Friday, November 25, 2011

Pandangan | Doa Awal Tahun dan Akhir Tahun

Posted by Tengku Ibrahim on 10:12:00 AM

Petang sebelum berakhirnya waktu Asar menandakan tahun Hijrah 1432 akan pergi meninggalkan kita. Kemudian menjelang sahaja selepas Maghrib tahun baru Hijrah 1433 akan muncul. Sudah pasti ada di kalangan kita yang akan membaca 'doa awal tahun' dan 'doa akhir tahun'. Lafaz doanya ‘disunatkan’ dibaca sebanyak tiga kali, dan dikatakan fadhilat doa ini ialah apabila dibaca, maka syaitan akan berkata, “Kesusahan bagiku, dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua”. Disebut juga, dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun.

Begitu besar sekali fadhilat bacaan "Doa Akhir Tahun" dan "Doa Awal Tahun",sehinggakan tidak hairanlah sekiranya ramai dalam kalangan kita, masyarakat pada hari ini begitu mempercayainya. Saya teringat, pernah suatu masa dahulu ditanya mengenai permasalahan ini. Bolehkah kita membaca doa-doa ini,sedangkan nabi tidak pernah buat. Betul ke fadhilat yang diceritakan? Dari mana datangnya doa-doa ini? Justeru adakah ini termasuk dalam bid'ah ataupun dibolehkan untuk kita mengamalkannya?

Saya tersenyum sahaja apabila mendengar persoalan-persoalan ini. Saya berkata, tidak salah sekiranya kita hendak mengakhiri dan memulakan sesuatu tahun baru dengan doa. Cumanya persoalannya ianya dilarang, jikalau kita mengkhususkan sesuatu ibadah yang tidak sepatutnya,lebih-lebih lagi disertakan pula sekali dengan fadhilat yang kadang-kadang tidak diketahui datang daripada mana, bukan daripada nas-nas al-Quran dan as-Sunnah. Inilah yang dikhuatiri,masyarakat lebih mengutamakan perkara-perkara ini daripada perkara-perkara yang memang disebut fadhilatnya di dalam nas-nas yang sahih. Adapun sekiranya kita hendak membaca doa,ataupun hendak membuat azam baru itu adalah perkara yang sangat baik islam, dalam kita hendak mengtransformasikan diri ke arah lebih baik dan doa yang hendak dibaca adalah bebas, terpulang doa apa pun. Sesungguhnya tiada doa khusus dalam Islam untuk akhir tahun dan awal tahun.

Dr Asri ketika mana beliau ditanya mengenai "Adakah doa-doa khas awal tahun yang dibaca, atau majlis-majlis bacaan khusus sempena awal tahun itu berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w?".
Beliau menjawab : Tidak pernah Rasulullah s.a.w. mengajar lafaz khusus doa bagi awal tahun baru hijrah atau akhir tahun. Apa tidaknya, penentuan tahun hijrah itu sebagai perkiraan kalender kita ditetapkan oleh Amirul Mukminin ‘Umar Ibn al-Khattab bagi memudahkan urusan pentadbiran kaum muslimin.

Namun secara umum seseorang boleh berdoa dengan apa-apa lafaz dan untuk apa-apa hajat sekalipun. Selagi mana tidak menyanggahi syarak, termasuklah hajat agar tahun yang dimasuki tersebut dilimpahkan kebaikan.

Adapun majlis-majlis khusus untuk doa atau zikir khas bagi tahun baru tidak pernah diajar Nabi s.a.w juga para sahabah baginda. Bahkan Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab yang memulakan perkiraan tahun Islam dengan dengan tahun berlakunya hijrah Nabi s.a.w. itu pun tidak pernah mengadakan majlis ibadah khusus yang seperti itu.

Tidaklah kita ini lebih tahu mengenai hal ehwal ibadah melebihi Nabi s.a.w. Sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Rasulullah s.a.w.

Beliau pun pernah juga ditanya mengenai "Apakah kita langsung kita tidak boleh mengadakan sebarang majlis pada awal tahun hijrah?"

Beliau menjawab : Sambutan Hijrah ini tidak boleh buat atas asas ianya amalan khas agama ini. Ini kerana kepercayaan sedemikian boleh membawa kepada mengada-adakan perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w. dalam soal ibadah atau menokok tambah agama sedangkan baginda bersabda: “Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama ini maka dia tertolak” (Riwayat Muslim).

Namun majlis mengingatkan rakyat tentang tahun baru ini -pada pandangan saya- boleh diadakan atas adat negeri atau bangsa dengan tujuan mengingatkan rakyat tentang tarikh baru sesuatu tahun dengan itu lalu membolehkan mereka merancang aktiviti dan menimbulkan semangat kesepakatan serta kesungguhan.

Perhimpunan menggerakkan semangat pencapaian dan kerja adalah urusan kehidupan yang diboleh syarak selagi tiada dalil tentang keharamannya. Ia bukan ibadah khusus.

Di samping itu, seperti mana apabila kita melintasi sesuatu tempat atau negeri kita menyebut tentang sejarahnya, demikian apabila kita melintasi sesuatu tarikh kita menyebut tentang sejarahnya. Sebagai satu pengajaran dan proses pembelajaran. Ia dibolehkan.

Namun ibadah yang khusus sempena tarikh berkenaan tidak boleh dilakukan melainkan terdapat dalil yang sabit daripada baginda Nabi s.a.w.

Sumber : (www.drmaza.com)

0 comments:

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site