Monday, January 23, 2012

Demonstrasi

Posted by Tengku Ibrahim on 9:08:00 PM

Bismillahirahmanirrahim..,

Alhamdulillah,setelah sekian lama menyepi daripada berkarya,berkongsi bersama rakan-rakan blogger sekalian..,hari ini diberikan kekuatan, diringankan tangan untuk menulis oleh Yang Maha Segalanya (Allah),yang menguasai seluruh alam semesta. Darsawarsa ini kita melihat bagaimana media massa melaporkan di dada-dada akhbar mahupun di kaca-kaca televisyen mengenai kegelegakkan mahasiswa mahasiswi dalam menuntut kebebasan hak, pemansuhan AUKU dan keadilan ditegakkan. Kita melihat bagaimana kerap kali demonstrasi di anjurkan oleh persatuan mahasiswa dalam menyatakan kekesalan dan meminta pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sepatutnya segera. Walaubagaimanapun, demonstrasi aman sering kali dieksploitasi oleh sesetengah pihak untuk menimbulkan kekecohan dan huru hara. Demonstrasi yang asalnya aman bertukar menjadi huru hara disebabkan ada pihak yang menimbulkan provokasi. Saya tidak mahu mengulas siapa pemprovokasi tersebut,cumanya persoalannya demonstrasi aman bolehkah??

Demonstrasi atau demo adalah sebuah gerakan protes yang dilakukan sekumpulan orang dihadapan umum. Demonstrasi kebiasaannya adalah untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara. Dalam bahasa mudah sering disebut ‘tunjuk perasaan’ dan kebiasaanya menjadi jalan terakhir setelah tiada lagi medium diplomasi lain yang boleh digunakan ataupun pihak terbabit tidak mengambil tindakkan sepatutnya(buat endah tak endah).

Justeru,kita kena ingat demonstrasi adalah salah satu cara kita meluahkan perasaan, bencikan kemungkaran. Kita berkumpul adalah untuk menyatakan kita bencikan kezaliman. Terpulang kepada sesiapa yang hendak dengar ataupun tidak,tiada paksaan supaya turun berdemo. Tetapi kenapa pihak kerajaan sangat takut akan perkara ini,seolah-olah mereka takut akan mencegah kemungkaran. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Sekiranya kamu melihat kemungkaran hendaklah kamu mencegahnya dengan tangan,sekiranya kamu tidak mampu hendaklah kamu mencegahnya dengan lidah dan sekiranya kamu tidak mampu hendaklah kamu mencegahnya dengan hati. Dan sesungguhnya ketahuilah bahawa mencegah dengan hati adalah selemah-lemah iman”

Hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa sekiranya kita melihat kemungkaran hendaklah kita mencegahnya dengan tangan iaitu dengan kuasa yang kita ada seperti kuasa seorang perdana menteri,kuasa seorang penguatkuasa undang-undang dan lain-lain. Sekiranya tidak mampu hendaklah mencegahnya dengan lidah iaitu memberi nasihat,seorang ayah memberi nasihat kepada anaknya,perdana menteri memberi nasihat kepada rakyatnya dan begitulah seterusnya. Dan nabi kata jika kamu tidak mampu juga hendaklah mencegahnya dengan hati iaitu melahirkan rasa benci terhadap kemungkaran tersebut. Tetapi cukupkah dengan melahirkan kebencian terhadap kemungkaran bagi diri sendiri sahaja, tentu tidak, jadi cara terbaik untuk meluahkan rasa benci pada kemungkaran adalah dengan demonstrasi aman.

Dalam peristiwa demonstrasi aman terbesar pernah berlaku di tanah air kita adalah Bersih 2.0 , Prof Madya Dr Asri Zainal Abidin melontarkan pandangan beliau bahawa sesuatu tindakan dalam urusan kehidupan muslim khususnya dilihat kepada dua perkara; tujuan dan cara. Jika tujuannya baik, dan caranya juga baik maka itu adalah amalan yang baik. Jika tujuannya baik, caranya salah, maka pelakunya tetap bersalah kerana mengambil cara yang salah seperti mencuri dengan tujuan hendak bersedekah. Jika tujuannya buruk atau dosa, segala langkah ke arah tujuan itu dinilai berdosa. Setiap individu yang hendak menyertai sesuatu aktiviti, hendaklah memastikan tujuannya itu halal atau mulia, dan caranya juga halal. Adapun cara yang hendak dicapai iaitu dengan melakukan demonstrasi, pada asasnya ia sesuatu yang harus melainkan jika diiringi dengan perkara-perkara haram seperti kerosakan harta benda awam, pergaduhan dan penonjolan akhlak yang buruk. Nabi s.a.w dalam hadis pernah mengajar sahabat yang disakiti jirannya untuk membuat bantahan di jalan. Dalam hadis itu sahabat tersebut mengadu kepada Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya jiranku menyakitiku”. Sabda Nabi s.a.w: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”. Maka mereka berkata: “Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih).

Ini menunjukkan bahawa mengajak orang di jalan membantah kezaliman adalah dibolehkan. Dalam konteks politik hari ini, demonstrasi aman sebahagian dari cara pencegahan munkar politik yang telah terbukti keberkesanannya di banyak negara.

Beliau juga mengingatkan bahawa demonstrasi itu terdedah kepada bahaya dan porak peranda, maka demonstrasi hendaklah menjadi pilihan akhir setelah tuntutan yang adil tidak ditunaikan. Perbincangan, rundingan, seruan secara langsung, bantahan bertulis dan sebagainya hendaklah di utamakan. Aman adalah syarat utama, jika bertukar menjadi ganas maka ia sesuatu yang diharamkan oleh syarak. Maka, sesiapa yang hendak menyertai demonstrasi BERSIH hendaklah berazam bahawa mereka tidak akan mencetuskan kemusnahan harta awam, tidak mencederakan sesiapa, tidak memaki hamun, sebaliknya melafazkan slogan tuntutan dan berhimpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa tidak puas hati. Adalah haram mana-mana pihak, samada peserta demonstrasi atau polis memulakan provokasi yang boleh menyebabkan berlakunya rusuhan. Sebaliknya, pihak polis hendaklah sedar, selagi tuntutan itu baik untuk negara yang adil, polis juga termasuk dalam kalangan rakyat. Maka sepatutnya mereka memudah cara agar proses itu berjalan dengan pantas dan dilangsaikan dengan segera. Para peserta demonstrasi juga hendaklah sedar bahawa tugasan polis mengawal keamanan, maka hendaklah tidak dimulakan apa-apa provokasi yang menimbulkan kemarahan mereka selagi mereka bertugas dengan betul menurut peraturan keselamatan. Sesiapa yang memulakan atau menyertai provokasi yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa.

(Rujukan : www.drmaza.com)

Tuntasnya, jelas menunjukkan bahawa demonstrasi adalah salah satu cara yang kita boleh gunakan dalam mencegah kemungkaran. Adapun segala kerosakkan,provokasi adalah haram tidak kira siapa pun yang memulakannya. Dalam hal ini,saya suka menyatakan sebagai seorang manusia tiada siapa mampu bertahan dengan sikap kezaliman pemerintah yang semakin melampau..,perasaan yang terpendam lama-lama akan menggelegak,mendidih dan memancut tercurah keluar juga. Sudah banyak tempoh masa diberikan untuk memperbaiki tetapi peluang masa yang diberikan tersebut tiada apa-apa tindakan diambil dalam membuat perubahan.

Akhir kalam, saya juga ingin mengingatkan kepada semua mahasiswa mahasiswi yang mungkin membaca tulisan saya ini, supaya bertindak cerdik sedikit, kita jangan jadi seperti seorang yang buta tuli,habis semua perkara hendak buat demo,tidak puas hati sikit, terus nak buat demo. Cadangan daripada saya, gunakan segala medium,peluang diplomasi yang ada terlebih dahulu,sekiranya segala medium tersebut tidak memberi kesan barulah demonstrasi sebagai jalan terakhir. Dr Mustafa as-Sibaie menyebut :

“Mereka yang bertaqlid tetap jahil walaupun setinggi mana mereka belajar. Mereka tetap keanak-anakan walau sedewasa mana umur mereka. Mereka akan terus dianggap sebagai keanak-anakan dan jahil sehinggalah mereka memerdekakan diri daripada taqlid”

0 comments:

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site