Wednesday, August 28, 2013

Perkembangan perdagangan di Melaka pada abad ke-15 | Bhg. 1

Posted by Tengku Ibrahim on 6:11:00 AM

Tajuk : 

Bincangkan perkembangan perdagangan di Melaka pada abad ke-15 dengan merujuk kepada sistem, jalinan jalan perdagangan dan barang dagangannya. [Bahagian 1]

Disediakan oleh :
(1) Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad (Sistem & Pentadbiran)
(2) Mohd Dzulazizi b Amilin (Jalinan Jalan Perdagangan & Barang dagangan)

___________________________________________________

Pendahuluan

Kegiatan perdagangan bukanlah perkara baru bagi penduduk Melayu di Melaka. Disebut bahawa Melaka telah dicipta untuk perdagangan.[1] Setelah tiga tahun Melaka diduduki oleh Parameswara, penduduk kampung nelayan yang dulunya berjumlah 2000 penduduk. Sudah berganda tiga kali menjadi  6000 orang. Selain orang Melayu, pedagang-pedagang asing turut bermastautin di Melaka, terutama pedagang daripada Pasai sehingga disebut oleh Tome Pires[2] :

“bahawa tempat itu pada suatu masa dahulu merupakan kampung kepada Pasai, kini Pasai pula menjadi kampung kepada Melaka.”[3]

Selain itu, Tome Pires juga mendakwa bahawa dengan perkahwinan Sultan Iskandar Syah dengan puteri Pasai yang beragama Islam telah menyebabkan semakin ramai saudagar Islam dari pelabuhan Pasai datang ke Melaka.[4] Justeru, penduduknya semakin hari semakin bertambah.

Melaka juga telah dikunjungi oleh orang dari Timur, Benua India, dan dari barat, termasuk saudagar-saudagar dari Jazirah Arab. Kerajaan-kerajaan kelautan yang terdapat di pesisir pantai Selat Melaka  mempunyai kelebihan dan keistimewaan geografi dan perairan bagi memudahkan kedatangan para pedagang asing dari Timur dan Barat ke Nusantara.[5]  Selat Melaka merupakan bahagian terpenting kepada jalan dagangan dunia yang berakhir di Venice atau lebih jauh lagi dan permulaannya ialah Pulau-pulau Maluku. Kapal daripada pelbagai bangsa melalui beberapa banyak saluran perdagangan  dan perlu menuju Selat Melaka untuk penyebaran ke tempat lain. Di selat yang sempit inilah jalan dagang yang sejauh 8000 batu itu dapat dikuasai sepenuhnya. Melaka dalam hanya masa dua dekad pertama abad ke-15 telah menjadi entrepot[6] bagi pemindahan barangan.[7] Melaka juga telah menjadi  pusat persinggahan, pungutan dan penyebaran barangan dalam hanya masa yang singkat menerusi sistem entrepot.[8] Selain daripada itu, Melaka juga memainkan peranan sebagai pelabuhan transit bagi kapal-kapal yang berulang- alik melalui Selat Melaka.

Pertamanya, bilamana kita melihat kepada bagaimana kemunculan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot pada abad ke-15 sangat berkait rapat dengan faktor geografi itu sendiri. Kedudukan geografi yang begitu strategik serta amat bergantung kepada perdagangan menyebabkan kerajaan Melaka sangat memberikan tumpuan kepadanya dengan menyediakan segala kemudahan dan infrastruktur yang terbaik. Ini diikuti lagi dengan keadaan geografi Melaka yang tidak sesuai untuk pertanian secara besar-besaran ataupun untuk dikomersialkan. Seorang pencatat Cina, Ma Huan melaporkan bahawa iklim dan keadaan tanah Melaka tidak sesuai untuk kegiatan pertanian. Oleh itu, pilihan terbaik ialah menjalankan kegiatan perdagangan.[9] Maka disini, tidak mustahil bahawa dalam hanya masa yang singkat pelabuhan Melaka mampu menjadi sebuah pelabuhan entrepot yang dikenali di peringkat antarabangsa.




[1] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2. Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Hal.113.

[2] Tome Pires (atau Tomé Pires) merupakan penulis, bendahari dan ahli pelayaran Portugis. Beliau lahir di Portugis pada tahun 1468. Tome Pires ialah pembantu Putera Afonso (1475-1491 M) dan penulis Suma Oriental (Dunia Timur), yang merupakan tulisan terawal tentang dunia Timur oleh seorang rakyat Portugis.Kemudian Tome Pires dilantik sebagai penulis dan Bendahari menjaga harta perdagangan yang melibatkan Melaka dan Jawa. Akhirnya dia dilantik sebagai duta Portugis ke negara China. Namun, dia telah dipenjarakan di Kiangsu atas tindakan dan idea-idea serta pemikirannya. Dia mati di China pada 1540 dalam tahanan China semasa berumur 70 tahun. Buku yang ditulisnya tentang China dipersembahkan kepada Laksamana Portugis di India dan sekarang disimpan Perpustakaan Nasional, Paris. Bukunya Suma Oriental menceritakan penjelajahan Portugis sehingga menguasai semenanjung India dan Kesultanan Melaka pada tahun 1511. (https://ms.wikipedia.org/wiki/Tome_Pires). 21 Julai 2013.

[3] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Op.cit.

[4] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Hal.243

[5] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid. Hal.236

[6] Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua entrepot bermakna tempat yang menjadi pusat penerimaan barang-barang dagangan dari negara-negara luar dan kemudian barang-barang itu dihantar ke negara-negara lain pula. Manakala menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, entrepot ialah gudang untuk barang-barang perdagangan; atau pusat perdagangan, biasanya bandar pelabuhan, yang menjadi tempat mengimport dan mengeksport semula barang-barang dagangan. Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). (http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=entrepot). 21 Ogos 2013.

[7] Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2. Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Hal.113.

[8] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Hal.236. Lihat juga Abdul Halim bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Ibid.

[9] Muhammad Yusoff Hashim. 1989. Ibid. Hal.239.

0 comments:

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site