• PIMPINAN 10-11

    Bersama Menerajui Perubahan

  • Bergambar Bersama Penceramah

    Semasa menjadi fasilitator Mukhayyam Syakhsiah Muslim Anjuran Badan Dakwah dan Ibadah SMA al-ittifaQiah Guai,Pahang

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI

    Saat terakhir bergambar bersama-sama

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI

    Saat terakhir bergambar bersama-sama

  • Wilderness Adventure Camp LANGKAWI 2007

    Bergambar bersama ahli-ahli kumpulan semasa berkayak di laut...Hidup Gacrux!!!

Monday, September 26, 2011

Kalam Sempena Peperiksaan | Darul Quran

Posted by Tengku Ibrahim on 2:43:00 AM

Assalamualaikum w.b.t,

Segala puji bagi Allah SWT pemilik sekalian alam dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW , ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat r.a , sesiapa yang mengikuti mereka dengan ikhlas hinggalah ke hari kiamat serta tidak lupa juga kepada mahasiswa dan mahasiswi Kolej Universiti Darul Quran JAKIM yang dirahmati oleh Allah sekalian.

Pertama dan selamanya marilah kita merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana sehingga ke hari ini kita masih lagi diberikan keizinan untuk terus beribadat dan hidup di bumi pinjaman Allah taala ini. Mahasiswa mahasiswi sekalian, peperiksaan merupakan satu medan kita semua untuk menguji sejauh mana pemahaman kita berkenaan ilmu yang telah kita pelajari. Walaupun banyak persepsi dan pandangan kita terhadap peperiksaan yang saban semester kita hadapi, namun ia tetap juga satu wasilah atau medium kita menyalurkan tahap kefahaman kita dalam subjek yang telah diambil.

Walaubagaimanapun ,terdapat segelintir pihak yang sering mengambil remeh dan sambil lewa bila diperkatakan soal peperiksaan ini. Ada yang berkata, “alah, buat pe nak exam-exam..al-ilmu fi sudur, wa laisa fil kutub la…tak exam pon memang aku dah cerdik pon”. Ada juga yang sering kedengaran berkata, “kalau tak lulus exam pon kite boleh berjuang kan?.. perjuangan tu luas skopnye syeikh..jangan jumud..”. Tak kurang juga yang berkata, “ana tak nak dicop exam-oriented..bersungguh time exam je.. ”

Inilah pandangan segelintir daripada pejuang agama yang memegang kalam Allah darsawarsa ini. Memanglah, kita tidak mahu digelar seorang yang exam oriented, dengan hanya menumpukan perhatian kepada peperiksaan semata, tetapi penghayatan kepada ilmu yang dipelajari itu langsung tiada. Namun, tidak bermakna sekiranya kita mahu menolak sesuatu keadaan, kita perlu gagal dalam menghadapi keadaan tersebut. Sebaliknya kita perlu menggunakannya, supaya suatu masa nanti kita akan mampu mengubahnya. Bak kata cerdik pandai Islam masa kini, gunakan globalisasi untuk menentang globalisasi.

Mengulas perilaku sebahagian pelajar apabila tibanya musim peperiksaan ini, suka untuk disebutkan soal sikap sesetengah daripada kita yang hanya berubah sikap daripada yang tidak baik ke arah yang lebih positif, pabila menjelang musim peperiksaan ini sahaja. Katanya, bila dah masuk musim ini, semua perkara perlu dijaga keberkatannya. Solatnya, pergaulannya, percakapannya dan sebagainya. Tetapi, malangnya, sesudah tamatnya musim peperiksaan itu, segala perubahan positif itu lenyap dihembus angin lembut bukit di belakang DQ ini, seolah-olah,baginya, untuk mencari keberkatan Allah dalam perbuatan itu, bermusim cuma. Jika beginilah cara kita semua berfikir, maka malanglah nasib masyarakat di luar sana yang sentiasa dahaga menantikan buah mutiara ilmu dari golongan yang berpendidikan agama dan menghafaz al-quran seperti kita ini, kerana sikap ini tidak mencerminkan agama Islam yang kita perhalusi ilmunya itu. Moga-moga, dengan hadirnya musim peperiksaan kali ini, kita sama-sama dapat berazam untuk menjadi yang terbaik, di samping menjadikannya sebagai platform, turning-point atau kick-start untuk kita berubah dan membetulkan segala kekhilafan dan kesalahan yang telah kita lakukan dalam hidup kita selama ini.

Salam mujahadah.

Daripada :

Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad,

Exco Penerbitan dan Informasi PERKEMAT 10-11

Tuesday, July 19, 2011

LITERALIS AGAMA | Pandangan Dr Maza

Posted by Tengku Ibrahim on 8:21:00 PM

Kali ini saya ingi kongsikan satu artikel yang telah ditulis oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang bertajuk "Menangani Fenomena Literalis Agama”. Saya merasakan dewasa ini,masyarakat semakin keliru tentang beberapa perkara yang saya rasakan besar seperti mentaati pemimpin,demonstrasi dan lain-lain.Hal ini adalah disebabkan oleh,sikap golongan agama sendiri yang mana kadang-kadang tidak amanah dengan ilmu, mem’backup’ pemerintah yang zalim dan berselindung dengan nas-nas. Saya membawakan ini bukanlah bermaksud saya menentang pemerintah tapi saya ingin menyampaikan betapa bahayanya Literalis dalam agama ini,bukan sahaja kepada orang islam sendiri tetapi juga kepad orang bukan Islam.Kita khuatir islam yang mana adalah luas dianggap jumud atau sempit disebabkan oleh sikap kita orang agama sendiri,shingga mana membantutkan dakwah islam. Dan saya sangat bersetuju dengan pandangan yang dibawakan oleh Prof Madya Dr Mohd Asri mengenai isu ini. Sila baca artikel ini dibawah.
______________________________________________________

(RUJUKAN : www.drmaza.com)

Rentetan dari isu demonstrasi aman di seluruh dunia Islam, telah terbit pelbagai fatwa yang kadang-kala bersifat partial ataupun berpihak. Ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga berlaku di negara-negara Arab pasca kebangkitan rakyat. Dalam mempertahankan kuasa para pemerintah Arab semasa -yang sebahagian besar pemerintah itu korupsi dan zalim- muncullah kelompok agamawan yang membela mereka.

Malangnya, pembelaan itu datang dari mereka yang kelihatan ‘kuat beragama’. Dalam kalangan mereka itu ramai pula dari aliran salafi zahiri atau kelompok salafis literalist. Mereka ini memahami nas-nas al-Quran dan hadis secara literal dan menganggap urusan muamalat dan siyasah sama macam ibadah khusus yang tidak boleh dilakukan sebarang pembaharuan dan tokok tambah. Lantaran dari pemikiran ini, mereka membidaahkan perkara-perkara yang membabit urusan harian yang dilakukan atas kemaslahahan manusia.

Maka, mereka membidaah kewujudan persatuan, parti politik, demonstrasi, nasyid, seni rekaan dan pelbagai lagi. Jika fatwa-fatwa mereka ini diterima, maka dunia Islam pasti akan jumud dan kehidupan manusia menjadi sempit di bawah lembayung Islam.


Dipukul dan Dirampas

Lebih dahsyat lagi, apabila aliran ini dimanfaatkan oleh para pemerintah yang korupsi dalam dunia Islam. Ini apabila kelompok ini menafsirkan hadis-hadis politik secara literal yang seakan-akan Islam memberikan ‘lesen’ besar kepada pemerintah untuk melanyak rakyat dan rakyat pula diikat kaki, tangan dan mulut dengan nas-nas agama dari bertindak atau membantah. Lebih hodoh lagi, hanya nas-nas yang ‘kelihatan’ pro-pemerintah sahaja yang dibaca, diforumkan, diwar-war dalam pelbagai saluran, sedangkan nas-nas yang memberikan amaran terhadap kezaliman pemerintah tidak pula dicanangkan.

Di Malaysia, kita dapat melihat fonomena ini semasa isu demonstrasi panas baru-baru ini dalam masyarakat. Di sini bukan bertujuan menyokong atau menentang demonstrasi aman, tetapi sekadar ingin membincangkan kefahaman sesetengah pihak mengenai hadis-hadis berkaitan.

Antara yang dibaca dan disebarkan dalam mempertahankan para pemerintah dan menghalang rakyat melakukan kritikan –sekalipun aman- ialah hadis Huzaifah r.a:
“Akan ada selepasku para pemimpin yang berpetunjuk bukan dengan petunjukku, bersunnah bukan dengan sunnahku, dan akan bangkit dalam kalangan mereka lelaki-lelaki yang jantung hati mereka seperti jantung hati syaitan dalam tubuh insan”. Kata Huzaifah: “Apa yang patut aku lakukan wahai Rasulullah, jika aku mendapati keadaan itu?”. Jawab baginda: “Dengar dan taat kepada ketua, sekalipun belakangmu dipukul, hartamu diambil, dengar dan taatlah” (Riwayat Muslim).

Hadis ini dijadikan hujah, sehingga ada yang berkata ‘jika pemerintah membunuh kaum-keluarga saya pun, saya tidak akan mendakwa pemerintah di mahkamah dunia’. Saya tidak dapat bayangkan jika semua orang Islam faham seperti itu, maka bermaharaja lelalah para pemerintah dunia Islam, menindas mereka. Tidak boleh dibantah bahkan tetap taat. Ketika dunia berusaha mempertahankan hak asasi manusia agar tidak dicemar, tiba-tiba kita pula menarik umat ke belakang dengan tafsiran yang literal seperti itu. Bayangkan jika seorang yang baru hendak mengenali Islam dihidangkan dengan kefahaman seperti itu, bagaimanakah mungkin beliau ingin melihat keindahan Islam dan keadilannya? Di manakah sabda Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih).

Satu hadis tidak boleh dibaca secara berasingan tapi hendaklah melihat keseluruhan secara perbandingan dengan nas-nas yang lain. Jika tidak, penafsirannya akan cacat. Di situ adanya ilmu yang dinamakan Mushkil al-Hadith yang membincangkan hadis-hadis yang zahirnya kelihatan bercanggahan.

Hina dunia Islam hari ini, sekalipun Allah melimpahkan mereka dengan pelbagai kelebihan, adalah disebabkan salahguna harta rakyat dan ketidakadilan. Dalam beberapa sudut, pemimpin dunia Barat lebih amanah dan jujur kepada rakyat mereka dibandingkan apa yang ada di dunia Islam hari ini. Di mana pergi kekayaan minyak Arab? Bahkan, dari segi keadilan, kadang-kala haiwan di negara Barat lebih dibela dari seorang muslim yang hidup di dunia Islam; dipukul, dihina, dipenjara, bahkan dibunuh tanpa berani bersuara. Sedangkan Nabi s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya binasa mereka yang sebelum kamu kerana mereka itu apabila seorang yang dianggap ‘mulia’ dalam kalangan mereka mencuri dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah mencuri, mereka laksanakan hukuman ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari).

Jadi, sejak bila pula, Islam menyatakan jika pemerintah melakukan kezaliman kita hanya diam dan bersabar! Malang sekali jika manusia di Barat dan Timur yang tidak muslim menentang pelanggaran hak asasi rakyat, tiba-tiba ada kelompok agama dalam Islam yang menyatakan kezaliman pemerintah dihadapi dengan diam, sabar dan taat!

Huraian

Hadis tentang taat dan patut sekalipun dirampas harta dan dipukul itu, ia merujuk kepada keadaan di mana jika penentangan dilakukan akan menyebabkan kerosakkan yang lebih besar seperti pemerintah akan membunuh atau memusnah orang lain yang tidak bersalah sedang kita tidak mampu memberikan sebarang kesan kepada mereka. Ini terutama di zaman dahulu yang terkenal dengan penumpahan darah. Begitu juga di bawah regim-regim yang zalim yang hanya merugikan para penentang dan negara secara umumnya.
Namun, apabila dunia berubah. Negara-negara terikat dengan peraturan antarabangsa mengenai hak asasi rakyat. Juga, apabila negara-negara itu meletakkan dalam perlembagaan mereka tentang hak-hak rakyat, dalam ertikata lain membantah pemerintah dalam negara demokrasi aman itu adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap menentang negara kerana diiktiraf dan dijamin oleh perlembagaan negara dan persetujuan antarabangsa. Maka, konteks hadis sudah berbeza. Islam bukanlah agama yang memberikan lesen kepada pemerintah untuk berbuat apa sahaja dan rakyat wajib mendiamkan diri. Jangan bawa tafsiran zaman Abbasiyyah ke zaman yang sudah berubah.

Bagaimana mungkin rakyat tidak boleh membalaskan tindakan pemerintah melalui saluran keadilan dan tuntutan yang wajar, sedangkan dalam hadis, Nabi s.a.w sendiri sebagai pemerintah mengizinkan diri baginda dibalas. Ini seperti hadis yang diriwayatkan Ibn Ishak dalam sirahnya, ia disahihkan oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah bahawa ketika Rasulullah membetulkan saf perang Badr dengan anak panah baginda, lalu baginda mencucuk perut Sawad bin Ghaziyyah, maka Sawad berkata:

“Wahai Rasulullah! Engkau telah menyakitiku dan demi Allah yang mengutuskanmu dengan kebenaran dan keadilan, beriku untuk membalasnya”. Maka Rasulullah s.a.w pun menyingkap perut baginda dan bersabda: “Balaslah”. Lalu Sawad memeluk dan mencium perut Nabi s.a.w. Baginda bertanya: “Mengapa engkau buat begini wahai Sawad?”. Beliau menjawab: “Seperti yang engkau lihat, aku ingin agar saat akhir aku denganmu, kulitku menyentuh kulitmu”. Lalu Rasulullah s.a.w pun mendoakan kebaikan untuknya”.

Rasulullah s.a.w yang merupakan seorang nabi dan pemerintah, jauh lebih mulia dari semua pemerintah mengizinkan diri dibalas atas tindakannya, bagaimana mungkin ada pihak boleh menyatakan tindakan pemerintah tidak boleh dipertikai atau dibawa ke mahkamah, atau dibicarakan atau dituntut kesalahannya oleh rakyat! Alangkah dangkalnya penghujahan seperti itu. Ini boleh membawa kepada menolong kezaliman penguasa. Sedangkan Nabi s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)” (Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmii. Dinilai oleh al-Albani. (lihat: Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah, tahqiq: Al-Albani, hlm 337-339).

Erti Pemerintah

Jika pemerintah itu diberikan wewenang untuk memukul dan mengambil tanpa dipersoalkan, apakah ertinya sesuatu pemerintahan itu? Apakah mereka seperti penzalim dan perompak berlesen yang dilindungi oleh nas-nas agama? Maha Suci Allah dari menurunkan agama yang seperti itu! Sebaliknya dalam agama ini kemuliaan muslim seperti yang disebut oleh Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari), seperti haramnya (mencemari) hari ini (hari korban), bulan ini (bulan haram) dan negeri ini (Mekah). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sebab itu, sehingga dalam bab bughah iaitu mereka yang keluar memerangi pemerintah dengan senjata, al-Imam Abu Ishaq al-Shirazi menyebut:

“..jangan dimulakan peperangan sehinggalah ditanya mereka apa sebab mereka bertindak balas demikian. Jika mereka menyebut tentang sesuatu kezaliman, maka hendaklah diatasinya, jika mereka menyebut sesuatu sebab yang boleh diselesaikan, hendaklah diselesaikan. Jika mereka menyebut sesuatu kekeliruan, dihilangkan kekeliruan itu. Ini disebabkan firman Allah: “Hendaklah kamu damaikan keduanya..” (Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 19/195, Beirut: Dar al-Fikr).

Bahkan kitab-kitab fiqh menyebut bahawa harta bughah itu tidak boleh dirampas, yang cedera tidak boleh ditangkap dan yang lari tidak boleh diburu. Ini disebut dalam pelbagai kitab fekah seperti al-Majmu’ dalam Mazhab al-Syafii, al-Mughni dalam Mazhab Hanbali dan lain-lain. Demikian, bughah yang bersenjata, diberikan hak dalam politik islami, bagaimana mungkin rakyat yang tidak bersenjata dibiarkan dipukul dan dirampas harta mereka tanpa boleh membantah?! Fonomena literalis boleh mengelirukan!

REMINDER 11' | MAAHAD MUAR

Posted by Tengku Ibrahim on 7:49:00 PM

2 JULAI 2011- Barisan alumni SMKA Maahad Muar telah mengadakan satu program Kerjaya Motivasi ‘REMINDER 2011’ khusus buat semua pelajar tingkatan 5 sekolah tersebut. Reminder pada kali ini dibahagikan kepada 3 sesi iaitu sesi pameran booth kerjaya mengikut bidang dan universiti,sesi “sharing moment” bersama beberapa ahli alumni dan sesi tawaran biasiswa dan perkongsian pengalaman bersama seorang wakil alumni yang sudah bekerjaya.

Secara keseluruhannya Reminder 11’ berjalan dengan baik walaupun berlaku beberapa perubahan “on the spot” disebabkan “miss communication”. Walau bagaimanapun,biasalah adat dalam berprogram pasti ada susah dan senangnya. Dan pada kali ini,saya merasakan sangat seronok kerana lebih ramai fasilitator daripada pelbagai batch dapat menghadirkan diri berbanding yang lepas. Harapan saya,moga-moga program ini akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan akan lebih sistematik lagi pengurusannya. Terima kasih kepada semua yang telah menjayakan program ini.Wallahualam......


Editor : Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad
tg_ragaxe91@yahoo.com

Pemergian Dr Lo’ Lo’ | HILANGNYA SEORANG SERIKANDI

Posted by Tengku Ibrahim on 10:15:00 AM


Baru-baru ini,para pejuang Islam di bumi Malaysia dilanda dukacita dengan pemergian seorang tokoh yang sangat penting dalam memperjuangkan serta memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini. Pemergian Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali sangat dirasai oleh seluruh ahli Dewan Pemuda PAS Titiwangsa kerana peranan beliau sangat penting dalam perjuangan PAS di Titwangsa dan semestinya amat sukar dicari ganti. Saya rasa masih belum terlambat untuk mengucapkan takziah kepada keluarga almarhumah kerana jasa beliau dalam memartabatkan dan meninggikan syiar Islam tidak mungkin dapat kita membalasnya. Beliau adalah seorang yang gigih dan sangat prihatin.

Timbalan ketuanya, Mohd Shahir Abu Hasan berkata Almarhumah Dr Lo' Lo' juga seorang yang gigih berjuang dan telah berjaya dengan segenap tenaga melaksanakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat kepadanya.

“Dan ini terbukti beliau telah berjaya menempatkan diri di hati masyarakat parlimen Titiwangsa khususnya selepas beliau diamanahkan sebagai wakil rakyat pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu,” katanya.

Beliau menambah, walaupun peruntukan tahunan yang sepatutnya disalurkan kepada setiap ahli parlimen disekat, ia tidak mematahkan semangat almarhumah untuk terus berjuang memberikan khidmat kepada rakyat di Titiwangsa sehingga nafas terakhir.

“Jasa dan peranan beliau sangat besar, dan sifat beliau sebagai seorang ibu yang sering memberi teguran dan nasihat kepada Pemuda tidak akan kami lupakan malah akan menjadi azimat kepada perjuangan kami,” katanya.

(RUJUKAN : HARAKAH DAILY)

Dr Maza ada menyebut,almarhumah adalah seorang yang sangat prihatin dan tegas dengan prinsipnya dalam Islam. Beliau banyak memberikan teguran dan nasihat. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa beliau adalah seorang serikandi, seorang mujahidah, seorang yang jujur dengan keyakinannya. Keuzuran beliau tidak pernah mematahkan semangat beliau untuk terus berjuang sehinggalah ke detik terakhir beliau.Semoga Allah menempatkan Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali besama orang-orang yang beriman. Ameen

(RUJUKAN : www.drmaza.com)

Tuesday, July 05, 2011

Perhimpunan Bersih 2.0 | Suara Kebangkitan

Posted by Tengku Ibrahim on 3:54:00 AM


Baru-baru ini Malaysia kecoh dengan Perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadual diadakan pada 9hb Julai akan datang. Ramai rakyat daripada pelbagai kaum,bangsa,parti politik dan lain-lain bercerita mengenai hal tersebut. Ada yang bersetuju dan tidak kurang juga yang membantah. Namun demikian,antara sebab diadakan perhimpunan ini adalah untuk menuntut, membersihkan senarai undi, reformasi kepada undi pos, guna dakwat kekal, tempoh kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Secara jujurnya saya berpandangan dan bersetuju dengan tindakan Bersih 2.0 ini kerana saya melihat setiap hari hak-hak rakyat semakin diceroboh. Pihak kerajaan seolah-olah semakin tidak menghiraukan amanah yang diberikan kepada mereka,harga minyak semakin naik walaupun telah berjanji tidak akan menaikkan lagi harga minyak pada suatu masa dahulu,penyelewengan wang kerap kali berlaku,budaya rasuah yang semakin menular dalam kalangan pemimpin dan mahupun rakyat yang menjadi tali barut kerajaan dan lain-lain. Secara umumnya saya tidak menafikan ada pemimpin daripada kalangan kerajaan yang menentang keras perkara seperti ini,tapi kami rakyat melihat keadaan tidak pernah berubah malah semakin mendukacitakan.

Para pembaca yang budiman sekalian,pendapat saya perhimpunan ini bukanlah satu perhimpunan yang melibatkan perbalahan,pertengkaran,pergaduhan dan sebagainya tetapi sebagai salah satu cara rakyat menyuarakan pandangan mereka secara bertegas bahawa mereka mahukan perubahan. Mereka tidak mahu lagi Malaysia yang mereka cintai ini dan pemimpin yang mereka sayangi melakukan perkara-perkara yang berlawanan dengan hak asasi manusia lebih-lebih lagi perkara yang berlawanan dengan syarak. Sejujurnya perhimpunan ini adalah perhimpunan aman,justeru saya merasakan pihak pemerintah tidak perlu takut. Kebanyakkan perhimpunan sebegini menjadi kecoh dan huru hara disebabkan ada sabotaj daripada golongan yang tidak bertaggungjawab serta provokasi daripada pihak-pihak tertentu.

Jadi saya merasakan, ini adalah perhimpunan aman,pihak pemerintah tidak perlu risau apa-apa. Sekiranya pemerintah tidak mahu keaadan seperti ini berlaku maka awal-awal lagi telah mengambil tindakkan dengan membetulkan semula apa yang salah,menunaikan hak rakyat dan sebagainya bukannya dengan mengambil tindakkan tidak berasas dengan menahan rakyat yang terlibat dengan Bersih 2.0. Ini akan lebih mengundang kemarahan rakyat kepada pemerintah.

Dalam hal ini saya ingin membawakan dua pandangan tokoh daripada Malaysia mengenai Perhimpunan Bersih 2.0. Pertamanya adalah perbincangan Ustaz Zaharuddin Abd Rahman (UZAR) secara kolektif dengan ilmuwan di Malaysia yang kerap menjadi rujukan masyarakat. Sebahagian ilmuwan yang hadir termasuklah ustaz yang saya kagumi disiplin ilmunya iaitu Ust Dr Zahazan Mohd, Ust Dr Zulkifli al-Bakri at-Takiri, Ust Hasrizal Abd Jamil. Imam Muda Asyraf pun turut hadir sama berbincang.. Muafakat mereka memutuskan DEMONSTRASI ITU HARUS, PROVOKASI ITU HARAM.

(Rujukan : http://www.youtube.com/watch?v=SR8WkaHSE0M&feature=related)

Pandangan kedua adalah daripada Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, beliau berpandangan bahawa sesuatu tindakan dalam urusan kehidupan muslim khususnya dilihat kepada dua perkara; tujuan dan cara. Jika tujuannya baik, dan caranya juga baik maka itu adalah amalan yang baik. Jika tujuannya baik, caranya salah, maka pelakunya tetap bersalah kerana mengambil cara yang salah seperti mencuri dengan tujuan hendak bersedekah. Jika tujuannya buruk atau dosa, segala langkah ke arah tujuan itu dinilai berdosa. Setiap individu yang hendak menyertai sesuatu aktiviti, hendaklah memastikan tujuannya itu halal atau mulia, dan caranya juga halal. Adapun cara yang hendak dicapai iaitu dengan melakukan demonstrasi, pada asasnya ia sesuatu yang harus melainkan jika diiringi dengan perkara-perkara haram seperti kerosakan harta benda awam, pergaduhan dan penonjolan akhlak yang buruk. Nabi s.a.w dalam hadis pernah mengajar sahabat yang disakiti jirannya untuk membuat bantahan di jalan. Dalam hadis itu sahabat tersebut mengadu kepada Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya jiranku menyakitiku”. Sabda Nabi s.a.w: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”. Maka mereka berkata: “Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih).

Ini menunjukkan bahawa mengajak orang di jalan membantah kezaliman adalah dibolehkan. Dalam konteks politik hari ini, demonstrasi aman sebahagian dari cara pencegahan munkar politik yang telah terbukti keberkesanannya di banyak negara.

Beliau juga mengingatkan bahawa demonstrasi itu terdedah kepada bahaya dan porak peranda, maka demonstrasi hendaklah menjadi pilihan akhir setelah tuntutan yang adil tidak ditunaikan. Perbincangan, rundingan, seruan secara langsung, bantahan bertulis dan sebagainya hendaklah di utamakan. Aman adalah syarat utama, jika bertukar menjadi ganas maka ia sesuatu yang diharamkan oleh syarak. Maka, sesiapa yang hendak menyertai demonstrasi BERSIH hendaklah berazam bahawa mereka tidak akan mencetuskan kemusnahan harta awam, tidak mencederakan sesiapa, tidak memaki hamun, sebaliknya melafazkan slogan tuntutan dan berhimpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa tidak puas hati. Adalah haram mana-mana pihak, samada peserta demonstrasi atau polis memulakan provokasi yang boleh menyebabkan berlakunya rusuhan. Sebaliknya, pihak polis hendaklah sedar, selagi tuntutan itu baik untuk negara yang adil, polis juga termasuk dalam kalangan rakyat. Maka sepatutnya mereka memudah cara agar proses itu berjalan dengan pantas dan dilangsaikan dengan segera. Para peserta demonstrasi juga hendaklah sedar bahawa tugasan polis mengawal keamanan, maka hendaklah tidak dimulakan apa-apa provokasi yang menimbulkan kemarahan mereka selagi mereka bertugas dengan betul menurut peraturan keselamatan. Sesiapa yang memulakan atau menyertai provokasi yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa.

(Rujukan : http://drmaza.com/home/?p=1436#more-1436)

Kesimpulannya,semua pihak memainkan peranan dalam menjamin keadilan dan keamanan negara ini. Menyertai Bersih adalah merupakan salah satu daripada cara kearah itu dan menjadi tanggungjawab kita bersama dalam mengelakkan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan huru hara dan kekacauan dalam negara lebih-lebih lagi semasa perhimpunan tersebut.

Sunday, July 03, 2011

Mukhayyam Syakhsiah Muslim

Posted by Tengku Ibrahim on 6:31:00 AM

Pada 24,25,dan 26 Jun 2011 satu program Mukhayyam Syakhsiah Muslim (MUSYM)telah diadakan di Sekolah Menengah Agama Al-Ittifaqiyyah Guai,Temerloh,Pahang. Program ini telah dianjurkan oleh Badan Dakwah dan Ibadah Sekolah (BADIS). Seramai 20 orang fasilitator dari pelbagai universiti telah dijemput bagi mengelola program ini,antaranya dari Darul Quran JAKIM,UIAM,UiTM,USIM dan lain-lain. Program ini sebenarnya adalah suatu yang unik. Kenapa saya berkata demikian? Program ini boleh dikatakan secara ‘on the spot’. Semua fasilitator yang dijemput tidak dimaklumkan awal bahawa program ini akan dikendalikan sendiri oleh fasilitator dan kami semua hanya tahu apabila telah tiba di sekolah berkenaan.

Tetapi alhamdulillah,walaupun kami datang dari universiti yang berbeza dan tak pernah kenal pun sebelum ini,tapi kami dapat melakukan setiap gerak kerja dengan baik berkat usaha gigih kami dan komitmen yang diberikan. Hasilnya program berjalan dengan lancar dan Allah telah mengikat hati-hati kami dengan tautan ukhuwwah sehingga mana kami yang asalnya saling tidak mengenali tetapi dalam masa yang sangat singkat kami menjadi semakin akrab seolah-olah kami telah lama mengenali antara satu sama lain. Bertepatan dengan firman Allah taala yang bermaksud:
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah)itu,dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (al-Hujurat 49:10)

“wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak,supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah adalah yang paling bertakwa di antara kamu”.(al Hujurat 49:13)

Mudah-mudahan dengan berakhirnya MUSYM bukan bermakna berakhirnya pertemuan persahabatan kita,tetapi merupakan permulaan kepada bermulanya titik kasih sayang kerana Allah taala. Kepada semua peserta ambillah segala yang baik dan buanglah segala yang buruk. Dari sudut kami, kami telah memberikan yang terbaik buat adik-adik. Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pihak sekolah,pihak penganjur kerana memberikan kami kepercayaan untuk menguruskan program ini,tidak lupa juga kepada ketua fasilitator ,saudara Muzaffar dan semua sahabat muslimin dan muslimat fasilitator serta semua yang memainkan peranannya sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.

Saya mengakhiri tulisan saya ini dengan satu firman Allah taala yang bermaksud :

“ Sesungguhnya mereka pemuda-pemuda yang beriman kepada tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk.”(surah al kahfi)


(Gambar di atas : fasilitator sedang berbincang di bilik mesyuarat)

Sila dapatkan lebih banyak foto di sini.


Hamba yang dhaif,
Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad,
(Mantan Kem Komanden MUSYM 2011)

Wednesday, June 29, 2011

Kalam Exco | Majalah Pearl of Huffaz edisi 7

Posted by Tengku Ibrahim on 5:25:00 AM

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam disampaikan kepada junjungan nabi Muhammad S.A.W.,keluara serta sahabat-sahabat baginda.

Dalam usaha untuk menambahkan buku-buku bacaan dalam kalangan masyarakat masa kini secara amnya serta masyarakat Darul Quran secara khususnya ,dengan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T kerana dengan limpahan rahmatNya barisan, Permata Huffaz @ Pearl Of Huffaz edisi ke-7 berjaya diterbitkan. Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah diucapkan kepada krew sidang redaksi kerana berjaya menyiapkan majalah ini pada masanya. Sudah pasti banyak liku-liku serta halangan semasa proses pembikinannya, bertepatan dengan firman Allah taala :

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan , “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?”
(al-‘Ankabut ayat 2)

“Ataukah kamu mengira kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan)seperti (yang dialami)orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan, dan digoncang (dengan pelbagai cubaan), sehingga rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, “Bilakah pertolongan Allah?” Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat."(al-Baqarah ayat 214)

Sahabat- sahabat mahasiswa dan mahasiswi sekalian, moga-moga usaha kecil kami ini dalam menerbitkan majalah ilmiah,dapat memberikan sedikit manfaat kepada semua lapisan masyarakat khususnya umat Islam dan dikira sebagai salah satu amal kebajikan disisi Allah S.W.T insya-Allah.


Yang benar,
Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammad,
Exco lajnah Penerbitan dan Informasi 10/11,
Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran.

Friday, June 10, 2011

.:Menanggung Permata,Menguji Diri | KEPIMPINAN:.

Posted by Tengku Ibrahim on 4:15:00 AM

Assalamualaikum w.b.t,

Segala puji bagi Allah SWT pemilik sekalian alam dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW , ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat r.a , sesiapa yang mengikuti mereka dengan ikhlas hinggalah ke hari kiamat serta tidak lupa juga kepada mahasiswa dan mahasiswi Darul Quran JAKIM yang dirahmati oleh Allah sekalian.

Pertama dan selamanya marilah kita merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana sehingga ke hari ini kita masih lagi diberikan keizinan untuk terus beribadat dan hidup di bumi pinjaman Allah taala ini. Mahasiswa mahasiswi sekalian,marilah kita sama-sama mengimbau kembali tujuan penciptaan diri kita sebagaimana firman Allah taala dalam surah al Baqarah :

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi.” Mereka berkata, “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu?” Dia (Allah) berfirman, “Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”



Dan dalam al Quran juga Allah ada berfirman bahawasanya, “ Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu”

Berdasarkan dua firman ini maka kita dapat membuat kesimpulan bahawasanya antara tujuan penciptaan manusia adalah untuk ‘iqamatud deen wasiatud dunia bih’,menegakkan Islam dan mentadbir urusan dunia dan agama. Mahasiswa dan mahasiswa sekalian, untuk menegakkan Islam dalam menyampaikannya kepada seluruh manusia dan seterusnya mempertahankannya daripada serangan musuhnya serta mentadbir urusan dunia dengan melaksanakan perintah-perintah agama,maka untuk mencapai segala tujuan ini tidak boleh tidak mestilah dengan kepimpinan. Konsep kepimpinan yang dibentuk mestilah selaras dengan al Quran dan as Sunnah. Kepimpinan juga bertanggungjawab dalam menyusun atur dan menyelia segala urusan negara mahupun persatuan dengan tersusun dalam memastikan mesej dakwah Islam dapat disampaikan dan agama Islam dapat ditegakkan.

Mari kita merenung sedikit sirah baginda Rasulullah S.A.W. Disaat kewafatan baginda nabi Muhammad,para sahabat telah berkumpul untuk memilih khalifah yang baru sedangkan pada masa itu, jenazah rasulullah belum lagi selesai diuruskan. Oleh yang demikian, tidak dapat disangkal lagi bahawasanya kepimpinan adalah sesuatu yang penting yang dititik beratkan dalam Islam.

“Patah tumbuh silih berganti”, inilah ungkapan yang dapat saya katakan kepada Persatuan Kebajikkan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT DQ). Setelah berakhirnya kepimpinan sesi 2009/2010, maka kepimpinan 2010/2011 yang baru mengantikan talifat yang amat berat ini. Ingin saya katakan di sini bahawa amanah dan taklifat ini bukanlah dipikul untuk suka-suka dan sebagainya, akan tetapi ia diterima atas dasar amanah dengan penuh rasa tanggungjawab dalam menegakkan kepimpinan islam. Ia juga adalah latihan bagi kita untuk mengasah bakat kepimpinan yang ada pada setiap diri huffaz sebelum mendapat taklifat yang lebih besar dalam memimpin ummat kelak..

Amanah bukanlah suatu perkara yang boleh dibuat main-main, akan tetapi amanah merupakan suatu kewajiban yang mesti dilaksanakan. Jika amanah tidak dilaksanakan, maka kita akan terjerumus ke dalam kancah kemunafikan sepertimana sabda rasulullah s.a.w, “tanda tanda orang munafiq ada tiga, apabila bercakaap dia berboong, apabila berjanji dia mungkiri, dan apabila diberi amanah dia khianat". Justeru, ingin saya ingatkan kepada diri saya dan ahli-ahli lajnah sekalian, marilah sama-sama kita menjalankan amanah dan taklifat ini dengan serius sejajar dengan tuntutan agama, demi kepentingan agama, ummat dan persatuan.

Di samping itu, tugas dan amanah ini tidak dapat dijalankan dengan sempurna tanpa kerjasama dan komitmen yang jitu daripada mahasiswa mahasiswi sekalian. Tanpa kerjasama daripada kamu semua, apalah erti kepimpinan dan persatuan. Jika kita imbas kembali, kejayaan ummat islam dalam pelbagai siri peperangan dan pertempuran, kejayaan Sultan Salahudin dalam membebaskan bumi al-Aqsa, kemenangan al-Fateh dalam pembukaan kostantin, dan pelbagai kemenangan dan kejayaan ummat islam yang lain, semuanya lahir daripada semangat kerjasama dan komitmen yang tinggi yang diberikan ummat kepada kepimpinan. Jadi, saya ingin menyeru kepada diri saya dan seluruh mahaiswa mahasiswi sekalian agar dapat memberi komitmen dan kerjasama, serta pengorbanan yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab ini.

Suka saya ingatkan di sini, di samping kepimpinan, janganlah pula kita abaikan matlamat utama kita datang ke bumi barakah ini. Kita hendaklah membahagikan masa kita dengan penuh teliti supaya dua elemen utama iaitu hafazan al-Quran dan kerja persatuan dapat dibahagikan secukupnya. Kepimpinan dan gerak kerja persatuan adalah suatu perkara yang murni. Janganlah kita jadikan kerja persatuan sebagai alasan lambat atau tidak ingat hafazan. Janganlah disebabkan kelemahan kita sendiri, gerak kerja persatuan yang murni ini dipandang sinis oleh orang kebanyakan. Bak kata pepatah, “kerana nila setitik rosak susu sebelanga”.Dalam pada itu, janganlah kita jadikan hafazan al-Quran sebagai alasan kepada kita utuk tidak melibatkan diri dalam gerak kerja persatuan. Ingatlah hafazan al-Quran adalah perkara utama, tetapi kepimpinan bukanlah perkara ke-2.

Akhir kalam, saya berharap para sahabat agar dapat bersama saya dan sahabat-sahabat lain untuk terus mengislahkan diri ke arah yang lebih baik di masa akan datang. Tidak lupa juga buat semua pimpinan Persatuan Kebajikkan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran 10/11 khususnya Majlis Tertinggi dan Ketua Unit Lajnah Penerbitan dan Informasi 10/11 yang saya sayangi , agar sentiasa proaktif dan berfikiran terbuka dalam menyuarakan pandangan atau cadangan dalam memperbaiki segala kesilapan lalu. Akhirnya,latihlah pemikiran kamu semua supaya bersifat kehadapan, dengan menjadikan sejarah sebagai pedoman, al Quran dan as Sunnah sebagai panduan , maka insya-Allah hasilnya nanti adalah yang terbaik...

“Bersama Menerajui Perubahan”

Sekian, wassalam.

Disediakan oleh,

TENGKU IBRAHIM HELMI BIN TENGKU MOHAMMAD,
Exco Lajnah Penerbitan dan Informasi sesi 2010/2011,
Persatuan Kebajikkan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran.

(P/S : Artikel ini adalah merupakan kalam exco di dalam Panduan Buku Gerak Kerja (BGK) Lajnah Penerbitan dan Informasi sesi 2010/1011)

Wednesday, June 08, 2011

.:SYABAB I SEJARAH BERMULA, KENANGAN TERCIPTA:.

Posted by Tengku Ibrahim on 10:50:00 AM


Sinergy of Ulul Albab (SYABAB) buat Diploma 11/14 cukup mentarbiah mereka yang menjayakannya, lagi-lagi yang melaluinya. Sungguh benarlah TARBIAH bukan segala-galanya tetapi segala-galanya bermula dengan TARBIAH. 19-21 Mei akan menjadi tarikh keramat buat mereka.


Bermula pada hari khamis pagi dengan ceramah oleh ustaz Fauzan daripada MANTOP Training sudah pasti membuka hati adik-adik untuk melihat tarbiah di Darul Quran, lebih-lebih lagi menerima tarbiah di sini. Kami bergerak ke Rock Resort sebelum zohor, usai sampai di sana matahari menjadi ujian pertama. Panas terik tengah hari itu sedikit sebanyak mengocak-ngocak semangat mereka di sana. Perjalanan program diteruskan sehingga asar.



Usai solat asar, angin sudah mula menampilkan dirinya, matahari sudah mula berarak pergi. Selesai sahaja riadah pada petang itu, kami kebasahan kerana hujat mula turun dengan lebatnya. Hujan seakan mahu menyanyi pada malam itu hingga ke pagi tetapi alhamdulillah hujan itu berhenti kira-kira selepas isyak tapi hujan pada petang itu betul-betul mentarbiah kami di sana. Air naik sekelip mata, memasuki khemah-khemah dan kanvas, hatta makan beralaskan lantai air hujan tapi kerana mengenang perut yang sudah mula berkeroncong, mereka makan seperti biasa seakan tiada apa yang berlaku, tapi hakikatnya ramai yang kesejukan dan kebasahan!!
ya, inilah TARBIAH. Kami dan mereka diTARBIAH dengan alam, inilah pengalaman yang pastinya mengharukan apabila dikenang saat berjauhan kelak. Program diteruskan sehingga ke akhirnya, Alhamdulillah adik-adik ini menunjukkan respon yang baik terhadap program ini, dan harapnya tema program ini ORIENTASI TARBIAH, MANIFESTASI UKHUWWAH, IMPLEMENTASI WEHDAH benar-benar mampu diterjemah dan diasimilasi dalam rutin diri.



SUNGGUH, ukhuwah itu kini sudah mengalunkan rentaknya. Mudah-mudahan, akan bergema dengan tarbiah dan memantulkan wehdah, inshaAllah. KEJUTAN dari unit teknikal SYABAB juga memecah suasana apabila membuat kelainan dengan menayangkan video trailer program SYABAB untuk ditayangkan dalam Malam Pelancaran Usrah akan datang.

SUMBER : www.perkematdq.blogspot.com

.:MalamPengenalanPerkemat| ERA BARU:.

Posted by Tengku Ibrahim on 10:23:00 AM

18 Mei 2011- Barisan Kepimpinan Persatuan Kebajikkan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran 2010-2011 telah mengadakan satu perjumpaan di antara pelajar-pelajar baru diploma 11/14. Perjumpaan ini diberi nama “Malam Pengenalan PERKEMAT 10-11”. Malam pengenalan ini diadakan adalah bertujuan untuk memperkenalkan barisan kepimpinan PERKEMAT DQ sesi 10-11 sekaligus memupuk nilai-nilai kerjasama dan tautan ukhuwwah di antara sesama mereka.

Majlis ini dimulakan dengan ucapan kata alu-aluan pengerusi majlis dan kemudiannya disusuli dengan ucapan Yang Dipertua Persatuan Kebajikkan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran yang menerangkan serba sedikit tentang sejarah persatuan dan menyeru kepada semua pelajar –pelajar baru untuk sama-sama kita berganding bahu dalam menjaga biah solehah di Darul Quran. Kemudian majlis diteruskan lagi dengan taaruf ringkas daripada setiap exco dan timbalan exco.



Sebagai penutupnya,majlis kemudiannya menayangkan video korporat pimpinan PERKEMAT DQ sesi 10-11 disusuli dengan video ‘Trailer SYABAB’ yang akan berlangsung bermula pada keesokkan harinya. Majlis kemudiannya berakhir selepas sesi taklimat ringkas daripada penyelaras program SYABAB.

(Barisan Pimpinan PERKEMAT sesi 10-11)

(Pelajar-pelajar tekun menyanyikan lagu asma ulhusna)

(Pelajar-pelajar memberikan tumpuan ketika sesi taaruf)


Editor :
Tengku Ibrahim Helmi b Tengku Mohammadhttp://www.blogger.com/img/blank.gif
Exco Lajnah Penerbitan Dan Informasi 10-11

Fotografi : Unit Fotografi Laterinfo @rt crewz


SUMBER : www.perkematdq.blogspot.com


HARI PERTAMA PELAJAR BARU | .:PENDAFTARAN:.

Posted by Tengku Ibrahim on 9:30:00 AM


14 Mei 2011 - Warga Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan satu Majlis Sambutan Pelajar-Pelajar Baru Program Diploma Tahfiz Al-Quran Sesi 2011/2012 baru-baru ini.

Majlis yang penuh meriah tersebut telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Tuan Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Dalam ucapan beliau, Tuan Haji Othman memberikan penghargaan dan ucapan tahniah kepada para pelajar dan juga ibu-bapa yang telah menghantar anak-anak mereka ke Darul Quran sebagai pusat pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Beliau juga turut memberikan ucapan alu-aluan kepada para pensyarah Universiti al-Azhar yang dijemput sebagai pensyarah khas di Darul Quran di atas kesudian mencurahkan khidmat dan kepakaran kepada para pensyarah dan pelajar di Darul Quran.


Beliau turut menyatakan hasrat JAKIM untuk mengantarabangsakan Darul Quran sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang disegani dan dihormati bukan sahaja di rantau ini bahkan di persada antarabangasa melalui kerangka penaiktarafan Darul Quran ke arah kolej universiti yang sedang diusahakan.

Antara tetamu kehormat yang hadir dalam majlis tersebut adalah Puan Hjh. Ramlah binti Yong, Pengarah Bahagian Pembangunan Insan, Dr. Mohadis bin Yasin, Timb. Pengarah ILIM, serta para pensyarah dari Universiti al-Azhar, Mesir sebagai pensyarah jemputan khas di Darul Quran.

Seramai 250 pelajar telah ditawarkan untuk mengikuti program Diploma Tahfiz al-Quran di Darul Quran bagi sesi 2011/2012 dan sebahagiannya merupakan pelajar dari luar negara termasuklah 5 orang dari Thailand, 5 orang dari Singapura, 3 orang dari http://www.blogger.com/img/blank.gifBrunei dan seorang dari Kemboja.

Kami daripada barisan kepimpinan Persatuan Kebajikkan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT DQ) mengucapkan tahniah dan selamat datang ke bumi barakah Darul Quran. Semoga dengan kedatangan kalian ke Darul Quran, dapat membantu memobilasikan tenaga dakwah yang efektif dalam menjana generasi madani yang membudayakan intipati Al-Quran dan As-Sunnah dalam kehidupan



Dicatat oleh :
Lajnah Penerbitan dan Informasi 10-11

SUMBER : www.perkematdq.blogspot.com

.:Rahsia Sujud|Perkembangan Otak|i luv islam:.

Posted by Tengku Ibrahim on 5:19:00 AM


Persatuan Islam Kebangsaan Malaysia (MICNA) Jordan mengenal pasti sesiapa yang tidak menunaikan sembahyang maka otaknya tidak dapat menerima darah secukupnya untuk berfungsi secara sempurna.

Jurucakap MICNA Jordan berkata, ini bererti darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak manusia melainkan ketika seseorang itu sujud ketika solat.

Di dalam Majalah Buletin Bulanan MICNA, jurucakap persatuan ini membuat kenyataan bahawa;

"Darah akan memasuki bahagian urat tersebut mengikut kadar solat yang telah diwajibkan oleh Islam".

Ini diakui sendiri oleh seorang doktor neurologi di Amerika Syarikat yang telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban di dalam penyelidikannya itu. Doktor tersebut mendapati dalam kajiannya urat pada saraf manusia memerlukan darah untuk beberapa sukatan tertentu sahaja.

Doktor neurologi tersebut tertarik untuk memeluk Islam semasa membuat kajian saraf yang dilakukan, iaitu terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia tidak dimasuki darah walaupun sepatutnya setiap inci otak manusia memerlukan darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal.


Kini doktor tersebut memeluk Islam dan beliau telah membuka sebuah klinik yang bertemakan "Perubatan melalui- Al-Quran". Beliau juga membuat ubat-ubatan berdasarkan kajian melalui Al-Quran dan Hadis Nabawi. Di antara kaedah yang digunakan termasuklahberpuasa, madu lebah, biji hitam (black Seed).

Manusia yang tidak bersembahyang apatah lagi yang bukan Islam, walaupun akal mereka berfungsi secara normal tetapi sebenarnya mereka akan hilang pertimbangan apabila membuat keputusan secara normal.

Justeru itu, tidak hairan ada di antara manusia kadang-kadang tidak segan silu untuk melakukan perkara bertentangan dengan fitrah kejadiannya walaupun akal mereka mengetahui perkara yang akan dilakukan adalah salah.

"Ini kerana otak mereka tidak boleh mempertimbangkannya secara normal."

- Artikel iluvislam.com

Tuesday, June 07, 2011

.:Ehem, Gambar Muslimahkah Itu| i luv islam:.

Posted by Tengku Ibrahim on 1:40:00 AM

Terkadang bila melayari facebook dan weblog rakan-rakan, saya merasa hairan melihat sesetengah facebook dan weblog muslimah yang bertudung dan yang menutup aurat; mereka tidak segan silu pula untuk memaparkan gambar masing-masing.

Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar anda wahai muslimah sekalian, namun sayangnya anda terlupa bahawa gambar yang anda letak itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat dan bulu halus di muka anda terpampang rapi!
Tidaklah tujuan saya mengaibkan kalian. Saya adalah rakan kamu yang enggan melihat wajah-wajah itu dipaparkan sewenang-wenangnya kepada orang. Biarpun wajah bukan aurat mengikut sesetengah mazhab, namun tatkala fitnah mengundang, tidakkah ia melayakkan ia ditutup dari pandangan umum?


Muslimahku, dunia internet semakin berkembang maju. Satu hari mungkin berjuta-juta orang yang melihatnya.
Dikalangan mereka, ada yang bagus; yang menundukkan pandangan selaras firman Allah dalam Surah An-Nur yang bermaksud:
"Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa Yang mereka kerjakan."



Hati Yang Sakit Bertambah Sakit.. Kasihanilah Masyarakat..


Namun, kita harus akui bahawa di kalangan jutaan orang itu, ada yang hatinya sakit, ada yang jiwanya perit menanggung kesakitan akibat terlihat wajah-wajah kamu biarpun kamu bertudung litup.

Muslimahku, kalau kita lihat dunia gambar bukan main maju lagi. Dahulu, cuma setakat kamera yang perlu dicuci gambarnya. Kini, telefon juga menjadi kamera. Kamera pula lebih dahsyat, lebih pantas; sesegera mee segera.

Alangkah malangnya andai wajah-wajah yang terpamer itu mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki. Lelaki yang mantap imannya akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya akan mula mengganggu anda. Mula memburu anda dengan SMS, telefon, hatta mungkin mendekati anda, dengan tujuan memiliki anda... untuk menikahi anda tidak mengapa, tetapi jika sekadar mahu memuaskan nafsu?

Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin anda tidak terniat, wajah anda terpampang besar di internet! Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin ia juga fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Fireworks dan seribu satu pengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan anda, anda tanggung sendirilah. Tapi kalau niat anda cuma berkongsi dan dengan perkongsian itu, secara tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran saya, berhati-hatilah!

Jalan Penyelesaian?

Andalah sahaja yang mampu menyelesaikannya. Bukan orang lain. Diri anda, andalah yang harus menjaganya.
Apa tujuan anda bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan orang kepadamu? Maka, soalan saya, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Adakah memaparkan wajah anda besar-besar menutup pandangan orang terhadap andakah?

Banyak cara boleh dilakukan menggunakan perisian pengedit gambar. Belajarlah daripada yang tahu. Hindarkanlah aksi-aksi dan posing-posing yang hanya akan menambahkan lagi kerosakan jiwa masyarakat. Sekiranya niat anda hanya ingin berkongsi dengan rakan muslimah anda, lakukanlah secara tertutup. Elakkan perkongsian atau posting yang boleh dilihat oleh segala macam jenis orang. Kalau lebih mudah, anda kirim saja emel bergambar kepada rakan muslimah anda itu.
Ingat, wajah anda adalah anugerah Allah SWT.
Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja.
Selamat bermujahadah sahabat muslimahku!


Tuesday, May 31, 2011

PETUA MEMANTAPKAN EQ :

Posted by Tengku Ibrahim on 1:41:00 AM

EQ bermaksud Emotional Quotient ( kemantapan emosi )

1) UNTUK MENDAPATKAN KASIH SAYANG, KITA PERLU MEMBERI KASIH SAYANG.

2) BANYAKKAN KASIH SAYANG DAN KEMAAFAN AKAN MENJADIKAN DIRI DAN JIWA KITA TENANG.

3) TENGOKLAH DUNIA DENGAN PENUH KEINDAHAN DAN KEBESARAN TUHAN.

4) JAGA HATI,KERANA HATI MENGAWAL OTAK(AKAL) DAN OTAK MENGAWAL TINDAKKAN.

5) BERSIHKAN HATI,BANYAKKAN BERDOA DAN BANYAKKAN MEMBERI MAAF.





Dicatat oleh :
TENGKU IBRAHIM HELMI B TENGKU MOHAMMAD,
EXCO LAJNAH PENERBITAN DAN INFORMASI PERKEMAT DQ 10-11.
4:54 PM, 31/05/2011


Sunday, April 10, 2011

Luahan ~hati seorang insan

Posted by Tengku Ibrahim on 7:54:00 PM


Anakku...
Kasih sayang bukan ungkapan atau pujukan...
Bukan juga dibelai atau dimanja...
Tanda kasih bukan juga pada longgokkan harta...
Atau wasiat pusaka...
Walaupun ibu ini bukan siapa-siapa...
Hanya menumpang sedikit hatimu...
Diterima Alhamdulillah...
Ditolak ibu redha...
Ibu sekadar ingin beritahu...


Hidup ini perlu pantas dan laju...
Untuk memacu ikhlas hatimu...
Bukan mudah bermujahadah...
Bukan senang beristiqamah...
Tidak mudah menuju fisabilillah...
Setiap langkah harus jelas dan penuh wadah...
Kita ini umat bermaruah...
Kita ini hamba yang bertuah...
ALLAH membuka lapang keampunan...
ALLAH menyuburkan seluasnya kasih saying...
ALLAH penuh ihsan dan kerinduan...
Buat hambaNya yang bersimpu dan bermohon pertolongan...
Ayuhlah jangan bertangguh...
Bermesyuarahlah agar kita tidak rugi...
Beristikharahlah agar kita tidak menyesal...
Bangunlah,gerakkan urat nadimu...
Bersihkan hatimu...
Berhijrahlah demi perjuangan ini...
Buang tangguh yang membawa keruh...
Bunuh malas yang membawa rebah...
Campakkan saja sikap leka yang membawa luka...
Mana tahu ini hari terakhir ibu...
Ingin sangat melihat kejayaanmu...
Biar ibu ini hanya mampu mengintai kejayaan dihujung waktu...
Hanya ALLAH yang tahu...!!!
_______________________________________________

Luahan ini telah ditulis oleh seorang yang diberi nama Ibu Zuraidah kepada penulis. Beliau adalah seorang yang sangat tabah menghadapi cabaran dan dugaan yang silih berganti. Beliau ibarat seorang ibu buat penulis yang tidak pernah jemu memberi semangat dan dorongan untuk terus berjuang di atas muka bumi ini. Semoga Allah senantiasa melimpahi rahmat ke atasNya...

Dicatat oleh :
Prince-tengku
11/04/11,11:12 AM

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin

Search Site