• PIMPINAN 10-11

    Bersama Menerajui Perubahan

  • Bergambar Bersama Penceramah

    Semasa menjadi fasilitator Mukhayyam Syakhsiah Muslim Anjuran Badan Dakwah dan Ibadah SMA al-ittifaQiah Guai,Pahang

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI

    Saat terakhir bergambar bersama-sama

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI

    Saat terakhir bergambar bersama-sama

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI 2007

    Bergambar bersama ahli-ahli kumpulan semasa berkayak di laut...Hidup Gacrux!!!

Showing posts with label pengalaman. Show all posts
Showing posts with label pengalaman. Show all posts

Friday, January 09, 2015

Tanda Cinta !

Posted by Tengku Ibrahim on 10:59:00 PM

Selepas pembukaan kota Makkah. Subhanallah.. Allah telah melapangkan hati-hati manusia dengan Islam dan mereka beramai-ramai telah memeluk agama Allah ini.

Hampir kesemua manusia telah memilih agama Allah kecuali sebahagian kabilah seperti kabilah Hawazin. Ketuanya Malik bin Auf telah melancarkan perang kepada Rasulullah saw. Dan pada 10 Syawal tahun 8H telah meletus peperangan antara 12 ribu tentera Muslimin dengan kabilah tersebut. Berakhir dengan kemenangan Islam. Seramai 4 orang telah syahid dan ketuanya memeluk Islam.

Pada tahun 9H difardhukan ke atas kaum Muslimin kewajipan haji. Dan pada 25 Zulkaedah tahun 10H Rasulullah saw telah berangkat meninggalkan bumi Madinah menuju ke Makkah al Mukarramah bagi menunaikan haji bersama para sahabat. Baginda saw dan para sahabat telah sampai di Makkah pada hari ke-4 bulan Zulhijjah tahun 10H.

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu."(5:3)

Pada akhir bulan Safar tahun 11H, telah kelihatan tanda-tanda sakit dan penat pada Rasulullah saw. Baginda mula sakit ketika di rumah Ummul Mukminin Maimunah binti al Haris r.a. Ketika sakit baginda mula tenat, berada di rumah Ummul Mukminin Aisyah r.a. dan telah wafat di sana pada 12 Rabiul Awal 11H. Jasad baginda telah disemadikan di rumah Ummul Mukminin Aisyah r.a.

Itulah detik paling mendukacitakan buat para sahabat. Sebahagian mereka tidak dapat menerimanya. Itulah tanda kecintaan mereka kepada kekasih mereka. Umar al Khattab bangun mengatakan "barangsiapa yang mengatakan bahawa Muhammad saw telah mati, akan aku pancung kepalanya. Rasulullah saw tidak mati, dan dia akan kembali" Umar tidak dapat menerima bahawa kekasih dan sahabatnya akan pergi meninggalkan dirinya buat selamanya.
Tetapi Abu Bakar as Siddiq masih tenang. Lantas beliau bangun membacakan firman Allah taala :

"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)."(3:144)

Kemudian beliau berkata : "Barangsiapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah mati dan barangsiapa yang menyembah Allah, maka Allah itu Maha Hidup dan tidak akan mati"

Berkata Abu Hurairah r.a. : Saat itu aku melihat lutut Umar r.a. rebah kerana beratnya, tidak mampu menahan hakikat bahawa sesungguhnya kekasihnya telah pergi buat selama-lamanya. Katanya : Tidak terlintas di fikiranku akan ayat tersebut melainkan selepas Abu Bakar membacanya.

Moga kisah ini memberi kekuatan yang baru buat kami untuk terus menjadi lebih baik ketika saat kami meninggalkan bumi Makkah pada hari ini untuk kembali ke Madinah al Munawwarah.
Sejauh mana cinta kita kepada baginda saw diterjemahkan dalam kehidupan kita.

Tanda cinta !

08.01.15 | 10:01am
Makkah al Mukarramah

Islam Agama Penyelamat

Posted by Tengku Ibrahim on 10:24:00 PM

"Barangsiapa yang masuk ke dalam rumah Abi Sufian maka dia akan aman, barangsiapa yang masuk ke dalam masjidil haram maka dia akan aman dan barangsiapa yang menutup pintu-pintu rumahnya maka dia akan aman"

Pada bulan Ramadhan tahun 8H, Rasulullah saw bersama dengan 10 ribu tentera Muslimin telah membuka semula kota Makkah. Tidak tergambar perasaan baginda dan para sahabat ketika itu. Kota Makkah dimasuki serta dibuka oleh tentera Muslimin tanpa sebarang pertumpahan darah.

Rasulullah saw memasuki kota Makkah dengan penuh tawadhuk.
Kaabah dahulunya dipenuhi oleh berhala-hala 360 buah kesemuanya disucikan. Siapa sangka perjanjian hudaibiah yg termenterai antara kaum Quraisy dan Muslimin pada bulan Zulkaedah tahun 6H, yang dilihat sangat tidak adil kepada Islam akhirnya membawa kepada kemenangan Islam yang besar. Subhanallah.. Itulah antara hikmah yang tersembunyi yang tidak kita nampak melainkan dengan keyakinan yang hakiki kepada janji Tuhan dan rasulNya.
Kini, dihadapanku Kaabah.

Seolah-olah terbayang di mataku, bagaimana saatnya Saidina Bilal r.a. diarahkan oleh baginda Rasulullah saw untuk memanjat di atas Kaabah dan kemudian melaungkan azan.

Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Mendengarlah seluruh kaum Quraisy dan mereka yang berada disitu satu seruan yang agung di atas tempat yang mulia oleh seorang lelaki berkulit hitam yang dahulunya mereka hinakan tetapi kini menjadi mulia kerana Islam. Salah seorang sahabat yang terbilang.

Islam ialah agama ummah, agama rahmat. Datang sebagai penyelamat kepada sekalian manusia, bukan sahaja di akhirat tetapi juga sejak di dunia lagi. Islam datang memusnahkan segala perkauman, meruntuhkan segala asobiyyah. Tidak ada yang di beza-bezakan sama ada warna kulit, bangsa, negara mahupun apa-apa. Tiada kemuliaan warna putih dengan hitam. Yang membezakan mereka hanyalah ketakwaan. Itulah semulia-mulia manusia, yang paling bertakwa.

Maka bersyukurlah wahai teman-teman dipilih oleh Tuhan untuk berada dalam agamaNya.

Maka bersyukurlah wahai teman-teman dipilih oleh Allah untuk berada di bumi utusanNya.

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

Masih mencari jawapan.
Di celah-celah kesibukan manusia.

Makkah al Mukarramah
07.01.15|10:12 am

Kembara ke Makkah | Satu Jawapan

Posted by Tengku Ibrahim on 9:31:00 PM

Jam telah menunjukkan 8.29 am. Bermakna hanya tinggal seminit sahaja lagi sebelum aku dibenarkan keluar daripada dewan peperiksaan, sekaligus menamatkan semester pada kali ini. Kali ini, fikiranku bukan exam yang diutamaan. Namun, aku mahu mencari satu jawapan. Jawapan yang tiba-tiba datang tanpa diundang. Aku merasa semakin jauh dengan Tuhan. Hah! Kenapa ? Sudah hampir setahun aku di sini, Madinatun Nabi. Tetapi mengapa sedemikian yang dirasa. Akhirnya, aku memilih Makkah destinasiku. Mencuba mencari jawapan dan ketenangan di celah-celah kesibukkan manusia.

Seusai solat Isyak, pengembaraan bermula. Bas Saptco pilihanku. Rupanya-rupanya sudah terlalu lama aku tidak ke Makkah bagi menunaikan umrah. Kali terakhir, ialah selepas musim haji. Aku memandang ke jendela. Merenung nasibku, saat-saat indah sewaktu awal-awal menjejaki kaki ke sini, bumi nabi. Takut, gembira, excited, tidak dapat digambarkan. Saat itu, " Aku mahu pergi ke Makkah tiap-tiap bulan ", kataku kepada seorang sahabat. "Aku tak mau tinggalkan dars di Haram". "Aku nak solat di Masjid Nabawi setiap hari".

Tapi sekarang ianya semakin hilang. Kalaupun tidak seluruhnya. Pudar. Daripada hitam kepada kelabu persis bulan yang semakin menghilang kerana terangnya mentari.

" Barangsiapa yg bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar. Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya "

Betapa banyak dugaan dan ujian yang telah kita lalui sehingga kadang-kadang sedikit demi sedikit kesusahan tersebut semakin kita lupakan. Kesusahan yang mana dahulunya kita menadah tangan memohon kepada Tuhan Ya Rabb, bantulah hambaMu ini.., Ya Rabb kasihanilah hambaMu ini..di saat tiada sesiapa pun disisi kita yang boleh membantu kita..

Namun sekarang...kesusahan tersebut semakin beransur pergi bersama Tuhan yang dahulunya kita merintih kepadaNya, memohon agar diberi belas kasihan..

Sungguh aku seorang manusia.
Moga aku bertemu dengan jawapan yang dicari.
Ya, dicelah-celah timbunan manusia.
Bumi barakah..


08:15 am
Universiti Islam Madinah

Monday, March 11, 2013

Belajarlah untuk menghargai..

Posted by Tengku Ibrahim on 5:05:00 AM

Pendahuluan

Pertamanya, artikel ini ditulis kerana saya melihat dewasa ini, budaya saling menghargai (appreciate) semakin lenyap. Dalam erti kata lain sudah tidak begitu di budayakan lagi. Selain itu, artikel ini hanya memberi fokus kepada pelajar tanpa menafikan juga patut berlaku dalam kalangan orang lain seperti golongan yang bekerja,keluarga dan sebagainya. Moga-moga artikel yang ringkas ini dapat memberikan kepada kita sedikit pencerahan sekaligus mewujudkan semula budaya ini.

Definisi

Menghargai boleh kita definisikan kepada beberapa makna iaitu[1] :

1. Memberi

2. Menaksir harganya; menilaikan

3. Menghormati; mengindahkan: setiap orang harus ~ dan memuliakan orang tuanya;

4. Memandang penting (bermanfaat, berguna, dsb)

Saya katakan menghargai orang lain merupakan salah satu akhlak yang terpuji. Hargai, dihargai dan menghargai adalah sesuatu perbuatan yang membuatkan semua orang rasa bahagia. Paling gembira, apabila diri kita dihargai. Bila dihargai, terasa hidup nih sangat-sangat bermakna. Menghargai bermaksud ; kita pula yang patut beri penghargaan kepada orang lain terutama orang-orang penting dalam hidup kita. Menghargai boleh berlaku dalam kalangan sahabat-sahabat, kaum kerabat dan tidak terhad kepada itu sahaja. Saya juga katakan ianya penting kerana ianya melibatkan perasaan dan hati seseorang.

Dua perkara yang sering kita terlupa.

Seorang sahabat saya pernah menyebut bahawa dalam dunia ini ada dua perkara yang senang tetapi sebenarnya susah untuk dibuat. Namun apabila telah dibuat jiwa akan berasa tenteram dan nikmat. Dua perkara tersebut ialah “meminta maaf” dan “mengucapkan terima kasih”. Kita sering kali dihantui oleh perasaan ego, kita enggan meminta maaf walaupun kita sebenarnya yang salah dan kita sering juga terlupa untuk mengucapkan terima kasih atas pertolongan yang kita telah perolehi.

Sebagai contoh, apabila kita telah membebankan orang bawahan kita dengan tugasan atau sahabat kita dengan meminta dia membantu kita untuk menyiapkan assignment ; agak-agak apa balasan yang dia mahu daripada kita..? Saya merasakan perkara ini seringkali berlaku, dan sebenarnya sahabat kita itu hanya mahukan kita menghargai beliau..,itu sahaja. Menghargai tidak bermaksud kita kena belanja beliau makan, bagi duit..,tetapi sebenarnya hanya cukup dengan ucapan ;

         “Aku minta maaf kalau-kalau aku terpaksa menyusahkan kau” atau

        “Terima kasih sebab bantu aku” atau

       “Eh, takpe..,takpe..,nanti biar aku yang pergi print sebab kau dah taip” dan sebagainya.

Hanya dengan kata-kata ini pun sebenarnya telah menggembirakan hati sahabat kita itu. Cuba bayangkan kita sudahlah tidak bantu sikit pun, lepas tu kita sama-sama dapat markah yang sama. Agak-agak ada tidak keberkatannya disitu. Tambahan lagi, kalau-kalau sahabat tersebut terasa hati dengan kita..Cuba fikirkan!!!

Pernah terasa bila diri tidak dihargai?[2]

Rasanya sangat menyakitkan. Rasa seperti diri ni tidak bermakna. Sedih kan bila segala usaha, langsung tidak dipandang...tidak diingat sama sekali..Kita cuba sehabis daya untuk membantunya dalam kehidupannya, tetapi penyudahnya, kita dikecewakan pulak....Bila jadi camtu, barulah kita sedar, betapa kita sudah bazirkan masa, tenaga dan segala rasa prihatin dalam diri kita.... Bila segala kepercayaan kita, rasa penghargaan kita dah dikhianati, kita rasa seperti mahu maki hamun sahaja.

Saya[3] katakan perasaan yang lebih tepat adalah jiwa dan perasaan kita mungkin akan dikuasai oleh perasaan marah yang membuak-buakkan, yang mana berkemungkinan akan membawa kita kepada tindakkan yang tidak patut seperti memaki hamun dan sebagainya. Namun, sebagai seorang Muslim moga-moga kita semua dijauhi daripada sifat-sifat mazmumah itu. Nauzubillah…..

Dalil-dalil dan pedoman

Di dalam al Quran Allah berfirman yang bermaksud :

“Dan carilah pada apa yang Telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah Telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan”[4]

Rasulullah saw bersabda, yang ertinya:

“Bukanlah termasuk golongan kami siapa saja yang tidak menghormati orang yang lebih tua, menyayangi yang lebih muda dan mengenal hak orang ‘alim kita.” (HR Ahmad dan Hakim, dihasankan oleh Al-Albani di dalam Shahihul Jami’ no. 4319)[5]

Saya juga ingin membawakan beberapa pedoman daripada Imam Syafie. Bagaimana beliau menghargai guru-guru beliau. Berkata Imam Syafie :

الناس عيال لأبى حنيفة في الفقه

Maksudnya : “Manusia itu merupakan anak kepada Abu Hanifah dalam fekah”[6]

Imam Syafie juga memuji Imam al Laith bin Sa’ad menerusi kata-katanya :

الليث أفقه من مالك إلا أن أصحابه لم يقوموا به

Maksudnya : “Al Laith itu sebenarnya lebih faqih daripada Malik. Oleh kerana sahabat-sahabatnya tidak membukukan pemikirannya, ia lenyap begitu sahaja”.[7]

Imam Syafie juga memuji Muqatil bin Sulaiman. Sedangkan Muqatilitu merupakan seorang Syiah. Beliau tetap memuji ilmu yang dimiliki oleh Muqatil dengan kata-katanya yang berbunyi :

الناس عيال في التفسير على مقاتل بن سليمان

Maksudnya : “Manusia itu merupakan anak kepada Muqatil dalam ilmu tafsir al-Quran”.[8]

Puji-pujian daripada Imam Syafie terhadap imam-imam yang lain menunjukkan kemuliaan hati dan kejernihan jiwa seorang mujtahid. Ini juga adalah merupakan sebagai penghargaan beliau terhadap guru-gurunya.

10 Ciri-ciri Orang Yang Tidak Tahu Menghargai Orang Lain[9] :

1. Tidak pernah mengucapkan terima kasih.

2. Tidak pernah berpuas hati dengan kerja orang lain.

3. Tidak mempunyai rasa percaya terhadap orang lain.

4. Lebih suka membangga-banggakan dirinya sendiri.

5. Merasakan dirinya paling hebat berbanding orang lain.

6. Suka menghamburkan kemarahan kepada individu lain, sedangkan mereka tidak bersalah.

7. Meletakkan kesalahan di bahu orang lain dan tidak mahu bertanggungjawab atas apa yang telah dilakukan.

8. Suka mendapat pujian hasil kerja orang lain.

9. Suka mencari kesalahan orang lain.

10. Tidak boleh menerima pendapat orang lain dan beranggapan pendapatnya sahaja yang betul dan harus diterima pakai.

Kesimpulan

Belajarlah untuk menghargai (appreciate) orang lain kerana menghargai adalah salah satu sifat mahmudah yang sering dilupakan. Dengan menghargai nilai tautan ukhuwwah akan semakin erat. Sekiranya kamu mahu dihargai belajarlah terlebih dahulu untuk menghargai. 

Remember,remember,remember…“What you give, you will get back”.  




[3] Penulis sendiri pernah merasai perasaan ini.
[4] Surah al Qasas ayat 77
[5]Abul Fudhail al Ghorontaliy. Tholabul ‘ilm ’ala minhajus salaf. (http://abulfudhail.wordpress.com/2009/05/30/menghormati-dan-menghargai-orang-lain/). 11 mac 2013.
[6] Dr. Nik Yusri Musa. 2006. Al Imam As Syafi’I Kegemilangan Ilmu dan Pemikiran. Karya Bestari. Hlm. 30.
[7] Ibid
[8] Ibid. Hlm. 30-31

Tuesday, November 22, 2011

MEMORI | AMALI HAJI | NOSTALGIA

Posted by Tengku Ibrahim on 9:34:00 AM

Pagi buta ini mata saya sedang meleret pada sesuatu....
Mencari-cari,membuka folder satu persatu...
TERJUMPA satu video yang cukup menggamit PERASAAN...
Hatiku terlalu RINDU akan memori nostalgia lama...
Ya, ketika di zaman PERSEKOLAHAN terasa begitu rapat ERAT sekali...
UKHUWWAH kami semua...
Pelik dari mana datangnya KEKUATAN ukhuwwah tersebut...
Sudah bertahun-tahun peristiwa KENANGAN tersebut tua meninggalkan hari...
Tetapi PERASAAN merasainya seperti baru SEMALAM...
Alangkah INDAHNYA ukhuwwah...
RAHSIANYA masih belum dibongkar...
Dimanakah sumber KEKUATANNYA...?
Tetapi itulah UKHUWWAH...
Semakin jauh USIA meninggalkan...
Semakin DEKAT ianya kepada kita...
Itulah ukhuwwah FILLAH...



Amali haji 2007 | 4 Arif | SMKA Maahad Muar

Friday, November 11, 2011

Hikmah di sebalik | PLKN

Posted by Tengku Ibrahim on 9:32:00 AM

Bismillah......

Selepas sahaja saya menamatkan tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar, Johor, saya dikehendaki untuk mengikuti satu Program Latihan Khidmat Negara 2009 (PLKN) selama tiga bulan di Kem Merang Suria, Terengganu sebagai peserta kumpulan pertama. Pada mulanya, saya berasa cukup kecewa, sedih, dan marah kerana terpilih mengikuti PLKN kerana pada anggapan saya PLKN ini adalah membuang masa, tiada nilai-nilai Islam yang akan diterapkan, pergaulan bebas mungkin akan berlaku dan tiada faedah mengikutinya. Tetapi saya pergi juga sebagai peserta dalam keadaan yang sangat tidak rela kerana tidak mahu didenda RM 3000.

Apabila tiba sahaja saya disana, saya masih ingat lagi, perkara yang saya mula-mula kena di saat punggung pun masih belum jejak ke katil, beg pun masih belum dilepaskan lagi daripada genggaman, saya dan beberapa orang peserta lain dikehendaki membuat tekan tubi sebanyak 40 kali sebagai denda daripada jurulatih, Cikgu Anuar(merupakan antara orang yang rapat dan banyak memberi tunjuk ajar kepada penulis semasa di sana ) kerana ada salah seorang daripada peserta di situ tersalah ambil baldi beliau. Yang peliknya, saya tidak merasa marah langsung kerana hati saya merasakan seperti ada sentuhan sesuatu.

Saya rasa mungkin cukup sekadar itu sebagai muqadimah kepada penulisan saya pada kali ini, menampakkan kepada semua para pembaca sekalian perasaan awal saya bila mula-mula sekali di PLKN. Mungkin ada yang tidak bersetuju dan tidak sangka apa yang saya akan tuliskan ini tetapi ini adalah kisah benar yang dialami sendiri oleh penulis yang melihat PLKN sebagai satu wadah yang baik dalam mendidik remaja-remaja darsawarsa ini. Saya sendiri tidak menyangka bahawa banyak menfaat yang saya dapat daripada PLKN ini sekaligus mengubah anggapan tentang PLKN. Saya akan menceritakan dengan menggunakan kaedah ‘numbering’ berdasarkan nilai-nilai untuk memudahkan lagi para pembaca.

KEAGAMAAN

Di sana saya melihat aspek-aspek keagamaan sangat ditekankan. Cikgu Anuar adalah salah seorang jurulatih yang sangat tegas dalam soal ini. Ini dapat dilihat dengan jelas bagaimana beliau mewajibkan semua peserta solat berjemaah di surau tepat pada waktunya. Bagi sesiapa yang lambat atau tidak pergi solat solat berjemaah akan didenda dengan mengangkat 2 meja makan sambil membuat pusingan seluas dewan makan. Kami juga pernah dikenakan hukuman menulis “saya akan memastikan sahabat saya pergi menunaikan solat berjemaah di surau” sebanyak lebih daripada 1000+++ kali(saya tidak ingat jumlah yang tepat). Selain daripada itu, beliau mewajibkan semua peserta menghafal semua makna bacaan di dalam solat dan bagi sesiapa yang tidak melakukannya akan ada hukuman yang diberikan. Beliau juga melantik daripada kalangan peserta Imam-imam, bilal-bilal dan ajk-ajk surau. Dan majoritinya sebagai naqib dan naqibah yang akan membimbing peserta-peserta yang lain dalam menyampaikan taklim dan membimbing mereka khususnya dalam agama. Kebanyakkan aktiviti-aktiviti yang kami lakukan juga adalah di asingkan daripada lelaki dan perempuan melainkan beberapa sahaja seperti kumpulan di dalam kelas, kawad dan sebagainya. Antara perkara yang saya tidak boleh lupakan ialah pada hari kedua para imam didenda dengan dikerahkan untuk bergolek di atas jalan raya bersama-sama dengan beliau sendiri kerana kami terlupa untuk menyampaikan taklim selepas Asar.Masya-Allah..sebenarnya banyak lagi yang saya hendak ceritakan berkenaan aspek keagamaan ini tetapi terhalang disebabkan oleh ruang dan masa yang terhad.

Nilai keagamaan ini dapat berjalan dengan baik di kem saya kerana pelajar-pelajar lepasan sekolah agama memainkan peranan dakwah di sana, disamping bantuan daripada jurulatih-juruatih yang hendakkan islam di sana. Saya tidak menafikan ada sesetengah kem yang tidak menekankan langsung aspek ini. Malah peserta bebas untuk solat di bilik dan yang lebih sedih lagi ada yang tidak solat langsung. Kita mahukan mereka-mereka yang kurang baik ini atau tersasar ini menjadi lebih baik apabila mereka menamatkan latihan ini, bukannya menjadi makin haru biru. Di kem saya, memang ada yang secara senyap-senyap mengaku tidak pernah solat, selalu lawan kata ibu bapa, menipu, baru hendak belajar sembahyang, baru hendak kenal agama islam yang sebenar. Mereka jumpa para naqib kerana mereka merasakan mereka perlu berubah dan perlu mempelajari islam. Dan mereka merasa begitu kerana di kem kami ada suasana islam tersebut yang cuba diterapkan. Inilah point penting yang saya hendak ketengahkan. Apabila ada sahabat saya yang berkongsi dengan saya, dia hendak belajar tentang islam,hendak solat, dia beritahu pada saya selama ini tiada seorang pun yang pernah ceritakan pada dia tentang islam yang sebenar,hukum-hukum dalam islam dan sebagainya. Justeru benarlah apa yang sering kita dengar bahawa kita kena jadi pendakwah, di luar sana banyak lagi masyarakat yang memerlukan bimbingan daripada kita.

KEILMUAN

Ini adalah saya kira sebagai asas semasa di sana bagi mana-mana kem pun. Kami di ajar mengenai sejarah dan asal usul agama-agama di dalam Malaysia iaitu tentang agama Islam, Buddha,Hindu, Kristian dan Sikh. Kami juga diajar dengan sifat-sifat patriotik,nilai-nilai baik, akhlak, bagaimana untuk meningkatkan keyakinan diri kami,menangani stress dan sebagainya. Pendek kata, kami mempelajari ilmu secara indoor(yang saya sebutkan tadi) dan juga outdoor seperti berkawad, memegang senjata,survival,dan sebagainya. Semua ilmu-ilmu outdoor tadi adalah merupakan ilmu untuk hidup, bagaimana kita hendak hidup dan memerlukan kerencaman kita berfikir.

UKHUWWAH

Saya melihat bagaimana jurulatih cuba menerapkan kami dengan nilai kasih sayang di antara kami, yang mana datang daripada tempat yang berbeza, berbeza agama, kaum dan warna kulit. Denda-denda yang dikenakan juga lebih bersifat ‘seorang buat semua kena’. Kami sama-sama di ajar untuk susah, gelak ketawa bersama-sama, sakit sama-sama, sedih sama-sama, dan secara tidak langsung kesemua ini telah mengajar kami erti seorang sahabat. Saya tidak dapat lupakan bagaimana seorang sahabat saya yang kita nampak dia seorang yang tegas, nakal, suka main-main tetapi boleh menangis di saat hendak berpisah dengan kami semua sebagai seorang sahabat sedangkan sebelum ini tidak pernah kenal pun. Saya sebenarnya masih mencari rahsia di sebalik ukhuwwah ini dan masih mencari. Kerana ini adalah satu anugerah besar yang Allah berikan pada kita, sesuatu nikmat yang susah hendak kita dapat, sahabat sejati. Walau bagaimanapun, sebagai seorang muslim kita sepatutnya mengasihi sahabat atau saudara kita sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri. Sebagaimana sabda yang telah diucapkan oleh baginda rasulullah SAW.

Saya rasakan cukuplah sekadar saya membawakan 3 sahaja nilai yang saya dapat daripada banyak nilai-nilai yang lain sebagai pengajaran buat kita semua. Secara jujurnya saya merindukan suasana semasa di PLKN tersebut. Sekadar peringatan, apa sahaja yang kita ikuti, apa sahaja organisasi yang kita pimpin, dan apa sahaja jawatan yang kita pegang, kitalah pencoraknya sama ada lebih dekat kepada ketakwaan ataupun semakin jauh daripada rahmat Allah. Samalah juga seperti kem-kem PLKN, NGO-NGO dan parti-parti. Oleh yang demikian, saya tidak merasa pelik sekiranya ada organisasi dan kem-kem PLKN yang lain yang sangat kontra dengan apa yang saya telah ceritakan sebelum ini. Wallahualam......

Link Sedikit Gambar Lain [klik]

Dicatat oleh :

Prince-tengku

Jumaat|12:23|p.m

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site