Pertama dan selamanya marilah kita sama-sama merafa’kan setinggi- tinggi kesyukuran kepada Allah SWT di atas limpah kurniaNya serta izinNya, masih lagi memberi kita kesempatan dan peluang untuk hidup di atas muka bumi ini. Keduanya selawat dan salam disampaikan kepada junjungan nabi Muhammad S.A.W.,keluarga serta sahabat-sahabat baginda.
Saudara saudari sekalian,
Semalam (26 November 2011)selepas masuknya waktu Maghrib, maka secara rasminya sedar ataupun tidak, kita sebenarnya telah memasuki dan beralih ke satu tahun baru dalam kalender hijriah, 1433 H. Sudah pasti,ada dikalangan kita yang merancang azam baru sempena tahun hijrah ini,dan tidak kurang juga yang berusaha mentransformasikan diri kearah lebih baik, mengambil ibrah daripada peristiwa penghijrahan baginda Rasulullah SAW bersama kaum Muhajirin dari kota Mekah ke Madinah al Munawwarah. Dalam kita merancang, muhasabah kembali diri ini, saya yakin dan percaya ramai dalam kalangan kita yang masih terpinga-pinga dengan persoalan-persoalan, apakah yang perlu aku ubah dan apakah azam baru yang perlu rancangkan? Ini mungkin sebahagian kecil sahaja contoh persoalan tersebut.
Saya ingin kongsikan bersama para pembaca budiman sekalian mengenai beberapa perkara dalam kita mentransformasikan diri kita,remaja Islam khususnya dalam mendepani masyarakat darsawarsa ini dalam memastikan Islam terus dilihat sebagai yang tertinggi dan tiada lagi yang lebih tinggi daripadanya.
Manhaj Rabbani
Pertamanya sebagai seorang remaja Muslim kita perlu mentransformsikan diri kita supaya kembali kepada manhaj Rabbani. Ertinya kita mengetahui bahawa tujuan penciptaan kita adalah untuk melaksanakan peribadatan hanya kepada Allah SWT, serta berserah diri kehadratNya dalam setiap musibah yang menimpa dan menakutkan.
Sebagaimana firman Allah taala yang bermaksud : “ Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka beribadat kepadaKu.”(az Zariyat : 56)
Selain daripada itu, kita harus mengetahui bahawa Islam ini adalah bersifat syumuliah. Islam ini sangat luas dan di dalamnya merangkumi pelbagai perkara daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Kita juga perlu tahu bahawa tujuan kejadian kita juga adalah untuk menjadi khalifah di atas muka bumi. Imam al Mawardi telah mentafsirkan makna khalifah ialah “Iqamatud deen wasiatud dunia bih”, yang bererti “Menegakkan agama di atas muka bumi dan mentadbir dunia dengannya.”
Kita juga perlu tahu bahawa kita diciptakan supaya memberikan wala’ dan ketaatan hanya kepada Allah dan rasulNya dan orang-orang Mukmin, sebagaimana firman Allah taala : “sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, RasulNya dan orang-orang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (menyerah diri kepada Allah).”(al Maidah : 55)
Menuntut Dan Mencari Ilmu
Sabda Rasulullah SAW : “Sesungguhnya menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim.”
Saudara saudari sekalian,
Kita sebagai yang bergelar mahasiswa dan mahasiswi, adalah sewajarnya kita menuntut ilmu semampu boleh, mempelbagaikan cabang ilmu semampu boleh dan berguru dengan pelbagai guru semampu boleh. Segaimana Imam as Syafie merantau ke pelbagai tempat semata-mata hendak mencari ilmu. Diceritakan ada suatu kisah mengenai Sheikh Mohd zin al Fatoni, pengarang kitab Faridatul Faraid bersama anak muridnya Tok Kenali. Satu hari guru Tok Kenali sedang mengajar dan beliau pun memerhatikan Tok Kenali sedang tidur. Selesai sahaja kelas,gurunya pun bertanya kepada Tok Kenali tentang apa yang beliau ajar pada waktu tersebut. Atas kuasa Allah, Tok Kenali dapat menjawab semua soalan yang diajukan oleh gurunya tanpa tertinggal satu kalimah pun. Selepas itu, gurunya pun berkata kamu boleh tidur dalam kelas aku.
Ini mungkin sebahagian kecil antara kisah-kisah ulamak-ulamak dahulu mencari ilmu dan sepatutnya kita pada hari ini perlu mengambil iktibar daripada kesungguhan tokoh-tokoh dahulu. Dr Mustafa as Sibaie berkata bahawa mereka yang bertaqlid tetap jahil walau setinggi mana pun mereka belajar,mereka tetap kanak-kanak walau sedewasa mana umur mereka, mereka akan terus dianggap keanak-anakan dan jahil sehinggalah mereka membebaskan diri daripada taqlid. Justeru marilah kita sama-sama bebaskan diri kita daripada taqlid membuta tuli, hidupkanlah budaya ilmu dan budaya kita tahu apabila melakukan sesuatu perkara.
Imam as Syafie berkata : “Barangsiapa yang mahukan dunia maka hndaklah dengan ilmu,barangsiapa yang mahukan akhirat maka hendaklah dengan ilmu dan barangsiapa yang mahukan kedua-duanya maka hendaklah dengan ilmu.”
Beramal Dengan Ilmu
Imam al Ghazali pernah menyebut bahawa ilmu tanpa amal gila, amal tanpa ilmu sia-sia. Kita sebagai seorang pemuda Islam harus sedar tentang peranan dan tugas kita pada hari ini. Prof Dr Yusuf al Qaradawi menyebut dalam kitabnya “Jilun nasr al mansyud”, pemuda islam yang dijanjikan ialah generasi dakwah dan jihad. Mereka berusaha menyampaikan ilmu dan Islam kepada setiap manusia di atas muka bumi ini. Kita lihat Panglima Tariq bin Ziyad berusaha melebarkan rahmat Islam sehingga ke Andalus, Sultan Salahuddin al Ayubi membuka Baitul Maqdis, Sultan Muhammad al Fateh Berjaya membuka kota Konstantinopel dan ramai lagi tokoh-tokoh yang tidak dapat saya nyatakan disini. Kalau kita perhatikan ramai dalam kalangan sahabat kubur mereka berada di seluruh dunia kerana mereka menyahut seruan baginda Rasulullah untuk menjadi seorang pendakwah dan daie demi memastikan Islam sampai dan akan terus sampai pada generasi akan datang.
Sabda Rasulullah : “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat dan sebaik-baik manusia adalah yang member manafaat.”(Riwayat Muslim)
Beriltizam Dengan Islam
Dan yang terakhirnya, saya merasakan dalam kita menyambut tahun baru hijrah ini kita sepatutnya berusaha untuk meningkatkan lagi iltizam kita dengan Islam, dalam erti kata lain bergerak kerja untuk Islam. Ramai dalam kalangan kita tersalah faham dan tidak dapat memahami secara holistik tentang peranan kita untuk Islam. Saudara saudari sekalian, mulianya kita kerana Islam tanpa Islam kita tiada apa-apa sebagaimana yang disebutkan oleh Prof Dr Yusuf al Qaradawi bahawa ruh Ummat ialah Islam, tanpa ruh islam ini ummat seperti mayat,jasad yang tiada nyawanya. Dalam kita hendak meletakkan Islam yang tertinggi sekali dan tiada yang lebih tinggi daripada Islam sudah pasti kita akan menggunakan segala platform, wasilah,uslub yang ada. Dan yang paling penting dalam kita melaksanakan wasilah-wasilah ini memerlukan iltizam kita, dan apabila memerlukan iltizam sudah pasti akan ada pengorbanan yang perlu dilakukan. Firman Allah taala yang mafhumnya bahawa “sesungguhnya Allah membeli darpada kalangan orang mukmin itu, diri mereka, harta mereka untuk syurga.” Maka hendak dijadikan khulasohnya orang yang berjuang ini,balasannya syurga bukan pahala 1000 kali ganda atau apa pun tetapi Allah kata orang yang terkorban dalam berjuang pada jalanNya, Allah kurniakan atau beli mereka ini dengan syurga. Masya Allah….Justeru saya tidak ingin menghurai panjang tentang perkara ini,terpulang akan diri masing-masing dalam menilainya, saya akhiri dengan firman Allah taala :
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga,padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman bersamanya : “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”(al Baqarah : 214)
Selamat menyambut tahun baru hijrah 1433…….
00:49 am
27 November 2011
0 comments:
Post a Comment