Mukadimah
Sesungguhnya
jarak masa yang jauh antara zaman Rasulullah saw dengan kita telah menjadikan
manusia jauh daripada inti kandungan al Quran dan as Sunnah serta kefahaman
yang betul mengenainya. Semakin jauh zaman itu daripada kita, semakin banyaklah
ajaran yang menyimpang daripada dua sumber agung itu. Akhirnya, semakin ramai
pulalah pencemar ketulenan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw itu. Sabda
Rasulullah saw :
إني قد تركت فيكم شيئين، لن
تضلوا بعدهما، كتاب الله وسنتي. ولن يتفرقا حتى يردا علي الحوض.
Maksudnya
: Sesungguhnya aku tinggalkan bagi kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat
selepas kedua-duanya, iaitu Kitabullah dan Sunnahku. Kedua-duanya tidak akan
terpisah sehingga menemuiku di haudh
(telaga di syurga).[1]
Dunia
Islam hari ini dibaluti dengan pelbagai penyakit. Semakin lama semakin banyak
aliran ideologi yang bertentangan dengan ajaran Islam timbul dan cuba menyusup
masuk dalam jiwa dan sanubari orang-orang Islam. Ini semua berpunca daripada
sikap meninggalkan agama. Kelemahan aqidah ini mengundang kelemahan kelemahan
lain. Dengan itu, kita tidak akan ke hadapan dalam agama, teknologi dan juga
pembangunan. Barat yang telah kehilangan agama, mengisi roh tamadun mereka dengan menjadikan harta dan kebendaan
sebagai perkara terpenting. Hasilnya, agama semakin diketepikan dan hanya
tinggal sebagai amalan ritual semata-mata. Rasulullah saw bersabda :
فإنه من يعش منكم بعدى فسيرى
اختلافا كثيرا فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين المهديين تمسكوا بها وعضوا
عليها بالنواحذ وإياكم ومحدثات الأمور فإن كل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة.
Maksudnya
: Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang
banyak. Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa ar Rasyidin
al Mahdiyyin (yang mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia
dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama),
kerana setiap yang diada-adakan itu bidaah dan setiap yang bidaah itu sesat.[2]
Seterusnya,
gerakan sekularisme khususnya serta ideologi -ideologi lain telah digerakkan oleh Barat serta
musuh-musuh Islam. Antaranya, di India,
pelbagai usaha telah dilakukan bagi menghapus amalan perundangan Islam secara
beransur-ansur bermula sejak tahun 1791. Selain itu, rakyat di Algeria dipaksa
supaya tidak beramal dengan undang-undang Islam apabila Perancis menjajahnya
pada tahun 1830. Pada tahun 1883 pula, Khadiwi Ismail yang memerintah Mesir
memasukkan undang-undang Perancis dalam undang-undang Mesir , kononnya kerana
mahu mencapai kemajuan seperti Eropah. Pada tahun 1924, Kamal Atartuk telah Berjaya
menggulingkan pemerintahan Turki Uthmaniah dan kemudiannya menjadikan sekular
sebagai dasar dalam pemerintahan negara Turki. Manakala rantau ini, iaitu
Malaysia, Indonesia dan lain-lain menerima pengaruh secular melalui kedatangan
penjajah Inggeris, Belanda dan lain-lain.
Justeru,
telah jelas disini bahawa penyebaran ideologi-ideologi ini , terutamanya
sekularisme adalah antara usaha Barat serta musuh-musuh Islam dalam memastikan
nilai-nilai agama khususnya Islam tidak menjadi asas dalam kehidupan manusia.
Bersambung.........
[1]
Hadis ini diriwayatkan oleh al
Hakim dalam Mustadrak (no.319), ad Daruqutni dalam as Sunan (no. 149) dan al
Baihaqidalam as Sunan al Kubra (no.20124). Menurut Ibn ‘Abd al Bar bahawa hadis
ini terpelihara, dimaklumi dan masyhur daripada Nabi saw, di sisi para ulama’
ianya masyhur sehingga hamper tidak memerlukan sanad. Dr. Zulkifli bin Mohammad
al Bakri. 2012. Manhaj Fiqah Wasathiy : Wasathiyah dalam Akidah.
Konvensyen Fiqh Ummah. Hlm.10.
[2]
Hadis ini sahih. Diriwayatkan oleh Abu Daud, at Tirmizi, Ibn Majah dan al
Darimi dalam sunan mereka. At Tirmizi mengatakan bahawa ia adalah hasan sahih.
Demikian juga Ibn Hibban dalam Sahihnya dan al Hakim dalam Mustadrak dengan
menyatakan ‘hadis ini sahih’ dan dipersetujui oleh Imam az Zahabi. Mohd. Asri
bin Zainal Abidin. 2006. Islam Liberal Tafsiran Agama Yang Kian Terpesong.
Bhg 1: Ancaman Terhadap Agama. Karya Bestari. Hlm.7-8.
0 comments:
Post a Comment