Sunday, March 03, 2013

Sekularisme | Assignment Untuk Subjek P.Islam (Bhg 1)

Posted by Tengku Ibrahim on 9:29:00 PM

Mukadimah

                Sesungguhnya jarak masa yang jauh antara zaman Rasulullah saw dengan kita telah menjadikan manusia jauh daripada inti kandungan al Quran dan as Sunnah serta kefahaman yang betul mengenainya. Semakin jauh zaman itu daripada kita, semakin banyaklah ajaran yang menyimpang daripada dua sumber agung itu. Akhirnya, semakin ramai pulalah pencemar ketulenan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw itu. Sabda Rasulullah saw :

إني قد تركت فيكم شيئين، لن تضلوا بعدهما، كتاب الله وسنتي. ولن يتفرقا حتى يردا علي الحوض.

Maksudnya : Sesungguhnya aku tinggalkan bagi kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selepas kedua-duanya, iaitu Kitabullah dan Sunnahku. Kedua-duanya tidak akan terpisah sehingga menemuiku di haudh  (telaga di syurga).[1]

Dunia Islam hari ini dibaluti dengan pelbagai penyakit. Semakin lama semakin banyak aliran ideologi yang bertentangan dengan ajaran Islam timbul dan cuba menyusup masuk dalam jiwa dan sanubari orang-orang Islam. Ini semua berpunca daripada sikap meninggalkan agama. Kelemahan aqidah ini mengundang kelemahan kelemahan lain. Dengan itu, kita tidak akan ke hadapan dalam agama, teknologi dan juga pembangunan. Barat yang telah kehilangan agama, mengisi roh tamadun  mereka dengan menjadikan harta dan kebendaan sebagai perkara terpenting. Hasilnya, agama semakin diketepikan dan hanya tinggal sebagai amalan ritual semata-mata. Rasulullah saw bersabda :

فإنه من يعش منكم بعدى فسيرى اختلافا كثيرا فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين المهديين تمسكوا بها وعضوا عليها بالنواحذ وإياكم ومحدثات الأمور فإن كل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة.

Maksudnya : Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa ar Rasyidin al Mahdiyyin (yang mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama), kerana setiap yang diada-adakan itu bidaah dan setiap yang bidaah itu sesat.[2]

Seterusnya, gerakan sekularisme khususnya serta ideologi -ideologi  lain telah digerakkan oleh Barat serta musuh-musuh Islam. Antaranya, di  India, pelbagai usaha telah dilakukan bagi menghapus amalan perundangan Islam secara beransur-ansur bermula sejak tahun 1791. Selain itu, rakyat di Algeria dipaksa supaya tidak beramal dengan undang-undang Islam apabila Perancis menjajahnya pada tahun 1830. Pada tahun 1883 pula, Khadiwi Ismail yang memerintah Mesir memasukkan undang-undang Perancis dalam undang-undang Mesir , kononnya kerana mahu mencapai kemajuan seperti Eropah.  Pada tahun 1924, Kamal Atartuk telah Berjaya menggulingkan pemerintahan Turki Uthmaniah dan kemudiannya menjadikan sekular sebagai dasar dalam pemerintahan negara Turki. Manakala rantau ini, iaitu Malaysia, Indonesia dan lain-lain menerima pengaruh secular melalui kedatangan penjajah Inggeris, Belanda dan lain-lain.

Justeru, telah jelas disini bahawa penyebaran ideologi-ideologi ini , terutamanya sekularisme adalah antara usaha Barat serta musuh-musuh Islam dalam memastikan nilai-nilai agama khususnya Islam tidak menjadi asas dalam kehidupan manusia.

Bersambung.........





[1] Hadis ini diriwayatkan oleh al Hakim dalam Mustadrak (no.319), ad Daruqutni dalam as Sunan (no. 149) dan al Baihaqidalam as Sunan al Kubra (no.20124). Menurut Ibn ‘Abd al Bar bahawa hadis ini terpelihara, dimaklumi dan masyhur daripada Nabi saw, di sisi para ulama’ ianya masyhur sehingga hamper tidak memerlukan sanad. Dr. Zulkifli bin Mohammad al Bakri. 2012. Manhaj Fiqah Wasathiy : Wasathiyah dalam Akidah. Konvensyen Fiqh Ummah. Hlm.10.

[2] Hadis ini sahih. Diriwayatkan oleh Abu Daud, at Tirmizi, Ibn Majah dan al Darimi dalam sunan mereka. At Tirmizi mengatakan bahawa ia adalah hasan sahih. Demikian juga Ibn Hibban dalam Sahihnya dan al Hakim dalam Mustadrak dengan menyatakan ‘hadis ini sahih’ dan dipersetujui oleh Imam az Zahabi. Mohd. Asri bin Zainal Abidin. 2006. Islam Liberal Tafsiran Agama Yang Kian Terpesong. Bhg 1: Ancaman Terhadap Agama. Karya Bestari. Hlm.7-8.  

0 comments:

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site