Sunday, October 04, 2015

Rukun-rukun Menuntut Ilmu

Posted by Tengku Ibrahim on 3:25:00 PM

Sebelum melelapkan mata, saya terpanggil untuk berkongsi sedikit pengisian yang saya dapat daripada syeikh kami (Syeikh Abal Khayl) di kelas pagi tadi, berkenaan ( أركان طلب العلم) rukun-rukun menuntut ilmu. Saya merasakan bahawa sangat penting untuk kita mengetahui tentang cara-cara dan bagaimana untuk kita menjadi penuntut ilmu yang baik.

Pertamanya, Syeikh telah membahagikan rukun-rukun menuntut ilmu kepada 5 rukun, iaitu

(1) Kehadiran pengajian (حضور الدروس) iaitu ada pengajian sama ada formal atau tidak formal.
(2) Hafazan  (الحفظ)
(3) Pembacaan (القراءة)
(4) Bahas (البحث)
(5) Perbincangan (المدارسة)

Pada perkongsian ini, saya akan lebihkan pada hanya beberapa rukun sahaja, dan tidak bermaksud rukun yang lain tidak penting tetapi sebab ruang dan masa yang terhad. Bagi rukun yang pertama (حضور الدروس), terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu

(1) Pengajian kelas yang khusus (berhajat)

Bagi bahagian ini terdapat dua perkara penting yang patut di titik beratkan iaitu mesti ada kitab yang disyarahkan yang mana pelajar berhajat kepadanya dalam pembinaan ilmu dan guru yang mensyarahkan kitab (ilmu) berkenaan, mesti pada waktu atau tempoh yang munasabah. Pengajian di Madinah sangat banyak merangkumi segala bidang ilmu. Dalam bahagian ini juga, para pelajar mesti tahu bahawa mereka berada pada level mana (permulaan, pertengahan atau tinggi) dan apakah kitab atau ilmu yang perlu diberi keutamaan terlebih dahulu atau yang berhajat. Contohnya, dalam ilmu nahu. Kebiasaannya, dimulakan dengan al-ajurrumiyah , kemudian qotrun nada, kemudian matan alfiah ibn Malik. Sekiranya kita masih permulaan (beginner) maka mesti mulakan dengan matan al-ajurrumiyah. Tetapi kalau kita telah melalui al-ajurrumiyah, maka level seterusnya yang patut kita utamakan adalah qotrun nada, dan begitulah seterusnya. Selain, mengetahui level kita, mencari guru yang mensyarahkan pada tempoh yang munasabah juga sangat penting. Contohnya, al-ajurrumiyah (2 bulan), qotrun nada (setahun) dan matan alfiah ibn Malik (2 tahun setengah). Hal ini kerana kita terlalu banyak lagi perkara yang hendak kita buat (sebagai pelajar), jadi belajar pada bukan tempoh yang sepatutnya sangat merugikan masa dan lain-lain. Misalnya, mempelajari  matan al-ajurrumiyah selama setahun, atau 5 tahun atau 10 tahun.

Selepas mengetahui apa yang kita hajatkan, maka penting untuk kita mencari dars atau pengajian bagi mempelajari ilmu berkenaan. Carilah daurah atau kelas-kelas di Masjid Nabawi atau mana-mana masjid. Sekiranya tidak ada, cari dan mintalah guru-guru atau syeikh yang boleh mengajar kita ilmu berkenaan; tidak terhad hanya kepada syeikh, boleh juga minta senior-senior di dirosah ulya (master atau phd) dan kalaulah sekiranya tidak ada juga maka bolehlah belajar melalui rakaman suara atau video. Dengan syarat, benar-benar menjadikannya seperti dars yang sebenar, bukannya dengar sebelum tidur atau sambil tidur atau sambil makan dan minum ataupun sambil main telefon. Tetapkan masa khusus.

(2) Menghadiri kelas dengan sebab untuk mendapatkan faedah yang mana tidak ada di masa lain.

Contohnya, menghadiri daurah yang hanya diadakan seminggu sekali atau sebulan sekali. Ataupun, menghadiri pengajian Syeikh yang sudah terlalu tua atau lama seperti Syeikh Muhsin Abad di Masjid Nabawi. Sepertimana, yang kita maklum syeikh mengajar Sahih Muslim. Sahih Muslim bukanlah kitab yang kita hajatkan lagi pada masa sekarang (untuk beginner) tapi kita hadirkan juga kerana atas sebab mahu dapatkan faedah daripanya, yang mana mungkin kita tidak lagi berpeluang pada masa yang lain.

(3) Kelas yang bukan kedua-dua di atas.

Contohnya, menghadiri kelas al-ajurrumiyah yang tidak masuk akal tempoh pengajiannya (setahun). Tetapi kita hadir, atas sebab mungkin untuk murajaah. Namun, keutamaan mesti lebih diberikan pada yang pertama dan kedua.

Sebelum berpindah kepada rukun yang seterusnya, iaitu hafazan. Ada beberapa perkara yang mesti seorang pelajar ambil perhatian.

(1) Seorang pelajar atau penuntut ilmu bukanlah dengan banyaknya pembacaan (buku yang pelbagai), bukanlah juga dengan banyaknya (memiliki) buku/kitab, bukanlah dengan banyaknya menghafaz tetapi tarkiz (fokus). Fokus pada satu-satu bidang atau apakah cabang ilmu yang kita mahu kuasai.

(2) Kita mestilah mengusai setiap asal (asas) dalam setiap cabang ilmu dengan sebaiknya.

(3) Pilih satu kitab (daripada setiap cabang) dan bacalah sebanyak sekurang-kurangnya 30 kali dan bukannya membaca sebanyak 30 kitab. (khusus untuk mubtadiin)

(4) Bacalah kitab yang sesuai dengan level kita. Dan tidak salah kalau kita mahu membeli dahulu kitab-kitab yang besar seperti majmu’, Fathul Bari dan lain-lain tetapi untuk dibaca mungkin 5 atau 10 tahun akan datang (misalnya). Kerana wajib untuk kita selesaikan terlebih dahulu yang sepatutnya atau yang lebih kita hajatkan.

(5) Hafal matan atau ilmu yang ada kaitan dengan pengajian yang kita hajatkan atau sedang lalui. Dan bukannya sedang menekuni matan al-ajurrumiyah tetapi hafal matan alfiah misalnya.

(6) Sebaik-baik hafalan yang patut diberi keutamaan adalah al-Quran. Satu aib dan kerugian yang besar bagi seseorang  yang takharruj Jamiah tetapi tidak menghafaz al-Quran kamilan (penuh). Bagi sesiapa yang belum menghafaz al-Quran, rancang dan planlah daripada sekarang. Juga bagi yang telah menghafaz, jadikan setiap surah dalam al-Quran seperti al-fatihah.

Sebagai seorang tolibul ilm juga perlu banyakkan bacaan. Pilih satu kitab (daripada setiap cabang ilmu atau takhasus kita) yang akan sentiasa kita tekuni. Bawa dimana-mana sahaja. Semasa makan, minum dan tidur. Sehingga mana kitab tersebut sebati dengan kita. Sangat penting juga untuk kita menguasai satu mazhab (yang kita pilih). Pilihlah satu kita mazhab, yang akan kita rujuk sentiasa dan focus lebih daripada yang lain.

Kita juga kena banyakkan membaca kitab yang lain. Contohnya dalam dua bulan sekali, buat kajian atau bahas. Pilih satu tajuk yang mahu kita bincangkan, misalnya, sujud sahwi sebelum salam atau selepas salam. Bincangkan dalam bahas tersebut. Bawakan pandangan yang pelbagai daripada mazhab-mazhab yang pelbagai. Dengan itu, barulah kita mengetahui bagaimanakan penulisan-penulisan kitab-kitab mazhab seperti Syafie, Hanbali dan  lain-lain.

Dan yang terakhir, adakan perbincangan atau study group sesama kita, pelajar. Ini sangat penting, kerana dalam study group inilah kita akan sama-sama munaqasyah dan lihat sejauh mana kefahaman kita. Serta masa inilah, kita akan saling bantu membantu. Boleh jadi kita rasa kita sudah faham, tetapi sebenarnya apa yang kita faham tidak sama dengan  yang dikehendaki atau salah. Justeru, sahabat (dalam study group) boleh betulkan.

P/s : Sekadar yang sempat dicatat dan berlaku penambahan dan pengurangan supaya lebih menyampaikan makna serta ayat diolah menurut kefahaman penulis.

Wallahua’lam.. Moga bermanfaat.

12:59 am
Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad,
Madinah al-Munawwarah

0 comments:

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site