Monday, September 02, 2013

Perkembangan Perdagangan Di Melaka Pada Abad ke-15 | Bhg. 6

Posted by Tengku Ibrahim on 2:46:00 PM

Tajuk : 
Bincangkan perkembangan perdagangan di Melaka pada abad ke-15 dengan merujuk kepada sistem, jalinan jalan perdagangan dan barang dagangannya. [Bahagian 6]

Disediakan oleh :
(1) Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad (Sistem & Pentadbiran)
(2) Mohd Dzulazizi b Amilin (Jalinan Jalan Perdagangan & Barang dagangan)
______________________________________________


Hubungan Perdagangan Melaka Pada Abad ke-15

            Pada awal abad ke-15 Melaka merupakan salah sebuah pusat pelabuhan Entreport terbesar dalam dua dekad yang pertama, kekuatan perdagangan Melaka bergantung pada pedagang-pedagang asing yang singgah ke Melaka untuk melaksanakan perdagangan dan menjalinkan hubungan dengan para pedagang di peringkat antarabangsa. Sumber yang paling menarik tentang hal ini ialah The Suma Oriental, di samping sedikit laporan Barbosa. Bukti yang menunjukkan Melaka menjadi pusat tumpuan perdagangan asing dapat dilihat daripada tiga aliran lalulintas laut.

            Melaka, sebagai kerajaan yang kaya raya dan sebuah pusat dagangan yang besar dan mewah perlu ada dasar luar yang tersendiri dan peraturan perutusannya yang bersistem. Dasar luar Melaka berlandaskan beberapa perkara penting. Pertama, kerjaan Melaka memerlukan jaminan keselamatan. Hal ini berkait rapat dengan kedudukan Melaka sebagai pusat perdagangan terbesar di rantau ini pada masa itu. Kedua, Melaka perlu membekalkan makanan yang cukup untuk para pedagang yang tinggal di Melaka semasa menunggu angin musim berubah. Ketiga, Melaka perlu mengamalkan dasar perniagaan yang liberal dan adil, yakni dengan sistem cukai yang berpatutan dan cara penyelesaian tegas agar setiap negeri yang datang berinteraksi dengannya faham dan tahu tentang kedudukan masing-masing.

            Dasar perhubungan antarabangsa Melaka yang bertindak sebagai sebuah empayar memerlukan dasar yang jelas lagi tegas. Ini bererti bahawa setiap negeri yang berhubung dengannya akan diberi layanan mengikut status negeri itu vis-à-vis Melaka.[1]

            Antara negeri-negeri yang menjalinkan hubungan perdagangan dengan kerajaan negeri Melaka ialah:

1. China :

Hubungan perdagangan Melaka dengan negeri China begitu rapat. Hal ini mendapat tindak balas yang besar daripada kerajaan Ming sehingga mereka mengubah dasar perdagangan dengan menhapuskan dasar tutup pintu. Dengan dasar ini, Melaka menjadi tumpuan kepada pedagang dari negeri China untuk memasarkan barang-barang ke Eropah.

Di samping itu, negeri China ini diberikan sedikit kelebihan jika dibandingkan dengan pedagang asing yang lain iaitu tidak dikenakan cukai yang tinggi cuma negeri China ini perlu memberikan ufti kepada Sultan Melaka.[2] Hal ini menunjukkan rapatnya hubungan Melaka dengan negeri China. Selain itu, Parameswara pernah dihadiahkan oleh Maharaja Yung Lo sebanyak 2600 untaian duit tembaga dan wang kertas hasil sekembalinya dari negeri China pada tahun 1412.[3]

Selain daripada itu juga, Melaka bernasib baik mendapat naungan negeri China yang mengadakan ekspedisi ke Asia Tenggara dan Lautan Hindi bermula tahun 1403 hingga 1433. Pada peringkat awalnya, kerajaan Siam (Ayudhya) berhasrat hendak manjadikan negeri Melaka sebagai negeri ufti telah dapat ditolak dengan adanya bantuan dari China.[4] Hal ini membuktikan bahawa hubungan antarabangsa yang terjalin diantara Melaka dan China sangat erat sehingga China sanggup membantu Melaka dalam aspek keselamatan negeri.  

Barang utama yang dibawa oleh negeri china ke Melaka ialah bahan wangian, permata, sutera, satin, belerang, besi, alat masak memasak, tembikar mewah dan peluru. Manakala di Melaka pula, barang utama yang ditukar untuk dibawa balik ke negeri china ialah lada, gaharu, candu, rempah dan bahan hutan dari Nusantara. Permintaan yang tinggi terhadap lada dari negeri china menguntungkan Melaka. Menurut Tome Pires melaporkan, satu quintal (bersamaan 100 paun). Lada yang dibeli dengan 4 cruzados*[5], di Melaka, dijual dengan harga 15 atau 16 cruzados di negeri China.[6]

2. Koromandel[7] :

Manakala dibahagian barat pula, kalangan saudagar terpenting ialah saudagar dari Koromandel. Menurut Tom pires dan Ruy de Brito menganggarkan empat hingga lima buah kapal besar datang ke Melaka setiap tahun dengan nilai dagangan antara 12 ribu hingga 15 ribu cruzados. Hal menunjukkan bahawa, selain daripada pedagang china pedagang dari sebelah barat juga mampu mamberi keuntungan yang besar kepada negeri Melaka setiap tahun.

Dari sudut jenis barang pula, barang yang dibawa dari koromandel untuk ditukar kepada negeri Melaka ialah gaharu, permata, lada, cengkih, kayu manis dan buah pala. Manakala saudagar-saudagar dari kalingga pula membeli perak, emas, bijih dan sutera mentah yang dibawa dari negeri china. Pedagang koromandel bertumpu di Melaka dari bulan Oktober hingga bulan Januari.

3. Benggala[8] :

Selain itu, pedagang dari Benggala pula yang terdiri daripada pedagang Arab dan Parsi, Turki dan Absinia, mereka ini telah membentuk satu syarikat yang besar untuk datang ke Melaka. Persinggahan mereka ke Melaka dengan membawa kapal-kapal besar setiap tahun dan nilai dagangan yang boleh mencecah lapan puluh hingga sepuluh cruzados membolehkan Melaka memperoleh keuntungan yang besar.

Barang-barang yang mereka bawa ke Melaka ialah barang-barang makanan, beras, gula, daging kering, kain India dan sayur-sayuran kering. Bahan ini kemudiannya di tukar ke Melaka dan digunakan di Melaka untuk membeli lada, jagung, cengkih, sutera dari China, tembikar dari Jepun, senjata dari Jawa, tembaga, bijih, kapur barus, gaharu dan berbagai bahan mentah dari Nusantara.

4. India :

Entreport terpenting bagi Melaka di India ialah Kembayat. Para saudagar dari Timur Tengah mengambil masa 18 bulan dari laut merah untuk sampai ke Melaka. Semasa angin monsoon daya, mereka bertumpu di kembayat dengan menyediakan senjata, kain bulu, kain sakhlat, marjan, barang tembaga, perak, barang perhiasan murah, candu, air mawar, ambar, kismis, nila, dan barang kencana. Manakala di kembayat pula, pedagang dari Kahirah, Mekah, Aden, Ormuz selain yang datang dari kawasan timur Mediterranean dan pesisiran timur Afrika berkumpul berpuak-puak membentuk syarikat sebelum belayar ke Melaka dalam bulan Mac.

Pedagang-pedagang Benua India berkumpul di Kalikat, Pulikat atau Benggala. Kebanyakannya perdagangan ini diurus oleh orang Gujerat.[9] Hal ini kerana, dari bahagian barat saudagar Gujeratlah yang terpenting. Para saudagar dari pelabuhan Diu, Randir, Surat dan daman menjadi perantaraan untuk memperdagangan barang-barang dari pelabuhan Arab seperti Iskandariah, Mekah, Ormuz, Aden dan Jeddah. Mereka kemudiannya membeli berbagai-bagai jenis rempah, jagung dan emas dari Nusantara yang terdapat di Melaka selain membawa balik barangan dari Timur Jauh seperti tembikar, wangi-wangian, sutera dan belerang untuk diperdagangkan ke India, ke pelabuhan-pelabuhan Arab dan seterusnya ke Eropah.[10]

Setelah saudagar-saudagar dari India dan Cina meninggalkan selat Melaka, pasar Melaka tetap sibuk dimeriahkan pula oleh saudagar-saudagar dari Jawa dan kepulauan Melayu.

5. Pegu (Burma) :

Pegu (Burma) juga merupakan anatara pedagang yang rapat dengan negeri Melaka, mereka terkenal dari sudut pembinaan kapal. Apabila barang bahan dagangan habis dijual mereka akan menjual anak-anak kapal kepada saudagar-saudagar Melaka. Tom Pires menganggarkan sepanjang bulan Februari dan Mac setiap tahun terdapat antara dua puluh hingga tiga puluh buah kapal kecil datang ke Melaka sama ada untuk menjalankan hubungan dagangan ataupun tukaran barang dengan saudagar dari Melaka. Ini menunjukkan bahawa hubungan Pegu dengan Melaka adalah hubungan terus bukan secara perantaraan. Disamping itu, Pegu juga membekalkan barangan mewah, seperti nilam dan berlian, perak, wangi-wangian, dan makanan mentah.

  6. Siam[11] :

Melaka dan Siam pernah mengalami krisis hubungan yang membimbangkan . Sebagaimana yang telah kita maklum bahawa Siam pernah mahu menjadikan Melaka sebagai negeri ufti tetapi gagal kerana Melaka mendapat naungan daripada China. Walaupun begitu, atas sebab ekonomi mereka tetap mejalinkan hubungan yang baik dalam aspek perdagangan. Siam menjadi pembekal utama bahan seperti beras, gula, berbagai-bagai jenis rempah dan kayu-kayan ke Melaka.

7. Pulau Jawa :

Di samping itu, terdapat juga jong-jong besar dari Pulau Jawa yang datang terus ke Melaka. Hubungan Melaka dengan Pulau Jawa bertambah erat apabila munculnya pelabuhan-pelabuhan baru di utara Pulau Jawa seperti Demark, Japara, Ceribon, Grisik dan Tuban. Hal ini menunjukkan bahawa, hubungan yang erat ini jelas kelihatan apabila ramai para pedagang dan senteri pulau jawa datang ke Melaka.

Para pedangang tersebut ialah seperti Patih Adam, Patih Kadir, Patih yusoff, Patih Yunus dan Utimuti raja. Pelabuhan-pelabuhan di utara Pulau Jawa juga menjadi pengantaraan perdagangan antara Melaka  dengan kepulauan rempah seperti kepulauan Maluku, Bima, Binda dan pelabuhan Grisik. Menurut Tom Pires melaporkan hubungan dagangan dua hala ini adalah dalam bentuk runcit dan borong.

Ramai pedagang dari Melaka belayar ke Jawa sebagai saudagar borong dan penumpang dan bahan utamanya ialah kain dari India. Manakala dari Jawa mereka terus menukar kain murah yang dibeli dari jawa dengan lada dan rempah. Oleh itu, perdagangan dari Melaka itulah yang memberi sumbangan besar ke arah kebangkitan dan kemajuan pelabuhan Jawa Utara pada penghujung abad ke-15, termasuk Demak, Ceribon, Grisik, Surabaya dan Tuban. Ini telah memberi kesan kepada terhadap pola politik tradisional Jawa-Majapahit.[12]

8. Pulau Ryu Kyu :

Perhubungan antarabangsa amat diawasi oleh Melaka. Misalnya, hubungan Melaka dengan pulau-pulau ryukyu (Jepun) amat baik di antara tahun-tahun 1460-an hingga 1480-an (bahkan hingga ke tahun Ryu-Kyu masih mengutus surat ke Melaka).[13] Suatu masa dahulu, Pulau Ryu Kyu turut disebut oleh sebahagian saudagar sebagai Kepulauan Liu Kiu. Tome Pires pula menyebut mereka sebagai Gores, yang kemudian ditafsirkan oleh Boxer sebagai Jepun.[14]

Barangan yang mereka bawa dari Jepun ialah seperti kain, sutera, tembikar, pedang, habuk emas dan perak, kipas, kertas dan sedikit makanan seperti bawang, sawi kering dan beras. Di Melaka, bahan ini ditukar dengan rempah, arak dan kain yang didapati dari Benggala.[15]






[1] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Ibid. Hal.134.
[2] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Ibid. Hal.135.
[3] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Ibid. Hal.115.
[4] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Ibid. Hal.134.
[5] Sejenis Mata Wang.
[6] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Hal.245.
[7] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid. Hal.246
[8] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid.
[9] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2. Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Hal.113.
[10] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Op.Cit. Hal.247
[11] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid. Hal.248.
[12] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid.
[13] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2. Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Hal.138.
[14] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Op.Cit. Hal.246.
[15] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid.

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site