintas memintas dalam transaksi tersebut.


7. Wujudnya golongan kiwi yang mengendalikan perdagangan bagi pihak pembesar.

Kiwi ialah saudagar yang menghantar dan menyebarkan barangan . Sekiranya kiwi tidak dapat turut sama, maka urusan prdagangannya diwakilkan kepada maula kiwi yang akan menjual barangan di negeri yang dituju.[9] Dalam bahasa moden kiwi boleh dikatakan berperanan sebagai orang tengah atau pemborong yang akan berunding harga dengan pembekal, kemudian merekalah yang akan menjualnya atau mengedarkannya.

Dalam fasal 10 Undang-undang Laut Melaka menyebut bahawa kebiasaannya nakhoda, Kiwi atau Maula Kiwi yang memiliki banyak petak[10]. Daripada kenyataan di atas membuktikan bahawa Kiwi juga berperanan sebagai saudagar yang turut menjalankan perniagaan kerana mereka juga mempunyai atau memiliki petak-petak[11].

Kiwi menjalankan perniagaannya dengan menggunakan kapal melalui empat cara yang mengikut ‘hukum kiwi’ iaitu[12] :

a)      Kiwi membeli hak terhadap petak-petak kapal.
b)      Kiwi tidak membeli hak terhadap petak tetapi menambahkan modal nakhoda kapal berkenaan dengan nilai tiga atau empat tahil emas. Sekiranya dinilai dari segi dagangan biji-bijian, Kiwi berkenaan diberikan hak  ‘share’ dua atau tiga koyan oleh pemilik kapal berkenaan.
c)      Kiwi tersebut mengambil  7 atau 8 petak sebagai ‘share’ pada ruang muatan kapal.
d) Kiwi tidak membeli petak tetapi berjanji akan menyerahkan 3/10 daripada bahagiannya sebagi cukai kepada nakhoda.

Petak dalam sesebuah kapal di Melaka mungkin besar kerana disebut oleh Tome Pires bahawa 2 atau 3 orang akan bertugas untuk menjaga suatu petak.[13] Mungkin kita lihat, Kiwi atau Maula Kiwi tidak ubah hanya seperti saudagar seperti kebanyakkan saudagar-saudagar yang lain. Namun tidak dapat dinafikan, fungsi serta peranan institusi Kiwi itu sendiri sangat penting. Hal ini kerana Kiwi dan Maula Kiwilah yang bertindak sebagai orang tengah di antara satu saudagar dengan saudagar yang lain daripada berbeza negara atau diantara saudagar dengan peniaga tempatan. Mereka jugalah yang bertindak sebagai pengedar,promosi serta pembekal suatu barangan. Mereka jugalah jua yang memastikan barang-barang dagangan habis terjual, khususnya  bahan-bahan makanan yang kita telah maklum tidak dapat disimpan dalam tempoh yang lama. Itulah sifat atau tugasan Kiwi sebagai orang tengah.

Maka tidak dapat dinafikan kepentingannya dalam kerajaan Melaka khususnya dalam menjadikan pelabuhan Melaka sebagai sebuah entrepot yang masyhur dengan  pemindahan, pengedaran dan pengumpulan barang-barang dagangan ke seluruh pelusuk kawasan perdagangan. Kepentingan mereka juga terbukti sehingga dimasukkan satu fasal khusus tentang Kiwi dan Maula Kiwi di dalam Undang-Undang Laut Melaka.


(Contoh Matawang yang digunakan pada zaman ini )




[1] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid. Hal.255. Lihat juga Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2. Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Hal.115.
[2] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Ibid. Hal.114.
[3] Malaysia Negara Kita. 2009. MDC Publishers Sdn.Bhd. Hal.38.
[4] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Op.Cit.
[5] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Op.Cit.
[6] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Op.Cit. Hal.116
[7] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Op.Cit.Hal.255-257. Tome Pires telah memperkatakan sistem timbangan ini dengan amat terperinci.
[8] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid.
[9] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2. Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Hal.116
[10] Kapal dagangan akan dibahagikan kepada ruang-ruang muatan. Dalam fasal 10 Undang-undang Laut Melaka menyebut rauang-ruang ini sebagai ‘petak’. Tome Pires menyebutnya sebagai peitaca. Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Op.Cit.Hal.259.
[11] Petak-petak inilah yang akan menjadi sebagai asas penentu hak dan saiz bahagian seseorang pedagang yang memperdagangkan barangannya dalam sesebuah kapal. Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid.
[12] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid.
[13] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid.

0 comments:

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site