Saturday, March 31, 2012

April Fool ; Sejarah dan Pandangan Ulama' Mengenainya.

Posted by Tengku Ibrahim on 2:37:00 AM


Bismillah....

Pada 1 April setiap tahun, sebahagian masyarakat menyambut hari tersebut dengan mengadakan perbuatan menipu atau gurauan untuk mengenakan orang lain. Mereka memanggil tarikh 1 April ini sebagai April Fool.

Kita sedia maklum bahawa April Fool bukanlah budaya kita, tetapi ia merupakan budaya yang dibawa masuk dari Barat. Dan ISLAM juga sangat-sangat melarang ummatnya melakukan perbuatan menipu dengan sengaja, walau dalam bentuk apa sekalipun, samada dalam bentuk gurauan ataupun bukan.

Terlebih dahulu..,mari kita sama-sama melihat kembali peristiwa sejarah yang dikatakan merupakan pencetus terawal kepada sambutan April Fool ini.

Berkurun-kurun lama dahulu, kerajaan Islam Sepanyol yang telah lama bertapak di sana telah menghadapi kekalahan di tangan tentera Kristian. Maka penduduk-penduduk Islam di Sepanyol terpaksa berlindung di dalam rumah mereka untuk menyelamatkan diri dari tentera Kristian. Namun tentera Kristian tidak berpuas hati kerana tidak dapat menghapuskan orang Islam. Maka tersebarlah berita bahawa orang Islam yang ingin selamat boleh menyelamatkan diri mereka dengan menaiki kapal yang berlabuh di pelabuhan dan untuk memastikan berita itu benar mereka sendiri pergi menyiasat adakah berita itu benar. Setelah pasti dengan khabar berita itu, maka beramai-ramailah orang Islam Sepanyol ke pelabuhan dengan harapan mereka boleh menyelamatkan diri dari tentera Kristian. Namun sebaliknya yang berlaku. Tentera Kristian mengambil kesempatan menghapuskan umat Islam dengan membakar rumah dan kapal-kapal di pelabuhan dan orang-orang Islam di Sepanyol dibunuh beramai-ramai termasuklah lelaki, perempuan dan kanak-kanak pada tanggal 1 April. Inilah hari yang diraikan oleh rakyat Sepanyol setiap tahun untuk mengingati kemenangan tentera Kristian ke atas orang Islam yang dibunuh oleh mereka dan inilah sejarah yang mengaitkan April Fool dengan orang Islam.

Namun malangnya, saban tahun semakin ramai April Fool disambut oleh orang Islam di seluruh dunia. Cuba kita bayangkan sekiranya sejarah tersebut benar maka, seolah-olah kita turut sama mengiktiraf kemenangan orang kafir keatas umat Islam. Selain daripada itu, rakyat Malaysia sememangnya banyak terdedah dengan budaya Barat yang telah lama bertapak di Malaysia sejak dari dulu lagi. Valentine's Day dan sebagainya telah lama disambut di Malaysia dan umat Islam juga tidak terkecuali untuk menyambutnya. Kata mereka ianya nampak lebih moden dan cool untuk disambut.

Dari sini kita boleh ketahui apakah relevan dan faedahnya dengan April Fool ini. Menganiayai, menipu, menghina, menyakitkan hati, dan perasaan orang lain, semuanya buruk dan tidak berfaedah tentang April Fool. Sepertimana firman Allah yang bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kaum laki-laki menghinakan kaum laki-laki (yang lain), kerana boleh jadi kaum yang dihinakan itu, lebih baik dari kaum yang menghinakan, dan jangan pula kaum perempuan (menghinakan) kaum perempuan yang lain, kerana boleh jadi perempuan yang dihina itu, lebih baik dari perempuan yang menghinakan. Janganlah kamu cela-mencela sesama kamu dan jangan pula panggil-memanggil dengan gelaran (yang tidak baik). Seburuk-buruk nama ialah fasik sesudah keimanan. Barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang aniaya."
(Surah Al-Hujurat: 48 )

Mari kita lihat beberapa pendapat `ulama muktabar berkaitan isu April Fool ini yang mana saya merujuk kepada blog Ustaz Azhar Idrus :

1) Shaikh Dr. Yusuf al-Qaradawi:

Beliau menyebutkan bahawa menipu adalah satu sifat yang buruk. Ia tidak layak diamalkan oleh manusia yang berakhlak dan beriman. Bahkan ia adalah satu petanda kemunafikan. Ini kerana Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Orang munafik mempunyai tiga ciri: Dia menipu, tidak menepati janji, dan tidak menunaikan amanah.” [HR al-Bukhari dan Muslim]

Rasulullah sallAllahu Alaihi Wassalam memberikan amaran ke atas perbuatan menipu dengan tujuan menghiburkan manusia. Baginda sallallahu `alaihi wasallam bersabda:

“Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.” [HR Abu Daud, at-Tirmizi, dan an-Nasai’e]

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam juga bersabda:

“Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia meninggalkan penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan berdebat walaupun dia membawa kebenaran.” [HR Ahmad dan At-Thabrani].

Sebahagian hadis Nabi sallallahu `alaihi wasallam turut memberikan amaran ke atas umat Islam daripada menakutkan orang lain sama ada secara serius mahupun bergurau. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim.” [HR Abu Daud]

Oleh kerana itu, menipu adalah dilarang di dalam apa bentuk pun. Sambutan ini (hari April Fool) adalah dilarang kerana empat sebab:

  1. Larangan menipu yang sudah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
  2. Kesedihan dan ketakutan yang tidak berasas (yang disebabkan penipuan itu) yang mungkin boleh menimpa seseorang mahupun kesemua ahli keluarganya walaupun hanya untuk satu jam.
  3. Pengkhianatan ke atas kepercayaan yang diberikan.
  4. Meniru budaya buruk yang bukan milik kita, iaitu penipuan.

2) Shaikh Atiyyah Saqr:

Adalah menjadi kesepakatan kesemua agama dan akal yang waras bahawa kejujuran itu satu kebaikan, dan penipuan adalah lawannya. Untuk menyatakan kebenaran, kata-katamu hendaklah menerangkan realiti, sedangkan untuk menyatakan penipuan adalah dengan menyampaikan apa yang bercanggah dengan apa yang kamu katakan mahupun lakukan. Seburuk-buruk pendustaan adalah sumpah yang palsu, bahkan itu adalah satu bentuk kemunafikan.

Penipuan adalah dilarang kecuali ia dilakukan dalam keadaan dharurat. Di dalam kes tersebut, kaedah “dharurat menjadikan yang haram harus” digunakan. Dharurat hanya boleh diambil apabila tiada pilihan lain. Salah satu bentuk penipuan yang dibenarkan ialah apa yang kita panggil sebagai helah, iaitu menggunakan perkataan yang membawa lebih daripada satu maksud. Umat Islam mungkin boleh mengambil pemahaman yang positif daripada penafsiran perkataan (yang mempunyai dua makna) tersebut.

Diriwayatkan bahawa penipuan dibenarkan untuk memberikan manfaat, bukan untuk melakukan kerosakan. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Seseorang yang mendamaikan di antara dua insan dan berkata perkara yang baik, walaupun ia tidak benar, bukanlah seorang penipu.” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Ummu Kalsum binti ‘Uqbah turut berkata, di dalam tambahan lafaz ke atas hadis itu, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam membenarkan menipu kecuali di dalam tiga situasi; ketika perang, untuk mendamaikan di antara dua pihak yang bertelagah, dan perbualan biasa antara suami isteri.” Apa yang dimaksudkan dengan perbualan biasa antara suami isteri ialah untuk meredakan kesusahan di dalam kehidupan. [Islamonline.net]

3) Shaikh Shalih Fauzan:

Di dalam laman islamqa.com fatwa nombor: 10834, beliau menyatakan bahawa:

Penipuan adalah tidak dibenarkan langsung, pada bila-bila masa sahaja. Bahkan adalah tidak dibenarkan untuk meniru orang kafir dan menjadi seperti mereka, sama ada pada hari ini (hari April Fool), mahupun pada hari-hari yang lain. Ini kerana Rasulullah sallAllahu `alaihi wassalam bersabda:

“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka.”

Berdasarkan fatwa-fatwa di atas, kita akan mendapati bahawa budaya April Fool jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut umat Islam sentiasa bersifat jujur.

2 comments:

April Fool sememangnya haram disambut, tetapi, cerita sejarah mengenai pembunuhan beramai2 itu tiada fakta yang sahih ^^

syukran kpd Aretikz di atas kritikan dan pencerahan tersebut...,memang tidak dinafikan bahawa kisah khusus tentang April Fool tidak diketahui mana datangnya..,sbb itu ana nukilkan sumbernya dpd mana..,dan ana sebutkan "sekiranya sejarah tersebut benar"..apa pun tima kasih atas pencerahan tersebut.... ^_^

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site