Monday, September 26, 2011

Kalam Sempena Peperiksaan | Darul Quran

Posted by Tengku Ibrahim on 2:43:00 AM

Assalamualaikum w.b.t,

Segala puji bagi Allah SWT pemilik sekalian alam dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW , ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat r.a , sesiapa yang mengikuti mereka dengan ikhlas hinggalah ke hari kiamat serta tidak lupa juga kepada mahasiswa dan mahasiswi Kolej Universiti Darul Quran JAKIM yang dirahmati oleh Allah sekalian.

Pertama dan selamanya marilah kita merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana sehingga ke hari ini kita masih lagi diberikan keizinan untuk terus beribadat dan hidup di bumi pinjaman Allah taala ini. Mahasiswa mahasiswi sekalian, peperiksaan merupakan satu medan kita semua untuk menguji sejauh mana pemahaman kita berkenaan ilmu yang telah kita pelajari. Walaupun banyak persepsi dan pandangan kita terhadap peperiksaan yang saban semester kita hadapi, namun ia tetap juga satu wasilah atau medium kita menyalurkan tahap kefahaman kita dalam subjek yang telah diambil.

Walaubagaimanapun ,terdapat segelintir pihak yang sering mengambil remeh dan sambil lewa bila diperkatakan soal peperiksaan ini. Ada yang berkata, “alah, buat pe nak exam-exam..al-ilmu fi sudur, wa laisa fil kutub la…tak exam pon memang aku dah cerdik pon”. Ada juga yang sering kedengaran berkata, “kalau tak lulus exam pon kite boleh berjuang kan?.. perjuangan tu luas skopnye syeikh..jangan jumud..”. Tak kurang juga yang berkata, “ana tak nak dicop exam-oriented..bersungguh time exam je.. ”

Inilah pandangan segelintir daripada pejuang agama yang memegang kalam Allah darsawarsa ini. Memanglah, kita tidak mahu digelar seorang yang exam oriented, dengan hanya menumpukan perhatian kepada peperiksaan semata, tetapi penghayatan kepada ilmu yang dipelajari itu langsung tiada. Namun, tidak bermakna sekiranya kita mahu menolak sesuatu keadaan, kita perlu gagal dalam menghadapi keadaan tersebut. Sebaliknya kita perlu menggunakannya, supaya suatu masa nanti kita akan mampu mengubahnya. Bak kata cerdik pandai Islam masa kini, gunakan globalisasi untuk menentang globalisasi.

Mengulas perilaku sebahagian pelajar apabila tibanya musim peperiksaan ini, suka untuk disebutkan soal sikap sesetengah daripada kita yang hanya berubah sikap daripada yang tidak baik ke arah yang lebih positif, pabila menjelang musim peperiksaan ini sahaja. Katanya, bila dah masuk musim ini, semua perkara perlu dijaga keberkatannya. Solatnya, pergaulannya, percakapannya dan sebagainya. Tetapi, malangnya, sesudah tamatnya musim peperiksaan itu, segala perubahan positif itu lenyap dihembus angin lembut bukit di belakang DQ ini, seolah-olah,baginya, untuk mencari keberkatan Allah dalam perbuatan itu, bermusim cuma. Jika beginilah cara kita semua berfikir, maka malanglah nasib masyarakat di luar sana yang sentiasa dahaga menantikan buah mutiara ilmu dari golongan yang berpendidikan agama dan menghafaz al-quran seperti kita ini, kerana sikap ini tidak mencerminkan agama Islam yang kita perhalusi ilmunya itu. Moga-moga, dengan hadirnya musim peperiksaan kali ini, kita sama-sama dapat berazam untuk menjadi yang terbaik, di samping menjadikannya sebagai platform, turning-point atau kick-start untuk kita berubah dan membetulkan segala kekhilafan dan kesalahan yang telah kita lakukan dalam hidup kita selama ini.

Salam mujahadah.

Daripada :

Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad,

Exco Penerbitan dan Informasi PERKEMAT 10-11

0 comments:

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site