Monday, March 11, 2013

Belajarlah untuk menghargai..

Posted by Tengku Ibrahim on 5:05:00 AM

Pendahuluan

Pertamanya, artikel ini ditulis kerana saya melihat dewasa ini, budaya saling menghargai (appreciate) semakin lenyap. Dalam erti kata lain sudah tidak begitu di budayakan lagi. Selain itu, artikel ini hanya memberi fokus kepada pelajar tanpa menafikan juga patut berlaku dalam kalangan orang lain seperti golongan yang bekerja,keluarga dan sebagainya. Moga-moga artikel yang ringkas ini dapat memberikan kepada kita sedikit pencerahan sekaligus mewujudkan semula budaya ini.

Definisi

Menghargai boleh kita definisikan kepada beberapa makna iaitu[1] :

1. Memberi

2. Menaksir harganya; menilaikan

3. Menghormati; mengindahkan: setiap orang harus ~ dan memuliakan orang tuanya;

4. Memandang penting (bermanfaat, berguna, dsb)

Saya katakan menghargai orang lain merupakan salah satu akhlak yang terpuji. Hargai, dihargai dan menghargai adalah sesuatu perbuatan yang membuatkan semua orang rasa bahagia. Paling gembira, apabila diri kita dihargai. Bila dihargai, terasa hidup nih sangat-sangat bermakna. Menghargai bermaksud ; kita pula yang patut beri penghargaan kepada orang lain terutama orang-orang penting dalam hidup kita. Menghargai boleh berlaku dalam kalangan sahabat-sahabat, kaum kerabat dan tidak terhad kepada itu sahaja. Saya juga katakan ianya penting kerana ianya melibatkan perasaan dan hati seseorang.

Dua perkara yang sering kita terlupa.

Seorang sahabat saya pernah menyebut bahawa dalam dunia ini ada dua perkara yang senang tetapi sebenarnya susah untuk dibuat. Namun apabila telah dibuat jiwa akan berasa tenteram dan nikmat. Dua perkara tersebut ialah “meminta maaf” dan “mengucapkan terima kasih”. Kita sering kali dihantui oleh perasaan ego, kita enggan meminta maaf walaupun kita sebenarnya yang salah dan kita sering juga terlupa untuk mengucapkan terima kasih atas pertolongan yang kita telah perolehi.

Sebagai contoh, apabila kita telah membebankan orang bawahan kita dengan tugasan atau sahabat kita dengan meminta dia membantu kita untuk menyiapkan assignment ; agak-agak apa balasan yang dia mahu daripada kita..? Saya merasakan perkara ini seringkali berlaku, dan sebenarnya sahabat kita itu hanya mahukan kita menghargai beliau..,itu sahaja. Menghargai tidak bermaksud kita kena belanja beliau makan, bagi duit..,tetapi sebenarnya hanya cukup dengan ucapan ;

         “Aku minta maaf kalau-kalau aku terpaksa menyusahkan kau” atau

        “Terima kasih sebab bantu aku” atau

       “Eh, takpe..,takpe..,nanti biar aku yang pergi print sebab kau dah taip” dan sebagainya.

Hanya dengan kata-kata ini pun sebenarnya telah menggembirakan hati sahabat kita itu. Cuba bayangkan kita sudahlah tidak bantu sikit pun, lepas tu kita sama-sama dapat markah yang sama. Agak-agak ada tidak keberkatannya disitu. Tambahan lagi, kalau-kalau sahabat tersebut terasa hati dengan kita..Cuba fikirkan!!!

Pernah terasa bila diri tidak dihargai?[2]

Rasanya sangat menyakitkan. Rasa seperti diri ni tidak bermakna. Sedih kan bila segala usaha, langsung tidak dipandang...tidak diingat sama sekali..Kita cuba sehabis daya untuk membantunya dalam kehidupannya, tetapi penyudahnya, kita dikecewakan pulak....Bila jadi camtu, barulah kita sedar, betapa kita sudah bazirkan masa, tenaga dan segala rasa prihatin dalam diri kita.... Bila segala kepercayaan kita, rasa penghargaan kita dah dikhianati, kita rasa seperti mahu maki hamun sahaja.

Saya[3] katakan perasaan yang lebih tepat adalah jiwa dan perasaan kita mungkin akan dikuasai oleh perasaan marah yang membuak-buakkan, yang mana berkemungkinan akan membawa kita kepada tindakkan yang tidak patut seperti memaki hamun dan sebagainya. Namun, sebagai seorang Muslim moga-moga kita semua dijauhi daripada sifat-sifat mazmumah itu. Nauzubillah…..

Dalil-dalil dan pedoman

Di dalam al Quran Allah berfirman yang bermaksud :

“Dan carilah pada apa yang Telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah Telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan”[4]

Rasulullah saw bersabda, yang ertinya:

“Bukanlah termasuk golongan kami siapa saja yang tidak menghormati orang yang lebih tua, menyayangi yang lebih muda dan mengenal hak orang ‘alim kita.” (HR Ahmad dan Hakim, dihasankan oleh Al-Albani di dalam Shahihul Jami’ no. 4319)[5]

Saya juga ingin membawakan beberapa pedoman daripada Imam Syafie. Bagaimana beliau menghargai guru-guru beliau. Berkata Imam Syafie :

الناس عيال لأبى حنيفة في الفقه

Maksudnya : “Manusia itu merupakan anak kepada Abu Hanifah dalam fekah”[6]

Imam Syafie juga memuji Imam al Laith bin Sa’ad menerusi kata-katanya :

الليث أفقه من مالك إلا أن أصحابه لم يقوموا به

Maksudnya : “Al Laith itu sebenarnya lebih faqih daripada Malik. Oleh kerana sahabat-sahabatnya tidak membukukan pemikirannya, ia lenyap begitu sahaja”.[7]

Imam Syafie juga memuji Muqatil bin Sulaiman. Sedangkan Muqatilitu merupakan seorang Syiah. Beliau tetap memuji ilmu yang dimiliki oleh Muqatil dengan kata-katanya yang berbunyi :

الناس عيال في التفسير على مقاتل بن سليمان

Maksudnya : “Manusia itu merupakan anak kepada Muqatil dalam ilmu tafsir al-Quran”.[8]

Puji-pujian daripada Imam Syafie terhadap imam-imam yang lain menunjukkan kemuliaan hati dan kejernihan jiwa seorang mujtahid. Ini juga adalah merupakan sebagai penghargaan beliau terhadap guru-gurunya.

10 Ciri-ciri Orang Yang Tidak Tahu Menghargai Orang Lain[9] :

1. Tidak pernah mengucapkan terima kasih.

2. Tidak pernah berpuas hati dengan kerja orang lain.

3. Tidak mempunyai rasa percaya terhadap orang lain.

4. Lebih suka membangga-banggakan dirinya sendiri.

5. Merasakan dirinya paling hebat berbanding orang lain.

6. Suka menghamburkan kemarahan kepada individu lain, sedangkan mereka tidak bersalah.

7. Meletakkan kesalahan di bahu orang lain dan tidak mahu bertanggungjawab atas apa yang telah dilakukan.

8. Suka mendapat pujian hasil kerja orang lain.

9. Suka mencari kesalahan orang lain.

10. Tidak boleh menerima pendapat orang lain dan beranggapan pendapatnya sahaja yang betul dan harus diterima pakai.

Kesimpulan

Belajarlah untuk menghargai (appreciate) orang lain kerana menghargai adalah salah satu sifat mahmudah yang sering dilupakan. Dengan menghargai nilai tautan ukhuwwah akan semakin erat. Sekiranya kamu mahu dihargai belajarlah terlebih dahulu untuk menghargai. 

Remember,remember,remember…“What you give, you will get back”.  




[3] Penulis sendiri pernah merasai perasaan ini.
[4] Surah al Qasas ayat 77
[5]Abul Fudhail al Ghorontaliy. Tholabul ‘ilm ’ala minhajus salaf. (http://abulfudhail.wordpress.com/2009/05/30/menghormati-dan-menghargai-orang-lain/). 11 mac 2013.
[6] Dr. Nik Yusri Musa. 2006. Al Imam As Syafi’I Kegemilangan Ilmu dan Pemikiran. Karya Bestari. Hlm. 30.
[7] Ibid
[8] Ibid. Hlm. 30-31

3 comments:

Wa...snyp2 je ade blog x bgtaw...

Mantap lah , senang saya nak buat essay tentang MENGHARGAI

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site