Friday, November 11, 2011

Hikmah di sebalik | PLKN

Posted by Tengku Ibrahim on 9:32:00 AM

Bismillah......

Selepas sahaja saya menamatkan tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar, Johor, saya dikehendaki untuk mengikuti satu Program Latihan Khidmat Negara 2009 (PLKN) selama tiga bulan di Kem Merang Suria, Terengganu sebagai peserta kumpulan pertama. Pada mulanya, saya berasa cukup kecewa, sedih, dan marah kerana terpilih mengikuti PLKN kerana pada anggapan saya PLKN ini adalah membuang masa, tiada nilai-nilai Islam yang akan diterapkan, pergaulan bebas mungkin akan berlaku dan tiada faedah mengikutinya. Tetapi saya pergi juga sebagai peserta dalam keadaan yang sangat tidak rela kerana tidak mahu didenda RM 3000.

Apabila tiba sahaja saya disana, saya masih ingat lagi, perkara yang saya mula-mula kena di saat punggung pun masih belum jejak ke katil, beg pun masih belum dilepaskan lagi daripada genggaman, saya dan beberapa orang peserta lain dikehendaki membuat tekan tubi sebanyak 40 kali sebagai denda daripada jurulatih, Cikgu Anuar(merupakan antara orang yang rapat dan banyak memberi tunjuk ajar kepada penulis semasa di sana ) kerana ada salah seorang daripada peserta di situ tersalah ambil baldi beliau. Yang peliknya, saya tidak merasa marah langsung kerana hati saya merasakan seperti ada sentuhan sesuatu.

Saya rasa mungkin cukup sekadar itu sebagai muqadimah kepada penulisan saya pada kali ini, menampakkan kepada semua para pembaca sekalian perasaan awal saya bila mula-mula sekali di PLKN. Mungkin ada yang tidak bersetuju dan tidak sangka apa yang saya akan tuliskan ini tetapi ini adalah kisah benar yang dialami sendiri oleh penulis yang melihat PLKN sebagai satu wadah yang baik dalam mendidik remaja-remaja darsawarsa ini. Saya sendiri tidak menyangka bahawa banyak menfaat yang saya dapat daripada PLKN ini sekaligus mengubah anggapan tentang PLKN. Saya akan menceritakan dengan menggunakan kaedah ‘numbering’ berdasarkan nilai-nilai untuk memudahkan lagi para pembaca.

KEAGAMAAN

Di sana saya melihat aspek-aspek keagamaan sangat ditekankan. Cikgu Anuar adalah salah seorang jurulatih yang sangat tegas dalam soal ini. Ini dapat dilihat dengan jelas bagaimana beliau mewajibkan semua peserta solat berjemaah di surau tepat pada waktunya. Bagi sesiapa yang lambat atau tidak pergi solat solat berjemaah akan didenda dengan mengangkat 2 meja makan sambil membuat pusingan seluas dewan makan. Kami juga pernah dikenakan hukuman menulis “saya akan memastikan sahabat saya pergi menunaikan solat berjemaah di surau” sebanyak lebih daripada 1000+++ kali(saya tidak ingat jumlah yang tepat). Selain daripada itu, beliau mewajibkan semua peserta menghafal semua makna bacaan di dalam solat dan bagi sesiapa yang tidak melakukannya akan ada hukuman yang diberikan. Beliau juga melantik daripada kalangan peserta Imam-imam, bilal-bilal dan ajk-ajk surau. Dan majoritinya sebagai naqib dan naqibah yang akan membimbing peserta-peserta yang lain dalam menyampaikan taklim dan membimbing mereka khususnya dalam agama. Kebanyakkan aktiviti-aktiviti yang kami lakukan juga adalah di asingkan daripada lelaki dan perempuan melainkan beberapa sahaja seperti kumpulan di dalam kelas, kawad dan sebagainya. Antara perkara yang saya tidak boleh lupakan ialah pada hari kedua para imam didenda dengan dikerahkan untuk bergolek di atas jalan raya bersama-sama dengan beliau sendiri kerana kami terlupa untuk menyampaikan taklim selepas Asar.Masya-Allah..sebenarnya banyak lagi yang saya hendak ceritakan berkenaan aspek keagamaan ini tetapi terhalang disebabkan oleh ruang dan masa yang terhad.

Nilai keagamaan ini dapat berjalan dengan baik di kem saya kerana pelajar-pelajar lepasan sekolah agama memainkan peranan dakwah di sana, disamping bantuan daripada jurulatih-juruatih yang hendakkan islam di sana. Saya tidak menafikan ada sesetengah kem yang tidak menekankan langsung aspek ini. Malah peserta bebas untuk solat di bilik dan yang lebih sedih lagi ada yang tidak solat langsung. Kita mahukan mereka-mereka yang kurang baik ini atau tersasar ini menjadi lebih baik apabila mereka menamatkan latihan ini, bukannya menjadi makin haru biru. Di kem saya, memang ada yang secara senyap-senyap mengaku tidak pernah solat, selalu lawan kata ibu bapa, menipu, baru hendak belajar sembahyang, baru hendak kenal agama islam yang sebenar. Mereka jumpa para naqib kerana mereka merasakan mereka perlu berubah dan perlu mempelajari islam. Dan mereka merasa begitu kerana di kem kami ada suasana islam tersebut yang cuba diterapkan. Inilah point penting yang saya hendak ketengahkan. Apabila ada sahabat saya yang berkongsi dengan saya, dia hendak belajar tentang islam,hendak solat, dia beritahu pada saya selama ini tiada seorang pun yang pernah ceritakan pada dia tentang islam yang sebenar,hukum-hukum dalam islam dan sebagainya. Justeru benarlah apa yang sering kita dengar bahawa kita kena jadi pendakwah, di luar sana banyak lagi masyarakat yang memerlukan bimbingan daripada kita.

KEILMUAN

Ini adalah saya kira sebagai asas semasa di sana bagi mana-mana kem pun. Kami di ajar mengenai sejarah dan asal usul agama-agama di dalam Malaysia iaitu tentang agama Islam, Buddha,Hindu, Kristian dan Sikh. Kami juga diajar dengan sifat-sifat patriotik,nilai-nilai baik, akhlak, bagaimana untuk meningkatkan keyakinan diri kami,menangani stress dan sebagainya. Pendek kata, kami mempelajari ilmu secara indoor(yang saya sebutkan tadi) dan juga outdoor seperti berkawad, memegang senjata,survival,dan sebagainya. Semua ilmu-ilmu outdoor tadi adalah merupakan ilmu untuk hidup, bagaimana kita hendak hidup dan memerlukan kerencaman kita berfikir.

UKHUWWAH

Saya melihat bagaimana jurulatih cuba menerapkan kami dengan nilai kasih sayang di antara kami, yang mana datang daripada tempat yang berbeza, berbeza agama, kaum dan warna kulit. Denda-denda yang dikenakan juga lebih bersifat ‘seorang buat semua kena’. Kami sama-sama di ajar untuk susah, gelak ketawa bersama-sama, sakit sama-sama, sedih sama-sama, dan secara tidak langsung kesemua ini telah mengajar kami erti seorang sahabat. Saya tidak dapat lupakan bagaimana seorang sahabat saya yang kita nampak dia seorang yang tegas, nakal, suka main-main tetapi boleh menangis di saat hendak berpisah dengan kami semua sebagai seorang sahabat sedangkan sebelum ini tidak pernah kenal pun. Saya sebenarnya masih mencari rahsia di sebalik ukhuwwah ini dan masih mencari. Kerana ini adalah satu anugerah besar yang Allah berikan pada kita, sesuatu nikmat yang susah hendak kita dapat, sahabat sejati. Walau bagaimanapun, sebagai seorang muslim kita sepatutnya mengasihi sahabat atau saudara kita sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri. Sebagaimana sabda yang telah diucapkan oleh baginda rasulullah SAW.

Saya rasakan cukuplah sekadar saya membawakan 3 sahaja nilai yang saya dapat daripada banyak nilai-nilai yang lain sebagai pengajaran buat kita semua. Secara jujurnya saya merindukan suasana semasa di PLKN tersebut. Sekadar peringatan, apa sahaja yang kita ikuti, apa sahaja organisasi yang kita pimpin, dan apa sahaja jawatan yang kita pegang, kitalah pencoraknya sama ada lebih dekat kepada ketakwaan ataupun semakin jauh daripada rahmat Allah. Samalah juga seperti kem-kem PLKN, NGO-NGO dan parti-parti. Oleh yang demikian, saya tidak merasa pelik sekiranya ada organisasi dan kem-kem PLKN yang lain yang sangat kontra dengan apa yang saya telah ceritakan sebelum ini. Wallahualam......

Link Sedikit Gambar Lain [klik]

Dicatat oleh :

Prince-tengku

Jumaat|12:23|p.m

3 comments:

hurmm . aq x dapat pLkn laa . sdey3 . T___T

Assalamualaikum, tahniah saya ucapkan, semoga ilmu yg kamu pelajari dari sahabat2 saya menjadi "bonus" kepada kami jika kami menghadap Ilahi nanti.
http://cikguplkn.blogspot.com/

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site