“Terima kasih”
“Jangan ucapkan terima kasih, tetapi sebaliknya cari tiga orang kemudian bantu mereka, dan minta tiga orang tersebut bantu pula tiga orang yang lain”
Inilah di antara diolog di dalam sebuah filem Hindustan lakonan salman Khan, Jai Ho yang sangat menarik minat saya, selain filem ‘3 Idiots’ dan ‘Taare Zameen Par’ lakonan Amir khan. Membawa saya untuk berfikir, wujudkah filem sebegini di Malaysia, yang dikatakan negara Islam, pemimpinanya Islam. Dahulu mungkin kita pernah mendengar usaha-usaha untuk mengetengahkan sebuah filem berunsur Islamik sehingga lahirnya karya seperti ‘Syurga Cinta (2009)’, ‘Ustaz Mu Tunggu Aku Datang (2013)’ dan lain-lain. Banyak kritikannya namun ada manfaatnya, khususnya ke arah pembikinan filem yang lebih berfalsafah bukannya sampah. Tetapi kemudiannya sudah tidak kedengaran lagi. Sebaliknya lebih kepada lambakan filem-filem berunsur CINTA Islamik, seram, atau hantu, seolah-olah Islam ini hanyalah untuk cinta cintun dan menghalau hantu jembalang.
Kita juga jauh ketinggalan daripada jiran kita, Indonesia. Melalui pemerhatian saya yang terbatas ini, filem-filem Indonesia jauh lebih bermutu daripada Malaysia, bukan daripada segi lakonan, tetapi daripada segi isi atau mesej yang ingin di sampaikan. Contohnya, filem seperti, ‘Sang Murabbi KH Rahmat Abdullah (2008)’, ‘Perempuan Berkalung Sorban (2009)’ dan ‘Sang Pencerah Kiyai Ahmad Dahlan (2010)’. Tidak dinafikan terlalu banyak juga filem-filem yang berunsur khurafat, mengarut tetapi mereka ada juga filem yang membawa mesej yang baik, jika hendak dibandingkan dengan kita. Kalaulah ada pun, filem-filem arahan Allahyarham P.Ramlee, hitam putih tetapi beerti.
Mungkin ada yang pelik dan bertanya, kenapa saya mahu berceloteh tentang filem. Jawapannya mudah sahaja, kerana filem menggambarkan identiti pemikiran sesebuah masyarakat. Filem-filem berunsur islamik, biografi tokoh kurang mendapat sambutan menyebabkan mereka takut mengambil risiko. Ini juga menandakan bahawa tahap intelek dan pendidikan Islam masyarakat di negara kita berada dalam tahap yang sangat membimbangkan. Saya rasa tidak perlulah saya huraikan lebih lanjut, mungkin pada penulisan akan datang.
Sudah lama tidak menulis, terlalu kekok rasanya. Ketika pendidikan bidang professional diberi penekanan, jangan kita lupa kepada pendidikan Islam. Sepatutnya, pendidikan Islam adalah pilihan bagi mereka yang benar-benar ikhlas mahu membantu ummat mengenali Islam bukannya sebagai pilihan kedua bagi mereka yang kecundang dalam persaingan pendidikan. Buruk padahnya!
Kalaulah bukan kita yang berfikir mahu mengubah kepincangan yang ada, maka mahu dimulakan dengan siapa?
“Wahai saudara-saudaraku para guru sekalian, sesungguhnya kamu hari ini adalah jaminan keselamatan agama di bumi ini dengan jumlah kita yang melebihi 500 orang. Seandainya setiap seorang dari kalangan kamu mengajar tiga orang di rumah masing-masing, kita sudah boleh melahirkan 1500 orang yang memperoleh tarbiah Islam. Dengan jumlah itu, Allah swt akan memanjangkan umur Islam sekurang-kurangnya 50 tahun akan datang dan ia adalah usaha untuk satu atau dua generasi”
(Suleyman Hilmi Tunahan)