Friday, January 09, 2015

Tanda Cinta !

Posted by Tengku Ibrahim on 10:59:00 PM

Selepas pembukaan kota Makkah. Subhanallah.. Allah telah melapangkan hati-hati manusia dengan Islam dan mereka beramai-ramai telah memeluk agama Allah ini.

Hampir kesemua manusia telah memilih agama Allah kecuali sebahagian kabilah seperti kabilah Hawazin. Ketuanya Malik bin Auf telah melancarkan perang kepada Rasulullah saw. Dan pada 10 Syawal tahun 8H telah meletus peperangan antara 12 ribu tentera Muslimin dengan kabilah tersebut. Berakhir dengan kemenangan Islam. Seramai 4 orang telah syahid dan ketuanya memeluk Islam.

Pada tahun 9H difardhukan ke atas kaum Muslimin kewajipan haji. Dan pada 25 Zulkaedah tahun 10H Rasulullah saw telah berangkat meninggalkan bumi Madinah menuju ke Makkah al Mukarramah bagi menunaikan haji bersama para sahabat. Baginda saw dan para sahabat telah sampai di Makkah pada hari ke-4 bulan Zulhijjah tahun 10H.

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu."(5:3)

Pada akhir bulan Safar tahun 11H, telah kelihatan tanda-tanda sakit dan penat pada Rasulullah saw. Baginda mula sakit ketika di rumah Ummul Mukminin Maimunah binti al Haris r.a. Ketika sakit baginda mula tenat, berada di rumah Ummul Mukminin Aisyah r.a. dan telah wafat di sana pada 12 Rabiul Awal 11H. Jasad baginda telah disemadikan di rumah Ummul Mukminin Aisyah r.a.

Itulah detik paling mendukacitakan buat para sahabat. Sebahagian mereka tidak dapat menerimanya. Itulah tanda kecintaan mereka kepada kekasih mereka. Umar al Khattab bangun mengatakan "barangsiapa yang mengatakan bahawa Muhammad saw telah mati, akan aku pancung kepalanya. Rasulullah saw tidak mati, dan dia akan kembali" Umar tidak dapat menerima bahawa kekasih dan sahabatnya akan pergi meninggalkan dirinya buat selamanya.
Tetapi Abu Bakar as Siddiq masih tenang. Lantas beliau bangun membacakan firman Allah taala :

"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)."(3:144)

Kemudian beliau berkata : "Barangsiapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah mati dan barangsiapa yang menyembah Allah, maka Allah itu Maha Hidup dan tidak akan mati"

Berkata Abu Hurairah r.a. : Saat itu aku melihat lutut Umar r.a. rebah kerana beratnya, tidak mampu menahan hakikat bahawa sesungguhnya kekasihnya telah pergi buat selama-lamanya. Katanya : Tidak terlintas di fikiranku akan ayat tersebut melainkan selepas Abu Bakar membacanya.

Moga kisah ini memberi kekuatan yang baru buat kami untuk terus menjadi lebih baik ketika saat kami meninggalkan bumi Makkah pada hari ini untuk kembali ke Madinah al Munawwarah.
Sejauh mana cinta kita kepada baginda saw diterjemahkan dalam kehidupan kita.

Tanda cinta !

08.01.15 | 10:01am
Makkah al Mukarramah

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site