Wednesday, March 06, 2013

Sekularisme | Assignment Untuk Subjek P.Islam (Bhg 5)

Posted by Tengku Ibrahim on 3:39:00 AM

Sebab-sebab Kemunculan Sekularisme

1. Agama menjadi ekslusif untuk golongan tertentu sahaja.

Berlaku pada Zaman Kegelapan Eropah,iaitu paderi-paderi Gereja Katolik mendakwa mempunyai hubungan batin dengan tuhan & mempunyai kuasa rohani terhadap manusia kerana menjadi perantara antara manusia biasa dengan tuhan. Sebagai contoh, Anak kecil tidak dikira sah menjadi Kristian sekiranya belum dibaptis paderi. Selain daripada itu, penjualan sijil Indulgences iaitu sesiapa yang mahu mendapat keampunan daripada tuhan perlu membeli sijil ini daripada pihak gereja. Di samping itu, Kitab Bible hanya dijadikan  khusus buat paderi sahaja. Orang biasa tidak boleh membaca dan memahaminya. Penjualan Indulgences dan larangan membaca orang awam membaca kitab Bible telah ditentang oleh Martin Luther. Hasilnya berlaku Gerakan Reformation yang mana akhirnya muncul mazhab Protestan dalam agama Kristian.

Perkara ini juga menular dalam kalangan sebahagian golongan agamawan yang mengatakan bahawa  agama hanya boleh difahami oleh golongan ustaz atau Tuan Guru sahaja. Orang awam tidak berhak mempersoalkan apa-apa, hanya perlu mengikuti sahaja apa yang diperkatakan tanpa bantahan. Hasilnya, muncul golongan yang fanatik mazhab dan golongan yang bertaqlid secara buta tuli. Malah antara kesan yang lebih parah, muncul aliran Liberalisme hasil daripada pemberontakan pemikiran mereka daripada kongkongan atau kejumudan. Kesannya, manusia semakin jauh daripada memahami Islam yang sebenar, sebaliknya mengatakan Islam hanya amalan ritual semata-mata.

2. Keangkuhan ilmiah

Lebih buruk lagi, apabila pandangan ilmiah yang berbeza itu diharamkan atas nama agama. Lalu pihak yang menguasai urusan agama itu menghukum orang yang berbeza pendapat dengan mereka sebagai musuh agama ataupun musuh Tuhan. Padahal pendapat yang diberikan itu, memenuhi piawaian ilmu dan tidak bertujuan menderhakai Tuhan.

Pihak Gereja beranggapan bahawa kejahilan merupakan petua untuk iman. Ilmu pengetahuan selain daripada mereka adalah sesat. Mereka mengatakan bahawa  ilmu sains, geografi, perubatan dan sebagainya ada unsur-unsur Islam. Pihak gereja menuduh bahawa ilmu sains itu adalah ilmu Islam dan sesiapa menganutnya adalah murtad. Malah, ada yang dibunuh hanya kerana kepercayaan mereka terhadap ilmu sains. Kejahilan mereka membawa kepada kepada penentangan masyarakat Eropah terhadap kuasa agama yang akhirnya mencetuskan Revolusi Industri atau Revolusi Perancis pada 1789. Agama dihadkan pengaruhnya supaya tidak masuk campur secara langsung dalam pentadbiran dan persoalan kehidupan yang lain. Maka hari ini, dalam seni, hiburan, politik, perindustrian, sains dan sebagainya, agama tidak menjadi teras utama. Jika ada pun, ia hanya kesedaran individu bukan dasar umum. Maka tidak hairan jika mereka (penganut Kristian) boleh menggantungkan salib di dada ketika beraksi bogel di hadapan kamera. Agama dipersendakan. Demikian juga filem dan novel yang mempertikaikan agama mereka sendiri seperti Da Vinci Code. Malah, tidak hairan kartun-kartun yang mereka lukis kadang-kadang mempersendakan Jesus yang mereka anggap sebagai anak tuhan mereka. Dan tidak hairan juga, apabila para sarjana mereka mempertikaikan kebenaran Bible, malah sehingga meragui kewujudan Jesus. Inilah natijah yang harus dibayar oleh Barat, hasil kejumudan golongan agama mereka pada zaman yang lepas.[1]

Pada hari ini juga, akibat kejumudan sesetengah golongan agama dalam Islam juga telah menyebabkan pengaruh ini  terserap masuk ke dalam sesetengah pemikiran masyarakat Islam. Buktinya pada tahun 2006, Yasmin Ahmad telah menerbitkan sebuah filem yang berjudul, “Gubra”. Filem ini merupakan satu penghinaan dan sendaan  terhadap agama Islam kerana di dalamnya jelas membawa pengaruh sekularisme dan lain-lain ideologi yang bertentangan dengan Islam. Filem ini dimulai dengan paparan lafaz ‘Bismillahirrahmanirrahim’. Kemudiannya ditonjolkan watak seorang lelaki (Bilal) yang baru memeluk Islam, kemudian memegang anjing dalam perjalanan menuju ke surau, aksi seks diiringi laungan azan Subuh, wanita mencabut bulu dada seorang lelaki Cina asing, perbicaraan di atas katil dijadikan perbualan biasa, kempen murtad secara halus antara wanita Islam dan lelaki Cina dan diselangi aksi seks dengan bunyi azan lagi,[2] menunjukkan konsep   plularisme, liberalism dan sekularisme secara halus. Di Indonesia juga tidak terkecuali, sebuah filem yang berjudul, “Perempuan Berkalung Serban”, jelas menunjukkan atau menggambarkan Islam itu sangat sempit, keras dan tidak terbuka. Dan file mini telah ditentang oleh sebahagian besar pertubuhan-pertubuhan Islam dan Majlis Ulama’ Indonesia (MUI) kerana jelas penyelewengannya.[3]

Saya katakan bahawa munculnya golongan-golongan ini adalah hasil daripada kejumudan kita sendiri dalam melihat Islam itu sendiri. Sepatutnya kita melihat kepada keluasan Islam (fiqh) itu sendiri, bukannya kita menyempitnya. Dan lebih parah lagi, kita menambah (berlebih-lebih) pula dengan cerita-cerita kewalian yang melampau sehinggakan hilang peranan agama. Agama dilihat seperti cerita kartun, ortodoks dan tahyul dan bukan lagi berdasarkan (ditegakkan) atas hujah dan fakta. Kita harus ingat Islam bukan satu perkara yang  manusia tidak mampu berfikir keran Islam itu adalah fitrah setiap manusia.

3. Kesan daripada penjajahan Barat

Keutuhan pendidikan Islam pada akhir abad ke-19 mengalami cabaran dengan kehadiran penjajah Inggeris di Tanah Melayu. Proses sekularisasi penjajah telah memperkenalkan dasar pelajaran yang amat menghadkan kurikulum pendidikan Islam dan mengawal ketat pengajaran al-Quran. Kedatangan Inggeris sesungguhnya telah memperkenalkan pendidikan sekular kepada orang Melayu. Tegasnya, pada zaman penjajahan ini menurut Rosnani Hashim (2001) (Kurikulum Pendidikan Daripada Perspektif Islam Dalam Konteks Pendidikan di Malaysia. Jurnal Pendidikan Islam, November, 9(4).), sistem pendidikan digunakan sepenuhnya oleh pihak penjajah untuk mencapai agenda mereka yang tersendiri, termasuk menyebarluaskan fahaman sekular dan meminggirkan agama.[4]

Bersambung....






[1] Prof Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainal Abidin. 2012. Travelog Minda Tajdid ; Catatan Perjalanan Dari Tanah Barat. PTS Islamika Sdn Bhd. Hlm.24-26.

[4] Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad. 2012.  MATA PELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM : SATU KAJIAN TERHADAP PEMBENTUKAN AKHLAQ PELAJAR SMKA MAAHAD MUAR, JOHOR. Latihan Ilmiah Diploma Tahfiz wal Qiraat, Syukbah Qiraat, Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kuala Kubu Bharu, Selangor. Hlm.54.

0 comments:

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site