Wednesday, March 06, 2013

Sekularisme | Assignment Untuk P.Islam (Bhg. Akhir)

Posted by Tengku Ibrahim on 11:18:00 AM

Resolusi : Peranan Kita Pada Hari Ini

1. Melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan.

Islam mewajibkan bagi setiap orang Muslim dan Muslimat untuk menuntut ilmu, sebagaimana daripada Anas bin Malik ra, sabda Rasulullah saw :

طلب العلم فريضة على كل مسلم، وإن طالب العلم يستغفر له كل شيء حتي الحيتان في البحر

Maksudnya: “Menuntut ilmu adalah fardhu atas setiap orang Islam, dan penuntut ilmu akan didoa keampunan oleh semua termasuk ikan-ikan di lautan”.[1]

Dengan kata lain, Islam mengajar bahawa Allah swt  tidak akan mengubah nasib suatu kaum sampai kaum itu mengubahnya sendiri[2] , dan antara cara untuk mengubahnya adalah dengan ilmu.

Pentingnya untuk kita menuntut ilmu adalah supaya kita tahu, dapat membezakan di antara yang hak dan batil. Oleh sebab itu, Islam mewajibkannya tidak kira sesiapa pun, wajib ke atasnya menuntut ilmu. Sehingga Rasulullah saw pernah bersabda  bahawa Allah memudahkan jalan orang yang menuntut ilmu, jalan ke syurga kelak. Sebagaimana sabdanya:

من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له به طريقا إلى الجنة


Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan yang di dalamnya untuk pergi menuntut ilmu, Allah akan mudahkan baginya jalan untuk ke syurga” (Riwayat Muslim)[3]

Dr. Mustafa as Sibaie[4] pernah menyebut di dalam bukunya, Sirah Nabawiyyah : Pengajaran dan Pedoman  iaitu “Mereka yang bertaqlid (buta tuli) tetap jahil walau setinggi mana mereka belajar. Mereka tetap kanak-kanak walau sedewasa mana umur mereka. Mereka akan terus dianggap sebagai keanak-anakan dan jahil sehinggalah mereka memerdekakan diri daripada taqlid.”[5]

2. Menggerakkan semula Gerakkan Islamisasi

Pada sekitar tahun 1980-an dan 1990an, diskusi tentang Menjayakan Islamisasi sangat rancak dan segar sekali. Menjayakan Islamisasi  bermaksud mengusahakan satu proses pengislaman masyarakat secara menyeluruh. Perubahan ke arah pengislaman masyarakat secara bermakna hanya akan terjelma apabila segenap unsur dan dimensi dalam kehidupannya dapat digerakkan secara sepadu dan menyeluruh. Ia bermaksud, seluruh dimensi kemasyarakatan berada di dalam keadaan saling berkait dan berhubungan di antara satu dengan yang lain. Tidak ada satu unsur pun yang mampu tumbuh dan berkembang menuju perubahan secara sendirian.[6]

Dr. Noor Hisham Md Nawi  pula menyebut cadangan beliau dalam ‘Islamisasi Kurikulum Pendidikan Islam di Institusi Pendidikan Guru’  iaitu Krisis dualisme dan sekularisme masih mengancam sistem pendidikan di Malaysia. Akibatnya   pelajar gagal untuk mendapatkan pengalaman pembelajaran yang berjaya menyepadukan hati dan pemikiran serta iman dan daya intelektual. Justeru,  struktur  kurikulum pendidikan guru yang sedia ada perlu diteliti semula secara kritikal. Untuk menghasilkan seorang guru yang berupaya menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran bersepadu berdasarkan gagasan Islamisasi ilmu moden, kurikulum latihan perguruan yang diikutinya seharusnya terlebih dahulu mengalami proses tersebut.[7]

Saya katakan proses Islamisasi perlu dilakukan dan digerakkan semula secara menyeluruh merangkumi aspek kehidupan manusia seperti politik, ilmu, masyarakat dan lain-lain, supaya kita kembali semula kepada Islam yang sebenar. Contohnya, apabila kita belajar  tentang ilmu sains kita dapat kenal Allah, apabila kita belajar geografi, kita dapat melihat kebesaran Allah, begitu juga dengan politik dan juga lain-lain. Setiap perkara yang kita lakukan, maka kita akan nampak ada nilai Islam disitu. Inilah proses Islamisasi sebagaimana Eropah suatu masa dahulu pernah merasai tempias Islamisasi  pada zaman kegelapan mereka. Di saat, dimana kegemilangan ilmu Islam sangat gilang gemilang, sehinggakan orang bukan Islam pun menuntut ilmu dengan sarjana Islam untuk dibawa pulang ke negara mereka. Kesannya, sedikit sebanyak nilai-nilai Islam ada terserap di dalam negara-negara mereka. Inilah juga antara usaha yang dilakukan oleh beberapa sarjana Islam seperti Syed Muhammad Naquid al Attas dan Prof Dato Dr. Sidek Baba.

3. Ukhuwwah Islamiyyah

Apabila kita berbicara tentang ukhuwwah maka ianya perlu merentasi parti, aliran, bangsa, negara dan lain-lain kerana mulianya seseorang itu adalah kerana Islam dan hinanya seseorang itu apabila dibuang keislaman daripada diri mereka. Kita jangan lupa bahawa antara faktor kejatuhan  kerajaan Turki Uthmaniah ialah apabila sentimen perkauman atau nasionalisme di suntik masuk ke dalam pemikiran bangsa-bangsa yang bernaung di bawah kerajaan Uthmaniah. Kesannya mereka bangkit memberontak meminta kebebasan dan sebagainya.  Islam mengiktiraf perasaan kasih pada bangsa dan tanah airnya berdasarkan kepada firman Allah kepada nabi Muhammad saw di dalam surah as syu’arak ayat 214. Walau bagaimanapun, Islam melarang kasih pada sesuatu yang melebihi Allah, Rasulullah saw dan Islam. Lebih membimbangkan apabila seseorang bertindak melulu dan merendahkan kasih Allah dengan meletakkan kepentingan bangsa dan puak lebih daripada yang lain dan melampaui batas-batas Allah.

Saidina Umar bin al Khattab pernah berkata bahawa kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam. Andainya kita mencari kemuliaan selain daripada apa yang telah Allah muliakan kita, kita akan dihina oleh Allah.[8]

Terlalu banyak hadis Rasulullah saw yang sangat menekankan tentang pentingnya ukhuwwah Islamiyyah ini, namun kadang-kadang kita terlupa kerana boleh jadi mata kita telah tertutup (dibutakan) dengan kefanatikan sesuatu pegangan atau aliran atau kerana permusuhan kita dengan seseorang. Na’uzubillah..
Rasulullah saw pernah bersabda bahawa akan ada tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah di padang mahsyar kelak. Salah seorangnya adalah dua orang lelaki bersahabat kerana Allah dan mereka bertemu dan berpisah kerana Allah taala sahaja.  Sabda Rasulullah saw :

سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله ، إمام عادل وشاب نشأ في عبادة الله ، ورجل قلبه معلق بالمساجد ، ورجلان تحابا في الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه ، ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال إني أخاف الله . ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه ، ورجل ذكر الله خالياً ففاضت عيناه

Maksudnya : “ Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah di mana pada hari tersebut tiada naungan lain selain daripada naungan-Nya : Imam yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut pada masjid, dua orang lelaki yang berkasih saying (bersahabat) kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana-Nya, lelaki yang digoda oleh seorang wanita cantik serta kaya tetapi lelaki itu berkata, “sesungguhnya aku hanya takut kepada Allah”, dan lelaki yang bersedeqah secara diam-diam sehinggakan tangan kirinya tidak mengetahui apa yang tangan kanannya sedeqahkan dan lelaki yang bersendirian mengingati Allah sehingga mengalir air matanya.”[9]

Sabda Rasulullah saw lagi :

ما من مسلمين يلتقيان فيتصافحان إلا غفر لهما قبل أن يتفرقا

Maksudnya : “ Apabila dua orang muslim bertemu, kemudian mereka berjabat tangan, maka Allah ampunkan dosa-dosa mereka selagimana mereka belum berpisah.”[10]

Rasulullah saw juga pernah bersabda :

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيِه مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya : “Tidak beriman di antara kamu  sehinggalah kamu menyayangi saudara kamu sebagaimana kamu menyayangi diri sendiri.”[11]

Kesimpulan

Iman yang sebenar mesti menolak semua ajaran, fahaman ataupun ideologi dan teori yang bertentangan dan melampaui batas-batas Allah. Ia merangkumi semua fahaman yang dicipta pada zaman dahulu, kini dan akan datang. Sesungguhnya Islam adalah agama yang merangkumi semua aspek dalam kehidupan. Kita hendaklah beramal dengan Islam secara keseluruhan[12] dan bukannya secara memilih sebahagian dan menolak sebahagian yang lain.





[1] Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn ‘Abd al-Bar dalam Jami’ Bayan al-Ilm wa Fadhluh 1/7. Hadith ini hukumnya hasan dengan jumlah jalan dan syawahidnya. Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. 2007.  Himpunan Hadith Modal Insan. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn. Bhd. Hlm.55.
[2] Lihat al Quran, al-Ra‘du ayat 11
[3] Riwayat Muslim di dalam Muwatto’ Imam Malik. Kitab al ilm. (http://www.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?idfrom=3913&idto=3914&bk_no=77&ID=761).  6 Januari 2013.
[4] Dr. Mustafa as Sibaie telah dilahirkan pada tahun 1915M di bandar Hims, Syria dan dibesarkan dalam sebuah keluarga yang mulia dan beragama. Setelah tamat sekolah rendah dengan cemerlang, beliau dimasukkan ke Ma’ahad Sya’ie di Hims pada tahun 1930. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Kaherah pada tahun 1933 dalam bidang Syariah, kemudian Usuluddin. Pada tahun 1949, dalam kesibukan berjihad dan berjemaah, beliau berjaya menyiapkan tesis Ph.D bertajuk ‘As-Sunnah dan Kedudukannya Dalam Perundangan Islam’. (http://ibnurrahmat.blogspot.com/2008/08/dr-mustafa-sibaie.html). 2 Mac 2013.
[5] Dr. Mustafa as Sibaie. 2010. Sirah Nabawiyyah : Pengajaran dan Pedoman. Pustaka Salam Sdn. Bhd. Hlm.159.
[6] Muhamad Razak Idris. Menjayakan Islamisasi (Tersiar di Berita Harian, 18 Januari 2011, Selasa). (http://razak.wordpress.com/2011/01/18/menjayakan-islamisasi/).  6 Januari 2013.
[7] Dr. Noor Hisham Md Nawi. Pusat Pengajian Bahasa & Pembangunan Insaniah. Universiti Malaysia Kelantan (hisham@umk.edu.my). (http://www.ipislam.edu.my/index.php/research/read/65/ISLAMISASI-KURIKULUM-PENDIDIKAN-ISLAM-DI-INSTITUSI-PENDIDIKAN-GURU-TRIBULASI-DAN-CADANGAN).  6 Januari 2013.
[8] Riwayat ini sanadnya telah disahihkan oleh al Hakim an disokong oleh az Zahabi. Lihat  Mohd. Asri bin Zainal Abidin. 2006. Islam Liberal Tafsiran Agama Yang Kian Terpesong. Bhg 1: Ancaman Terhadap Agama. Karya Bestari. Hlm.70.
[9] Riwayat Bukhari dan Muslim. Usuluddin Tingkatan 3. Kurikulum Yayasan Kebajikan Nusantara (YAKIN). silibus Mata Pelajaran Khas Sekolah Kiblah (MKSK). Hlm.28.
[10] Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tarmizi, Ibn Majah. Disahihkan oleh Syeikh al Bani di dalam al Silsilah al sahihah. (http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?t=12177).  6 Januari 2013.
[11] Riwayat Bukhari dan Muslim. Dr. Amin bin Abdullah al Shaqawi telah mensyarahkan hadis ini di dalam laman web beliau alukah. (http://www.alukah.net/Sharia/0/20791/).  6 Januari 2013.
[12] Lihat surah al Baqarah ayat 208


0 comments:

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site