• PIMPINAN 10-11

    Bersama Menerajui Perubahan

  • Bergambar Bersama Penceramah

    Semasa menjadi fasilitator Mukhayyam Syakhsiah Muslim Anjuran Badan Dakwah dan Ibadah SMA al-ittifaQiah Guai,Pahang

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI

    Saat terakhir bergambar bersama-sama

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI

    Saat terakhir bergambar bersama-sama

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI 2007

    Bergambar bersama ahli-ahli kumpulan semasa berkayak di laut...Hidup Gacrux!!!

Wednesday, March 06, 2013

Sekularisme | Assignment Untuk Subjek P.Islam (Bhg 5)

Posted by Tengku Ibrahim on 3:39:00 AM

Sebab-sebab Kemunculan Sekularisme

1. Agama menjadi ekslusif untuk golongan tertentu sahaja.

Berlaku pada Zaman Kegelapan Eropah,iaitu paderi-paderi Gereja Katolik mendakwa mempunyai hubungan batin dengan tuhan & mempunyai kuasa rohani terhadap manusia kerana menjadi perantara antara manusia biasa dengan tuhan. Sebagai contoh, Anak kecil tidak dikira sah menjadi Kristian sekiranya belum dibaptis paderi. Selain daripada itu, penjualan sijil Indulgences iaitu sesiapa yang mahu mendapat keampunan daripada tuhan perlu membeli sijil ini daripada pihak gereja. Di samping itu, Kitab Bible hanya dijadikan  khusus buat paderi sahaja. Orang biasa tidak boleh membaca dan memahaminya. Penjualan Indulgences dan larangan membaca orang awam membaca kitab Bible telah ditentang oleh Martin Luther. Hasilnya berlaku Gerakan Reformation yang mana akhirnya muncul mazhab Protestan dalam agama Kristian.

Perkara ini juga menular dalam kalangan sebahagian golongan agamawan yang mengatakan bahawa  agama hanya boleh difahami oleh golongan ustaz atau Tuan Guru sahaja. Orang awam tidak berhak mempersoalkan apa-apa, hanya perlu mengikuti sahaja apa yang diperkatakan tanpa bantahan. Hasilnya, muncul golongan yang fanatik mazhab dan golongan yang bertaqlid secara buta tuli. Malah antara kesan yang lebih parah, muncul aliran Liberalisme hasil daripada pemberontakan pemikiran mereka daripada kongkongan atau kejumudan. Kesannya, manusia semakin jauh daripada memahami Islam yang sebenar, sebaliknya mengatakan Islam hanya amalan ritual semata-mata.

2. Keangkuhan ilmiah

Lebih buruk lagi, apabila pandangan ilmiah yang berbeza itu diharamkan atas nama agama. Lalu pihak yang menguasai urusan agama itu menghukum orang yang berbeza pendapat dengan mereka sebagai musuh agama ataupun musuh Tuhan. Padahal pendapat yang diberikan itu, memenuhi piawaian ilmu dan tidak bertujuan menderhakai Tuhan.

Pihak Gereja beranggapan bahawa kejahilan merupakan petua untuk iman. Ilmu pengetahuan selain daripada mereka adalah sesat. Mereka mengatakan bahawa  ilmu sains, geografi, perubatan dan sebagainya ada unsur-unsur Islam. Pihak gereja menuduh bahawa ilmu sains itu adalah ilmu Islam dan sesiapa menganutnya adalah murtad. Malah, ada yang dibunuh hanya kerana kepercayaan mereka terhadap ilmu sains. Kejahilan mereka membawa kepada kepada penentangan masyarakat Eropah terhadap kuasa agama yang akhirnya mencetuskan Revolusi Industri atau Revolusi Perancis pada 1789. Agama dihadkan pengaruhnya supaya tidak masuk campur secara langsung dalam pentadbiran dan persoalan kehidupan yang lain. Maka hari ini, dalam seni, hiburan, politik, perindustrian, sains dan sebagainya, agama tidak menjadi teras utama. Jika ada pun, ia hanya kesedaran individu bukan dasar umum. Maka tidak hairan jika mereka (penganut Kristian) boleh menggantungkan salib di dada ketika beraksi bogel di hadapan kamera. Agama dipersendakan. Demikian juga filem dan novel yang mempertikaikan agama mereka sendiri seperti Da Vinci Code. Malah, tidak hairan kartun-kartun yang mereka lukis kadang-kadang mempersendakan Jesus yang mereka anggap sebagai anak tuhan mereka. Dan tidak hairan juga, apabila para sarjana mereka mempertikaikan kebenaran Bible, malah sehingga meragui kewujudan Jesus. Inilah natijah yang harus dibayar oleh Barat, hasil kejumudan golongan agama mereka pada zaman yang lepas.[1]

Pada hari ini juga, akibat kejumudan sesetengah golongan agama dalam Islam juga telah menyebabkan pengaruh ini  terserap masuk ke dalam sesetengah pemikiran masyarakat Islam. Buktinya pada tahun 2006, Yasmin Ahmad telah menerbitkan sebuah filem yang berjudul, “Gubra”. Filem ini merupakan satu penghinaan dan sendaan  terhadap agama Islam kerana di dalamnya jelas membawa pengaruh sekularisme dan lain-lain ideologi yang bertentangan dengan Islam. Filem ini dimulai dengan paparan lafaz ‘Bismillahirrahmanirrahim’. Kemudiannya ditonjolkan watak seorang lelaki (Bilal) yang baru memeluk Islam, kemudian memegang anjing dalam perjalanan menuju ke surau, aksi seks diiringi laungan azan Subuh, wanita mencabut bulu dada seorang lelaki Cina asing, perbicaraan di atas katil dijadikan perbualan biasa, kempen murtad secara halus antara wanita Islam dan lelaki Cina dan diselangi aksi seks dengan bunyi azan lagi,[2] menunjukkan konsep   plularisme, liberalism dan sekularisme secara halus. Di Indonesia juga tidak terkecuali, sebuah filem yang berjudul, “Perempuan Berkalung Serban”, jelas menunjukkan atau menggambarkan Islam itu sangat sempit, keras dan tidak terbuka. Dan file mini telah ditentang oleh sebahagian besar pertubuhan-pertubuhan Islam dan Majlis Ulama’ Indonesia (MUI) kerana jelas penyelewengannya.[3]

Saya katakan bahawa munculnya golongan-golongan ini adalah hasil daripada kejumudan kita sendiri dalam melihat Islam itu sendiri. Sepatutnya kita melihat kepada keluasan Islam (fiqh) itu sendiri, bukannya kita menyempitnya. Dan lebih parah lagi, kita menambah (berlebih-lebih) pula dengan cerita-cerita kewalian yang melampau sehinggakan hilang peranan agama. Agama dilihat seperti cerita kartun, ortodoks dan tahyul dan bukan lagi berdasarkan (ditegakkan) atas hujah dan fakta. Kita harus ingat Islam bukan satu perkara yang  manusia tidak mampu berfikir keran Islam itu adalah fitrah setiap manusia.

3. Kesan daripada penjajahan Barat

Keutuhan pendidikan Islam pada akhir abad ke-19 mengalami cabaran dengan kehadiran penjajah Inggeris di Tanah Melayu. Proses sekularisasi penjajah telah memperkenalkan dasar pelajaran yang amat menghadkan kurikulum pendidikan Islam dan mengawal ketat pengajaran al-Quran. Kedatangan Inggeris sesungguhnya telah memperkenalkan pendidikan sekular kepada orang Melayu. Tegasnya, pada zaman penjajahan ini menurut Rosnani Hashim (2001) (Kurikulum Pendidikan Daripada Perspektif Islam Dalam Konteks Pendidikan di Malaysia. Jurnal Pendidikan Islam, November, 9(4).), sistem pendidikan digunakan sepenuhnya oleh pihak penjajah untuk mencapai agenda mereka yang tersendiri, termasuk menyebarluaskan fahaman sekular dan meminggirkan agama.[4]

Bersambung....






[1] Prof Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainal Abidin. 2012. Travelog Minda Tajdid ; Catatan Perjalanan Dari Tanah Barat. PTS Islamika Sdn Bhd. Hlm.24-26.

[4] Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad. 2012.  MATA PELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM : SATU KAJIAN TERHADAP PEMBENTUKAN AKHLAQ PELAJAR SMKA MAAHAD MUAR, JOHOR. Latihan Ilmiah Diploma Tahfiz wal Qiraat, Syukbah Qiraat, Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kuala Kubu Bharu, Selangor. Hlm.54.

Monday, March 04, 2013

Sekularisme | Assignment Untuk Subjek P.Islam (Bhg 4)

Posted by Tengku Ibrahim on 5:39:00 PM

Sejarah Kemunculan Sekularisme

              Suatu masa dahulu Eropah pernah mengalami satu zaman kemunduran setelah kejatuhan Rom Barat pada tahun 476 Masihi. Dan zaman ini, benua Eropah dikenali sebagai zaman gelap. Zaman ini berlangsung lebih kurang 1000 tahun iaitu dari abad ke-5 Masihi hingga abad ke-15 Masihi. Pada zaman ini, Eropah telah ketinggalan dalam pelbagai aspek. Satu daripadanya ialah kemerosotan dari segi ilmu pengetahuan, perdagangan dan perbandaran. Apa yang berlaku di Eropah tidak berlaku di Timur (khususnya Islam) kerana ketika itu, dunia Islam sedang berkembang dengan pesatnya. Dalam dunia Islam, muncul kerajaan-kerajaan yang agung seperti Zaman Khulafa Ar-Rasyidin, Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah.[1] Pada masa yang sama, ada orang Barat yang  belajar di Timur sama ada di Cordova, Sepanyol, Andalusia dan lain-lain. Mereka mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan daripada sarjana-sarjana Islam seperti ilmu sains, perubatan, geografi dan lain-lain. Contohnya, Roger Bacon (1241-1294) pada mula-mula lagi telah mempelajari bahasa Arab dan Sains Arab. Roger Bacon dan Francis Bacon (1561-1629), kedua-duanya boleh dikatakan telah memperkenalkan kaedah percubaan atau ujikaji. Roger Bacon adalah tidak lain dari seseorang yang memperjuangkan sains dan metologi sains yang dibina oleh Tamadun Islam ke Eropah. Walaupun beragama Kristian, beliau tidak penat mengisytiharkan kepada rakan-rakannya bahawa untuk menuntut ilmu yang sebenar, jalannya hanya melalui bahasa Arab dan sains yang dibina oleh Arab.[2] Justeru, orang-orang Barat yamg mempelajari ilmu sains daripada Barat membawa pulang pengetahuan tersebut ke Benua mereka.

            Selain daripada itu, satu lagi ciri Zaman Gelap ialah kekuasaan kuasa Gereja Katolik. Pada Zaman Kegelapan Eropah, gereja Katolik merupakan satu kuasa yang berpengaruh dan amat kaya. Namun, pihak gereja hanya menekankan ilmu yang berkaitan dengan keagaman ilmu keakhiratan sahaja. Pengaruh agama ini mencakupi pelbagai aspek kehidupan termasuklah menyediakan kemudahan pendidikan. Dengan itu, pihak gereja telah mengongkong rakyat jelata. Kesan pengaruh agama Kristian yang ketara apabila masyarakat menerima apa yang disuruh tanpa usul periksa. Selain itu, manusia dibunuh hanya kerana mempelajari dan kepercayaan mereka kepada ilmu sains. Para paderi mengatakan bahawa ilmu sains itu adalah ilmu Islam. Oleh sebab itu, haram kepada penganut kristian mempelajarinya dan mengamalkannya. Biarpun begitu, dikalangan pihak gereja, sikap pentingkan diri berlaku dalam bentuk kemewahan hidup. Amalan rasuah dikalangan mereka juga berlaku.[3]

            Kemudian, berlakulah pula satu zaman dikenali sebagai Zaman Renaissance. Zaman Renaissance ini meliputi pertengahan abad ke-14 hingga abad ke-17. Kemunculan Sepanyol sebagai sebuah negara Islam telah menyebabkan ramai orang Eropah terutamanya jirannya, Itali, datang menuntut ilmu di sana. Umpamanya, Christopher Colombus dari bandar pelabuhan kapal Genoe, Italy, tahu kewujudan benua di barat Eropah melalui rujukan kepada tulisan-tulisan kitab geografi yang dikarang oleh tokoh Islam yang terkenal, Ibn Rusyd. Selain itu, pihak gereja juga memainkan peranan yang penting dalam mempercepatkan lagi proses rennaissance. Pihak gereja amat berkuasa pada masa itu sehingga melampaui batas dan menindas kebebasan aliran agama. Ia juga menindas kebebasan individu, ekonomi dan pelajaran. Oleh itu, rakyat telah bosan dengan konkongan itu dan inginkan perubahan.[4]

            Tidak cukup dengan itu muncul pula Gerakan Reformation. Gerakan ini bermula dengan penentangan penganut agama Kristian terhadap Gereja Katolik sejak ke-10 Masihi lagi. Namun, penentangan ini tidak menimbulkan pengaruh yang mendalam terhadap Gereja Katolik. Kritikan bertambah kencang apabila pihak Gereja telah meningkatkan pusat kekuasaan yang terkuat di bahagian tengah Itali. Usaha ini membawa kepada kekayaan pihak Gereja dengan menyelitkan unsur rasuah, penyelewengan dan kepincangan berlaku. Ramai rakyat yang telah mempersoalkan kedudukan dan amalan Gereja Katolik yang bertentangan dengan ajaran kitab Bible. Penguasa Gereja lebih cenderung mengamalkan gaya hidup para pemerintah dan bangsawan dan lansung tidak mencerminkan keagamaan. Selain itu, pihak Gereja turut melakukan banyak penyelewengan terutamanya dalam penjualan sijil Indulgences. Amalan ini telah merebak ke seluruh Eropah. Gerakan Reformation bermula di Jerman. Kejayaan gerakan ini telah dibantu oleh mesin cetak yang telah dicipta oleh Johann Gutenberg. Kewujudan mesin ini telah menyebabkan penjualan kitab Bible dengan harga yang murah. Ini menyebabkan rakyat dapat memahami kitab Bible dengan lengkap. Martin Luther, seorang profesor teknologi daripada Universiti Wittenburg di Jerman mula menentang amalan Indulgences. Beliau percaya bahawa manusia seharusnya bergantung kepada kekuatan rohaninya. Beliau juga telah mengemukakan 95 hujah menentang amalan indulgences iaitu penjualan surat pengampunan dosa yang dilakukan oleh pihak Gereja oleh penganut Kristian yang ingin bertaubat daripada melakukan perkara yang mungkar. Pendirian Luther ini telah mengancam kedudukan Gereja dan Institusi Paderi. Pendirian dan ajaran Luther ini di kenali sebagai mazhab Protestan. Protestan berasal daripada perkataan "protesting" iaitu membantah. Tindakan Luther menandakan bermulanya Zaman Reformation yang didapati berterusan sehingga pertengahan abad ke-16. Mazhab baru ini telah berkembang ke Sweden, Denmark, Norway dan England.[5]

            Selain daripada itu, seterusnya muncul pula Revolusi Perancis pada tahun 1789 dan revolusi-revolusi yang lain. Revolusi Perancis  merupakan satu revolusi politik dan sosial di Perancis iaitu daripada sistem monarki mutlak kepada sistem republik demokrasi.[6] Justeru, secara ringkasnya perubahan-perubahan yang telah berlaku ini akhirnya telah dibuat oleh Barat atau orang Kristian bahawa untuk maju perlu singkirkan agama.

Bersambung........


[2] ibid
[3] Ibid
[4] Ibid
[5] Ibid
[6] Minda Pencerahan, Revolusi Perancis 1789-1799. (http://syeikhsifu.blogspot.com/2012/03/revolusi-perancis-1789-1799.html). 2 Mac 2013.

Sekularisme | Assignment Untuk Subjek P.Islam (Bhg 3)

Posted by Tengku Ibrahim on 5:35:00 PM

Ciri- Ciri Sekularisme

Sekularisme terbahagi kepada 3 ciri utama, sebagaimana yang telah disebutkan oleh  Syed Muhammad Naquib al Attas di dalam bukunya, “Islam and Secularism”, iaitu[1]

  1. Menghilangkan (melupuskan) makna spiritual (kepercayaan) daripada alam kehidupan. 
  2. Menghilangkan unsur-unsur keagamaan di dalam politik daripada hal ehwal manusia. 
  3. Menghilangkan unsur-unsur penyucian nilai (agama) daripada minda dan tingkah laku manusia.

Kesimpulan Definisi

Selepas melihat kepada pelbagai pengertian yang diberikan serta ciri-cirinya, dapat disimpulkan bahawa  sekularisme ialah ideologi falsafah yang memisahkan antara kehidupan dunia dengan nilai-nilai keagamaan. Dalam erti kata lain menolak  semua agama dan tetap dengan pendirian bahawa agama tiada tempatnya di dalam kehidupan masyarakat. Setiap pandangan adalah berdasarkan kepada akal semata-mata  dan bebas pengaruh agama serta yang bertentangan dengan logik akal. Dan terjemahan yang lebih tepat kepada istilah sekularisme di dalam bahasa Arab ialah :

  1.  Al ladiniyyah (tiada agama) 
  2. Ad duniawiyah (keduniaan)
    Bersambung.....

[1] Syed Muhammad Naquib al-Attas. 1993. Islam and Secularism. Cet.2. INTERNATIONAL INSTITUTE OF ISLAMIC THOUGHT CIVILIZATION (ISTAC). Hal.xvi. 

Sekularisme | Assignment Untuk Subjek P.Islam (Bhg 2)

Posted by Tengku Ibrahim on 1:45:00 AM

Definisi Sekularisme

      Istilah ‘sekularisme’ mula diperkenalkan oleh seorang penulis bernama George Holyoake pada tahun 1846 di United Kingdom.[1] Dalam mencari definisi yang tepat tentang makna sebenar sekularisme, saya telah memilih untuk melihat pengertian yang diberikan oleh Barat sendiri tentang makna sekularisme. Untuk itu, saya telah merujuk kepada kamus  ‘World English Dictionary’.  Kamus tersebut telah mendefinisikan sekularisme kepada beberapa pengertian, iaitu[2]

  1. Satu falsafah yang menolak semua agama dalam masyarakat.
  2. Satu pemikiran (sikap) yang berpegang bahawa agama tiada tempat dalam kehidupan bermasyarakat.
  3. Satu keadaan untuk menjadi sekular.
  4. Sistem politik atau falsafah sosial yang menolak semua bentuk kepercayaan dan agama.
  5. Berpendapat bahawa pendidikan awam dan perkara dasar lain mesti dijalankan tanpa pengenalan kepada elemen atau unsur keagamaan.

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada pengertian di atas maka dapat disimpulkan bahawa  Barat mendefinisikan sekularisme adalah satu pemisahan antara unsur-unsur agama dengan kehidupan, sama ada daripada segi masyarakat, politik, pendidikan dan lain-lain.

Menurut Syed Muhammad Naquid al attas[3], perkataan sekular berasal daripada bahasa Latin, ‘saeculum’ yang memberi makna (merujuk) kepada masa dan tempat. Masa merujuk kepada masa (kehidupan) sekarang, manakala tempat merujuk kepada dunia atau duniawi (kehidupan nyata).[4]

Yang Berhormat Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang[5]  menyebut  tentang sekularisme, bahawa terjemahannya dalam bahasa Arab ialah ‘al ilmaniyyah’. Orang Arab yang beragama Kristian cuba mengelirukan umat Islam dengan mendakwa kononnya ia daripada perkataan ilmu. Terjemahan yang sebenar  ‘al ilmaniyyah’ ialah duniawi. Alasannya, ajaran ini didakwa bersumberkan ilmu dunia yang memberi kemajuan kepada manusia.[6]

Syeikh Dr. Safar bin Abdurrahman al Hawali[7] pula mengatakan bahawa lafaz ‘ilmaniyyah’ merupakan terjemahan daripada kalimah ‘secularism’ di dalam bahasa Inggeris atau ‘secularite’ di dalam bahasa Parsi. Dan kalimah ini tiada hubungannya dengan lafaz dan pecahan perkataan ‘ilm’ secara mutlak.  Lafaz ‘ilm’ di dalam bahasa Inggeris dan Parsi pula bermakna ‘science’ dan mazhab al-ilmi menamakannya (menggelarkan) ‘scientism’ sebagai nisbah kepada ‘ilm’ iaitu ‘scientific’ atau ‘scientifique’ dalam bahasa Parsi. Dan terjemahannya yang sahih di dalam perkataan ialah ‘ al ladiniyyah ‘ atau  ‘adduniawiyah’.[8]

(Gambar di atas ialah Syeikh Dr. Safar bin Abdurrahman al Hawali ) 

Dr. Ugi Suharto[9] mengatakan di dalam penulisan beliau bahawa  apabila istilah sekularisme  di terjemahkan ke dalam bahasa Arab, telah mendapat perhatian yang khusus daripada dua orang tokoh di dalam Islam iaitu  Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al Attas  dan Prof. Dr. Yusuf al Qaradawi. Di kalangan orang Arab sendiri  ada yang menterjemahkan sekularisme sebagai 'ilmaniyyah, iaitu dari akar kata al-'ilm (ilmu) yang mendapat akhiran 'alif' dan 'nun' serta ‘ ya’ yang menunjukkan sifat kepada ilmu, seperti pada perkataan ruh yang menjadi ruhaniyyah atau rabb yang menjadi rabbaniyyah, maka 'ilm menjadi 'ilmaniyyah. Sebagian yang lain menterjemahkannya sebagai  'almaniyyah yang berasal dari kata al-'alam (dunia), meskipun  daripada  akar kata ini lebih tepat menjadi  kata 'alamaniyyah, namun yang umum digunakan ialah istilah 'almaniyyah.  Al Qaradawi lebih cenderung kepada 'ilmaniyyah, sedangkan al Attas lebih kepada 'almaniyyah. Perbezaan ini menunjukkan bahawa istilah sekularisme yang cuba diterjemahkan ke dalam bahasa Arab memang tiada pegangannya di dalam Islam.[10]

(Gambar di atas merupakan Prof. Dr. Yusuf al Qaradawi - seorang ulamak kontemporari)

Prof. Dr. Yusuf al Qaradawi di dalam kitabnya “ al islam wa al ‘ilmaniah wajhan li wajhin (1987)” telah  menterjemahkan sekularisme sebagai  ‘ilmaniyyah adalah bukan saja satu terjemahan yang tidak teliti (ghayru daqiqah), tetapi juga satu terjemahan yang tidak betul  (ghayru sahihah), kerana perkataan  sekularisme itu tiada kaitan langsung dengan lafaz al-’ilm (ilmu). Mereka yang menterjemahkannya tidak memahami perkataan al-din dan al-’ilm melainkan hanya dengan  ide Barat Kristian, yang memang bagi orang Barat (al-insan al-gharbi) agama dan ilmu mereka itu adalah saling bertentangan. Beliau menyimpulkan bahawa menterjemahkan sekularisme dengan  ‘ilmaniyyah dan mengaitkannya dengan ilmu adalah suatu usaha untuk menjadikannya satu makna dengan istilah ‘ilmiyyah kerana, menurut beliau, penipuan tersebut patut dinyatakan (dijelaskan).[11] Beliau menambah lagi bahawa pengertian sekularisme itu sinonim dengan konsep alladiniyyah (tidak ada agama) atau al duniawiyah (dunia tiada hubungan dengan agama).[12]

( Gambar di atas merupakan terjemahan buku : Islam and Secularisme)

Bersambung.......



[1] Awg Abu Zar Abdullah & Mohd Hilmy Baihaqy Yussof. Sekularisme Mendasari Tamadun Barat;Penilaian Pendidikan Islam. (http://www.slideshare.net/dr2200s/sekularisme). 26 Disember 2012.

[2] World English Dictionary. (http://dictionary.reference.com/browse/secularism). 26 Disember 2012.

[3] Syed Muhammad al-Naquib bin Ali bin Abdullah bin Muhsin al-Attas (Bogor, 5 September 1931) adalah seorang Cendekiawan Muslim , ahli falsafah Muslim dan Tokoh Melayu Terbilang 2011.Kini beliau menetap di Malaysia. Beliau menguasai ilmu teologi, falsafah, metafizik, sejarah, dan kesusasteraan. Beliau juga menulis berbagai buku dalam bidang pemikiran dan peradaban Islam, khususnya tentang sufisme, kosmologi, falsafah, dan Kesusasteraan Melayu Malaysia. (http://ms.wikipedia.org/wiki/Syed_Muhammad_Naquib_al-Attas). 2 Mac 2013.

[4] Syed Muhammad Naquib al-Attas. 1993. Islam and Secularism. Cet.2. INTERNATIONAL INSTITUTE OF ISLAMIC THOUGHT CIVILIZATION (ISTAC). Hal.16.

[5] Yang Berhormat Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah lahir pada 20 Oktober 1947 dan merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia. Melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah dengan biasiswa dari Kerajaan Arab Saudi dari tahun 1969 - 1973, tamat dengan B.A. (Syariah). Melanjutkan pelajaran ke Universiti al Azhar ke peringkat M.A. (Siasah Syariyyah) dan berjaya menamatkannya hanya dalam masa 2 tahun (1974 - 1975). (http://ms.wikipedia.org/wiki/Abdul_Hadi_bin_Awang). 2 Mac 2013.

[6] Abdul Hadi Awang. Sejarah Kemunculan Sekularisme. (http://mazhab.sementoji.net/v1/?p=57).  16 Disember 2012.

[7] Syeikh Dr. Safar al Hawali atau nama penuhnya Safar bin Abdul Rahman al Hawali lahir pada tahun 1950. Beliau menerima PhD daripada Universiti Ummul Qura’ dalam bidang Usuluddin pada tahun 1986. (http://en.wikipedia.org/wiki/Safar_Al-Hawali). 2 Mac 2013.

[8] Syeikh Dr. Safar bin Abdurrahman al Hawali.  al-’ilmaniah wa asaruha fi hayati al islamiyyah. Dar al Hijrah. Hal.21.

[9] Dr. Ugi Suharto, salah seorang peneliti INSISTS, mendapat tugas baru sebagai staf pengajar Islamic Economics di The Markfield Institute of Higher Education (MIHE), Leicester shire. Sebelum pindah ke MIHE,  Dr. Ugi mengajar di University College of Bahrain dan IIUM Malaysia. (http://inpasonline.com/new/drugi-suharto-mengajar-di-inggris/). 2 Mac 2013.

[10] Dr. Ugi Suharto,Istilah Sekularisme menurut al Attas dan al Qaradawi. Institut Pemikiran & Peradaban Islam (InPas online). (http://www.inpasonline.com/index.php?option=com_content&task=view&id=38&Itemid=99). 18 Disember 2012.

[11] Ibid

[12] Dr. Ugi Suharto. al Attas dan al Qardhawy : Tentang Islam dan Sekularisme. (http://www.khairaummah.com/v3/?p=1465). 18 Disember 2012.

Sunday, March 03, 2013

Sekularisme | Assignment Untuk Subjek P.Islam (Bhg 1)

Posted by Tengku Ibrahim on 9:29:00 PM

Mukadimah

                Sesungguhnya jarak masa yang jauh antara zaman Rasulullah saw dengan kita telah menjadikan manusia jauh daripada inti kandungan al Quran dan as Sunnah serta kefahaman yang betul mengenainya. Semakin jauh zaman itu daripada kita, semakin banyaklah ajaran yang menyimpang daripada dua sumber agung itu. Akhirnya, semakin ramai pulalah pencemar ketulenan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw itu. Sabda Rasulullah saw :

إني قد تركت فيكم شيئين، لن تضلوا بعدهما، كتاب الله وسنتي. ولن يتفرقا حتى يردا علي الحوض.

Maksudnya : Sesungguhnya aku tinggalkan bagi kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selepas kedua-duanya, iaitu Kitabullah dan Sunnahku. Kedua-duanya tidak akan terpisah sehingga menemuiku di haudh  (telaga di syurga).[1]

Dunia Islam hari ini dibaluti dengan pelbagai penyakit. Semakin lama semakin banyak aliran ideologi yang bertentangan dengan ajaran Islam timbul dan cuba menyusup masuk dalam jiwa dan sanubari orang-orang Islam. Ini semua berpunca daripada sikap meninggalkan agama. Kelemahan aqidah ini mengundang kelemahan kelemahan lain. Dengan itu, kita tidak akan ke hadapan dalam agama, teknologi dan juga pembangunan. Barat yang telah kehilangan agama, mengisi roh tamadun  mereka dengan menjadikan harta dan kebendaan sebagai perkara terpenting. Hasilnya, agama semakin diketepikan dan hanya tinggal sebagai amalan ritual semata-mata. Rasulullah saw bersabda :

فإنه من يعش منكم بعدى فسيرى اختلافا كثيرا فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين المهديين تمسكوا بها وعضوا عليها بالنواحذ وإياكم ومحدثات الأمور فإن كل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة.

Maksudnya : Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa ar Rasyidin al Mahdiyyin (yang mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama), kerana setiap yang diada-adakan itu bidaah dan setiap yang bidaah itu sesat.[2]

Seterusnya, gerakan sekularisme khususnya serta ideologi -ideologi  lain telah digerakkan oleh Barat serta musuh-musuh Islam. Antaranya, di  India, pelbagai usaha telah dilakukan bagi menghapus amalan perundangan Islam secara beransur-ansur bermula sejak tahun 1791. Selain itu, rakyat di Algeria dipaksa supaya tidak beramal dengan undang-undang Islam apabila Perancis menjajahnya pada tahun 1830. Pada tahun 1883 pula, Khadiwi Ismail yang memerintah Mesir memasukkan undang-undang Perancis dalam undang-undang Mesir , kononnya kerana mahu mencapai kemajuan seperti Eropah.  Pada tahun 1924, Kamal Atartuk telah Berjaya menggulingkan pemerintahan Turki Uthmaniah dan kemudiannya menjadikan sekular sebagai dasar dalam pemerintahan negara Turki. Manakala rantau ini, iaitu Malaysia, Indonesia dan lain-lain menerima pengaruh secular melalui kedatangan penjajah Inggeris, Belanda dan lain-lain.

Justeru, telah jelas disini bahawa penyebaran ideologi-ideologi ini , terutamanya sekularisme adalah antara usaha Barat serta musuh-musuh Islam dalam memastikan nilai-nilai agama khususnya Islam tidak menjadi asas dalam kehidupan manusia.

Bersambung.........





[1] Hadis ini diriwayatkan oleh al Hakim dalam Mustadrak (no.319), ad Daruqutni dalam as Sunan (no. 149) dan al Baihaqidalam as Sunan al Kubra (no.20124). Menurut Ibn ‘Abd al Bar bahawa hadis ini terpelihara, dimaklumi dan masyhur daripada Nabi saw, di sisi para ulama’ ianya masyhur sehingga hamper tidak memerlukan sanad. Dr. Zulkifli bin Mohammad al Bakri. 2012. Manhaj Fiqah Wasathiy : Wasathiyah dalam Akidah. Konvensyen Fiqh Ummah. Hlm.10.

[2] Hadis ini sahih. Diriwayatkan oleh Abu Daud, at Tirmizi, Ibn Majah dan al Darimi dalam sunan mereka. At Tirmizi mengatakan bahawa ia adalah hasan sahih. Demikian juga Ibn Hibban dalam Sahihnya dan al Hakim dalam Mustadrak dengan menyatakan ‘hadis ini sahih’ dan dipersetujui oleh Imam az Zahabi. Mohd. Asri bin Zainal Abidin. 2006. Islam Liberal Tafsiran Agama Yang Kian Terpesong. Bhg 1: Ancaman Terhadap Agama. Karya Bestari. Hlm.7-8.  

Tuesday, February 12, 2013

Ajaibnya Tawakal

Posted by Tengku Ibrahim on 6:10:00 AM

Assalamualaikum….saya rasa ini adalah penulisan pertama saya setelah sekian lama menyepi, sehinggakan laman blog ini pun sudah bersawang dek lamanya tidak diusik. Perpindahan semula ke alam mahasiswa, sedikit sebanyak memberi kesan (culture shock) dalam diri, dalam proses menyesuaikan diri.

Alhamdulillah,pada penulisan kali ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca budiman sekalian tentang “Ajaibnya Tawakal”

Sering kali kita mendengar orang menyebut,

“Serahkanlah segala urusanmu pada Allah”, or “Bertawakalah kamu kepada Allah, pasti kamu akan merasa senang”, or “Kamu pasti akan berasa nikmat sekiranya kamu serahkan segala pengharapanmu pada Allah”, or “Allah akan memberikan padamu jalan keluar sekiranya engkau menyerahkan segala urusanmu pada Allah” dan pelbagai lagi yang biasa kita dengar…

Saya katakan, semua orang tahu tentang tawakal tetapi tidak semua orang mahu bertawakal kepada Allah swt. Ajaibnya tawakal..,kadang-kadang kita tidak menyangka dengan usaha kita yang sedikit itu (kerana sibuk dengan urusan agama Allah), kita boleh dapat perkara yang lebih besar lagi daripada orang lain yang mungkin usahanya lebih lagi daripada kita…Ajaib..!

Mungkin kita merasakan ianya susah bagi kita,tetapi ketahuilah bahawa ianya tidak susah bagi Allah. Ajaibnya tawakal ini…! Firman Allah swt dalam surah at-Thalaq ayat 2-3, yang biasanya dikenali juga sebagai ayat seribu dinar oleh masyarakat Malaysia, yang maksudnya : 

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

Sahabat-sahabat sekalian,

Ketahuilah bahawa Allah taala menyebut barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah jadikan baginya jalan keluar. Keluar daripada segala kesusahan yang dihadapi,keluar daripada segala kemelut dunia, keluar daripada segala hutang piutang. Dalam erti kata lain, berasa tenang dan sentiasa berasa cukup dengan apa yang ada.

Allah juga menyebut, baginya juga rezeki dari arah yang dia tidak sangka. Sahabat-sahabat sekalian,rezeki datang dari arah yang kita sangka dan juga dari arah yang tidak kita sangka-sangka. Contohnya, ramai yang menyangka gajinya itulah rezekinya yang dari arah yang dia sangka tetapi kalau hendak diikutkan kadar usahanya, kadar intelektualnya maka rezeki tersebut adalah mustahil..,tetapi Allah mengkehendakinya….Allahu Rabbi….

Cukuplah Firman Allah taala ini sebagai jawapan kenapa kita semua diuji…

“[115]Maka apakah kamu mengira, bahwa Sesungguhnya kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?[116]Maka Maha Tinggi Allah, raja yang Sebenarnya; tidak ada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) 'Arsy yang mulia.[117]Dan barangsiapa menyembah Tuhan yang lain di samping Allah, padahal tidak ada suatu dalilpun baginya tentang itu, Maka Sesungguhnya perhitungannya di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu tiada beruntung.[118]Dan Katakanlah: "Ya Tuhanku berilah ampun dan berilah rahmat, dan Engkau adalah pemberi rahmat yang paling baik." (al Mukminun : 115-118)

“[2]Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?[3]Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.”(al ‘ankabut : 2-3)

Cukuplah sebagai penutup saya akhiri dengan satu doa yang diajarkan oleh Baginda saw…,iaitu

والحديث المذكور رواه أنس بن مالك رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لفاطمة رضي الله عنها : ما يمنعك أن تسمعي ما أوصيك به أن تقولي إذا أصبحت وإذا أمسيت: يا حي يا قيوم برحمتك أستغيث أصلح لي شأني كله ولا تكلني إلى نفسي طرفة عين . رواه النسائي والبزار بإسناد صحيح والحاكم وقال: صحيح على شرطهما . وحسنه الألباني في صحيح الترغيب والترهيب

Maksudnya : Ya Hayy, Ya Qayyum…Dengan rahmat-Mu daku memohon pertolongan. Engkau perbaikilah urusanku secara keseluruhan. Dan janganlah Engkau serahkan urusanku kepada diriku walaupun seketika (sesaat).

Perbanyakkanlah kita membaca doa ini. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan yang mendapat pentujuk… =)

(Sekadar Gambar Hiasan)

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site