Assalamualaikum w.b.t,
Segala puji bagi Allah SWT pemilik sekalian alam dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW , ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat r.a , sesiapa yang mengikuti mereka dengan ikhlas hinggalah ke hari kiamat serta tidak lupa juga kepada mahasiswa dan mahasiswi Darul Quran JAKIM yang dirahmati oleh Allah sekalian.
Pertama dan selamanya marilah kita merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana sehingga ke hari ini kita masih lagi diberikan keizinan untuk terus beribadat dan hidup di bumi pinjaman Allah taala ini. Mahasiswa mahasiswi sekalian,marilah kita sama-sama mengimbau kembali tujuan penciptaan diri kita sebagaimana firman Allah taala dalam surah al Baqarah :
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi.” Mereka berkata, “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu?” Dia (Allah) berfirman, “Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”
Dan dalam al Quran juga Allah ada berfirman bahawasanya, “ Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu”
Berdasarkan dua firman ini maka kita dapat membuat kesimpulan bahawasanya antara tujuan penciptaan manusia adalah untuk ‘iqamatud deen wasiatud dunia bih’,menegakkan Islam dan mentadbir urusan dunia dan agama. Mahasiswa dan mahasiswa sekalian, untuk menegakkan Islam dalam menyampaikannya kepada seluruh manusia dan seterusnya mempertahankannya daripada serangan musuhnya serta mentadbir urusan dunia dengan melaksanakan perintah-perintah agama,maka untuk mencapai segala tujuan ini tidak boleh tidak mestilah dengan kepimpinan. Konsep kepimpinan yang dibentuk mestilah selaras dengan al Quran dan as Sunnah. Kepimpinan juga bertanggungjawab dalam menyusun atur dan menyelia segala urusan negara mahupun persatuan dengan tersusun dalam memastikan mesej dakwah Islam dapat disampaikan dan agama Islam dapat ditegakkan.
Mari kita merenung sedikit sirah baginda Rasulullah S.A.W. Disaat kewafatan baginda nabi Muhammad,para sahabat telah berkumpul untuk memilih khalifah yang baru sedangkan pada masa itu, jenazah rasulullah belum lagi selesai diuruskan. Oleh yang demikian, tidak dapat disangkal lagi bahawasanya kepimpinan adalah sesuatu yang penting yang dititik beratkan dalam Islam.
“Patah tumbuh silih berganti”, inilah ungkapan yang dapat saya katakan kepada Persatuan Kebajikkan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT DQ). Setelah berakhirnya kepimpinan sesi 2009/2010, maka kepimpinan 2010/2011 yang baru mengantikan talifat yang amat berat ini. Ingin saya katakan di sini bahawa amanah dan taklifat ini bukanlah dipikul untuk suka-suka dan sebagainya, akan tetapi ia diterima atas dasar amanah dengan penuh rasa tanggungjawab dalam menegakkan kepimpinan islam. Ia juga adalah latihan bagi kita untuk mengasah bakat kepimpinan yang ada pada setiap diri huffaz sebelum mendapat taklifat yang lebih besar dalam memimpin ummat kelak..
Amanah bukanlah suatu perkara yang boleh dibuat main-main, akan tetapi amanah merupakan suatu kewajiban yang mesti dilaksanakan. Jika amanah tidak dilaksanakan, maka kita akan terjerumus ke dalam kancah kemunafikan sepertimana sabda rasulullah s.a.w, “tanda tanda orang munafiq ada tiga, apabila bercakaap dia berboong, apabila berjanji dia mungkiri, dan apabila diberi amanah dia khianat". Justeru, ingin saya ingatkan kepada diri saya dan ahli-ahli lajnah sekalian, marilah sama-sama kita menjalankan amanah dan taklifat ini dengan serius sejajar dengan tuntutan agama, demi kepentingan agama, ummat dan persatuan.
Di samping itu, tugas dan amanah ini tidak dapat dijalankan dengan sempurna tanpa kerjasama dan komitmen yang jitu daripada mahasiswa mahasiswi sekalian. Tanpa kerjasama daripada kamu semua, apalah erti kepimpinan dan persatuan. Jika kita imbas kembali, kejayaan ummat islam dalam pelbagai siri peperangan dan pertempuran, kejayaan Sultan Salahudin dalam membebaskan bumi al-Aqsa, kemenangan al-Fateh dalam pembukaan kostantin, dan pelbagai kemenangan dan kejayaan ummat islam yang lain, semuanya lahir daripada semangat kerjasama dan komitmen yang tinggi yang diberikan ummat kepada kepimpinan. Jadi, saya ingin menyeru kepada diri saya dan seluruh mahaiswa mahasiswi sekalian agar dapat memberi komitmen dan kerjasama, serta pengorbanan yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab ini.
Suka saya ingatkan di sini, di samping kepimpinan, janganlah pula kita abaikan matlamat utama kita datang ke bumi barakah ini. Kita hendaklah membahagikan masa kita dengan penuh teliti supaya dua elemen utama iaitu hafazan al-Quran dan kerja persatuan dapat dibahagikan secukupnya. Kepimpinan dan gerak kerja persatuan adalah suatu perkara yang murni. Janganlah kita jadikan kerja persatuan sebagai alasan lambat atau tidak ingat hafazan. Janganlah disebabkan kelemahan kita sendiri, gerak kerja persatuan yang murni ini dipandang sinis oleh orang kebanyakan. Bak kata pepatah, “kerana nila setitik rosak susu sebelanga”.Dalam pada itu, janganlah kita jadikan hafazan al-Quran sebagai alasan kepada kita utuk tidak melibatkan diri dalam gerak kerja persatuan. Ingatlah hafazan al-Quran adalah perkara utama, tetapi kepimpinan bukanlah perkara ke-2.
Akhir kalam, saya berharap para sahabat agar dapat bersama saya dan sahabat-sahabat lain untuk terus mengislahkan diri ke arah yang lebih baik di masa akan datang. Tidak lupa juga buat semua pimpinan Persatuan Kebajikkan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran 10/11 khususnya Majlis Tertinggi dan Ketua Unit Lajnah Penerbitan dan Informasi 10/11 yang saya sayangi , agar sentiasa proaktif dan berfikiran terbuka dalam menyuarakan pandangan atau cadangan dalam memperbaiki segala kesilapan lalu. Akhirnya,latihlah pemikiran kamu semua supaya bersifat kehadapan, dengan menjadikan sejarah sebagai pedoman, al Quran dan as Sunnah sebagai panduan , maka insya-Allah hasilnya nanti adalah yang terbaik...
Sekian, wassalam.
Disediakan oleh,
TENGKU IBRAHIM HELMI BIN TENGKU MOHAMMAD,
Exco Lajnah Penerbitan dan Informasi sesi 2010/2011,
Persatuan Kebajikkan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran.
(P/S : Artikel ini adalah merupakan kalam exco di dalam Panduan Buku Gerak Kerja (BGK) Lajnah Penerbitan dan Informasi sesi 2010/1011)
0 comments:
Post a Comment