• PIMPINAN 10-11

    Bersama Menerajui Perubahan

  • Bergambar Bersama Penceramah

    Semasa menjadi fasilitator Mukhayyam Syakhsiah Muslim Anjuran Badan Dakwah dan Ibadah SMA al-ittifaQiah Guai,Pahang

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI

    Saat terakhir bergambar bersama-sama

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI

    Saat terakhir bergambar bersama-sama

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI 2007

    Bergambar bersama ahli-ahli kumpulan semasa berkayak di laut...Hidup Gacrux!!!

Tuesday, July 19, 2011

LITERALIS AGAMA | Pandangan Dr Maza

Posted by Tengku Ibrahim on 8:21:00 PM

Kali ini saya ingi kongsikan satu artikel yang telah ditulis oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang bertajuk "Menangani Fenomena Literalis Agama”. Saya merasakan dewasa ini,masyarakat semakin keliru tentang beberapa perkara yang saya rasakan besar seperti mentaati pemimpin,demonstrasi dan lain-lain.Hal ini adalah disebabkan oleh,sikap golongan agama sendiri yang mana kadang-kadang tidak amanah dengan ilmu, mem’backup’ pemerintah yang zalim dan berselindung dengan nas-nas. Saya membawakan ini bukanlah bermaksud saya menentang pemerintah tapi saya ingin menyampaikan betapa bahayanya Literalis dalam agama ini,bukan sahaja kepada orang islam sendiri tetapi juga kepad orang bukan Islam.Kita khuatir islam yang mana adalah luas dianggap jumud atau sempit disebabkan oleh sikap kita orang agama sendiri,shingga mana membantutkan dakwah islam. Dan saya sangat bersetuju dengan pandangan yang dibawakan oleh Prof Madya Dr Mohd Asri mengenai isu ini. Sila baca artikel ini dibawah.
______________________________________________________

(RUJUKAN : www.drmaza.com)

Rentetan dari isu demonstrasi aman di seluruh dunia Islam, telah terbit pelbagai fatwa yang kadang-kala bersifat partial ataupun berpihak. Ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga berlaku di negara-negara Arab pasca kebangkitan rakyat. Dalam mempertahankan kuasa para pemerintah Arab semasa -yang sebahagian besar pemerintah itu korupsi dan zalim- muncullah kelompok agamawan yang membela mereka.

Malangnya, pembelaan itu datang dari mereka yang kelihatan ‘kuat beragama’. Dalam kalangan mereka itu ramai pula dari aliran salafi zahiri atau kelompok salafis literalist. Mereka ini memahami nas-nas al-Quran dan hadis secara literal dan menganggap urusan muamalat dan siyasah sama macam ibadah khusus yang tidak boleh dilakukan sebarang pembaharuan dan tokok tambah. Lantaran dari pemikiran ini, mereka membidaahkan perkara-perkara yang membabit urusan harian yang dilakukan atas kemaslahahan manusia.

Maka, mereka membidaah kewujudan persatuan, parti politik, demonstrasi, nasyid, seni rekaan dan pelbagai lagi. Jika fatwa-fatwa mereka ini diterima, maka dunia Islam pasti akan jumud dan kehidupan manusia menjadi sempit di bawah lembayung Islam.


Dipukul dan Dirampas

Lebih dahsyat lagi, apabila aliran ini dimanfaatkan oleh para pemerintah yang korupsi dalam dunia Islam. Ini apabila kelompok ini menafsirkan hadis-hadis politik secara literal yang seakan-akan Islam memberikan ‘lesen’ besar kepada pemerintah untuk melanyak rakyat dan rakyat pula diikat kaki, tangan dan mulut dengan nas-nas agama dari bertindak atau membantah. Lebih hodoh lagi, hanya nas-nas yang ‘kelihatan’ pro-pemerintah sahaja yang dibaca, diforumkan, diwar-war dalam pelbagai saluran, sedangkan nas-nas yang memberikan amaran terhadap kezaliman pemerintah tidak pula dicanangkan.

Di Malaysia, kita dapat melihat fonomena ini semasa isu demonstrasi panas baru-baru ini dalam masyarakat. Di sini bukan bertujuan menyokong atau menentang demonstrasi aman, tetapi sekadar ingin membincangkan kefahaman sesetengah pihak mengenai hadis-hadis berkaitan.

Antara yang dibaca dan disebarkan dalam mempertahankan para pemerintah dan menghalang rakyat melakukan kritikan –sekalipun aman- ialah hadis Huzaifah r.a:
“Akan ada selepasku para pemimpin yang berpetunjuk bukan dengan petunjukku, bersunnah bukan dengan sunnahku, dan akan bangkit dalam kalangan mereka lelaki-lelaki yang jantung hati mereka seperti jantung hati syaitan dalam tubuh insan”. Kata Huzaifah: “Apa yang patut aku lakukan wahai Rasulullah, jika aku mendapati keadaan itu?”. Jawab baginda: “Dengar dan taat kepada ketua, sekalipun belakangmu dipukul, hartamu diambil, dengar dan taatlah” (Riwayat Muslim).

Hadis ini dijadikan hujah, sehingga ada yang berkata ‘jika pemerintah membunuh kaum-keluarga saya pun, saya tidak akan mendakwa pemerintah di mahkamah dunia’. Saya tidak dapat bayangkan jika semua orang Islam faham seperti itu, maka bermaharaja lelalah para pemerintah dunia Islam, menindas mereka. Tidak boleh dibantah bahkan tetap taat. Ketika dunia berusaha mempertahankan hak asasi manusia agar tidak dicemar, tiba-tiba kita pula menarik umat ke belakang dengan tafsiran yang literal seperti itu. Bayangkan jika seorang yang baru hendak mengenali Islam dihidangkan dengan kefahaman seperti itu, bagaimanakah mungkin beliau ingin melihat keindahan Islam dan keadilannya? Di manakah sabda Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih).

Satu hadis tidak boleh dibaca secara berasingan tapi hendaklah melihat keseluruhan secara perbandingan dengan nas-nas yang lain. Jika tidak, penafsirannya akan cacat. Di situ adanya ilmu yang dinamakan Mushkil al-Hadith yang membincangkan hadis-hadis yang zahirnya kelihatan bercanggahan.

Hina dunia Islam hari ini, sekalipun Allah melimpahkan mereka dengan pelbagai kelebihan, adalah disebabkan salahguna harta rakyat dan ketidakadilan. Dalam beberapa sudut, pemimpin dunia Barat lebih amanah dan jujur kepada rakyat mereka dibandingkan apa yang ada di dunia Islam hari ini. Di mana pergi kekayaan minyak Arab? Bahkan, dari segi keadilan, kadang-kala haiwan di negara Barat lebih dibela dari seorang muslim yang hidup di dunia Islam; dipukul, dihina, dipenjara, bahkan dibunuh tanpa berani bersuara. Sedangkan Nabi s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya binasa mereka yang sebelum kamu kerana mereka itu apabila seorang yang dianggap ‘mulia’ dalam kalangan mereka mencuri dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah mencuri, mereka laksanakan hukuman ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari).

Jadi, sejak bila pula, Islam menyatakan jika pemerintah melakukan kezaliman kita hanya diam dan bersabar! Malang sekali jika manusia di Barat dan Timur yang tidak muslim menentang pelanggaran hak asasi rakyat, tiba-tiba ada kelompok agama dalam Islam yang menyatakan kezaliman pemerintah dihadapi dengan diam, sabar dan taat!

Huraian

Hadis tentang taat dan patut sekalipun dirampas harta dan dipukul itu, ia merujuk kepada keadaan di mana jika penentangan dilakukan akan menyebabkan kerosakkan yang lebih besar seperti pemerintah akan membunuh atau memusnah orang lain yang tidak bersalah sedang kita tidak mampu memberikan sebarang kesan kepada mereka. Ini terutama di zaman dahulu yang terkenal dengan penumpahan darah. Begitu juga di bawah regim-regim yang zalim yang hanya merugikan para penentang dan negara secara umumnya.
Namun, apabila dunia berubah. Negara-negara terikat dengan peraturan antarabangsa mengenai hak asasi rakyat. Juga, apabila negara-negara itu meletakkan dalam perlembagaan mereka tentang hak-hak rakyat, dalam ertikata lain membantah pemerintah dalam negara demokrasi aman itu adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap menentang negara kerana diiktiraf dan dijamin oleh perlembagaan negara dan persetujuan antarabangsa. Maka, konteks hadis sudah berbeza. Islam bukanlah agama yang memberikan lesen kepada pemerintah untuk berbuat apa sahaja dan rakyat wajib mendiamkan diri. Jangan bawa tafsiran zaman Abbasiyyah ke zaman yang sudah berubah.

Bagaimana mungkin rakyat tidak boleh membalaskan tindakan pemerintah melalui saluran keadilan dan tuntutan yang wajar, sedangkan dalam hadis, Nabi s.a.w sendiri sebagai pemerintah mengizinkan diri baginda dibalas. Ini seperti hadis yang diriwayatkan Ibn Ishak dalam sirahnya, ia disahihkan oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah bahawa ketika Rasulullah membetulkan saf perang Badr dengan anak panah baginda, lalu baginda mencucuk perut Sawad bin Ghaziyyah, maka Sawad berkata:

“Wahai Rasulullah! Engkau telah menyakitiku dan demi Allah yang mengutuskanmu dengan kebenaran dan keadilan, beriku untuk membalasnya”. Maka Rasulullah s.a.w pun menyingkap perut baginda dan bersabda: “Balaslah”. Lalu Sawad memeluk dan mencium perut Nabi s.a.w. Baginda bertanya: “Mengapa engkau buat begini wahai Sawad?”. Beliau menjawab: “Seperti yang engkau lihat, aku ingin agar saat akhir aku denganmu, kulitku menyentuh kulitmu”. Lalu Rasulullah s.a.w pun mendoakan kebaikan untuknya”.

Rasulullah s.a.w yang merupakan seorang nabi dan pemerintah, jauh lebih mulia dari semua pemerintah mengizinkan diri dibalas atas tindakannya, bagaimana mungkin ada pihak boleh menyatakan tindakan pemerintah tidak boleh dipertikai atau dibawa ke mahkamah, atau dibicarakan atau dituntut kesalahannya oleh rakyat! Alangkah dangkalnya penghujahan seperti itu. Ini boleh membawa kepada menolong kezaliman penguasa. Sedangkan Nabi s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)” (Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmii. Dinilai oleh al-Albani. (lihat: Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah, tahqiq: Al-Albani, hlm 337-339).

Erti Pemerintah

Jika pemerintah itu diberikan wewenang untuk memukul dan mengambil tanpa dipersoalkan, apakah ertinya sesuatu pemerintahan itu? Apakah mereka seperti penzalim dan perompak berlesen yang dilindungi oleh nas-nas agama? Maha Suci Allah dari menurunkan agama yang seperti itu! Sebaliknya dalam agama ini kemuliaan muslim seperti yang disebut oleh Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari), seperti haramnya (mencemari) hari ini (hari korban), bulan ini (bulan haram) dan negeri ini (Mekah). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sebab itu, sehingga dalam bab bughah iaitu mereka yang keluar memerangi pemerintah dengan senjata, al-Imam Abu Ishaq al-Shirazi menyebut:

“..jangan dimulakan peperangan sehinggalah ditanya mereka apa sebab mereka bertindak balas demikian. Jika mereka menyebut tentang sesuatu kezaliman, maka hendaklah diatasinya, jika mereka menyebut sesuatu sebab yang boleh diselesaikan, hendaklah diselesaikan. Jika mereka menyebut sesuatu kekeliruan, dihilangkan kekeliruan itu. Ini disebabkan firman Allah: “Hendaklah kamu damaikan keduanya..” (Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 19/195, Beirut: Dar al-Fikr).

Bahkan kitab-kitab fiqh menyebut bahawa harta bughah itu tidak boleh dirampas, yang cedera tidak boleh ditangkap dan yang lari tidak boleh diburu. Ini disebut dalam pelbagai kitab fekah seperti al-Majmu’ dalam Mazhab al-Syafii, al-Mughni dalam Mazhab Hanbali dan lain-lain. Demikian, bughah yang bersenjata, diberikan hak dalam politik islami, bagaimana mungkin rakyat yang tidak bersenjata dibiarkan dipukul dan dirampas harta mereka tanpa boleh membantah?! Fonomena literalis boleh mengelirukan!

REMINDER 11' | MAAHAD MUAR

Posted by Tengku Ibrahim on 7:49:00 PM

2 JULAI 2011- Barisan alumni SMKA Maahad Muar telah mengadakan satu program Kerjaya Motivasi ‘REMINDER 2011’ khusus buat semua pelajar tingkatan 5 sekolah tersebut. Reminder pada kali ini dibahagikan kepada 3 sesi iaitu sesi pameran booth kerjaya mengikut bidang dan universiti,sesi “sharing moment” bersama beberapa ahli alumni dan sesi tawaran biasiswa dan perkongsian pengalaman bersama seorang wakil alumni yang sudah bekerjaya.

Secara keseluruhannya Reminder 11’ berjalan dengan baik walaupun berlaku beberapa perubahan “on the spot” disebabkan “miss communication”. Walau bagaimanapun,biasalah adat dalam berprogram pasti ada susah dan senangnya. Dan pada kali ini,saya merasakan sangat seronok kerana lebih ramai fasilitator daripada pelbagai batch dapat menghadirkan diri berbanding yang lepas. Harapan saya,moga-moga program ini akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan akan lebih sistematik lagi pengurusannya. Terima kasih kepada semua yang telah menjayakan program ini.Wallahualam......


Editor : Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad
tg_ragaxe91@yahoo.com

Pemergian Dr Lo’ Lo’ | HILANGNYA SEORANG SERIKANDI

Posted by Tengku Ibrahim on 10:15:00 AM


Baru-baru ini,para pejuang Islam di bumi Malaysia dilanda dukacita dengan pemergian seorang tokoh yang sangat penting dalam memperjuangkan serta memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini. Pemergian Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali sangat dirasai oleh seluruh ahli Dewan Pemuda PAS Titiwangsa kerana peranan beliau sangat penting dalam perjuangan PAS di Titwangsa dan semestinya amat sukar dicari ganti. Saya rasa masih belum terlambat untuk mengucapkan takziah kepada keluarga almarhumah kerana jasa beliau dalam memartabatkan dan meninggikan syiar Islam tidak mungkin dapat kita membalasnya. Beliau adalah seorang yang gigih dan sangat prihatin.

Timbalan ketuanya, Mohd Shahir Abu Hasan berkata Almarhumah Dr Lo' Lo' juga seorang yang gigih berjuang dan telah berjaya dengan segenap tenaga melaksanakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat kepadanya.

“Dan ini terbukti beliau telah berjaya menempatkan diri di hati masyarakat parlimen Titiwangsa khususnya selepas beliau diamanahkan sebagai wakil rakyat pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu,” katanya.

Beliau menambah, walaupun peruntukan tahunan yang sepatutnya disalurkan kepada setiap ahli parlimen disekat, ia tidak mematahkan semangat almarhumah untuk terus berjuang memberikan khidmat kepada rakyat di Titiwangsa sehingga nafas terakhir.

“Jasa dan peranan beliau sangat besar, dan sifat beliau sebagai seorang ibu yang sering memberi teguran dan nasihat kepada Pemuda tidak akan kami lupakan malah akan menjadi azimat kepada perjuangan kami,” katanya.

(RUJUKAN : HARAKAH DAILY)

Dr Maza ada menyebut,almarhumah adalah seorang yang sangat prihatin dan tegas dengan prinsipnya dalam Islam. Beliau banyak memberikan teguran dan nasihat. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa beliau adalah seorang serikandi, seorang mujahidah, seorang yang jujur dengan keyakinannya. Keuzuran beliau tidak pernah mematahkan semangat beliau untuk terus berjuang sehinggalah ke detik terakhir beliau.Semoga Allah menempatkan Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali besama orang-orang yang beriman. Ameen

(RUJUKAN : www.drmaza.com)

Tuesday, July 05, 2011

Perhimpunan Bersih 2.0 | Suara Kebangkitan

Posted by Tengku Ibrahim on 3:54:00 AM


Baru-baru ini Malaysia kecoh dengan Perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadual diadakan pada 9hb Julai akan datang. Ramai rakyat daripada pelbagai kaum,bangsa,parti politik dan lain-lain bercerita mengenai hal tersebut. Ada yang bersetuju dan tidak kurang juga yang membantah. Namun demikian,antara sebab diadakan perhimpunan ini adalah untuk menuntut, membersihkan senarai undi, reformasi kepada undi pos, guna dakwat kekal, tempoh kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Secara jujurnya saya berpandangan dan bersetuju dengan tindakan Bersih 2.0 ini kerana saya melihat setiap hari hak-hak rakyat semakin diceroboh. Pihak kerajaan seolah-olah semakin tidak menghiraukan amanah yang diberikan kepada mereka,harga minyak semakin naik walaupun telah berjanji tidak akan menaikkan lagi harga minyak pada suatu masa dahulu,penyelewengan wang kerap kali berlaku,budaya rasuah yang semakin menular dalam kalangan pemimpin dan mahupun rakyat yang menjadi tali barut kerajaan dan lain-lain. Secara umumnya saya tidak menafikan ada pemimpin daripada kalangan kerajaan yang menentang keras perkara seperti ini,tapi kami rakyat melihat keadaan tidak pernah berubah malah semakin mendukacitakan.

Para pembaca yang budiman sekalian,pendapat saya perhimpunan ini bukanlah satu perhimpunan yang melibatkan perbalahan,pertengkaran,pergaduhan dan sebagainya tetapi sebagai salah satu cara rakyat menyuarakan pandangan mereka secara bertegas bahawa mereka mahukan perubahan. Mereka tidak mahu lagi Malaysia yang mereka cintai ini dan pemimpin yang mereka sayangi melakukan perkara-perkara yang berlawanan dengan hak asasi manusia lebih-lebih lagi perkara yang berlawanan dengan syarak. Sejujurnya perhimpunan ini adalah perhimpunan aman,justeru saya merasakan pihak pemerintah tidak perlu takut. Kebanyakkan perhimpunan sebegini menjadi kecoh dan huru hara disebabkan ada sabotaj daripada golongan yang tidak bertaggungjawab serta provokasi daripada pihak-pihak tertentu.

Jadi saya merasakan, ini adalah perhimpunan aman,pihak pemerintah tidak perlu risau apa-apa. Sekiranya pemerintah tidak mahu keaadan seperti ini berlaku maka awal-awal lagi telah mengambil tindakkan dengan membetulkan semula apa yang salah,menunaikan hak rakyat dan sebagainya bukannya dengan mengambil tindakkan tidak berasas dengan menahan rakyat yang terlibat dengan Bersih 2.0. Ini akan lebih mengundang kemarahan rakyat kepada pemerintah.

Dalam hal ini saya ingin membawakan dua pandangan tokoh daripada Malaysia mengenai Perhimpunan Bersih 2.0. Pertamanya adalah perbincangan Ustaz Zaharuddin Abd Rahman (UZAR) secara kolektif dengan ilmuwan di Malaysia yang kerap menjadi rujukan masyarakat. Sebahagian ilmuwan yang hadir termasuklah ustaz yang saya kagumi disiplin ilmunya iaitu Ust Dr Zahazan Mohd, Ust Dr Zulkifli al-Bakri at-Takiri, Ust Hasrizal Abd Jamil. Imam Muda Asyraf pun turut hadir sama berbincang.. Muafakat mereka memutuskan DEMONSTRASI ITU HARUS, PROVOKASI ITU HARAM.

(Rujukan : http://www.youtube.com/watch?v=SR8WkaHSE0M&feature=related)

Pandangan kedua adalah daripada Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, beliau berpandangan bahawa sesuatu tindakan dalam urusan kehidupan muslim khususnya dilihat kepada dua perkara; tujuan dan cara. Jika tujuannya baik, dan caranya juga baik maka itu adalah amalan yang baik. Jika tujuannya baik, caranya salah, maka pelakunya tetap bersalah kerana mengambil cara yang salah seperti mencuri dengan tujuan hendak bersedekah. Jika tujuannya buruk atau dosa, segala langkah ke arah tujuan itu dinilai berdosa. Setiap individu yang hendak menyertai sesuatu aktiviti, hendaklah memastikan tujuannya itu halal atau mulia, dan caranya juga halal. Adapun cara yang hendak dicapai iaitu dengan melakukan demonstrasi, pada asasnya ia sesuatu yang harus melainkan jika diiringi dengan perkara-perkara haram seperti kerosakan harta benda awam, pergaduhan dan penonjolan akhlak yang buruk. Nabi s.a.w dalam hadis pernah mengajar sahabat yang disakiti jirannya untuk membuat bantahan di jalan. Dalam hadis itu sahabat tersebut mengadu kepada Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya jiranku menyakitiku”. Sabda Nabi s.a.w: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”. Maka mereka berkata: “Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih).

Ini menunjukkan bahawa mengajak orang di jalan membantah kezaliman adalah dibolehkan. Dalam konteks politik hari ini, demonstrasi aman sebahagian dari cara pencegahan munkar politik yang telah terbukti keberkesanannya di banyak negara.

Beliau juga mengingatkan bahawa demonstrasi itu terdedah kepada bahaya dan porak peranda, maka demonstrasi hendaklah menjadi pilihan akhir setelah tuntutan yang adil tidak ditunaikan. Perbincangan, rundingan, seruan secara langsung, bantahan bertulis dan sebagainya hendaklah di utamakan. Aman adalah syarat utama, jika bertukar menjadi ganas maka ia sesuatu yang diharamkan oleh syarak. Maka, sesiapa yang hendak menyertai demonstrasi BERSIH hendaklah berazam bahawa mereka tidak akan mencetuskan kemusnahan harta awam, tidak mencederakan sesiapa, tidak memaki hamun, sebaliknya melafazkan slogan tuntutan dan berhimpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa tidak puas hati. Adalah haram mana-mana pihak, samada peserta demonstrasi atau polis memulakan provokasi yang boleh menyebabkan berlakunya rusuhan. Sebaliknya, pihak polis hendaklah sedar, selagi tuntutan itu baik untuk negara yang adil, polis juga termasuk dalam kalangan rakyat. Maka sepatutnya mereka memudah cara agar proses itu berjalan dengan pantas dan dilangsaikan dengan segera. Para peserta demonstrasi juga hendaklah sedar bahawa tugasan polis mengawal keamanan, maka hendaklah tidak dimulakan apa-apa provokasi yang menimbulkan kemarahan mereka selagi mereka bertugas dengan betul menurut peraturan keselamatan. Sesiapa yang memulakan atau menyertai provokasi yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa.

(Rujukan : http://drmaza.com/home/?p=1436#more-1436)

Kesimpulannya,semua pihak memainkan peranan dalam menjamin keadilan dan keamanan negara ini. Menyertai Bersih adalah merupakan salah satu daripada cara kearah itu dan menjadi tanggungjawab kita bersama dalam mengelakkan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan huru hara dan kekacauan dalam negara lebih-lebih lagi semasa perhimpunan tersebut.

Sunday, July 03, 2011

Mukhayyam Syakhsiah Muslim

Posted by Tengku Ibrahim on 6:31:00 AM

Pada 24,25,dan 26 Jun 2011 satu program Mukhayyam Syakhsiah Muslim (MUSYM)telah diadakan di Sekolah Menengah Agama Al-Ittifaqiyyah Guai,Temerloh,Pahang. Program ini telah dianjurkan oleh Badan Dakwah dan Ibadah Sekolah (BADIS). Seramai 20 orang fasilitator dari pelbagai universiti telah dijemput bagi mengelola program ini,antaranya dari Darul Quran JAKIM,UIAM,UiTM,USIM dan lain-lain. Program ini sebenarnya adalah suatu yang unik. Kenapa saya berkata demikian? Program ini boleh dikatakan secara ‘on the spot’. Semua fasilitator yang dijemput tidak dimaklumkan awal bahawa program ini akan dikendalikan sendiri oleh fasilitator dan kami semua hanya tahu apabila telah tiba di sekolah berkenaan.

Tetapi alhamdulillah,walaupun kami datang dari universiti yang berbeza dan tak pernah kenal pun sebelum ini,tapi kami dapat melakukan setiap gerak kerja dengan baik berkat usaha gigih kami dan komitmen yang diberikan. Hasilnya program berjalan dengan lancar dan Allah telah mengikat hati-hati kami dengan tautan ukhuwwah sehingga mana kami yang asalnya saling tidak mengenali tetapi dalam masa yang sangat singkat kami menjadi semakin akrab seolah-olah kami telah lama mengenali antara satu sama lain. Bertepatan dengan firman Allah taala yang bermaksud:
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah)itu,dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (al-Hujurat 49:10)

“wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak,supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah adalah yang paling bertakwa di antara kamu”.(al Hujurat 49:13)

Mudah-mudahan dengan berakhirnya MUSYM bukan bermakna berakhirnya pertemuan persahabatan kita,tetapi merupakan permulaan kepada bermulanya titik kasih sayang kerana Allah taala. Kepada semua peserta ambillah segala yang baik dan buanglah segala yang buruk. Dari sudut kami, kami telah memberikan yang terbaik buat adik-adik. Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pihak sekolah,pihak penganjur kerana memberikan kami kepercayaan untuk menguruskan program ini,tidak lupa juga kepada ketua fasilitator ,saudara Muzaffar dan semua sahabat muslimin dan muslimat fasilitator serta semua yang memainkan peranannya sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.

Saya mengakhiri tulisan saya ini dengan satu firman Allah taala yang bermaksud :

“ Sesungguhnya mereka pemuda-pemuda yang beriman kepada tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk.”(surah al kahfi)


(Gambar di atas : fasilitator sedang berbincang di bilik mesyuarat)

Sila dapatkan lebih banyak foto di sini.


Hamba yang dhaif,
Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad,
(Mantan Kem Komanden MUSYM 2011)

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site