Tajuk :
Bincangkan perkembangan perdagangan di Melaka pada abad ke-15 dengan merujuk kepada sistem, jalinan jalan perdagangan dan barang dagangannya. [Bahagian 4]
Disediakan oleh :
(1) Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad (Sistem & Pentadbiran)
(2) Mohd Dzulazizi b Amilin (Jalinan Jalan Perdagangan & Barang dagangan)
_______________________________________________
5. Kaedah-kaedah perniagaan dan mata wang yang digunakan.
Urusan
perniagaan dijalankan melalui dua cara, iaitu pertama melalui sistem tukar
barang (barter) dan yang kedua melalui proses penjualan dan pembelian.[1]Perniagaan
kebiasaannya juga berlangsung di pasar-pasar, warung-warung di jambatan atau di
tepi jalan di depan rumah masing-masing[2]
selain daripada di pelabuhan Melaka. Dalam proses jual beli, wang yang
digunakan ialah wang logam yang diperbuat daripada kaleng (calains) dalam
bentuk timah. Pada kepingan timah ini terpahat nama Sultan Melaka yang
memerintah[3].
Selain daripada itu, Emas dan perak turut juga digunakan dalam urusan
perniagaan. Duit emas, perak dan timah dari Pasai dan Pedir serta kepingan wang
daripada Hormuz, Kembayat, dan Gujerat turut terdapat di Melaka. Hal ini membuktikan bahawa penggunaan wang
asing telah lama bertapak dan digunakan
di Melaka.
Diceritakan
bahawa Parameswara, sekembalinya dari negeri China pada tahun 1412 telah
membawa balik hadiah wang daripada Maharaja Yung Lo sebanyak 2600 untaian duit
tembaga dan wang kertas.[4]
Walaupun demikian, duit Melaka tidak menggunakan model negeri China, tetapi
berdasarkan pitis daripada Pasai. Tome Pires juga mendakwa bahawa pengenalan
dan penggunakan wang di Melaka dipengaruhi secara langsung daripada tradisi
perniagaan Pasai.[5]Disebutkan
juga bahawa besar kemungkinan, pedagang Muslim dari Pasai yang mempengaruhi
penerbitan duit jenis dinar emas dan duit timah yang dikilang di Melaka. Duit
timah telah dikilang sejak daripada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah
(1445-1459) dan seterusnya duit-duit kerajaan Melaka yang berikutnya ialah
semasa pemerintahan Sultan Mansur Syah (1459-1477), Sultan Mahmud Syah
(1488-1528) dan Sultan Ahmad syah (1510).[6]
Pertukaran mata
wang juga berlaku di pelabuhan Melaka, di antara mata wang asing dengan mata
wang tempatan. Seratus calains dikatakan bersamaan dengan tiga cruzados.
Ukuran harga atau nilai mata wang tersebut dikawal oleh Syahbandar. Syahbandar
berperanan besar dalam memastikan transaksi perniagaan berjalan dengan adil dan
saksama. Peranan Syahbandar yang seterusnya akan saya perincikan lagi selepas
ini di dalam satu tajuk khusus. Maka dapat kita membuat kesimpulan bahawa,
kerajaan Melaka pada masa ini telah mempunyai
satu sistem yang khusus tentang bagaimana perniagaan berjalan dan mata wang yang digunakan.
Melaka selain
daripada mempunyai sistem perniagaan dan mata wangnya yang tersendiri, ia juga mempunyai jadual khusus tentang nilai
pertukaran mata wang dan timbangan.
Timbangan diukur dengan unit tahil dan kati. Sekati pada masa itu
bersamaan dengan 20 tahil atau disebut tundaya. Setahil bersamaan dengan
16 mas. Satu mas bersamaan dengan 20 cumduryns atau 4 cupoes. Empat mas
dikira bersamaan dengan satu pau. Satu pau bersamaan dengan empat cumduryns.
Satu tahil bersamaan dengan sebelas setengah drams. Sekati dalam nilai emas
bersamaan dengan dua puluh lapan setengah aunces. Emas, perak, bahan wangian,
kapur, kelembak dan permata ditimbang dengan menggunakan ukuran kati. [7]Saya
melihat sebenarnya sedikit sebanyak mata wang atau nilai pertukaran di Melaka
ada dipengaruhi oleh China dan Barat, apabila melihat kepada nama-nama dan
nilai-nilainya.
Transaksi ini
telah diselia dan dipantau oleh Syahbandar bagi memastikan keadilan dan hak
sama rata dapat diberikan kepada semua pedagang. Selain itu, sistem ini juga adalah untuk
mengawal inflasi dan mencegah harga barangan daripada melambung tinggi. Sistem
ini telah didakwa oleh Tome Pires bahawa penyelewengan dan pemalsuan sering
terjadi walaupun sebenarnya tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa pedagang
asing sering mengalami kerugian dalam sistem timbangan ini.[8]
Walau bagaimanapun, saya melihat bahawa sistem timbangan yang telah disusun
oleh kerajaan Melaka sangat sistematik kerana bukan satu kerja yang senang
untuk menentukan nilai-nilai mata wang tempatan dan juga mata wang asing,
lebih-lebih lagi pada kurun yang ke-15. Ditambah lagi dengan ramainya saudagar
daripada seluruh pelusuk dunia yang datang berdagang di Melaka sebagaimana Tome
Pires pernah menyebut bahawa lebih daripada 80 buah bahasa dipertuturkan di pelabuhan Melaka. Maka, tidak hairanlah
sekiranya ada kesilapan atau pintas memintas dalam transaksi tersebut.
Kiwi ialah
saudagar yang menghantar dan menyebarkan barangan . Sekiranya kiwi tidak dapat
turut sama, maka urusan prdagangannya diwakilkan kepada maula kiwi yang akan
menjual barangan di negeri yang dituju.[9]
Dalam bahasa moden kiwi boleh dikatakan berperanan sebagai orang tengah atau
pemborong yang akan berunding harga dengan pembekal, kemudian merekalah yang
akan menjualnya atau mengedarkannya.
Dalam fasal 10
Undang-undang Laut Melaka menyebut bahawa kebiasaannya nakhoda, Kiwi atau Maula
Kiwi yang memiliki banyak petak[10].
Daripada kenyataan di atas membuktikan bahawa Kiwi juga berperanan sebagai
saudagar yang turut menjalankan perniagaan kerana mereka juga mempunyai atau
memiliki petak-petak[11].
Kiwi
menjalankan perniagaannya dengan menggunakan kapal melalui empat cara yang
mengikut ‘hukum kiwi’ iaitu[12] :
a)
Kiwi
membeli hak terhadap petak-petak kapal.
b)
Kiwi
tidak membeli hak terhadap petak tetapi menambahkan modal nakhoda kapal
berkenaan dengan nilai tiga atau empat tahil emas. Sekiranya dinilai dari segi
dagangan biji-bijian, Kiwi berkenaan diberikan hak ‘share’ dua atau tiga koyan oleh
pemilik kapal berkenaan.
c)
Kiwi
tersebut mengambil 7 atau 8 petak
sebagai ‘share’ pada ruang muatan kapal.
d) Kiwi
tidak membeli petak tetapi berjanji akan menyerahkan 3/10 daripada bahagiannya
sebagi cukai kepada nakhoda.
Petak dalam
sesebuah kapal di Melaka mungkin besar kerana disebut oleh Tome Pires bahawa 2
atau 3 orang akan bertugas untuk menjaga suatu petak.[13]
Mungkin kita lihat, Kiwi atau Maula Kiwi tidak ubah hanya seperti saudagar
seperti kebanyakkan saudagar-saudagar yang lain. Namun tidak dapat dinafikan,
fungsi serta peranan institusi Kiwi itu sendiri sangat penting. Hal ini kerana
Kiwi dan Maula Kiwilah yang bertindak sebagai orang tengah di antara satu
saudagar dengan saudagar yang lain daripada berbeza negara atau diantara
saudagar dengan peniaga tempatan. Mereka jugalah yang bertindak sebagai pengedar,promosi
serta pembekal suatu barangan. Mereka jugalah jua yang memastikan barang-barang
dagangan habis terjual, khususnya
bahan-bahan makanan yang kita telah maklum tidak dapat disimpan dalam
tempoh yang lama. Itulah sifat atau tugasan Kiwi sebagai orang tengah.
Maka tidak
dapat dinafikan kepentingannya dalam kerajaan Melaka khususnya dalam menjadikan
pelabuhan Melaka sebagai sebuah entrepot yang masyhur dengan pemindahan, pengedaran dan pengumpulan
barang-barang dagangan ke seluruh pelusuk kawasan perdagangan. Kepentingan
mereka juga terbukti sehingga dimasukkan satu fasal khusus tentang Kiwi dan
Maula Kiwi di dalam Undang-Undang Laut Melaka.
(Contoh Matawang yang digunakan pada zaman ini )
[1] Muhammad
Yusoff Hashim. 1989. Ibid. Hal.255. Lihat juga Abdul Halim bin Saad, Hj.
Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita. Cet.2. Kuala Lumpur
: Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Hal.115.
[3] Malaysia
Negara Kita. 2009. MDC Publishers Sdn.Bhd. Hal.38.
[7] Muhammad
Yusoff Hashim. 1989. Op.Cit.Hal.255-257. Tome Pires telah
memperkatakan sistem timbangan ini dengan amat terperinci.
[9] Abdul Halim
bin Saad, Hj. Abdul Halim b Ab. Rahman.et al. 1994. Malaysia Kita.
Cet.2. Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Hal.116
[10] Kapal dagangan akan dibahagikan kepada ruang-ruang
muatan. Dalam fasal 10 Undang-undang Laut Melaka menyebut rauang-ruang ini
sebagai ‘petak’. Tome Pires menyebutnya sebagai peitaca. Muhammad Yusoff
Hashim. 1989. Op.Cit.Hal.259.
[11] Petak-petak inilah yang akan menjadi sebagai asas
penentu hak dan saiz bahagian seseorang pedagang yang memperdagangkan
barangannya dalam sesebuah kapal. Muhammad Yusoff
Hashim. 1989. Ibid.
1 comments:
Bolehkah tanya maklumat ini ialah faktor atau kepentingan?Terima kasih.
Post a Comment