Monday, September 02, 2013

Perkembangan Perdagangan Di Melaka Pada Abad ke-15 | Bhg. Akhir

Posted by Tengku Ibrahim on 2:50:00 PM

Tajuk : 
Bincangkan perkembangan perdagangan di Melaka pada abad ke-15 dengan merujuk kepada sistem, jalinan jalan perdagangan dan barang dagangannya. [Bahagian Akhir]

Disediakan oleh :
(1) Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad (Sistem & Pentadbiran)
(2) Mohd Dzulazizi b Amilin (Jalinan Jalan Perdagangan & Barang dagangan)
_______________________________________


Kesimpulan.

            Kemunculan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan antarabangsa tidak dapat dinafikan lagi. Suatu masa dahulu, Melaka pernah berada pada satu tahap yang sangat membanggakan. Sebuah negeri yang dikenali di seluruh dunia, sama ada dari Benua Arab, Benua India, Tanah Besar China, Eropah dan Jepun. Pelabuhan entrepot Melaka tidak pernah lekang daripada dikunjungi oleh para saudagar. Sebuah pelabuhan yang sangat sibuk, sebagaimana yang telah saya katakan sebelum ini melalui kata-kata Tome Pires bahawa terdapat lebih daripada 80 bahasa yang dipertuturkan di pelabuhan Melaka. Walau bagaimanapun, lingua franca tetap menjadi bahasa utama di dalam komunikasi. Diceritakan juga bahawa disebabkan pelabuhan Melaka terlalu sibuk dan ramainya saudagar yang berkunjung, maka berlaku budaya cantas mencantas, rasuah, bodek membodek dan lain-lain. Hal ini berlaku kerana saudagar-saudagar ini bersaing di dalam mendapatkan gedung-gedung dan gudang-gudang yang terbaik untuk menyimpan barangan mereka dan untuk mendapatkan tempat tinggal serta kemudahan-kemudahan yang lain.

            Cuba bayangkan, sudah semestinya untuk Melaka sampai ke tahap demikian iaitu menjadi sebuah pelabuhan yang terkenal di peringkat antarabangsa pada abad ke-15, di dorong oleh beberapa faktor seperti memiliki sistem pentadbiran dan pengurusan yang sistematik, kedudukan Melaka yang strategik daripada sudut geografi, kebijaksanaan pemerintah Melaka serta dasar luar dan jalinan perdagangan yang diadakan.

            Oleh yang demikian, daripada apa yang dapat saya simpulkan, kemunculan pelabuhan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot pada abad ke-15 bukanlah suatu yang pelik kerana Melaka memang telah diciptakan untuk perdagangan. Kedudukan geografinya yang tidak sesuai untuk pertanian telah memaksa kerajaan Melaka mencari sumber pendapatan negeri melalui alternatif lain. Selain itu, kedudukan Melaka yang berada di Selat Melaka turut mendorong Melaka menjadi sebuah pelabuhan entrepot bagi pemindahan barangan dalam masa yang sangat singkat. Sistem-sistem pentadbiran yang telah disusun juga merangkumi hampir semua perkara yang melibatkan urusan perdagangan. Salah satu buktinya ialah  wujudnya Undang-undang Laut Melaka. Kebijaksanaan pemerintah Melaka juga terserlah, dengan jalinan perdagangan yang dijalinkan bersama negeri-negeri lain turut memberikan sumbangannya yang tersendiri dalam membawa kejayaan Melaka pada abad ke-15 itu, terutamanya dengan negeri China yang telah menaungi Melaka dan memberikan perlindungan dari kerajaan Siam.

            Maka, daripada apa yang telah saya nyatakan mengenai sistem-sistem pentadbiran dan hubungan jalinan perdagangan yang dijalankan, wajarlah pelabuhan Melaka berkembang sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang sangat dikenali dan gemilang pada abad ke-15. 


Bibliografi

Buku-buku

1. Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2. Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

2. Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

3. Malaysia Negara Kita. 2009. MDC Publishers Sdn.Bhd.

4. Noor Aziah Mohd Awal. 2004. Pengenalan Kepada Sistem Perundangan Di Malaysia. Cet.2. Selangor:International Law book Services (ILBS).

5. Zaini Yusnita Mat Jusoh. et al. 2012. Pengantar Kepada Sistem Perundangan Di Malaysia. Selangor : KUIS.

Laman Web

1. KEGEMILANGAN MELAKA SEBAGAI PUSAT PERDAGANGAN ANTARABANGSA. (http://cgrohaida.blogspot.com/2011/04/kegemilangan-melaka-sebagai-pusat.html). 23 Ogos 2013.

2. Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). (http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=entrepot). 21 Ogos 2013.

3. Tome Pires. (https://ms.wikipedia.org/wiki/Tome_Pires). 21 Julai 2013.

0 comments:

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site